Sunday, December 13, 2009

Mencorak Anak Tidak Seperti Mencorak Kain Putih

Petang itu ketika berputar-putar di kompleks beli-belah di sekitar Bukit Bintang, aku terserempak dengan sahabat lama - CK Lim. dia kelihatan masih muda walaupun usianya hampir pencen. Kami memilih kafeteria di tepi jalan untuk bersembang.

Dia membuka cerita hebat. Pada suatu pagi ketika bangun dari tidur, katanya, dia melihat wajah isterinya murung mencuka. Mungkin isterinya marah kerana semalam dia balik lewat dan dalam keadaan mabuk kerana pergi minum sempena ulang tahun perkahwinan kawan sepejabat. Aku dapat meneka apa yang akan terjadi. Lantas aku tertawa. Dia meneruskan cerita.

"Tengok apa di tepi pintu tu!" Isteri dia berkata sambil menuding ke arah pintu.

Sepasang sepatu wanita. Dia amat terkejut. Adakah semalam, dalam keadaan mabuk, dia membawa balik perempuan, fikirnya. Dia mula ketakutan kerana isterinya telah beberapa kali memberi amaran seandainya dia "nakal" lagi, dia tidak akan dimaafkan, melainkan putus. Dia terdiam. Dadanya berdebar-debar.

"Putus hubungan?" tanya aku.

"Dia nak potong si anu aku!"

"Oh, dia ugut begitu!"

"Dia tak ugut. Aku kenal isteri aku!"

Dia terdiam, mulut seperti terkancing.

"Perangainya seperti bapanya!" kata isterinya.

"siapa?"

"Siapa lagi kalau bukan anak lelaki kita!"

"Ah!"

"Semalam dia bawa balik gadis sebaya dengan dia!"

Dia berasa lega kerana sepatu di tepi pintu itu milik teman wanita anak lelakinya. Patutlah isterinya sangat marah. Belajar malas, tetapi pandai bawa anak gadis orang balik tidur di rumah. Namun, kelegaannya cuma sekejap. Anak lelakinya baru berusia 17 tahun dan masih bersekolah. Teman wanitanya tentu sebaya atau lebih muda daripada dia. Kedua-duanya masih belum cukup usia untuk berpacaran.

Dia menceritakan bahawa isterinya membebel memanjang. Bermacam-macam perkara dibangkitkan yang kesemuanya dikatakan berpunca daripada sikap "nakal" dia yang diwariskan kepada anak lelaki mereka.

"Nasib baik awak tak nakal, kalau tidak, anak gadis kita juga akan pergi tidur di rumah lelaki!" Dia mencelah kerana tidak tahan dengan leteran isterinya.

"Awak jangan sindir saya!" balas isterinya. "Saya ikut awak balik masa kita bercinta dulu kerana termakan pujukan awak!"

"Oh, awak tuduh saya yang merosakkan awak?"

"Awak sedang merosakkan anak-anak kita!"

Dia terdiam kerana tidak mahu mengungkitkan kisah silam kerana takut didengar oleh anak-anaknya yang masih tidur.

Dia bercerita panjang betapa beraninya anak-anak sekarang melakukan perkara tidak bermoral. Dengan ibu bapa pun mereka tidak segan.

Bagaimana mereka hendak segan kerana sesetengah ibu bapa menjadi teladan kepada anak-anak dalam soal tidak bermoral ini. Sukar hendak mengawal moral anak-anak sekiranya ibu bapa sendiri hidup tanpa moral. Bapa kencing berdiri, anak kencing berlari. Kalau mahu anak-anak menjadi baik, ibu bapa mesti menunjukkan teladan yang baik.

Orang kata anak umpama kain putih. Tetapi mencorak anak tidak semudah mencorak kain putih. Kain putih "benda mati" yang boleh kita corak mengikut kehendak hati kita. Tetapi anak "benda hidup" yang sering kali menolak corakan kita.

Kepada pasangan yang belum kahwin, mereka harus menjaga moral agar selepas kahwin kelak mereka tidak dikurniakan cahaya mata yang tidak bermoral kerana "mewarisi" dosa-dosa lampau mereka.

Kami berpisah setelah hari lewat petang.










Wednesday, December 9, 2009

Kita Semua Orang Penting!

Apabila kita pergi ke majlis makan malam di hotel, restoran atau di dewan komuniti yang dihadiri tetamu khas, kita akan melihat terdapat meja tertentu diletakkan label VIP atau VVIP. Ini meja khas untuk tetamu penting atau teramat penting. VVIP lazimnya untuk tetamu kerabat diraja. VIP untuk pembesar negara atau orang-orang penting yang lain. Manakala meja-meja lain yang tiada sebarang lebel untuk tetamu biasa.

Betulkah manusia ini mempunyai tahap "kepentingan" yang berbeza. Tentulah tidak kerana Tuhan tidak bersifat diskriminasi terhadap cintaan-Nya. Kemuliaan manusia di sisi Tuhan adalah keimanannya. Sedangkan "kepentingan" manusia adalah ciptaan manusia itu sendiri. Akibatnya terlahirlah "orang penting" dan "orang tidak penting" di kalangan kita. Hari-hari kita bertembung dengan orang penting dan orang tidak penting. Malah kita juga selalu mendengar orang berkata: "Ini orang penting kepada Datuk Seri CEO kita!" "Wanita ini orang penting Bos kita!" "Yang berbaju biru muda itu orang penting syarikat KNK!" dan sebagainya.

Dan adakalanya kita juga ada mendengar kawan sebelah berkata: "Ah, tak usah pedulikan dia. Dia bukan orang penting di sini!"

Orang penting dan orang tidak penting mengelilingi kita saban hari. Ini sebenarnya sejenis penyakit sosial yang membudaya dalam kehidupan manusia sejak sekian lama. Penyakit sosial ini telah menyebabkan orang "terpisah" kepada dua jurang iaitu orang penting yang bangga dengan sifat pentingnya dan orang tidak penting dengan perasaan serba kekurangannya.

Kebanggaan melampau menyebabkan seseorang menjadi sombong. Perasaan serba kekurangan menyebabkan orang merendah diri. Perasaan merendah diri keterlaluan merupakan jalan menuju kegagalan.

Jadi, kita seharusnya memilih jalan tengah yang sememangnya inilah jalan kita. Jalan tengah ialah jalan yang sentiasa menganggap SEMUA ORANG ADALAH ORANG PENTING. Saya orang penting, anda orang penting dan kita semua orang penting. Apabila semua kita adalah orang penting, maka tiadalah yang akan berasa bangga kerana "kelebihan" atau berasa rendah diri kerana "kekurangan." Malahan tiada sesiapa - ingat tiada sesiapa - di lubuk hatinya merasakan dia tidak penting.

Saya orang penting. Oleh itu, saya mesti berkelakuan - berfikir, bercakap, berpakaian, berkelakuan, bekerja dan sebagainya seperti orang penting. Orang penting hanya melakukan perkara yang penting-penting sahaja.

Namun, kita sahaja menganggap diri kita orang penting belum mencukupi. Orang lain juga mesti menganggap kita orang penting. Kepentingan seseorang harus diperakui oleh komunitinya. Caranya mudah. Apabila kita mahu orang lain menganggap kita orang penting, kita juga mesti menganggap orang lain juga orang penting. Maksudnya kita mesti melayan orang lain di sekeliling kita sebagai orang penting tanpa mengira warna kulit, jantina, keturunan, kepercayaan, pekerjaan atau kedudukan. Apabila kita melayan orang lain sebagai orang penting, orang lain juga akan melayan kita sebagai orang penting.

Orang penting atau orang sangat penting adalah sama. Semua orang hanya orang penting, tiada orang sangat penting atau sangat-sangat penting kerana semuanya sama penting. Hanya manusia yang menciptakan istilah-istilah ini. Istilah-istilah ini tidak membantu apa-apa dalam kehidupan harian manusia melainkan bagi melahirkan perasaan perbandingan, kerdil, kekurangan, tiada harga dan sebagainya. Untuk mencapai kejayaan, kita hanya memerlukan satu peraturan iaitu "semua orang sama penting" dan peraturan ini harus dipatuhi.

Sememangnya begitulah. Kita semua - rakyat 1Malaysia adalah orang-orang penting yang setaraf dengan orang-orang penting lain di seantero dunia.

Oleh sebab semua kita adalah orang penting, maka label VIP di atas meja jamuan harus dilemparkan ke dalam tong sampah!

Monday, November 9, 2009

Makanan Rohani


Apabila hendak makan kita selalu mempertimbangkan beberapa perkara antaranya adalah halal dan bersih. Harga juga dipertimbangkan tetapi tidak ada maknanya makanan murah tetapi kotor. Makanan yang tidak bersih bisa membawa kepada keracunan makanan. Kita tentu sekali tidak mahu dibawa ke klinik sesudah menjamu selera kerana keracunan makanan. Oleh itu, selain halal, faktor kebersihan perlu diberikan keutamaan.


Itu makanan tubuh. Bagaimana dengan makanan rohani? Rohani kita juga memerlukan makanan - halal dan bersih. Namun sesetengah antara kita kurang menitikkan makanan rohani yang sememangnya sama penting dengan makanan tubuh. Apa gunanya tubuh kita diberikan makanan halal, bersih dan berzat sekiranya rohani kita atau minda kita hari-hari disuapkan makanan beracun? Makanan rohani yang beracun adalah makanan berbahaya yang akan membantutkan kejayaan kita. Makanan beracun ini akan meracuni seluruh kehidupan kita.


"Ah, kamu tak akan berjaya mencapai cita-cita kamu. Kamu ingat senang nak jadi usahwan muda yang berjaya?" Ini contoh makanan rohani yang beracun. Sekiranya anda berkawan dengan orang seperti ini, nescaya anda akan gagal dalam kehidupan kerana mindanya dipenuhi dengan racun. Dan racun tersebut akan mempengaruhi fikiran anda.


"Kamu nak beli rumah banglo di lereng bukit yang harganya RM2 juta? Tak mungkin. Itu rumah jutawan, bukan rumah orang seperti kita!" Ini juga contoh makanan beracun. Minda yang beracun tidak dapat berfikir di luar kepompongnya. Fikirannya sempit.


Ini pula contoh makanan rohani yang tidak beracun, malahan dipenuhi dengan zat dan vitamin.


"Kamu boleh jadi usahawan muda berjaya sekiranya kamu berusaha bersungguh-sungguh dengan bimbingan pakar yang berpengalaman!"


"Beli rumah dengan harga RM2 juta tidak mustahil bagi seorang yang rajin, tekun dan bercita-cita tinggi. semua orang dilahirkan dengan tangan kosong. Berkat usaha, orang itu berjaya."


Dalam pergaulan harian, memilih kawan adalah penting kerana pemikiran kawan akan mempengaruhi pemikiran kita. Apabila kita berkawan dengan orang yang berfikiran negatif, tiada semangat dan berjiwa kecil, kita juga akan menjadi seperti dia. Waspadalah memilih kawan. Kawan yang suka mengutuk orang, menggosip orang dan merampas suami atau isteri orang elakkan sama sekali. Kawan yang memandang dunia dari sudut negatif juga harus dijauhi kerana akan meracuni kehidupan anda.


Orang-orang yang berjaya adalah orang-orang yang berjiwa besar. Orang yang berjiwa besar adalah orang yang pemikirannya positif.


Jagalah makanan anda - jasmani dan rohani - agar anda sentiasa mendapat makanan yang halal, bersih, berzat dan bervitamin.


Saturday, November 7, 2009

Hobi Aku


Ini bukan kedai kasut. Ini sebahagian daripada kasut aku. Semua orang ada hobi tersendiri. Aku juga ada hobi tersendiri. salah satu hobi aku ialah membeli kasut, pakai sekali dua, kemudian sumbat ke dalam rak kasut. Hanya sepasang dua sahaja yang selalu dipakai. Walaupun tidak pakai, tapi aku sayang dan selalu membersih dan mengilatkannya.
Hobi ada yang membazir dan ada yang menguntungkan. Hobi yang menggandakan duit tidak ada pada aku. Semuanya menghabiskan duit. Ada orang suka mengumpulkan barang lama atau barang pelik, kemudian dijual dengan harga mahal. Hobi begini menguntungkan.
Terdapat orang tertentu hobinya suka mengumpul cinta. Kawan aku salah seorang daripadanya. Pantang melihat dahi licin sedikit, mulalah dia mahu mengumpul cinta. Yang peliknya, dia berjaya. Jikalau dihitung, dalam setahun puluhan cinta mampu dikumpulkannya. Aku tidak pasti hobi kawan aku ini menguntungkan atau merugikan.
Mengumpul cinta, kalau tersilap akan bertukar menjadi mengumpul dosa.
Walau apapun, aku hanya suka mengumpul kasut tetapi tidak suka mengumpul benda lain.

