Friday, November 28, 2008

Iktibar Daripada Yim Pek Ha

Saya menarik nafas lega apabila mendengar berita TV bahawa suri rumah Yim Pek Ha hari ini didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen. Dia menghadapi tiga tuduhan mencederakan pembantu rumahnya dari Indonesia, Nirmala Bonat, dengan menggunakan seterika dan air panas empat tahun lalu.

Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan itu setelah mendapati bahawa kecederaan yang dialami oleh Nirmala bukan dilakukan sendiri seperti yang didakwa oleh Yim. Yim, 40, bekas pramugari, mencederakan Normala di rumahnya di Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini pada Januari, Mac dan April 2004. Yim Pek Ha, dihukum penjara 18 tahun. Hukuman ini sebenarnya untuk memberikan kesedaran kepada Yim bahawa kasih sayang yang hilang merupakan benih kekejaman yang akan menyebabkan seseorang kehilangan kebebasan. Harap-harap Yim insaf dengan apa yang telah dilakukannya.

Hukuman yang dikenakan ke atas Yim Pek Ha tentu menyebabkan ramai orang turut menarik nafas lega, bukan kerana gembira melihat orang lain dipenjarakan, tetapi kerana keadilan masih ada di mahkamah kita. Beberapa kes berprofil tinggi sebelum ini telah menjadi sasaran kritikan pihak tertentu apabila tertuduh dilepaskan. Kes yang terbaru ialah pembunuhan Altantuya yang menyebabkan ada pihak tidak berpuas hati. Sesetengah orang menerimanya dengan keluhan dan rungutan. Jadi, ramai yang bimbang andainya kes Yim Pek Ha - Normala Bonat juga akan berakhir dengan keluhan dan rungutan.

Perbuatan yang kejam dan tidak perikemanusiaan seharusnya mendapat balasan yang setimpal agar dapat dijadikan pengajaran kepada orang lain. Sebagai manusia kita seharusnya berfikiran waras. Apabila kita tidak suka kepada pembantu rumah kita, kita berhentikan sahaja dia dan cari pembantu rumah yang baru. Bertindak mendera dia dengan alasan apa sekalipun tidak dapat diterima oleh masyarakat yang bertamadun.

Penderaan merupakan satu kekejaman yang tidak boleh dimaafkan tidak kira mangsa deraan itu manusia atau binatang. Malah binatang pun tidak pernah mendera binatang yang lain. Ini pula manusia. Penderaan tidak setakat pembantu rumah, malahan kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang kurang upaya juga sering menjadi mangsanya. Kanak-kanak paling banyak dilaporkan. Ini menunjukkan bahawa masyarakat kita menghadapi masalah kasih sayang yang tenat. Masyarakat sedang sakit. Orang yang mempunyai kasih sayang sesama manusia tidak akan mendera orang lain. Malah dengan haiwan pun tidak mungkin dianiayainya kerana kasih sayang yang sejati merangkumi semua makhluk bernyawa termasuk diri sendiri.

Oleh itu, tanamkanlah nilai kasih sayang ke sanubari agar kita dapat hidup harmoni, tenteram dan bahagia tanpa mengira sempadan keturunan, kaum, agama, budaya, kedudukan atau gender. Tanpa kasih sayang, dunia bakal menuju kemusnahan.

Tuesday, November 25, 2008

Masa Bukan Emas

Masa sangat penting kepada kehidupan manusia. Sejak zaman berzaman masa memainkan peranan yang penting dalam kehidupan umat manusia. Sejak dahulu lagi manusia hendak pergi ke mana-mana mesti melihat masa terlebih dahulu. Masa menjadi penentu perjalanan manusia. Manusia hendak mendirikan rumah pun mesti memilih masa. Manusia hendak mencari jodoh juga bergantung kepada masa. Malah masa menjadi pembukti kesetiaan manusia kepada janji. Sering kita dengar, biarlah masa yang membuktikan kesetiaanku. Boleh kata setiap tingkah-laku dan gerak-geri manusia ada kaitan dengan masa. Hubungan manusia dengan Tuhannya juga berdasarkan masa. Betapa pentingnya masa kepada pembinaan tamadun manusia sehingga terlahirnya ungkapan masa itu emas.

Mahalnya masa, sehingga diibaratkan emas. Walau bagaimanapun manusia mesti bijak menyesuaikan diri dengan masa. Mendahului masa boleh mengundang masalah. Membiarkan didahului masa juga boleh menimbulkan musibah. Pendek kata kita mesti pandai mengatur masa. Jangan mendahului masa dan jangan ditinggalkan masa.