Monday, October 26, 2009

Arowana


Hobi manusia berbeza-beza. Salah satu hobi aku ialah memelihara ikan aquarium. Aku suka melihat ikan berenang-renang di dalam aquarium. Ikan Arowana mempunyai gaya renangan yang menarik. Pergerakan badannya begitu lembut.
Namun, terfikir juga oleh aku, manusia hanya menghargai kebebasan sesama manusia, tetapi tidak kepada binatang.

Friday, October 23, 2009

Penyakit Paling Berbahaya


Manusia Malaysia kini ada satu penyakit yang sukar diubati. Penyakit ini tidak membunuh tetapi lebih berbahaya daripada kanser payu dara, sakit jantung, darah tinggi, kencing manis atau HIV Aids kesan kesan sampingannya menggerunkan. Manusia akan jadi bodoh, dungu, dan fikiran membeku akibat penyakit ini. Kalau tidak diubati penyakit ini akan merebak dan menjadi penyakit berjangkit dari generasi ke generasi.


Penyakit yang dimaksudkan ialah penyakit malas membaca. Penyakit ini bakal membawa rakyat Malaysia mundur ke belakang.


Dalam setahun, berapa buah buku anda baca? Kalau anda membaca 5 buah buku setahun, bermakna anda lebih rajin daripada mahasiswa.


Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Jabatan Media, Universiti Malaya, mahasiswa Malaysia hanya membaca 4 buah buku setahun.


Sedangkan mahasiswa Australia membaca 180 buah buku setahun, India (130), Indonesia (94), Thailand (56) dan Brunei (26).


Patutlah rakyat kita mudah percaya khabar angin, berita kelentong, maklumat omong, dan mudah pula diperkotak-katikkan fikirannya.


Penyakit malas membaca ini selain berbahaya, amat memalukan jiran tetangga.


Wednesday, October 21, 2009

Jangan Petik Bunga Sekuntum Itu

Suatu hari tatkala senja merah di ufuk Barat, aku melewati pameran taman bunga di Putrajaya. Aku terpesona melihat sekuntum mawar lalu mengusap-usap kelopaknya.

"Berapa harganya?" tanya aku.

Tuannya berkata kepadaku: "Jangan dipetik bunga sekuntum itu kerana ia akan layu di telapak tanganmu!"

Tuesday, October 20, 2009

Manusia Makhluk Istimewa Yang Pelik

Makhluk dunia paling bijak ialah manusia. Makhluk dunia paling sempurna ialah manusia. Makhluk dunia paling licik ialah manusia. Makhluk dunia paling berhelah ialah manusia. Boleh dikatakan manusia ialah makhluk dunia yang paling istimewa dalam segala segi.

Namun, manusia makhluk istimewa yang pelik. Manusia suka buat benda yang pelik-pelik. Masakan tidak pelik. Ramai manusia yang cakap lain, tetapi bikin lain. Janji lain, tunai lain. Minta lain, ambil lain. Cinta lain, kahwin lain. Isteri sendiri comel molek ada di rumah, pergi suka isteri orang. Suami sendiri gagah perkasa, pergi cinta suami sahabat sendiri. Perkara pelik sebegini tidak berlaku pada gajah, kuda, harimau, ular, malahan lalat kepala hijau pun tidak ada perkara sepelik ini. Hanya manusia yang ada benda pelik-pelik. Minum susu pun guna cara yang pelik (gambar).


Ada manusia suka membohongi orang, tetapi tidak suka apabila ada orang membohongi dia.


Ada orang suka berlagak di depan orang, tetapi tidak suka apabila ada orang berlagak di depan dia.


Ada manusia suka mencuri barang orang, tetapi marah apabila barang dia dicuri orang.


Ada manusia yang gemar meminjam barang orang tetapi tidak gemar menghantar balik. Akan tetapi dia membebel-bebel apabila orang lain meminjam barang dia.


Ada manusia belum habis bulan, poket sudah kosong, lalu membisik ke telinga kawan sebelah minta pinjam, tetapi cepat-cepat memberi seribu alasan apabila ada kawan membisik perkara yang sama ke telinganya.


Ada orang suka "menegur" bos, tetapi tidak suka apabila bos "menegur" dia.


Ada orang suka minta orang lain menyiapkan kerjanya, tetapi selalu memberi alasan apabila orang lain minta dia berbuat begitu.


Ada manusia suka merampas pasangan orang tetapi mengamuk apabila pasangan dia dirampas orang.


Ada manusia mahu anak sendiri pandai, tetapi cemburu apabila anak orang lain lebih pandai daripada anaknya.


Ada orang meleleh liur melihat dahi licin anak dara orang tetapi naik geram apabila ada orang menelan liur melihat dahi anak dara dia.


Ada orang suka membuntingkan anak gadis orang, tetapi mengamuk apabila anak gadis dia dibuntingkan orang.


Ada orang pantang melihat isteri orang pasti menjilat bibir, tetapi marah apabila ada orang menjilat bibir melihat isteri dia.


Ada orang rela menjadi madu, tetapi tidak rela dia dimadu.


Ada orang suka rampas tanah adik-beradik sendiri, tetapi berdendam apabila adik-beradik dia merampas tanahnya.


Ada orang selalu melayan orang lain dengan tidak baik, tetapi marah apabila orang lain melayan dia dengan tidak sopan.


Ada orang suka bercakap kasar kepada orang lain, tetapi benci apabila ada orang lain bercakap kasar kepada dia.


Kalau hendak disenaraikan kesemua "kepelikan" menulis sehari suntuk pun tidak habis. Kesimpulannya, manusia ialah makhluk dunia paling istimewa yang pelik.





Saturday, October 10, 2009

Kecantikan Itu untuk Siapa?

Apabila kita berdiri di depan cermin, berpusing-pusing; depan, belakang, sisi, depan, belakang, sisi ... entah berapa kali, kita tidak berasa apa-apa walaupun kita tergolong dalam manusia yang cantik. Perasaan bangga ada kerana dilahirkan cantik dan sempurna anggota, namun perasaan itu tidak sehebat mana. Akan tetapi apabila kita berdiri di depan orang (berpusing depan dan belakang?), orang memuji kita cantik, kita akan berkata: "Elehhh, biasa aje!" Sedangkan dalam hati gembira bagaikan nak gila.

Apabila kita beli pakaian baru, ada orang memuji pakaian kita cantik, kita akan berasa seronok dan gembira. Apabila kita memakainya ke pejabat, orang memuji lagi, kita bertambah gembira. Satu kepuasan menjelma di lubuk hati.

Apabila kita memasak, orang yang memakan masakan kita memuji masakan kita sedap, nombor satu dan tidak mungkin dapat dilupakan, kembang hati kita dibuatnya. Sekuntum senyuman manis terukir di bibir.

Apabila kita membuat bekerja, orang memuji hasil kerja kita bagus, siap mengikut tempoh masa, rapi dan kemas, semestinya membanggakan kita. Kerja dia yang tertangguh mungkin sanggup kita siapkan kerana pujian tersebut.

Apabila kita bercakap, orang memuji kita tinggi budi bahasa, sopan budi pekerti, pastinya amat membanggakan kita. Apabila kita berjalan, orang memuji menariknya lengguk pinggul kita, suka hati sekali kita mendengarnya. Apabila kita senyum, orang memuji senyuman kita manis bak madu, seminggu kita tidak dapat melupakan orang itu.

Pendek kata semua ungkapan yang keluar dari mulut orang yang memuji kita akan melahirkan satu kebanggaan, keseronakan, dan kegembiraan yang mendalam di hati kita. Akan tetapi kita harus beringat, pujian yang menggunung bisa merebahkan kita.

Sebenarnya kita hidup untuk diri sendiri atau untuk orang lain?


Wednesday, October 7, 2009

Umur Bukan Halangan

Oktober bulan Bahasa Kebangsaan. Adalah elok aku memulakan tulisan hari ini dengan peribahasa: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Aku salah seorang yang berminat dan kagum dengan peribahasa Melayu. Melalui peribahasa kita dapat melihat betapa kreatif, sopan dan lembut cara orang Melayu dahulu berbahasa.

Siapa yang cipta peribahasa ini aku tak tahu dan aku tak ada keperluan untuk tahu. Akan tetapi aku kagum kerana peribahasa ini tetap relevan sehingga kini, umpama tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.

Peribahasa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih menggambarkan sifat manusia sejagat yang gemar memberi alasan apabila tidak mahu melakukan sesuatu. Akan tetapi, sanggup berusaha bermati-matian apabila berminat dengan sesuatu benda.

Sifat memberi alasan yang dipanggil "excusitis" oleh Dr. D.J. Schwartz ini merupakan "penyakit mental" yang dihidapi oleh hampir semua manusia sejagat. Penyakit inilah yang membawa kegagalan kepada manusia. Alasan manusia untuk gagal banyak, tetapi antara yang kerap diutarakan ialah umur. Misalnya, sering kita kedengaran rungutan begini: "Aku terlalu tua untuk melakukan kerja itu." Atau, "Aku terlalu muda untuk memimpin organisasi."

Mengikut Dr. Schwartz, tiada halangan umur untuk seseorang berjaya. Semua orang boleh berjaya dalam umur berapa sekalipun asalkan ada daya untuk menjayakannya. Umur tidak penting kerana yang penting ialah daya usaha. Ramai yang menjadi jutawan dalam usia 50-an. Tidak kurang yang berjaya memimpin organisasi besar seawal usia 20-an. Ada pasangan yang mendirikan rumah tangga pada usia emas. Mereka bahagia. Oleh itu, umur tidak harus dijadikan alasan untuk kita memulakan sesuatu yang baru.

Siapa yang ingin bercinta, tetapi usia sudah lanjut, atau perbezaan umurnya ketara, tidak usah malu-malu kerana cinta itu satu perasaan yang langsung tiada kaitan dengan umur. Jangan jadikan umur sebagai penghalang untuk kita menikmati kehidupan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Monday, October 5, 2009

Jangan Pandang Terlalu Jauh


Orang bilang kita mesti ada pandangan jauh ke depan. Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan seorang pemimpin yang memandang jauh ke depan. Pemimpin begini dikatakan ada karisma, ada wawasan. Wawasan 2020 dan dasar 70 juta penduduk adalah bukti pandangan jauh beliau.


Pandangan jauh, menjangkaui masa adalah penting. Tiada siapa menafikannya. Orang yang berjaya ialah orang yang memandang jauh ke depan. Namun, bukan dalam semua situasi. Dalam situasi tertentu kita tidak boleh memandang terlalu jauh kerana akan terlepas pandang benda-benda berharga yang berada berdekatan kita.


Orang yang berjalan di dalam hutan, kekadang terlalu memandang ke depan menyebabkan muka tergores ranting yang terjuntai di depan mata. Orang yang berjalan di jalan rata adakala tersepak batu di hujung kaki kerana mata tertancap ke jauh ke depan. Sesiapa yang pernah terpijak kaca tahulah bahawa puncanya kerana mata tidak melihat di depan kaki.


Kita selalu bimbang rumah kita dimasuki pencuri sewaktu kita ke pejabat lalu mengharapkan jiran tolong menjaganya. Namun, kita jarang terfikir bahawa pencuri yang membimbangkan kita berada di rumah jiran kita. Kita terlalu menyanjung sahabat yang berada di kejauhan. Sahabat di depan rumah, kita kurang hargai. Sedangkan apabila sakit demam pada waktu malam sahabat paling dekat sampai dulu.


Banyak benda yang berharga yang terlepas dari mata kita kerana pandangan kita terlalu jauh ke depan. Jarang ada orang nampak duit di tanah terbiar di depan kampung sendiri. Akan tetapi ramai yang nampak duit di kebun mangga di depan kampung orang lain. Seandainya ada orang luar mengusahakan tanah terbiar itu barulah kita nampak duitnya. Kurang ada orang melihat keindahan di depan tangga rumahnya, tetapi ramai yang terpegun melihat keindahan pokok-pokok bunga di depan tangga orang lain. Sedangkan depan tangga kita pun akan indah sekiranya ditanam dengan pokok-pokok bunga.