Kata pujangga mendahului masa lebih baik daripada ketinggalan masa. Dalam sesetengah perkara memang betul, tetapi bukan semuanya. Kita mesti menepati masa, tidak cepat dan tidak lambat barulah tidak mendatangkan masalah.

Sesetengah orang suka pergi ke mana-mana lebih cepat dari masa yang ditetapkan. Kalau pergi ke lapangan terbang mendahului masa ada baiknya kerana pilot tidak akan menunggu kita. Jadual penerbangan tidak boleh diubah atau dilewatkan semata-mata kerana kita. Kita siapa sehingga terpaksa dilewatkan Boeing 747 yang telah dipenuhi penumbang sejak setengah jam yang lalu. Itu tidak masuk akal, malah mustahil sekali. Lain pula ceritanya kalau kita pergi ambil pasport atau MyKad mendahului masa yang ditetapkan. Tarikh yang diberikan kepada kita 12 Disember 2008, tetapi kita pergi 11 Disember 2008, jawabnya balik tangan kosong kerana benda itu belum siap. Begitu juga dengan pergi mengundi. Pusat mengundi dibuka pukul 8.00 pagi, tetapi kerana semangat yang berkobar-kobar, sejak jam 6.00 pagi kita sudah tersepuk di balai raya menunggu giliran semak nama walaupun pegawai pilihan raya belum tiba. Buang masa jadinya. Lebih baik kalau kita menunggu di kedai kopi Pak Dollah, sembang-sembang pasal calon atau kutuk pihak lawan ada juga manfaatnya.

Orang bercinta juga mesti menepati masa. Mendahului masa bermakna menanggung seksa yang lama. Bayangkan janji jumpa di Pawagam jam 5.00 petang, tetapi jam 3.00 petang kita telah tiba. Maklumlah alang-alang bercinta biarlah tidak dituduh derhaka kepada masa. Kalau si dia juga datang mendahului masa seperti kita okeylah. Kita tidak perlu menuggu sambil berangan-angan dan tersenyum-sentum seorang diri. Bagaimana kalau si dia datang tepat jam 5.00 atau lebih lewat? Maka dua jam kita terpaksa menanggung seksa. Penantian adalah satu penyeksaan.

Bagaimana pula sekiranya dia terlewat 2 jam kerana kesesakan lalu lintas? Maklumlah KL sesak tidak memilih masa dan hari. Bukankah 4 jam kita kena menanti dalam penyeksaan? Silap-silap kena jenis mudah merajuk, melenting-melentang terus belah. Janji tinggal janji. Esok hilang marah telefon lagi, buat temujanji baru. Si dia pula merajuk menuduh kita tidak timbang rasa kerana dia tiba ke pawagam semalam tetapi kita telah ghaib entah ke mana. Sebab itulah menepati masa adalah paling sesuai dipraktikkan.

Dalam soal beribadat kita tidak boleh menangguhkan masa kerana usia tidak menunggu kita. Kematian mungkin esok atau lusa. Orang yang beriman sentiasa mengingati kematiannya seolah-olah kematian bakal tiba bila-bila masa sahaja. Tiada siapa dapat meneka bila dia akan menghembuskan nafas terakhir - muda, atau tua. Oleh itu, melengahkan masa untuk beribadat amat merugikan kita.

Orang yang mendahului masa tidak berapa ramai berbanding dengan orang yang didahului oleh masa. Mesin perakan masa digunakan di pejabat untuk mengatasi masalah masa mendahului orang. Hairan juga mengapa orang gemar sangat melewati masa. Setiap kali kita pergi majlis jamuan malam di hotel sama ada majlis persandingan, jamuan tahunan syarikat korporat, atau majlis hari jadi tokok tertentu, jarang ada tetamu datang tepat pada masa sebagaimana dijadualkan. Hotel 5 bintang sekalipun masalah tetamu datang lewat mesti ada. Pendek kata jamuan tidak pernah dapat dimulakan mengikut jadual.

Bagaimana jamuan hendak dimulakan kalau masih banyak meja yang kosong. Dalam kad jemputan majlis bermula 7.00 malam tetapi kekadang pukul 9.00 malam barulah hidangan pertama diangkat keluar. Kesian tetamu yang datang awal. Kalau sudah lapik perut sedikit dengan roti canai, pukul 9.00 tidak jadi hal. Bagaimana dengan tetamu yang datang dengan perut kosong? Kebetulan jam 3.00 petang juga terlupa minum petang. Tengah hari tadi makan sedikit sahaja kerana kurang selera. Sekarang pukul 8.00 malam hidangan belum nampak bayang. Tuan majlis asyik minta bersabar. Tunggu meja penuh dulu. Tambah-tambah meja yang kosong itu meja VIP. Tuan majlis serba salah kerana terlewat. Kita pula serba marah kerana lapar. Kacang goreng sudah tiga mangkuk lahap, air kosong tiga gelas diteguk, tetapi perut masih berkeroncong. Hendak minta tambah kacang goreng acapkali bukan dia. Malu juga. Tahan sahajalah. Dalam hari merungut marah kepada tetamu yang lewat dan meluat dengan tuan majlis yang masih menunggu. Kalau ikutkan hati hendak menjaerit: "Aku laparlah!"