Seorang jejaka misalnya terlepas pandang seorang gadis jelita lagi sopan yang menaruh harapan di depan mata kerana pandangannya asyik menerawang kepada gadis lain. Seorang gadis terlepas pandang seorang jejaka baik hati, jujur dan mencintainya sepenuh hati di depan matanya kerana dia asyik memerhatikan jejaka lain yang kaya raya tetapi sudah berpunya. Terdapat anak gadis yang begitu berwaspada dengan orang asing, tetapi kerana lalai menyebabkan ternoda oleh orang di depan mata.


Banyak lagi benda-benda yang berharga di depan kita yang terlepas daripada pandangan kita. Begitu juga dengan benda-benda yang berbahaya yang mungkin berada di mana-mana sahaja termasuk di depan hidung kita.


Berpandangan jauh itu penting; ada visi, kata orang. Akan tetapi jangan memandang tersangat jauh sehingga terlepas benda-benda di depan mata. Ingat, benda yang paling berharga selalunya berada tidak jauh dari kita. Manakala benda yang paling berbahaya pula sentiasa berada berdekatan dengan kita.

Thursday, October 1, 2009

Letakkan Benda Pada Tempatnya

Seorang penulis ternama pernah menjadikan sebutir pasir di dalam kasut sebagai tema cerpennya. Dia berjaya menggambarkan ketidakselesaan seorang lelaki yang tapak kakinya terganggu oleh sebutir pasir kasar di dalam kasutnya.

Seandainya sebutir pasir di jalanan, bukan di dalam kasut, ketidakselesaan itu tidak akan terjadi. Mesejnya jelas. Sekecil-kecil sebutir pasir apabila terletak di tempat yang salah, bisa mengganggu ketenteraman jiwa. Apatah lagi benda-benda yang besar.

Oleh itu, adalah elok kita meletakkan benda pada tempatnya. Misalnya, kasut mesti diletakkan di rak kasut. Pakaian mesti dilipat atau digantung di dalam almari. Buku disusun di rak buku. Ubat disimpan di dalam peti ubat. Ubat boleh dimakan dan tidak boleh dimakan wajib diasingkan dan diletakkan di tempat yang tidak tercapai oleh kanak-kanak. Periuk, kuali, pinggan, mangkuk dan gelas mesti diletakkan di tempat masing-masing. Meletakkan barang atau benda bukan pada tempatnya, bakal mengundang masalah - lebih besar daripada masalah sebutir pasir di dalam kasut.

Begitu juga dengan anggota keluarga. Kita, sama ada sebagai seorang suami, isteri, anak-anak dan sesiapa sahaja wajib meletakkan orang di sekeliling kita pada tempatnya yang sesuai. Kita wajib tahu di mana kita patut "meletakkan" ibu bapa, mentua, suami, isteri, adik- beradik, saudara mara, jiran-jiran dan sebagainya. Meletakkan orang di sekeliling kita pada tempat yang salah bukan setakat mengundang masalah, bahkan berdosa. Siapa yang patut didahulukan, wajib didahulukan. Ibu bapa misalnya mesti didahulukan daripada adik-beradik. Adik-beradik harus didahulukan daripada jiran tetangga. Namun kita kena faham juga maksud didahulukan di sini. Misalnya, kita menjemput jiran tetangga datang beraya di rumah kita, tetapi kita tidak melayan mereka kerana kita sibuk melayan adik-beradik kita. Ini tentulah tidak elok kerana menyalahi adat menyambut tetamu.

Membiarkan anak-anak berlapar seketika, masih boleh dimaafkan, tetapi membiarkan ibu bapa berlapar biarpun sesaat berdosa namanya.

Namun, pada zaman moden ini, ramai antara kita yang terlalai "meletakkan" orang di sekeliling kita bukan pada tempatnya. Tempat seorang isteri ialah di sisi suaminya. Akan tetapi entah di mana silapnya, sewaktu suami menunggu meraikan hari jadi isteri bersama sebiji kek, si isteri pula berdua-duaan dengan lelaki bukan muhrim di bilik hotel - bincang business katanya. Bolehkah dipercayai?

Seorang anak letaknya "di bawah" ibu bapa. Namun, anak moden suka duduk "di atas" kepala ibu bapa. Mereka mahu jadi lebih besar dan lebih berkuasa daripada kedua orang tua mereka. Syurga di tapak kaki ibu langsung tidak diambil tahu. Sepatah kata ibu, sepuluh patah dijawab anak. Jaga maruah diri, pesan bapa kepada anak gadisnya. Si anak gadis hantar SMS kepada teman lelaki, kalau "mahu" datang malam ini ... seperti biasa naik ikut tingkap. Berhati-hati menunggang motosikal, pesan ibu kepada anak lelaki. Si anak lelaki terus merempit di jalan raya. Apabila ditangkap polis, didenda serta dipenjara, ibu bapa juga yang susah.

Letaknya dara di sisi teruna. Betul. Akan tetapi bukan diletakkan sesuka hati. Mesti ada syarat dan batasannya. Kahwin dahulu kalau mahu "diletakkan" pada tempatnya. Salah letak, besar akibatnya. Membuang bayi berpunca daripada "meletakkan" benda bukan pada tempatnya. Oleh itu, eloklah belajar sedikit tentang "kedudukan" semua benda (termasuk orang) di sekeliling kita agar kita tidak tersalah tempat meletaknya.

Nota: (Aku tersalah meletakkan kaki ke dalam kasut running yang agak tinggi tapaknya (gambar di atas) untuk bermain badmintan. Akibatnya, aku tergelincir lalu kaki terseliuh. Dua tiga hari berjalan terincut-incut. Semuanya tidak akan terjadi sekiranya aku meletakkan kaki di dalam kasut yang sesuai untuk permainan gelanggang kerana aku ada banyak pasang kasut sukan).

Wednesday, September 30, 2009

Bungaku Yang Sekuntum Itu

Di mana ada bunga, di situ ada kumbang. Bunga dan kumbang sukar dipisahkan. Perawan muda ibarat sekuntum bunga yang harum mewangi yang senantiasa di kelilingi sang kumbang. Kumbang hanya menghisap madu kerana ia tidak tahu akan keindahan bunga. Setelah habis madu dinikmati, maka larilah kumbang ke kuntum baru.

Pasangan yang bercinta tentulah akan berasa tidak sempurna percintaan mereka seandainya terpisah daripada bunga. Si jejaka pastinya akan menghadiahi kekasihnya sekuntum atau sejambak bunga. Si dara pula tentulah berasa dihargai apabila dihadiahi bunga oleh orang yang dicintainya. Si dara dengan bangga sekali mencium bunga, dan sebagai balasannya si jejaka dengan lembut mencium ... mencium apa ya?

Aku bukan kumbang. Aku jua tidak bercinta. Akan tetapi aku suka menikmati keindahan bunga. Ketika kebosanan dan keseorangan aku akan mencari tempat yang ada bunga. Aku mencari kecantikan, keindahan dan kelembutan di celah-celah kelopak bunga yang mewangi. Dan dari celah-celah kelopak yang indah itu, aku dapat merasai ketenangan, kelapangan dan kesegaran jiwa.


Itulah seorang aku yang engkau tidak akan mengerti,

jauh sekali memahami detik hatiku,

sebagaimana aku mengerti engkau,

biar seribu tahun,

tidak mungkin engkau mengerti,

jauh sekali menyelami sanubariku,

sebagaimana aku menyelami kelopakmu,

kerana engkau adalah bungaku,

bungaku yang sekuntum itu,

layu di tangkai berduri.




















Tuesday, September 22, 2009

The Daffodils

Aku memang suka kepada puisi. Puisi pertama yang membarakan minatku ialah puisi Di Makam Bonda. Puisi Usman Awang selalu mendapat tempat di hatiku. Aku juga suka mendengar orang mendeklamasi puisi. Rendra bagiku sukar dicari ganti dalam hal mendeklamasi puisi.

Salah sebuah puisi yang tidak dapat kulupakan (tidak mungkin dapat kulupakannya) ialah puisi 'The Daffodils' karangan Wordworth. Aku tidak tahu kenapa aku suka puisi ini. Puisi ini ditulis ketika Wordworth mengamati keindahan pemandangan di tepi tasik England yang dipenuhi bunga daffodil. Walaupun aku tidak dapat membayangkan keindahan tasik tersebut, namun aku dapat merasai harum daffodils. Bunga itu bagaikan tersemat di hatiku sepanjang waktu. Begitulah mendalamnya pengaruh puisi Wordworth terhadapku.


Di sini aku turunkan sebahagian puisi tersebut:



Hidupku kembara keseorangan bagaikan awan


Yang mengapung mengatasi lurah dan bukit,


Apabila tiba-tiba ku melihat,


Sejambak daffodils yang indah;


Bersebelahan tasik, bernaungkan pepohon,


Berkibar dan berdansa mengikut angin.


Bagaikan kilauan di depan mata


Anugerah keriangan hidup kesendirian;


Melipurkan hati yang lara,


Lalu berdansa bersama daffodil.


- (Wordsworth)

Andainya kehidupan ini umpama teater, ingin aku tulis kembali ceritanya agar dapat aku bersama Wordsworth menikmati keindahan daffodils.



Saturday, September 19, 2009

Selamat Hari Raya


Selamat Hari Raya aku ucapkan kepada sahabat blogger semua, maaf zahir dan batin!

Wednesday, September 16, 2009

Menjelang Hari Lebaran

Hari Lebaran semakin hampir. Jalan raya di sekitar ibu kota sesak gila. Masuk sahaja pusat bandar, kepala mula berdenyut-denyut. Kenderaan merangkak-rangkak, lebih perlahan daripada kura-kura. Lampu signal lip-lap, lip-lap, kereta kiri mahu belok kanan, kereta kanan mahu pusing kiri. Pemandu Malaysia memang terkenal dengan sikap tidak ambil berat pasal lorong yang patut digunakan. Tiba pada tempat yang hendak dipusing barulah bagi lampu signal. Bukankah elok kiranya mengambil lorong yang betul sejak awal-awal. Tidak perlulah berebut-rebut di simpang yang menyumbang kepada kesesakan.

Pusat beli-belah sendat. Masing-masing menampilkan iklan jualan murah untuk menarik pengunjung. Potongan harga 50% atau 70% menjadi tumpuan ramai. Tetapi berhati-hati kerana ada yang tidak jujur. Mereka menggunakan tektik menipu harga - menaikkan harga asal, kemudian bagi diskaun gila. Apa lagi, berkerumunlah kita. Pesan FOMCA jangan dilupakan. Jadi pembeli yang bijak lagi berhemat.


Kata ekonomi merudum, anehnya perbelanjaan warga kota tidak merudum. Seorang sahabat saya merungut-rungut kerana dua orang anak lelakinya berbelanja hampir RM1000 (seorang RM500) untuk membeli baju, seluar dan kasut. Baju RM99 sehelai, seluar RM200 sehelai, dan kasut RM199 sepasang. Sedangkan dia hanya menghabiskan RM300 untuk membeli baju, seluar, kasut dan songkok baru. Dia bukan merungut kepada anak-anaknya, tetapi merungut sikap isterinya yang terlalu mengikut kehendak hati anak-anak.


Biasalah budak-budak, suka benda yang mahal-mahal. Kita dahulu pun masa muda-muda, masa tengah tergila-gilakan Minah sepejabat, suka juga pakai benda yang berjenama, misalnya seluar jeans Levi's, kasut Clarks atau Timberland. Padahal Minah tersebut tidak pandang pun kasut. Seluar ada juga dijeling sekali dua - entahlah jeling seluar atau jeling benda dalam seluar. Benda dalam seluar lebih penting daripada segala-galanya kerana tanpanya, KFC atau McDonald atau tiket wayang tidak diberikan percuma. RM dalam seluar itulah pertukarannya.


Berbalik kepada perbelanjaan untuk hari raya, adalah baik kalau dapat berjimat. Tetapi kalau terpaksa juga membeli, maka beli saja. Setahun sekali meraikan kemenangan sebulan berpuasa. Tetapi bagi yang tidak cukup sebulan berpuasa, jangan terlupa menggantikannya. Dalam sibuk-sibuk membuat persiapan hari raya, jangan pula sampai terlupa bayar zakat. Sedekah juga jangan tertinggal.


Menggantikan perabot baru, meja makan baru, langsir baru, katil baru, tilam atau cadar baru, andainya perlu tidak menjadi hal. Namun, yang lama sekiranya masih elok dan boleh dipakai lagi, eloklah berikan kepada mereka yang memerlukannya. Barang yang pada pandangan kita sudah buruk, tetapi pada pandangan orang lain mungkin masih baru. Yang penting niat memberi itu harus ikhlas.


Dalam sibuk-sibuk mengemas rumah, menyediakan kuih raya dan sebagainya, jangan terlupa kepada anak-anak yang bermain bunga api atau mercun. Orang tua wajib kawal permainan mereka. Walaupun kerajaan melarang permainaan mercun, tetapi anak-anak mana peduli. Kita faham kerana kita juga pernah melalui zaman kanak-kanak. Mercun sekarang boleh membunuh. Raya belum tiba, tetapi yang putus jari, putus tangan sudah berapa orang.


Tiap-tiap tahun ada-ada sahaja malapetaka yang menimpa kanak-kanak akibat mercun. Sedih kita dibuatnya. Kanak-kanak yang sempurna fizikalnya terpaksa kehilangan tangan atau jari kerana kecuaian ibu bapa "melepas-bebaskan" anak-anak mereka bermain mercun. Orang kata tidak boleg menyalahkan ibu bapa sahaja kerana mereka pun sibuk dengan kerja lain. Kalau tidak menyalahkan ibu bapa, hendak menyalahkan siapa kerana mereka yang bertanggungjawab menjaga anak.


Menyalahkan kerajaan yang tidak mengambil tindakan tegas terhadap penjual mercun yang diharamkan? Boleh juga menyalahkan kerajaan. Tetapi kerajaan ada berapa ramai kakitangan yang hendak mengawal penjual, pengedar dan pembekal mercun yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan setiap kali menjelang hari perayaan. Malah orang-orang kita sendiri yang bertindak menjadi agen penjual mercun kepada anak-anak kita. Maklumlah komisennya agak tinggi. Main mercun merupakan "cara bakar duit" yang paling pantas, lebih pantas daripada membakar rokok.


Bagi yang hendak balik kampung dengan kenderaan sendiri, pastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat digunakan. Susah sekiranya kenderaan meragam di tengah jalan. Berhati-hati memandu. Patuhi had laju. Jangan terlalu dipengaruhi mood raya sehingga mengabaikan faktor keselamatan di jalan raya. Sekiranya ada orang yang mahu menunjukkan "hero" di jalan raya, biarkan dia, tetapi kita tidak usah. "Hero" jalan raya selalu berakhir dengan berita sedih. Peribahasa "pandu cermat, jiwa selamat" dan "biarkan lambat, asalkan selamat" wajib dijadikan pedoman.


Kunci rumah baik-baik sebelum balik. Seeloknya beritahu kepada abang polis berapa hari mahu balik kampung agar abang polis boleh tolong jenguk-jenguk rumah kita. Sekiranya perlu, serahkan kunci kepada jiran supaya dia boleh tolong jaga rumah kita. Tetapi mesti jiran yang boleh dipercayai sahaja. Tersilap serah kunci, lesap barang dalam rumah. Kalau ada bela kucing atau tikus jangan terlupa pesan kepada jiran agar memberi makan. Atau kalau sudi bawa balik sekali binatang itu. Dapatlah si kucing atau si tikus menikmati udara kampung yang nyaman lagi bersih.


Bagaimana dengan pasangan yang seorangnya kampungnya di utara tanah air dan seorang lagi di selatan tanah air? Sudah sepakat mahu balik kampung siapa dahulu? Jangan pula sampai bertengkar dan bermasam muka semata-mata kerana soal balik kampung. Kalau tahun lepas menyambut raya bersama saudara mara sebelah suami di kampungnya, adalah elok tahun ini menyambut raya dengan saudara mara sebelah isteri pula. Bagi orang KL yang tidak ada kampung, tetapi mahu merasai suasana raya di kampung, pergilah ke Kampung Baru, Kampung Kerinci, Kampung Abdullah Hukum atau Kampung Pandan. Kampung Atap pun boleh.


Raya tetap raya. Puasa yang berbaki beberapa hari lagi jangan diabaikan. Dalam suasana ekonomi yang kurang menggalakkan begini, eloklah berjimat cermat. Kemeriahan raya tidak akan berkurang dengan berjimat cermat. Pahala puasa juga tidak akan bertambah dengan berbelanja lebih, kecuali berbelanja ke jalan yang betul.



Friday, September 11, 2009

Sekadar Menyibuk

Penyibuk ada banyak jenis. Ada yang suka menyibuk dengan harta pusaka orang; ada yang suka menyibuk dengan urusan kerja orang; ada yang gemar menyibuk dengan anak isteri orang; ada yang menyibuk dengan suami orang atau tunangan orang; dan sebagainya. Kerana banyaknya manusia yang suka menyibuk, maka golongan pemikir Melayu dahulu kala mencipta pelbagai peribahasa yang ada kaitan dengan sikap menyibuk ini. Salah satu daripada peribahasa tersebut ialah "menjaga tepi kain orang". Walaupun "menjaga tepi kain orang" tidak baik, namun lebih baik daripada "menjaga dalam kain orang."

Peribahasa "menjaga tepi kain orang" bermaksud mencampuri urusan orang lain. Hanya penyibuk sahaja yang suka mencampuri urusan orang lain. Orang yang bukan penyibuk tidak akan mencampuri urusan orang lain, kecuali diminta berbuat begitu. Itupun bukan semua hal. Hal-hal berkaitan rumah tangga orang walaupun diminta campur tangan, baik tidak usah kerana balanya akan berbalik kepada kita. Lainlah kalau rumah tangga anak-anak kita. Itupun kena ada batasannya; campur tangan melebihi batasan akan menambahkan lagi masalah sedia ada.

Penyibuk bukan sahaja tidak baik, bahkan dibenci orang. Kita sering mendengar ada orang berkata begini: "Jangan menyibuklah. Ini bukan urusan kamu!" Inilah bukti bahawa orang membenci manusia penyibuk.

Aku pun tidak suka penyibuk, walaupun aku sendiri kekadang suka menyibuk. Tengah hari tadi aku pergi menyibuk dengan warga Putrajaya di tapak beli-belah di Presint 2 yang diadakan khas menjelang sambutan Hari Lebaran yang bakal tiba. Walaupun puasa masih berbaki 9 hari, tetapi warga Putrajaya (warga lain juga) sudah sibuk membeli-belah. Dan aku turut menyibuk dengan mereka. Banyak produk, antaranya pakaian, kasut, beg, makanan dan lain-lain dijual dengan harga berpatutan. Bukan aku yang kata dijual dengan harga berpatutan. Kerajaan yang kata. Menteri yang umumkan begitu.

Sambil berjalan memerhatikan barangan, aku terfikir apa yang dimaksudkan dengan "harga berpatutan" itu? Setiap orang mempunyai tanggapan yang berbeza dengan harga barangan. Jadi, harga berpatutan itu juga berbeza antara satu orang dengan orang lain. Yang pasti harga berpatutan tidak membawa maksud harga murah.

Aku kata aku menyibuk kerana aku cuma berjalan-jalan tanpa membeli sebarang benda. Berbeza dengan kaum ibu yang berbelanja sakan. Kaum ibu memberi sumbangan yang besar terhadap perkembangan ekonomi negara. Tanpa kaum ibu, nescaya ekonomi negara, malah ekonomi dunia akan lumpuh. Harapkan kaum bapa, kebanyakannya seperti aku - sekadar menyibuk.

Penyibuk seperti aku ada juga faedahnya. Sekurang-kurangnya boleh meriahkan suasana yang pastinya disukai oleh peniaga.

Selamat berpuasa. Berbelanjalah apa yang patut!

Wednesday, August 19, 2009

Ucapan "Selamat Tinggal" Itu Sakit!

"Selamat tinggal sayang, aku tetap mencintamu!"

Aku tak pasti dari mana ucapan ini masuk ke dalam kepala aku dan terakam kemas di dalam kotak ingatan sehingga sekarang. Kalau tak silap ungkapan ini berada dalam kotak ingatan aku sejak zaman persekolahan dahulu. Al maklumlah, masa muda remaja pantang jumpa ungkapan cinta pasti dikutip, dicatat dan dingatkan untuk dijadikan modal menulis surat.

Aku boleh dikatakan hebat juga bab menulis surat cinta. Ramai rakan sekolah yang minta aku menulis surat cinta untuk mereka. Dahulu mana ada telefon. Hanya surat yang menjadi utusan antara dua insan bercinta. Surat cinta - cinta padang pertama - mesti dikarang dengan gaya bahasa yang menarik dan sedikit memuji, barulah dibalas.

Beberapa hari lepas, sekali lagi aku diminta menulis surat cinta. Seorang lelaki berusia 50-an tahun jatuh cinta dengan seorang wanita muda dari negara jiran. Dia baru menerima surat daripada buah hatinya - surat itu ditulis panjang lebar - dalam bahasa yang tidak difahami lelaki berkenaan. Akulah yang jadi jurubahasanya.

Aku hairan kenapa tidak berutusan melalui telefon. Rupa-rupanya mereka ini satu itik dan satu ayam. Tiada bahasa lisan yang mampu menghubungkan mereka kecuali bahasa badan. Macam mana boleh bercinta kalau bercakap pun tidak faham. Bahasa badan - bahasa atas katil barangkali yang menyatukan mereka? Bahasa ini mudah difahami dan mudah menyebabkan orang jatuh cinta. Cinta itu buta.

Sudah dua tahun mereka bercinta. Sebelum ini ada jurubahasa yang menolong menulis surat untuk lelaki tua bercita rasa muda itu. Akan tetapi jurubahasa itu telah berangkat pulang ke negaranya - sama negara dengan si wanita tersebut. Entah macam mana dia boleh tersrampak dengan aku, lalu menghulurkan surat untuk aku baca, kemudian ceritakan isinya kepada dia. Dia begitu galak menunggu aku memberitahu perkhabaran daripada si jantung hatinya. Sewaktu aku membaca surat, dia menceritakan kisah percintaan mereka. Dia memberitahu bahawa dia amat mencintai wanita itu. Setiap bulan dia ada menghantarkan duit. Wanita itu berjanji akan datang ke tempat pertemuan mereka dahulu dalam masa terdekat ini. Sebab itulah dia bergembira sangat kerana bakal berjumpa dengan kekasihnya.

Belum habis aku membaca surat, aku mula naik risau. apa yang aku baca dengan apa yang dia beritahu seperti bercanggah. Dalam surat ada tertulis ungkapan "selamat tinggal" yang menyebabkan aku tertelan liur beberapa kali. Bagaimana aku mahu memberitahunya yang kelihatan begitu mencintai kekasihnya itu? Sedangkan kekasihnya telah mengucapkan "selamat tinggal" kepadanya dan minta dia mencari orang lain. Sebabnya tidak diberitahu. Namun, aku dapat menjangka. Dua keping hati yang bercinta apabila tinggal berjauhan, apa-apa sahaja bisa berlaku. Apatah lagi cinta yang berputik daripada bahasa badan di atas ranjang begini.

Ungkapan "selamat tinggal" walaupun diucapkan dengan perlahan, ia amat menyakitkan. Siapa yang pernah mengalaminya pasti tahu betapa sakitnya apabila orang yang kita sayangi dan cintai mengucapkan "selamat tinggal!" Walaupun alasannya mungkin untuk kebaikan bersama, namun sukar bagi kita menerima kenyataan itu.

"Apa dia kata?" tanya lelaki itu.

Hah! Aku tersentak.

"Dia ... dia sihat!" Aku tidak tahu bagaimana hendak memberitahunya perkara yang sebenar. Aku takut dia kecewa, sedih dan duka. Betul-betul aku buntu. Aku kemudian ceritakan apa yang patut dan tinggalkan perkara yang berkaitan dengan "selamat tinggal". Lama aku merenung wajah orang tua itu. Dia tertipu atau sememangnya cintanya hanya setakat itu?

"Awak tolong balas surat ni!" minta lelaki itu.

Alamak! Aku juga kena balas surat itu.

"Beritahu dia, saya sangat rindukan dia!"