Marah dan meluat akan bertambah apabila tetamu yang lewat itu masuk ke dewan dengan tersengih-sengih, berjalan lambat-lambat. Datang lima orang hendak duduk satu meja. Lima kerusi ada tetapi dua meja. Untuk menambahkan susah orang, minta jasa baik tuan majlis susun semula tempat duduk kerana mereka berlima tidak boleh duduk terpisah. Sudahlah lewat, sekarang menyusahkan orang pula.

Setelah makanan dihidangkan, ada lagi tabiat manusia yang tidak habis-habis menyusahkan orang lain. Orang lain tengah makan dengan senyap dan tenang, dia orang membebel tentang makanan tidak sedap. Hotel 5 bintang konon, kedai tepi jalan lagi sedap, langsung tidak ada kelas, tukang masak tak reti buat, sayur tak segar, ikan busuk dan 1001 jenis rungutan. Bagaimana kita hendak bersabar apabila berjumpa dengan manusia begini?

Kesimpulannya, menepati masa adalah falsafah kehidupan yang paling sesuai. Mendahuli masa atau didahului masa kedua-duanya menimbulkan masalah. Masa bukan emas kerana orang boleh menunggu emas dengan sabar tetapi orang tidak sabar menunggu masa. Ramai yang suka membuang masa tetapi belum ada orang membuang emas!

Wednesday, November 19, 2008

Detik-Detik Yang Menyakitkan

Bercerai jalan terbaik sekiranya tidak dapat mengecapi kebahagiaan berumah tangga. Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga menginginkan kebahagiaan hidup, tetapi bukan semua yang dapat mengecapinya. Malah banyak pasangan yang dilanda kesengsaraan. Hari-hari bertengkar dan berendam air mata. Akhirnya masing-masing memilih jalan kehidupan sendiri.

Untuk menyatukan dua jiwa dalam sebuah kehidupan bahagia yang dipanggil rumah tangga bukan mudah. Waktu bercinta semuanya indah. Janji semuanya manis. Kalau janji tersebut ditunaikan kesemuanya, pendek umur kerana diserang penyakit kencing manis. Tetapi mujurlah manusia bukan semua berpegang pada janji. Banyak janji manis dilupakan begitu sahaja. Janji orang sedang dilamun cinta tak boleh dipegang sangat kerana banyak yang hampa daripada yang berisi. Kalau ibarat padi, banyak yang dibuang daripada yang boleh diproses jadi beras. Oleh sebab janji yang tak tertunai inilah maka rumah tangga yang dibina bakal berantakan.

"Dulu, abang janji nak beli banglo, tapi sampai sekarang dah lima tahun masih tinggal rumah pangsa!" Mungkin begitu si isteri menuntut janjinya. Atau: "Abang kata nak berbulan madu di Itali, kenapa tukar ke Cameron Highlands pulak?"

Itu janji masa bercinta. Jangan kata beli banglo di lereng bukit atau berbulan madu di Itali, bulan di langit pun sanggup dipetikkan. Sekarang sudah berkahwin. Semuanya berubah. Madu telah dikecapi. Janji pun menjadi hilang manisnya.
Selalunya perkara yang tidak pernah dijanjikan pula yang "ditunaikan". Contohnya, bertengkar, bermasam muka, berleter, dan bermacam-macam ber- lagi. Dan perkara yang tak pernah ada mana-mana pasangan di dunia "menjanjikan" kepada pasangannya, tetapi "ditunaikan" ialah membawa masuk "orang ketiga" yang bukan darah daging ke dalam rumah tangga.

"Orang ketiga" - lelaki mahupun perempuan - apabila muncul, pasti membawa masalah. Orang ketiga ibarat dedalu apabila hinggap di pokok, pokok tersebut akan mati kerana semua zat makanan dihisap oleh dedalu tersebut. Tidak kira keluarga bangsawan, pembesar negara, tokoh agama, jutawan, usahawan, seniman, artis, orang besar atau orang kecil apabila didatangi orang ketiga maka merudumlah kebahagiaan keluarga berkenaan. Kuasa orang ketiga memang hebat. Peranannya memecah-belahkan rumah tangga orang diiktiraf di peringkat antarabangsa walaupun belum tercatat dalam World Book of Records.

Barangkali pada masa akan datang kerajaan Sweden akan mewujudkan Hadiah Nobel Khas untuk bahagian "pemusnah" perkahwinan. Atau mungkin kerajaan Thailand ada inisiatif memberikan hadiah Sea Write Awards kepada pelaku yang cemerlang. Pelaku yang menjahanamkan keluarga Putera Charles - Lady Diana patut menjadi penerima hadiah yang sulung walaupun terdapat ratusan atau ribuan pelaku cemerlang yang tercatat dalam sejarah tamadun manusia.

Di Malaysia, dunia artis tidak pernah sepi daripada isu orang ketiga. Keluarga Tan Sri dan keluarga Datuk juga tidak kurang hebatnya. Kerana takut malu banyak yang mengambil jalan berdiam diri atau diselesaikan denga senyap-senyap tanpa sidang akhbar. Kes orang ketiga yang pernah mendapat liputan meluas di akhbar suatu ketika dahulu ialah kes puteri Sultan Selangor dengan Pembesar Negeri Selangor.

Orang ketiga ini sebenarnya tidak datang sendiri. Dia tidak muncul dengan tiba-tiba dan menyelinap masuk ke dalam rumah tangga orang lain. Orang ketiga bukan tikus. Orang ketiga orang yang ada kelas. Kalau tidak diberikan harapan dan ditaburkan janji-janji oleh orang "pertama" atau "kedua" dia tak akan masuk. Sebenarnya orang "pertama" atau orang "kedua" yang mengundang orang ketiga. Mungkin pada mulanya cuma main-main untuk menghiburkan hati atau sekadar mencari kelainan daripada apa yang ada di rumah. Tetapi perbuatan main-main ini apabila berulang kali akan menjadi serius. Malah menyebabkan terjadinya ketagihan. Ketagihan terhadap orang ketiga - lelaki mahupun perempuan - sering menjadi perangkap yang akan menjerat mangsanya dengan kejam.

Selagi kehadiran orang ketiga menjadi rahsia, segalanya kelihatan okey. Tetapi mana ada rahsia yang betul-betul rahsia di dunia ini. Sudut yang dikatakan paling rahsia bagi setiap manusia masih dibongkar dan dipertontonkan kepada umum. Akta Rahsia Rasmi pun tak berkuasa menjaganya. Apatah lagi orang ketiga yang bukan tergolong dalam kategori "paling rahsia" buat manusia moden. Malah ada orang, terutama lelaki yang berbangga apabila dapat mempertontonkan orang ketiga kepada kawan-kawan.

Rahsia orang ketiga yang Muslim mudah terbongkar dengan adanya kumpulan prihatin yang sentiasa mengetuk pintu hotel atau pintu rumah orang tengah-tengah malam buta dan minta tengok surat nikah. Kumpulan prihatin ini walaupun sesetengah pihak menggelar "penyibuk" tetapi keprihatinan mereka telah banyak membantu. Sekurang-kurangnya mereka dapat mempercepatkan proses perceraian bagi suami iteri yang masih was-was dengan kesetiaan pasangan masing-masing.

Kesimpulannya, kehadiran orang ketiga yang membawa petaka kepada rumah tangga, bukan kerana orang lain tetapi kerana diri sendiri yang mengundangnya. Kalau hendak marah, marahlah diri sendiri. Kalau hendak pukul, pukullah diri sendiri.

Kehadiran orang ketiga memang menyakitkan. Lebih sakit daripada segala yang sakit. Sakit bersalin tidak sesakit apabila balik ke rumah terlihat orang ketiga sedang bercumbu dengan suami di atas katil yang pernah menjadi katil pengantin baru. Sakit bersunat tanpa ubat bius tidak sesakit terserempak isteri tersayang sedang berasmara dengan jantan lain di bilik hotel. Sakitnya sehingga mengalirkan air mata dan tersedu-sedan. Sakit biasa sekadar sakit, tetapi sakit yang berpunca daripada orang ketiga mengundang malu dan menjejaskan harga diri dan kasih sayang.

Oleh itu, ramai yang tak tahan dengan sakit yang maha sakit ini mengamuk bagai orang hilang waras. Pinggan mangkuk terbang. TV dan radio ditendang. Pekik jerit berkumandang malam buta sehingga membangunkan rakan tetangga. Ada yang melampaui batasan menerawang parang dan pedang sehingga mengecutkan telur jiran-jiran. Malah ada yang bergegas ke mahkamah minta diceraikan atau untuk melafazkan cerai.