Aku menolak permintaannya dengan alasan bahawa aku hanya pandai membaca tetapi tidak pandai menulis. Aku minta dia pergi cari orang lain sebagimana orang lain minta dia mencari aku. Dalam hati aku, aku betul-betul kesian kepada lelaki malang itu. Betapa sakit hatinya seandainya dia tahu bahawa dia telah diucapkan "selamat tinggal!" Dan pasti dia akan tahu suatu hari nanti!

Aku lebih rela sendiri sakit hati daripada melihat orang lain sakit hati. Mungkin ada orang yang tidak percaya akan kata-kataku. Namun, dia akan percaya juga suatu hari nanti apabila dia tahu bahawa aku tidak berbohong!

Monday, August 3, 2009

Kalau Anda Berada di Sini?

Ini bukan kisah aku. Aku tidak ada kisah seindah ini kerana kehidupan aku begitu mendatar. Hanya kehidupan yang berliku-liku dan beralun-alun sahaja menyimpan keindahan yang tiada bandingannya. Kehidupan aku sudahlah mendatar, tawar lagi. Bukan setakat tawar kerana tidak cukup gula seperti teh O tepi jalan, bahkan tiada kandungan gula langsung. Tawar jenis yang tidak mengundang selera sesaiapa pun untuk merasainya.

Oleh sebab itulah aku memilih untuk menulis kisah sahabatku. Kisah apa? Kisah cinta perantau yang pulang ke bumi bonda membawa jiwa yang lara. Dia ini pada waktu mudanya begitu jelita. Selalu menjadi siulan jejaka. Ke mana dia pergi, ada-ada sahaja mata yang terpukau. Kalau hendak dibesarkan cerita, siapa terpandang wajahnya, pasti tertelan air liur. Lelaki yang terpandang wajah dan tidak terpikat hanya lelaki buta. Lelaki yang ada mata seperti aku, berbohonglah kalah tidak terdetik perasaan kelelakian apabila berselisih jalan dengan dia.

Aku tidak mahir menggambarkan kecantikan wanita dalam bentuk tulisan kerana aku bukan sasterawan. Aku hanya penulis kaki lima. Oleh itu, anda bayangkan sendiri sahaja kejelitaan wanita yang aku angkat kisahnya ini sebagaimana anda membayangkan kecantikan bidadari di syurga. Bukankah menjadi impian anda mahu memeluk bidadari di syurga yang dikatakan amat jelita itu?

Kisahnya bermula di sini, di saat wanita pujaan ramai jejaka pulang dari perantauan. Dia merantau ke negara Eropah bukan mencari ilmu atau mencari pengalaman sebagaimana Puteri Raja dalam cerita purba. Dia merantau mengikut suaminya, anak tempatan yang mencari makan di bumi orang. Hasil perkahwinan atas dasar suka sama suka - cinta atau tak cinta aku tak tahu - mereka dikurniakan seorang putera. Selama 5 tahun mengecapi suka duka di bumi Mat Salleh, perkahwinan mereka dihampari jalan berduri kerana kemunculan orang ketiga. Akhirnya setelah segala jalan penyelesaian menemukan kebuntuan, mereka berpisah. Wanita jelita berusia 28 tahun jadi ibu tunggal dan pulang ke tanah air seorang diri. Anak lelakinya dijaga oleh suaminya.

Setelah pulang ke tanah air, wanita itu menyepikan diri buat sementara waktu. Seperti kebanyakan ibu tunggal yang lain, berapa lama dia bisa menyepikan diri. Kesunyian pasti menggigit jiwanya. Pengalaman hidup berdua bukan mudah untuk dilupakan begitu sahaja. Maka dia pun mula mencari kembali kebahagiaan yang hilang. Dia mencari kawan aku, bekas kekasihnya sejak zaman muda dahulu. Percintaan mereka - cinta pertama - menjerlus begitu mendalam tetapi kerana tiada jodoh, mereka tidak dapat hidup bersama.

Sepintas lalu kelihatannya tiada masalah. Seorang kekasih kembali ke dakapan pasangan lamanya. Namun, masalahnya lebih besar daripada Gunung Fuji. Kawan aku telah berumah tangga dan dikurniakan dua orang anak, seorang putera dan seorang puteri. Masalah bermula apabila si wanita jelita itu memperolehi nombor telefon kawan aku daripada seorang kawan yang lain. Maka setiap hari dia menghubungi kawan aku untuk meluahkan perasaan - betapa sunyinya kehidupan wanita muda yang ditinggalkan suami. Dia bagaikan terkapai-kapai di lautan lepas dipukul gelombang nafsu yang ganas. Serba salah kawan aku dibuatnya. Dia risau kalau isterinya mengetahuinya.

Pada masa yang sama dia juga kesian kepada wanita itu. Maklumlah orang pernah bercinta dan berkasih kalau tidak ada perasaan kasihan antara satu sama lain bukan orang namanya. Maka tanpa sedar perhubungan mereka menjadi lebih rapat. Mereka keluar makan bersama sambil bertukar-tukar cerita dan pengalaman. Kisah lama yang pernah dilalui bersama diimbau kembali. Segala janji yang tidak terkota diceritakan semula. Dan detik itu, detik hari ini dalam sejarah diulangi lagi di tepi pantai yang indah sebagaimana sewaktu mereka berpadu cinta dahulu.

Telefon kawan aku berdering. Isterinya menjawab. Wanita muda itu terus memanggil 'darling' dan disertai dengan kata-kata rindu kerana dia ingat yang mendengar itu kekasihnya. Kawan aku yang keluar dari bilik air terkejut dan tercengang melihat isterinya sedang berbual dengan kekasihnya. Akibatnya berlakulah perang besar.

Untuk pendekkan cerita, isteri tersayang memberi kata dua kepada kawan aku: "Aku atau si dia?"

Kata dua yang sukar dipilih. Kalau diikutkan hati, mahu memilih kedua-duanya, tetapi tidak mungkin. Isterinya tidak mahu bermadu. Bercerai? Ini pun bukan pilihan yang baik kerana dia dan isterinya ada pertalian saudara. Hubungan keluarganya dan keluarga isterinya bagai isi dengan kuku. Perceraian bermakna melukakan hati mereka.

Ah, lepaskan sahaja kekasih pembawa masalah itu! Bukan mudah juga kerana cintanya telah menjerlus begitu mendalam - siang dan malam asyik terkenangkan wanita itu. Lagipun wanita ibu tunggal itu seperti bertekad. Kalau orang boleh merampas suaminya, kenapa dia tidak boleh merampas suami orang.

Kenapa aku menyibuk dengan hal orang? Bukan aku menyibuk, jangan anda salah faham. Isteri kawan aku itu sahabat aku juga. Aku lebih dahulu mengenali perempuan itu sewaktu bengkel penulisan. Kami selalu bersembang tentang hasil penulisan. Oleh itu, aku dijadikan tempat meluahkan perasaan oleh dua orang sahabat - suami dan isteri. Aku kebuntuan kerana terpaksa menjaga dua keping hati yang aku rasa akan hancur luluh. Si suami tetap berdegil mahu meneruskan percintaan terlarangnya. Manakala si isteri bermati-matian tidak rela berkongsi suami. Anak-anak akan jadi mangsa keadaan.

Setelah keadaan semakin parah, aku menasihatkan mereka (sebenarnya memaksa) agar pergi berjumpa dengan pakar kaunseling rumah tangga. Mereka bersetuju. Masalah yang berat kelihatan sedikit ringan, tidak bergelora seperti sebelumnya. Sampai bila? Aku tidak mampu memberikan jawapan kerana aku tahu cinta pertama sukar dilupakan!

Kalau anda jadi kawan aku, apakah pilihan anda?

Sunday, July 19, 2009

Cinta Di Penghujung Usia

Semua orang ada sebab tersendiri apabila melakukan sesuatu. Perkara baik, tidak baik, jahat, atau tidak jahat pasti ada sebab dilakukan. Jangan kata orang waras akal seperti aku dan anda, bahkan orang yang tidak waras akal, orang gila atau sewel juga ada sebab apabila melakukan sesuatu perkara.

Adakah sesiapa yang melakukan sesuatu perkara tanpa sebab? Kalau ada tolong beritahu agar hipotesis aku dapat ditolak dan dilupuskan.

Bukan sahaja melakukan sesuatu perkara itu bersebab, bahkan untuk tidak melakukan sesuatu juga ada sebabnya. Pelajar sekolah misalnya, tidak membuat kerja rumah juga ada sebabnya. Dahulu aku tergolong dalam pelajar yang malas menyiapkan kerja rumah kerana aku ada sebab untuk tidak menyiapkannya. Walaupun sebab itu tidak perlu aku beritahu orang lain waima ibu aku, namun aku tetap ada sebab tersendiri yang hanya aku yang tahu. Pendek kata, semua perkara yang dilakukan atau tidak dilakukan manusia pasti ada sebabnya.

Hukum perlakuan manusia dengan tindakannya adalah hukum alam yang tidak boleh diubah-ubah. Hukum kemalasan aku menulis blog sejak kebelakangan ini juga tidak bisa diubah. Walaupun aku tahu ada pembaca blog yang menanti kemunculan tulisan baru aku, tetapi aku tetap malas menulis dalam blog ini. Bukan aku kekeringan idea, kemarau ilham, tetapi aku ada sebab tersendiri untuk tidak menulis. Dan aku tidak perlu memberitahu sebabnya kerana ia tidak membantu apa-apa.

Hari ini - lebih tepat malam yang semakin larut - sewaktu mendengar lagu sentimental kegemaranku dari Channel Music, terdetik di hati keinginan memasuki Cerita Kaki Lima yang telah lama aku sepikan. Jauh di sudut hati, tidak rela aku membiarkan ia sepi terlalu lama, tetapi lumrah manusia kekadang bercanggah dengan realiti.

Dari DJ yang bersuara manis, aku terdengar soalan dilontarkan: "Betulkah cinta menjadi luntur apabila usia meningkat?"

Aku terpegun dengan soalan itu. Mungkin betul dalam kategori tertentu, dan mungkin tidak dalam kategori biasa. Kategori tertentu itu kategori yang bagaimana? Inilah yang akan kukisahkan daripada cerita pendengar Channel Music itu. Luahan perasaan seorang wanita berusia 46 tahun yang dipancung cintanya oleh suami setelah hidup bersama selama 24 tahun.

Dia kakitangan kerajaan dan suaminya kakitangan swasta berusia 50 tahun. Dia diceraikan kerana suaminya mahu berkahwin baru. Alasan suaminya ialah dia telah tua sedangkan suaminya masih muda. Ini ada kaitan dengan cerita atas ranjang. Walaupun dia mampu melayan suaminya seperti biasa, tetapi suaminya seperti menolak dan ingin menggantikannya dengan pasangan yang lebih muda. Dia berusia 46 tahun dikatakan tua oleh suami, sedangkan suami yang berumur 50 tahun masih perasan dirinya "muda". Dia rela bermadu, tetapi suaminya menolak kerana tidak mahu beristeri dua. Jenis tidak sanggup makan pucuk tua dan pucuk muda sekali gus. Itulah yang tidak difahaminya. Hatinya remuk redam diperlakukan begitu. Malu kepada anak-anak, saudara mara dan jiran tetangga. Lazimnya, keadaan begini berlaku apabila si isteri hampir monapouse.

Memang di muka bumi ini terdapat lelaki jenis itu - lebih mementingkan nafsu serakah daripada ikatan kasih sayang.

Maka dengan sedih hati dia membangkitkan satu soalan iaitu adakah cinta lelaki itu hanya wujud dalam nafsu berahi? Apabila nafsu berahinya lupus daripada seseorang, waima isteri yang berkongsi pahit manis selama lebih 20 tahun, maka cintanya juga turut hilang? Aku mengeluh berat. Cinta dan nafsu selalu menyebabkan manusia keliru. Cinta lelaki dan perempuan selalu hadir bersama hawa nafsu. Aku sukar membayangkan cinta seorang lelaki kepada kekasihnya, atau cinta seorang wanita kepada pasangannya datang tanpa secebis nafsu berahi. Malah kekadang, cinta muncul dari celah-celah nafsu. Maksud aku, nafsu datang mendahului cinta.

Adakah apabila selera nafsu hilang, keindahan cinta juga hilang? Dalam kategori biasa, pastilah tidak. Tetapi dalam kategori khas, seperti luahan pendengar Channel Music di atas, mungkin ya. Suaminya menceraikan dia kerana desakan perasaan yang ingin mengahwini perempuan yang lebih muda. Barangkali lelaki ini tidak mengerti maksud cinta, atau dia langsung tidak pernah ada cinta dalam jiwanya, selain cinta nafsu-nafsi.