Apabila perang berlanjutan, maka ibu bapa terpaksa campur tangan. Pelbagai nasihat, termasuk membangkitkan soal anak-anak yang masih kecil sebagai umpan pertimbangan akal. Kasih terhadap anak-anak sering berjaya menunda perceraian tetapi untuk sekali dua sahaja. Kalau peristiwa orang ketiga berulang lagi, anak-anak pun tidak berkuasa menyekat kemahuan ibu bapa.

Keberantakan rumah tangga bukan sahaja berpunca daripada orang ketiga. Banyak perkara lain yang menjadi punca perceraian. Kalau hendak disenaraikan kesemuanya tak larat nak tulis. Penyebab kepada perceraian lebih banyak daripada penyebab kepada perkahwinan. Perkara remeh-temeh, misalnya soal pergi shopping, soal memilih rancangan TV kegemaran, masakan terlebih garam, pakaian gosok tak sempurna, selera seks berbeza hari dan waktu dan sebagainya boleh menjadi punca pertengkaran suami isteri. Pertengkaran membunuh kebahagiaan.

Kebahagiaan yang hilang memberi kesan kepada emosi. Emosi yang kacau menjejaskan prestasi kerja. Pendek kata semuanya bersangkutan bagai rantai. Kerana rumah tangga yang tidak bahagia menyebabkan keseluruhan hidup menjadi tidak bahagia. Duduk, tidur, bangun, berdiri, berjalan, bersendirian atau beramai semuanya tidak bahagia. Orang lain ketawa, kita bermasam muka. Orang lain santai, kita nafas tersekat-sekat dan mengeluh tidak keruan. Dalam keadaan begini, berhati-hati kerana orang ketiga mudah menyelinap masuk dan menambahkan porak-peranda yang sedia ada.

Dan sekiranya betul-betul tiada jalan penyelesaian, bercerai adalah jalan terbaik. Bercerai merupakan detik-detik yang sukar dan amat menyakitkan dalam kehidupan berumah tangga, tetapi lebih baik daripada sakit berpanjangan. Kesengsaraan sekali biarpun begitu hebat lebih baik daripada kesengsaraan yang berterusan tanpa noktah.

Langit tak akan mendung selama-lamanya. Selepas mendung, muncullah jalur cahaya. Aku sendiri pernah mengalami detik-detik yang sukar dan menyakitkan begini. Sebab itu, kini aku memilih untuk hidup berseorangan - aku bebas menganyam mimpi-mimpi!




Sunday, November 16, 2008

Antara Perasaan dan Nilai Cinta

Perasaan cinta tidak pernah kekal, malahan sentiasa berubah-ubah mengikut waktu. Perasaan cinta ketika kita di alam remaja berbeza dengan perasaan cinta sewaktu kita meningkat dewasa. Perasaan cinta tidak sama masa kita sedang bercinta dengan masa selepas kita mendirikan rumah tangga. Bahkan perasaan cinta berlainan antara sewaktu kita baharu berkahwin dengan setelah kita dikurniakan anak-anak. Bahkan perasaan cinta akan berubah lagi apabila si isreti memasuki monopous, sedangkan si suami masih gagah perkasa.

Perasaan cinta berbeza dengan nilai cinta. Nilai cinta kurang berubah, malah terdapat nilai cinta yang kekal abadi seumur hidup. Seorang suami mungkin mencintai isterinya sehingga ke nafas terakhir kerana nilai cintanya tidak berubah. Sedangkan dalam tempoh tersebut barangkali perasaan cintanya berubah-ubah beberapa kali. Nilai cinta berpusat pada akal dan ketulusan hati, tetapi perasaan cinta tercetus dari nafsu. Sebab itulah perasaan cinta sentiasa tidak menentu dan ketidaktentuan itu sering pula mempengaruhi nilai cinta sehingga bisa membikin rumah tangga berantakan.

Dalam kebanyakan masa yang kita gunakan untuk BERCINTA, sebenarnya kita bermain dengan perasaan cinta. Kerana terlalu mengagungkan perasaan cinta menyebabkan kita kekadang dibutakan oleh cinta. Kerana terlalu dipengaruhi perasaan cinta menyebabkan kita tidak kenal nilai cinta. Tidak kenal nilai cinta bermakna tidak kenal erti cinta yang sebenar. Cinta sukar dipisahkan daripada kasih. Maka kita menjadi manusia kabur cinta, kelam kasih.

Orang yang tidak kenal erti cinta yang sebenar adalah orang yang jahil tentang kasih sejati. Dalam seumur hidup orang begitu sentiasa mengintai kasih pada siang hari, mencari kasih pada malamnya. Apa yang dia perolehi sekadar secebis perasaan cinta dan kasih kepura-puraan tanpa sebarang nilai. Waduh, malang sekali!

Ketika usia remaja perasaan cinta begitu hebat. Sekali bersemuka, mata bertentang mata, bibir mengukir senyum, dada bergelora dan hati berkata - aku cintakan kamu. Siang jatuh cinta, malam mengigau-igau memanggil nama si dia. Betapa hebatnya cinta remaja. Sehari tidak berjumpa bagai sebulan rasanya. Rindu membara. Masa makan teringatkan si dia. Masa mandi, masa bersabun dan bersyampu, menyanyikan lagu untuk si dia. Dan masa tidur berdoa agar dapat bermimpikan si dia. Kalau boleh mimpi yang romantik. Mimpi berpeluk-pelukan, atau bercium-ciuman sering diangan-angankan.

Setiap detik hanya si dia. Kalau tidak dapat melihat wajah si dia, dapat melihat kain di jemuran atau bumbung rumah pun jadilah. Semuanya membahagiakan. Sekarang kalau tidak dapat berjumpa, panggilan telefon atau SMS menjadi pengganti diri. SMS pula mempunyai kod tersendiri yang hanya mereka berdua sahaja memahaminya. Ibu bapa selalu diperbodohkan oleh SMS jenis ini. Masakan tidaknya kerana maksud ayat yang digunakan terbalik daripada maksud sebenar. Contah: "Aku baca buku setiap hari!" Padahal maksud sebenarnya:"Aku rindu kamu setiap hari!" Atau jenis yang memeningkan kepala: "E ki j di KLCC!" Maksudnya Esok, kita jumpa di KLCC!" Huruf A - Z dan 1 - 9 telah diberikan kod yang tersendiri yang hanya difahami oleh pasangan bercinta sahaja.

Walau bagaimananpun cinta remaja berligar pada keseronokan semata-mata. Perasaan bertanggungjawab tidak ada. Seandainya terlanjur, padah jadinya kerana pasangan tahap ini tidak tahu selesaikan masalah yang timbul.

Aku waktu remaja dahulu pernah menghafal kod sedemikian yang diberikan oleh seorang gadis yang aku cintai. Tetapi aku tidak pernah terlanjur.

Perasaan cinta akan berubah apabila kita meningkat dewasa. Cinta orang dewasa lebih matang dan berkisar pada alam perkahwinan. Perasaan cinta tahap ini memang membahagiakan, indah dan sukar dilupakan. Cinta yang hebat bak Romeo dan Juliet atau Uda dan Dara sedikit sekali berpanjangan sehingga ke jinjang pelamin. Aneh ya? Tidak aneh kerana ramai pasangan yang bercinta biarpun usia telah dewasa (melepasi 21 tahun), tetapi cinta tersebut dibina di atas tapak perasaan cinta yang rapuh. Namun, perasaan cinta itu apabila telah bersemadi, ia begitu kuat dan teguh dan sukar untuk dileraikan sehinggalah ada perasaan cinta lain mengambil alih.

Bagi pasangan yang berjaya menginjak ke jinjang pelamin, perasaan cintanya bertukar daripada mengharap dan angan-angan kepada satu kebahagian dan realiti kehidupan rumah tangga. Kebahagiaan dan pengalaman hidup bersama begitu manis dan sukar dilupakan. Tiada keindahan kepada pasangan bercinta selain keindahan pada malam pertama - malam seribu makna bagi setiap pasangan yang dimakbulkan doa agar dapat hidup bersama sehingga ke akhir hayat.

Perasaan cinta akan berubah lagi apabila pasangan suami isteri sudah beranak pinak dan usia menjangkau tua. Seorang perempuan di ambang 50-an, nafsu cintanya semakin berkurang walaupun nilai cintanya tidak berubah. Keadaan ini berkaitan dengan hormon seks. Sedangkan seorang lelaki pada ambang 50-an, kata orang, sedang memulakan "kehidupan baru". Kalau diperhatikan, seorang lelaki mula berubah perasaan cintanya pada usia 40 tahun - 45 tahun dan memuncak pada usia 50-an. Perasaan cinta seperti yang dikatakan sebelum ini ada kaitan dengan nafsu cinta. Rumah tangga dalam era ini banyak cabarn dan dugaan. Perasaan cinta isteri sedang menurun, manakala perasaan cinta lelaki masih meningkat. Dalam keadaan "konflik" ini, si suami sering mencari jalan keluar dengan membuka cawangan baru secara sorok-sorok. Ini bukan aku yang kata, tetapi pakar yang memberitahu.

Perempuan yang suaminya menjangkau usia 45 tahun dan sering mesyuarat tidak tentu masa atau bermain golf terlalu kerap memang berhak untuk berasa bimbang. Lelaki dalam usia begini suka benar kalau dapat makan pucuk muda. Kebetulan gadis zaman IT ini tidak kisah bermadu kasih dengan orang tua asalkan kaya harta. Pelajar IPTA atau IPTS ramai yang berkepit dengan lelaki tua tanpa segan silu.