Dan yang peliknya, pasangan yang bercerai ketika usia lanjut bukan sedikit jumlahnya. Kebanyakannya memberi alasan "tidak sehaluan" biarpun hakikatnya kerana suami ingin berkahwin lain dan isteri pula tidak rela bermadu. Inilah akibatnya apabila cinta dipimpin oleh hawa nafsu. Sikap bertolak ansur, atau berkorban demi pasangan yang hidup bersama sekian lama langsung tiada.

Cinta dan nafsu sukar dipisahkan. Kadang-kadang kerana nafsu yang tidak terkawal, cinta musnah di tengah jalan. Dan jagalah cinta di penghujung usia dengan baik kerana apabila termusnah sukar untuk dicari ganti. Bertolak ansur dan berkorban amat diperlukan, terutama untuk si isteri yang secara biologinya lebih cepat tua daripada lelaki. Hakikatnya, manusia secara biologi mengalami proses penuaan setiap hari, tetapi cinta abadi senantiasa muda seandainya disirami kasih sayang saban waktu.

Nafsu serakah tidak perlu dilayan sehingga ke penghujung usia.

Sunday, June 28, 2009

Pancung Cinta

Seorang lelaki berkata:

Perempuan sukar difahami,

sukar daripada segala-galanya,

wajah ceria, hati entah hitam atau putih,

semalam mengaku cinta, hari ini lupa.


Seorang wanita berkata:

Lelaki sukar dipercayai,

sukar daripada segala-galanya,

mengaku bujang, padahal suami orang,

mulut manis memperdaya,

pandai bermain kata-kata,

niatnya menghirup madu cinta.


Aku berkata:

Lelaki dan wanita dua kali lima. Cinta kedua-duanya umpama pedang yang sebelahnya tajam dan sebelah lagi tumpul. Terpulang belah mana yang mahu digunakannya. Kalau belah tumpul digunakan, lukanya tidak ada, melainkan lebam kebiru-biruan. Tetapi kalau belah tajam digunakan, maka lukanya merobek ke tulang.

Anda pernah melihat cinta dipancung? Atau anda pernah memancung cinta, atau cinta anda pernah dipancung?

Oh, dahsyat sekali! Dalam keadaan tertentu cinta harus dipancung untuk menyelamatkan nyawa. Nyawa siapa? Nyawa orang yang dicintai atau barangkali nyawa orang yang mencintai. Atau mungkin nyawa kedua-duanya; orang yang mencintai dan dicintai. Tiada siapa yang memancung cinta tanpa sebab.

Adakala cinta dipancung kerana cinta. Cinta kepada suami atau isteri orang misalnya, harus dipancung demi cinta yang lebih murni. Cinta kepada orang yang tidak direstui ibu bapa juga mesti dipancung untuk memelihara cinta orang yang melahirkan dan membesarkan kita. Cinta nafsu juga wajib dipancung untuk meraih cinta suci.

Namun, jangan pula memancung cinta semata-mata kerana terpikat dengan cinta baru. Cinta tiga segi selalu menyebabkan cinta dipancung. Silap pancung, diri sendiri teraniaya. Cinta bermadu seringkali mendorong individu memancung cinta abadi. Cinta bermadu ini biasanya menyembunyikan racun di dalamnya. Sebab itulah ia mudah menyebabkan individu terlena kerana manisnya yang memabukkan.

Oleh itu, apabila anda mahu memancung cinta, berfikirlah beberapa kali agar tidak tersilap pancung. Dan seandainya anda terpaksa memancung cinta - demi kebaikan orang yang dicintai - pancunglah walaupun dengan deraian air mata kerana itu tandanya anda bukan manusia yang mementingkan diri!

Sunday, June 21, 2009

Selamat Hari Bapa!

"Siapa lebih penting antara bapa dan ibu?"

"Siapakah yang lebih anda sayang, bapa atau ibu?"

"Kalau terpaksa memilih, anda suka tinggal dengan bapa atau ibu?"

Pertanyaan seperti di atas mungkin pernah kita dengar masa alam persekolahan dahulu. Tetapi sukar sekali untuk menjawabnya. Walaupun barangkali ramai yang cenderung memilih untuk tinggal dengan ibu, namun ini tidak membuktikan bahawa ibu lebih penting daripada bapa.

Sambutan Hari Bapa tidak semeriah Hari Ibu. Bukan kerana bapa tidak sepenting ibu. Bapa dan ibu sama penting. Walaupun istilah ibu lebih popular seperti ibu pertiwi, ibu negara, ibu gula, ibu tangga, ibu kunci, dan lain-lain, namun peranan bapa sama hebat dengan peranan ibu dalam membesar dan mendidik anak-anak. Malahan tanpa "kerjasama" bapa, mustahil anak dapat dilahirkan.

Manusia tidak seperti haiwan lain. Manusia memerlukan penjagaan ibu dan bapa. Binatang hanya dibesarkan oleh ibu sahaja, kecuali spesis tertentu. Manusia pun boleh dibesarkan oleh ibu atau bapa sahaja tetapi pembesarannya dari segi psikologi dikatakan tidak lengkap. Anak-anak memerlukan kasih sayang kedua-dua ibu bapanya.

Pakar kanak-kanak mengatakan anak-anak yang membesar tanpa bapa cenderung menjadi anak nakal. Entahlah, aku tengok beberapa orang kawan aku yang dipelihara oleh ibu tanpa bapa tetapi menjadi anak-anak yang baik dan soleh. Manakala ramai yang dibesarkan oleh ibu bapa berperangi seperti syaitan. Bukan tujuan aku mempertikaikan pendapat pakar, tetapi bukan semua pendapat mereka aku setuju. Aku lebih yakin bahawa cara pengasuhan yang menentukan sikap anak-anak. Pengasuhan yang baik oleh ibu atau bapa yang baik akan membentuk psikologi dan sahsiah yang baik ke atas diri anak-anak. Persekitaran, terutamanya pergaulan amat mempengaruhi sikap kanak-kanak. Aku tidak menafikannya. Namun, kanak-kanak yang diberikan "kekuatan mental" yang mencukupi, sukar dipengaruhi oleh persekitaran.

Walau bagaimanapun, tiada siapa yang dapat menafikan pengorbanan bapa dalam membesarkan anak-anak. Oleh itu, selaku anak-anak, kita mesti sedar dan insaf akan peranan dan pengorbanan bapa yang rela berkorban nyawa untuk kita. Bapa ialah pemimpin keluarga, sumber rezeki, melindungi keluarga daripada ancaman dan sebagainya. Keimanan, sikap dan tanggungjawab bapa menentukan masa depan seisi keluarga.

Siapalah anak-anak tanpa bapa. Seburuk mana bapa, tetapi bagi anak-anaknya, bapa tetap manusia mulia. Oleh itu, hati bapa mesti dijaga. Seburuk mana bapa, dia tetap bapa kita. Tidak ada faedahnya, misalnya kita meratap di kuburnya, bersedu-sedan, dan mengalirkan air mata bak sungai, sedangkan masa hidupnya kita abaikan dia.

Malahan aku pernah melihat ada anak yang "begitu baik" dengan bapanya setelah bapanya jatuh sakit. Dia bertanya bapanya mahu makan apa. Dia rela membelikan apa-apa sahaja makanan kepada bapanya, sedangkan bapanya ketika itu tidak mampu menelan apa-apa lagi. Bapanya hanya menggeleng kerana itu yang mampu dilakukannya. Masa bapanya sihat, sepatah haram tidak pernah keluar dari mulut si anak: "Bapa mahu makan apa?" Abila bapa sakit dan mulut pun tidak bisa ternganga, makanan dari satu dunia mahu disuapkan ke mulut bapanya.

Hari ini kita menjadi anak (anak lelaki) hari esok kita akan menjadi bapa. Hari ini, andainya kita melukakan hati bapa kita, hari esok kita akan merasa pedihnya apabila anak-anak pula melukakan hati kita. Hukum karma ada menjelaskan, kita akan mendapat hasil daripada apa yang kita lakukan. Kalau kita mengabaikan bapa (juga ibu), anak-anak kita juga akan mengabaikan kita. Oleh itu, selaku anak-anak, jagalah bapa dengan baik.

Orang tua memang ada sedikit kerenah yang kurang menyenangkan, tetapi dia tetap orang tua kita. Membuang bapa ke pusat jagaan orang-orang tua bukan budaya kita, tetapi itulah amalan rakyat Malaysia yang semakin membimbangkan. Aku selalu juga melawat pusat jagaan orang-orang tua. Aku begitu tersentuh hati melihat mereka saban hari menanti kedatangan anak-anak, tetapi sehingga akhir hayat penantian itu tidak pernah termakbul. Aku tidak mengerti manusia jenis apa yang sampai hati melupakan ibu bapa mereka.

Hubungan ibu bapa dan anak-anak memerlukan hubungan dua hala. Tidak boleh mengharapkan anak-anak sahaja melayan ibu bapa dengan baik, sebaliknya ibu bapa melayan anak-anak seperti anak kucing. Sekiranya kita jadi ibu bapa, kita juga mesti tahu akan tanggungjawab kita.
Jangan jadi bapa haruan yang makan anak sendiri. Jangan jadi ibu kura-kura yang selepas menelur terus berenang ke laut dan membiarkan anak-anak menetas dan membesar sendiri.

Bapa memainkan peranan penting dalam membesar dan mendidik anak-anaknya. Oleh itu, wajarlah jasa bapa dikenang dan diraikan setahun sekali sebagai memenuhi tuntutan universal. Tetapi tuntutan budaya dan agama kita, jasa bapa atau ibu mesti diraikan setiap hari, setiap jam, setiap saat dan setiap detik nafas!

Sunday, June 14, 2009

Hati Berjerebu

Sekarang musim jerebu. Seluruh Kuala Lumpur diselubungi jerebu walaupun belum sampai ke tahap berbahaya, kita harus berwaspada. Bermain di tempat terbuka bukan pilihan yang baik. Bersenam dalam jerebu harus dielakkan. Kesihatan tidak seharusnya dijadikan pertukaran dengan sebarang aktiviti.

Kelang dan Cheras antara kawasan yang paling teruk dilanda jerebu. Putrajaya juga ada jerebu tetapi tidak seteruk Kuala Lumpur. Barangkali kerana Putrajaya kurang asap kenderaan dan debu di jalanan berbanding dengan Kuala Lumpur. Jerebu bukan sekadar asap yang dibawa angin dari pembakaran ladang di Sumatera, kesan asap kenderaan dan asap daripada pembakaran terbuka di negara kita juga boleh menyebabkan jerebu. Jerebu merupakan fenomena bermusim dan dijangka akan berakhir selewat-lewatnya pada bulan Ogos. Monsun Barat Daya akan bermula pada September. Wah, lama lagi warga kota terpaksa meredah jerebu!

Bagaimana dengan jerebu hati? Hati manusia adakalanya berjerebu. Jerebu hati berpunca daripada konflik. Konflik manusia berpunca daripada pelbagai sebab, tetapi dua sebab utama ialah diri sendiri (intrapersonal) dan individu lain (interpersonal). Intrapersonal juga merujuk kepada konflik dalaman sendiri dan intrapersonal konflik dengan individu lain.

Orang yang menghadapi konflik ibarat orang yang hatinya berjerebu - kelam balam sepanjang hari. Duduk termenung, berdiri memuncung. Muka masam dua puluh empat jam. Tegur tidak menjawab, melainkan menjeling tajam atau sekadar mengangguk. Selera dan minat berubah.

Konflik boleh berlaku pada setiap masa dan keadaan. Orang yang gagal mengejar mimpi, menggapai matlamat, merealisasikan cita-cita dan sebagainya kemungkinan besar akan dilanda konflik dalaman. Orang yang ketinggalan bas atau LRT juga kadang-kadang boleh mengundang konflik. Seorang gadis yang merelakan kekasihnya mencium pipinya, kemudian dia berasa menyesal akan menyebabkan dia berkonflik. Kesilapan diri sendiri sering menjadi punca konflik, malahan penyesalan yang tidak berkesudahan. Manusia yang suka berbuat dahulu barulah berfikir selalu berkonflik dan menyesal akan perbuatannya. Untuk mengelakkan konflik intrapersonal, kita sepatutnya berfikir dahulu sebelum membuat.

Konflik ini tidak mengira usia. Kanak-kanak apabila gagal melakukan sesuatu sewaktu bermain akan menangis tiba-tiba. Itulah tanda dia sedang berkonflik. Remaja, dewasa dan tua ada konflik masing-masing. Boleh dikatakan konflik sukar dipisahkan daripada kehidupan manusia. Konflik dalaman sekiranya tidak dikawal bakal merebak menjadi konflik dengan orang lain.

Sewaktu hati kita berkonflik, misalnya kerana kasut baru digigit tikus, kita mungkin akan menjadi marah secara tiba-tiba apabila ada kawan cuba menyindir kita. Padahal dalam keadaan biasa kita tidak pernah ambil endah dengan sindiran begitu. Malah ramai manusia yang berkonflik dengan manusia lain kerana berpunca daripada kecamukan hatinya yang dilanda konflik dalaman. Oleh itu, konflik dalaman harus dikawal agar tidak membenihkan konflik lain yang lebih hebat.

Konflik boleh berlaku dalam persahabatan, percintaan, kekeluargaan, pekerjaan, perhubungan dengan majikan, pekerja, binatang dan alam semulajadi. Pendek kata manusia ada potensi untuk berkonflik dengan semua benda yang ada hubungan dengannya. Dengan seketul batu pun adakala manusia boleh berkonflik. Apakah perasaan kita apabila kaki kita tertendang seketul batu sehingga jari berdarah? Kita marah. Kemarahan itu adalah unsur konflik, sama ada marah kepada batu atau kepada kaki sendiri yang buta adalah hal lain. Persoalannya manusia ada respons kepada semua benda di sekelilingnya. Respons yang berbentuk negatif adalah menjurus kepada konflik.

Kadang-kadang perkara yang remeh temeh boleh menyebabkan menjadi hal besar. Misalnya, pasangan kekasih yang berbeza pendapat tentang burger juga boleh menimbulkan konflik. Si lelaki berkata burger A lebih sedap, manakala si gadis berpendapat burger B lebih enak. Seandainya masing-masing berkeras, konflik mungkin menjelma.

Konflik ada tahap-tahapnya. Kita mesti peka dan bijak mengesan konflik yang melibatkan persahabatan atau percintaan. Konflik tahap pertama melibatkan urusan harian dan tidak begitu serius. Namun sekiranya tidak dicegah akan merebak ke tahap kedua. Seandainya kita ternampak kekasih kita duduk memuncung dengan menarik muka masam, lebih masam daripada limau nipis, kita harus berusaha mengatasinya sebelum dia tiba-tiba menjerit, memekik dan meraung sekuat hati. Dan seandainya kita jenis gemar memasang dua atau tiga sekaligus, cepat-cepatlah meleraikan kusut hatinya. Apabila dia terfikir bahawa dia sedang dipermainkan, atau sedang dianiayai, dia bukan setakat menjerit-jerit lagi, tetapi terus mencapai kasut tumit tingginya lalu mengejar kita. Kasut tumit tinggi boleh tahan lagi, tetapi kalau lesung batu nahas kita. Kalau keadaan ini terjadi, sahihlah kekasih kita sedang dalam konflik tahap ketiga yang boleh mencederakan orang lain. Konflik tahap ketiga rumit sedikit tetapi tidak mustahil dapat diselesaikan dengan baik sekiranya diusahakan dengan cara yang betul.

Orang zaman dahulu, maksud aku sekitar tahun 1900 sehingga zaman Perang Dunia Kedua - generasi nenek aku - menganggap konflik sesuatu yang teramat buruk dan harus dielakkan. Jadi, bagi mereka konflik adalah ciptaan manusia dan harus dielakkan kerana akibatnya begitu buruk. Tetapi, pandangan terhadap konflik berubah selepas zaman Perang Dunia Kedua. Generasi yang hidup pada tahun 1940-1970 menganggap konflik adalah kejadian semulajadi dan sukar dielakkan. Konflik membawa kesan negatif dan positif. Maksudnya, konflik bisa memberikan kebaikan dan keburukan terpulang kepada cara kita menghadapinya. Kekasih yang merajuk, seandainya kita pandai memujuk mungkin dia akan membelanja kita makan kuih apam. Sebaliknya, kalau kita tersilap memujuk, lima jari yang bakal menghinggapi pipi kita. Selepas tahun 1970 sehingga kini, iaitu generasi kita - manusia mengubah dimensi terhadap konflik. Manusia kini menganggap konflik sesuatu yang diperlukan. Dalam hubungan sesama manusia, konflik adalah ramuan yang menambahkan selera kehidupan. Konflik harus diciptakan, tetapi dalam bentuk yang ringan dan ala kadar. Kalau konflik menjadi besar, terbakar hangus perhubungan manusia.

Konflik umpama jerebu. Selepas jerebu langit akan terang. Selepas konflik, hati akan lapang. Kalau anda pernah bercinta - mustahil ada manusia tidak pernah bercinta - anda akan berasa bahagia, tenang dan tenteram selepas pergaduhan ditamatkan. Malah konflik dapat menambahkan perasaan kasih sayang. Misalnya, lima hari tidak berjumpa kerana bertengkar, anda tentu rindu. Selepas berbaik semula dan berjumpa seperti biasa apa yang akan anda lakukan terhadap kekasih anda? Bagaimana pula dengan suami isteri yang berminggu-minggu tidur berpusing belakang, apabila berbaik balik, apa yang akan berlaku? Rasanya, ramai yang mampu meneka dengan tepat. Selain itu, konflik menyedarkan kita betapa pentingnya ketenangan dan kedamaian dalam perhubungan manusia.

Kalau anda ingin menambahkan ramuan dalam percintaan anda, segeralah cipta konflik dengan pergi dating dengan orang lain, pasti anda akan dapat kesan yang memuaskan!

Yahooo, jumpa lagi!!!!

Thursday, June 11, 2009

Cinta Durjana

Terharu aku mendengar berita dalam tv seorang suami menikam isterinya bertalu-talu sehingga mati di depan anak-anak mereka. Malah anak-anak seramai 5 orang itu turut tercedera sewaktu cuba menyelamatkan ibu mereka.

Inilah akibatnya apabila manusia hilang waras akal. Isteri tercinta sanggup dibunuh. Kasih sayang yang disemai dan dipupuk bersama sehingga dikurniakan lima cahaya mata berakhir di hujung mata pisau.

Sewaktu bercinta seribu janji manis terukir di bibir. Apabila cinta menjadi luntur, seribu kutukan terhambur dari mulut. Tatkala kemarahan merajalela, sifat kebinatangan yang terperap di dasar jiwa melecus keluar bagai lahar gunung berapi. Anak dan isteri tidak dikenali. Cinta dikhianati, kasih tidak dihargai. Nafsu amarah jua yang dilayani - Tuhan menjadi saksi bisu - cinta suami isteri bermandi darah. Jeritan anak-anak sedikit pun tidak memanusiakan seorang bapa.

Itulah lambang cinta durjana!

Kepada wanita yang sedang berfikir untuk mendirikan rumah tangga, pilihlah pasangan yang baik. Jangan tersalah sehingga memilih binatang bertopengkan manusia. Cemburu buta, pemarah, terlalu ikut perasaan, ketagih dadah, alkohol dan kaki judi antara sebab suami berlaku kejam terhadap isteri. Oleh sebab terlalu sukar mencari suami, maka ramai wanita berjawatan tinggi memilih untuk hidup sendirian. Dan tidak kurang juga yang hanya hidup sendirian pada siang hari, sedangkan pada malam hari berduaan mengumpul dosa. Takut untuk berkahwin tetapi berani untuk berbuat dosa.

Dunia kini semuanya menjadi liberal. Sopan dan santun sekadar memenuhi tuntutan masyarakat bukannya lahir dari hati yang ikhlas. Di depan lain, di belakang lain. Di depan tinggi budi pekerti, tetapi di belakang hanya Tuhan yang tahu. Lelaki dengan dunia lelaki. Wanita dengan dunia wanita. Gay dan lesbian juga ada dunia masing-masing. Dunia yang mengumpulkan segala keseronokan.

Bagaimana untuk menilai cinta sesama manusia? Ah, satu pertanyaan yang amat berat! Siapakah yang bisa menilai cinta, terutama cinta sang teruna kepada si dara? Cinta teruna dara itu terlalu hampir dengan nafsu. Nafsu sesuatu yang begitu sukar dikawal dan diramal. Dalam sekelip mata nafsu mampu menukar manusia kepada binatang. Jadi, cinta bergantung kepada nasib? Tidak juga. Cinta boleh dinilai hanya oleh orang yang bercinta. Orang kata cinta itu kadang-kadang membikin orang buta. Mampukah orang buta menilai cinta? Inilah persoalannya.

Apabila telah dijangkiti virus cinta, semua kata-kata orang tidak didengarnya. Hanya kata hati sendiri dijadikan panduan. Nasihat ibu bapa sekadar menambahkan tahi telinga - masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Lebih malang lagi, TIDAK kata ibu bapa, YA kata dia. Sebaliknya, YA kata ibu bapa, TIDAK kata dia.

Jangan memandang remeh dalam urusan mencari pasangan hidup. Ini bukan pasangan hidup dalam filem atau drama. Pasangan dalam filem atau drama siapa pun boleh asalkan pengarah berkenan. Tetapi pasangan di dunia realiti harus berhati-hati. Sekali silap, menyesal seumur hidup.

Akibat tersilap memilih pasangan maka fail kes perceraian membukit di mahkamah. Orang besar, orang kecil, orang kaya, orang miskin, orang filem, penyanyi, dan penari tidak terkecuali. Apabila selera telah berbeza, kata-kata tidak sehaluan dan perasaan tidak selaras, lebih baik bercerai daripada tidur saling membelakangi. Adakah mereka ini ketandusan cinta?

Cuba renungkan kata-kata ini: "Orang yang mencintai kita tidak akan mengikut perasaan kita, orang yang mengikut perasaan kita adalah orang yang sedang mengkhianati cinta kita!"

Walau bagaimanapun, cinta tidak akan berakhir di hujung pisau. Yang berakhir di hujung pisau bukan cinta!

Saturday, June 6, 2009

Apa Kata Anda?

"Menjadi lelaki atau wanita tulen membawa padah; seseorang itu mestilah menjadi lelaki yang kewanitaan dan wanita yang kelelakian." - Virginia Woolf.

Apabila bercakap pasal cinta, lelaki dan perempuan ada pendapat masing-masing. Walaupun pendapat lelaki dan perempuan ada yang sama, namun banyak yang berbeza dan bercanggah. Lelaki ada ego lelaki, perempuan ada ego perempuan apabila bersembang tentang cinta.

Bagi perempuan, sukar cari ketulenan dalam cinta lelaki. Cinta tulen mesti satu, tetapi cinta lelaki banyak. Lelaki boleh menabur cinta di merata-rata tempat, kepada setiap wanita yang dia sukai. Oleh itulah dalam satu-satu masa lelaki mampu membahagikan cintanya kepada ramai wanita. Lelaki menabur cintanya seperti menabur benih padi. Malah lelaki rela membohongi orang yang dicintainya semata-mata untuk memuaskan keinginannya. Seribu janji terucap di bibir lelaki hanya sepuluh yang boleh dipercayai. Lebih menyakitkan hati, lelaki sekarang tidak bertanggungjawab. Cinta bagi lelaki hanya nafsu nafsi. Habis madu, sepah dibuang. dalam sehari lelaki boleh meniduri sepuluh wanita. Sedangkan wanita tidak sanggup menduakan pasangannya. Dan sejarah kecurangan manusia melibatkan ramai lelaki daripada wanita.

Sedangkan cinta wanita tidak begitu. Wanita setia kepada cintanya. Wanita tidak terburu-buru menerima atau memberi cinta kerana cinta bagi wanita sesuatu yang mulia. Sejarah kecurangan wanita sekadar kes terpencil. Itupun berpunca daripada lelaki yang mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami. Suami bagi wanita adalah segala-galanya.