Kesimpulannya perasaan cinta selalu berubah-ubah walaupun nilai cinta kekal. Cinta tidak pernah kaku atau statik dalam keabadian nilainya. Itulah keunikan cinta.

Thursday, November 13, 2008

Kahwin Lari

Duhulu pasangan yang hendak berkahwin tetapi mendapat halangan dari pihak tertentu akan memilih Thailand sebagai jalan terakhir - kahwin lari. Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla telah mengahwinkan ramai pasangan dari negara kita. Kahwin lari di negara jiran menjadi satu trend yang sohor. Mak bapak tak restu, lari ke Narathiwat dan kahwin di sana. Isteri tua tak izinkan kahwin dara sunti lari ke Yala dan nikah di sana.

Pendek kata, Thailand menjadi pilihan mereka. Mereka tak akan memikirkan jalan lain atau penyelesaian lain. Thailand pilihan yang tepat dan cepat.

Soal nikah kahwin mana boleh dilambat-lambatkan nanti lain pula jadinya. Perkara lain, misalnya menunggu kerja, menunda hutang, atau menempah pakaian boleh bersabar. Tunggu lama sikit tidak mengapa. Tetapi soal nikah kahwin kalau hati sudah berkenan, jiwa sudah menetapkan "aku nak kahwin", maka kesabarannya bagai hilang. Sehari bagai seminggu. Seminggu bagai sebulan. Sebulan bagai bertahun-tahun. Apatah lagi sekiranya kedua-duanya sudah sehati sekata:"Kita mesti kahwin", maka kahwin sahajalah keputusanya. Dalam mata hanya 'kahwin' yang dilihat. Kahwin memang seronok. hidup berdua lebih ceria dari hidup seorang. Tiada kebahagiaan lain selain kebahagiaan berumah tangga - keluarga bahagia.

Orang apabila hati telah dijangkiti penyakit nak kahwin, bagilah nasihat apa pun dia tetap nak kahwin. Mintalah pakar motivasi atau pakar agama berikan nasihat, dia tak mungkin menundakan niatnya nak berumah tangga. Penyakit nak kahwin memang tak makan saman. Sebab itulah berpusu-pusu pasangan pergi ke Thailand untuk berkahwin. Orang muda dengan alasan mudanya. Orang tua dengan alasan tuanya. Manakala suami orang pula ada alasannya sendiri - alasan yang sering kita dengar kerana perkahwinannya dibantah isteri tua:"abang ni tak habis-habis dengan gatai. Pantang nampak anak dara berdahi licin, terliur nak nikah. Abang dah tua bang ooiii!"

Tuduhan biar betul. Kalau abang betu-betul tua abang tak akan ditimpa penyakit angau gila anak dara sunti. Tua abang hanya pada usia semata-mata. Semangat abang mengalahkan anak lelaki sulung yang berusia 25 tahun.

Tetapi itu cerita dahulu. Sekarang pasangan tak boleh nikah lari kerana sijil perkahwinan di negara jiran tidak diiktiraf lagi. Suami yang berkemampuan untuk kahwin lebih seorang diwajibkan minta izin daripada isteri pertama terlebih dahulu. Tanpa keizinan isteri tua, cawangan baru tak boleh dibuka. Ini baik untuk kaum wanita. Malah sudah lama NGO wanita memperjuangkan hak cawangan baru suami.

Kahwin lari memang senang tetapi untuk menjalani kehidupan selaku pasangan kahwin lari bukan mudah. Banyak cabarannya. Semuanya terpulang kepada jenis halangan tersebut. Malah banyak pasangan kahwin lari yang terpaksa bercerai selepas beberapa bulan hidup bersama. Hari-hari ibu bapa datang buat kacau. Hari-hari isteri tua datang buat onar. Sijil nikah di negara jiran hanya sah disisi agama tetapi 'tidak sah' di sisi ibu bapa yang menentang perkahwinan itu atau isteri tua yang suaminya kahwin muda.

Malah terdapat ibu bapa yang tersangat keras hati. Apatah lagi yang melibatkan pasangan yang berlainan agama, kaum atau keturunan. Ibu bapa jenis 'perkauman' walaupun telah mendapat cucu, mereka masih tidak merestuinya. Pasangan yang dipulaukan oleh ibu bapa amat menyedihkan. Di manakah kebahagiaannya apabila rumah tangga tidak dipedulikan orang tua sendiri?