Pendapat lelaki lain pula. Bagi lelaki, cinta wanita boleh dijual beli. Cinta wanita mudah berubah. Hati wanita lembut, maka cintanya juga mudah dilentur oleh kata-kata lelaki. Hari ini cintanya bersemi di ufuk timur, keesokan hari cintanya bersemi di ufuk Barat. Wanita tidak menduakan kasih bukan kerana dia tidak mahu berbuat begitu. Keinginannya untuk bertukar pasangan ada tetapi dunia tidak mengizinkan. Dia setia kepada kekasih yang satu kerana takut dikutuki masyarakat. Lelaki tidak sama. Dalam agama tertentu lelaki diizinkan berkahwin lebih daripada satu sekiranya mampu. Hal ini bukan bermaksud cinta lelaki tidak tulen. Ketulenan cinta bukan terletak pada berapa banyak cinta, tetapi terletak pada berapa jujur cinta tersebut. Kecurangan lelaki berpunca daripada wanita. Kalau wanita tidak membuka jalan, bagaimana lelaki boleh curang.

Alahai, sampai kiamat pun pendapat lelaki dan perempuan tentang cinta tidak akan sama! Ini baru beberapa pendapat, masih banyak lagi percanggahan dan pertelingkahan antara lelaki dan wanita. Sememangnya perbezaan pendapat tentang cinta ini adalah sumber kekuatan manusia sarwajagat. Daripada perbezaan ini, lelaki dan wanita cuba membaiki diri dan cinta mereka - mengorak langkah menuju keagungan cinta.

Perbezaan pendapat antara lelaki dan wanita dalam hal percintaan, salah satunya berpunca daripada kemahuan mereka yang berbeza daripada percintaan. Apa kata anda?










Tuesday, June 2, 2009

Sakit Ini Di Mana Penghujungnya?

Jatuh tangga itu sakit. Anda pernah jatuh tangga? Kalau anda tinggal di rumah yang ada tangga kayu yang anak tangganya bulat, anda tentu mengerti betapa sakitnya apabila jatuh tangga. Masa kanak-kanak, aku pernah jatuh tangga kerana aku suka berlari naik ke rumah. Sakitnya. Aku tergelincir dan jatuh terkangkang di atas anak tangga. Nasib baik telur tidak pecah. Menangis tidak berlagu. Namun, dalam tangisan aku mampu tersenyum melihat dua biji telur ayam yang aku kutip dari reban di bawah rumah masih dalam genggaman.

Jatuh tangga sakit, tetapi jatuh cinta lagi sakit. Lazimnya orang yang kecundang dalam percintaan yang sakit. Orang jatuh cinta tidak sakit. Orang jatuh cinta hanya suka berangan-angan. Pagi dan petang pasang angan-angan. Berdiri berangan, duduk pun berangan. Masa tidur usah dicakap lagi. Angan-angannya mengalahkan Mat Jenin. Nasib baik tidur atas rumah. Kalau tidur atas pokok macam orang zaman rimba, jatuh ke tanah jawabnya. Dalam angan-angan ada senyum. Dalam senyum ada sindiran. "Woi, gilakah senyum sorang-sorang!"

Orang lain tidak tahu kerana bukan dia yang jatuh cinta. Mana ada orang jatuh cinta senyum seorang diri. Dia senyum dengan buah hati dia. Oleh sebab buah hati dia itu cuma mata dia sahaja yang nampak, mata orang lain tidak nampak, maka orang akan kata dia gila. Biasalah orang jatuh cinta. Senyum seorang diri pun bahagia.

Tetapi ada sejenis jatuh cinta yang amat sakit. Lebih sakit daripada jatuh tangga. Bukan cinta sejenis. Itu cinta songsang tidak masuk dalam kamus cinta aku. Cinta akan jadi satu kesakitan apabila hati terpaut pada kawan karib sendiri; kawan yang sudi ketawa dan menangis bersama. Kenapa, sakitkah mencintai kawan karib? Sakit sekali apabila kawan karib itu kita tahu hatinya terpaut kepada orang lain. Hati kita tersangkut pada dia, tetapi hati dia tersangkut pada hati orang lain.

Kalau bukan kawan karib tidak jadi hal. Kita boleh angkat kaki dan belah sahaja. Cari haluan lain yang tidak perlu menatap muka dia setiap hari. Tetapi kawan karib sukar untuk kita melarikan diri. Kita sayang kepada dia kerana dia kawan kita. Kawan karib bukan senang dicari. Kawan yang hanya reti menumpang ketawa bukan karib namanya. Kawan karib ialah kawan rapat yang sedia berkongsi suka duka. Bagaimana kita hendak mengelakkan diri?

Meluahkan isi hati bukan sesuatu yang baik kerana kita tahu dia suka orang lain. Memendam rasa kita pula yang sakit. Lazimnya kawan karib sepejabat dengan kita. Hampir setiap hari berjumpa, bersua dan bertegur sapa. Sakit akan datang apabila kita melihat dia berbual telefon lama-lama dengan orang lain. Sakit pasti menjelma apabila dia sering membalas senyum dengan kawan lain di depan kita. Sakit tentu muncul setiap kali ada orang keluar makan dengan dia tanpa mengajak kita. Walaupun kawan karib, kita dengan dia tidak bersama dua puluh empat jam. Masa tidak bersama itulah sakit kita berdenyut-denyut. Sakit yang keterlaluan, resah yang tidak keruan dan bimbang yang tidak menetu adalah tanda cinta kita semakin mendalam. Kita dilanda penyakit cemburu. Kita cemburu pada setiap orang yang menghampiri dia. Kita cemburu walaupun dengan bos di pejabat. Kita resah apabila dia menghilang diri dalam bilik bos terlalu lama.

Dua perkara yang patut kita lakukan, itupun sekiranya berani. Pertama, luahkan isi hati kita dan bersedia menerima kenyataan seandainya terpaksa kehilangan seorang kawan yang baik. Kedua, pendamkan perasaan dan biasakan diri dengan kesakitan-kesakitan yang ada dan yang bakal muncul.

Kalau anda memilih cara pertama, pilih masa dan suasana yang sesuai untuk membuka bicara. Jangan mendesak. Kita kena beringat bahawa dia kawan karib kita bukan kawan biasa. Kita tentu tidak mahu dia membenci kita. Oleh itu, berhati-hati dengan cara pertama kerana akibatnya sama ada CINTA atau MUSUH. Jarang sekali kita dapat kekalkan pertalian persahabatan abadi dengan orang yang menolak cinta kita.

Kalau anda memilih cara kedua, terdapat beberapa perkara harus dipatuhi. Pertama, jangan tunjukkan sebarang reaksi yang kita mencintai dia. Seandainya dia sedar kita mencintai dia dan dia pula tidak mencintai kita, dia akan serba salah dan susah hati. Kita juga akan sakit apabila tahu bahawa dia menyakitkan kita, kawan karibnya.

Kedua, jangan sesekali menunjukkan sikap cemburu walaupun perasaan itu ada. Sekiranya dia sudah berpunya, dia akan meluat apabila kita cemburu kerana kita bukan orang teristimewa dia. Cemburu ini bukan hanya kepada kekasih. Kepada kawan pun ada perasaan cemburu. Oleh itu, kawal perasaan cemburu.

Ketiga, jangan terlalu dekat dengan dia masa berjalan, berbual, atau makan. Jarak yang terlalu dekat menyebabkan kemungkinan kita dan dia akan bersentuhan. Bersentuhan walaupun secara tidak sengaja akan "menghangatkan" perasaan yang akhirnya kita sendiri menjadi semakin sakit. Dia tidak sakit kerana dia tidak ada perasaan cinta kepada kita.

Walau apapun, keputusannya di tangan anda. Anda boleh memilih cara pertama atau kedua, atau anda ada cara ketiga yang lebih baik!

Sunday, May 24, 2009

Jangan Layan Cinta Nafsu

Cinta terlarang dan larangan cinta ada di mana-mana. Sejak zaman Adam dan Hawa rintangan cinta tidak pernah padam sehingga sekarang. Apabila cinta berputik, ada-ada sahaja halangan dan rintangannya. Manusia tidak pupus dan dapat meneruskan hidup sehingga sekarang kerana cinta. Manusia lahir daripada cinta. Manusia mati kerana cinta; cinta kepada Penciptanya. Dan manusia tidak akan sepi daripada cinta walaupun kekadang cinta membikin manusia hilang pedoman, hilang waras dan hilang nafas.

Ini kisah cinta yang aku angkat daripada pengalaman kawanku. Orangnya tinggi, berkulit cerah dan berambut panjang paras punggung. Namanya aku kira dirahsiakan sahaja agar tidak memalukan rakan dan keluarganya. Dia layak panggil aku abang kerana usianya empat tahun lebih muda daripada aku. Personalitinya menarik, tetapi sedikit pendiam. Santunnya dia setiap kali bersua dengan aku. Dia bukan gadis berakhlak rendah walaupun besarnya di desa pedalaman.

Pada usia 17 tahun cintanya mekar ketika masih di alam persekolahan. Selepas tamat tingkatan lima, dengan berani dia mengkhabarkan cintanya kepada ibu bapanya bersama hasratnya untuk berumah tangga. Hasratnya ditolak kerana jejaka pilihan kalbunya berlainan agama. Aku telah bilang bahawa dia gadis yang baik. Dia minta memohon izin kepada orang tuanya untuk berkahwin dengan jejaka idaman walaupun dia sedar keizinan itu tidak akan tertunai. Hasaratnya ditolak. Malahan dia dimarahi dengan teruk.

Beberapa minggu dia kelihatan murung. Mangsa cinta antara dua agama. Ah, tidak ramai ibu bapa sanggup melihat anak gadis kesayangan mereka bertukar agama kerana cinta. Cinta terlarang ini sentiasa menimpa masyarakat aku. Dan ada yang tertewas lalu menukar agama, dan membuang ibu bapa dan saudara mara. Betapa tragisnya cinta suci dalam debu ini.

Dia begitu kecewa. Dengar khabar kekasihnya minta dia berkahwin lari tetapi ditolaknya. Seorang gadis yang baik sama sekali tidak akan mengingkari ibu bapa. Hati ibu bapa harus dijaga dan dalam masa yang sama realiti cinta juga mesti dihadapi. Dia buntu dan tidak menemukan jalan keluar. Dia bertekad. Nafas terakhirnya dihembus di celah dedaun. Dia menggantung diri di dahan cempaka. Harum bunga cempaka tersebar di celah-celah harum cinta gadis desa. Ibunya meraung sekuat hati. Seluruh desa gempar seketika, sebelum tiba-tiba bertukar menjadi diam. Hasil bedah siasat, didapati dia hamil lima bulan.

Alangkah terkejutnya. Aku tidak hairan dia bercinta dengan jejaka lain agama dan bangsa kerana cinta itu bisa membutakan hati manusia. Aku tidak hairan dia membunuh diri apabila cintanya terhalang kerana cinta sesuatu yang teramat sukar untuk dimengerti. Tetapi aku kaget apabila mengetahui dia mengandung. Seperti tidak percaya gadis sebaik dia rela melakukan sesuatu di luar batasan susila. Oh, kuasa cinta mampu merobek batasan susila, moral dan akidah. Manusia sering tidak kenal dosa-dosa kerana cinta.

Cinta terlarang - sama ada kerana keturunan, darjat, kedudukan, kaum atau agama selalu mengundang malapetaka. Sewaktu bercinta - dilamun kemaruk cinta - pasangan jarang memikirkan halangan cinta, tetapi apabila hendak bernikah barulah sedar akan halangan tersebut. Bagaimana seandainya perut sudah berisi dan dosa-doa tidak terhitungkan lagi, halangan tidak dapat dilepasi? Kahwin lari, bunuh diri atau apa?

Fikirlah sebelum melakukan sesuatu. Keseronokan bercinta harus diseimbangi dengan realiti dan susila masyarakat. Jangan kerana cinta, segala larangan kita langgari, segala susila dan nilai-nilai murni kita langkahi. Tiada sesiapa di muka bumi ini yang menyayangi kita melebihi ibu bapa kita. Semurni mana cinta kita, tanpa restu ibu bapa, perkahwinan kita tidak bermakna. Cinta murni di puncak gunung berapi. Mampukah seorang anak berbahagia di atas kedukaan ibu bapanya?

Apabila bercinta, perhitungkan juga halangannya; sama ada kita mampu melepasinya. Kalau halangannya begitu besar sehingga terpaksa membuang ibu bapa, adik beradik dan saudara mara, ada baiknya berfikir semula atau berpatah balik sahaja. Cinta adakalanya harus berkorban, tetapi jangan sampai berkorban nyawa di batang pokok seperti gadis kawan aku itu.