Tetapi muda-mudi apabila dilamun cinta, mereka selalu membelakangkan kehendak orang tua. kehendak sendiri menjadi raja. Nasihat ibu bapa bapa bagai mencurah air ke daun keladi. Zaman sekarang hak ibu bapa ke atas anak seolah-olah hilang apabila anak akan berkahwin kerana nasihat ibu bapa tidak diendahkan lagi. Dahulu ibu bapa ada hak memilih dan menentukan bakal suami atau isteri untuk anaknya tetapi sekarang ditentukan oleh anak itu sendiri. Anak yang kahwin dengan calon pilihan ibu bapa dipandang ketinggalan zaman.

Malah yang lebih teruk lagi ada pasangan yang 'mencuba dahulu' hidup berumah tangga, kononnya untuk saling mengenali sebelum bernikah. Pasangan yang 'mencuba dahulu' banyak terdapat di kota-kota besar seperti di Kuala Lumpur. Yang sedihnya ada yang tinggal bersama sehingga tiga empat tahun tetapi akhirnya berpisah. Jadi, terpaksalah melakukan proses 'saling mengenali' dengan pasangan lain pula. Berapa dozen pasangan yang ditukar ganti sebelum dapat ke jinjang pelamin yang sebenar. Dunia oh dunia.

Halangan cinta ada 1001 jenis. Halangan kerana agama, kaum, keturunan, adat, budaya, taraf hidup, taraf pendidikan, harta benda dan sebagainya. Dalam banyak halangan, halangan berkaitan agama paling sukar mencari jalan keluar kerana Malaysia tidak membenarkan perkahwinan campur antara agama sebagaimana jiran kita Indonesia, Singapura, Thailand mahupun Filipina. Pasangan mesti sanggup berkorban. Bagaimana kalau pasangan tetap berkeras untuk kekal dengan agama asal tetapi dalam masa yang sama mahu juga menikah? Ini persoalan yang rumit.

Persoalan CINTA bukan persoalan mudah kerana cinta merupakan perkara yang amat rumit. Perasaan orang yang dilanda cinta juga menjadi rumit. Kerana kerumitan yang tidak diketemukan jalan keluar, terdapat pasangan yang mengambil keputusan membunuh diri dengan minum racun, gantung diri, atau lompat dari bangunan mahupun jambatan. Jambatan Pulau Pinang telah banyak menjadi saksi pengorbanan cinta.

Terdapat juga pasangan yang meleraikan kerumitan dengan 'tinggal bersama' tanpa mempedulikan halangan. Sampai bila akan menjadi 'suami isteri' yang tidak sah di sisi undang-undang? Bagaimana kalau dikurniakan anak? Persoalah ini juga tidak boleh dipandang sebelah mata. Sekarang pasangan 'suami -isteri' berlainan agama semakin banyak di Kuala Lumpur. Kerana cinta terhalang dan masing-masing tidak mahu berkorban, mereka memilih jalan liberal yang menyalahi norma masyarakat.

Mereka bahagia? Ya, aku lihat mereka bahagia dan tidak apa apa-apa yang meributkan kehidupan mereka. Aku kata begitu kerana aku kenal dua pasangan yang memilih kehidupan begini. Bagaimana dengan dosa-dosa? Aku bukan ahli agama. Biarlah pakar agama yang berikan komen. Lagipun soal dosa adalah soal manusia dengan Tuhannya.

Kesimpulannya, ibu bapa seharusnya lebih terbuka dan tidak terlalu menekan anak-anak dalam soal menentukan jodoh. Masyarakat juga harus lebih matang dan bijak. Sekarang zaman orang meneroka angkasa, pemikiran kolot tentang kaum, agama, dan budaya mesti disingkirkan. Dalam konteks bangsa Malaysia, rakyat Malaysia seharusnya digalakkan untuk berkahwin campur melintasi sempadan kaum dan budaya.

Wednesday, November 12, 2008

Mimpi

Jam 2.30 pagi. Jiran sudah berdengkur. Pedulikan. Aku tak kisah. Aku pun sudah berdengkur, tapi diulit mimpi ngeri. Seorang pencinta wanita ditinggalkan kekasih. Aku bilang mimpi ngeri. Cinta maha agung. Masakan ditinggalkan kekasih. Siapa gerangan jantan malang itu. Akulah. Akulah orangnya dalam mimpi itu.

Telefon rumah berdering. Aku terkejut lantas bangun. Mimpi mati. gagang telefon diangkat. Cis, silap nombor lagi. Malam-malam buta begini, ketika dibuai mimpi-mimpi, manusia yang entah siapa itu membuat kacau. Dia membangunkan aku tanpa kerelaan. Penceroboh malam. Malam yang dingin lagi sepi.

Sepinya hidup sebagai orang bujang.

Lelaki jenis apa kamu? Wanita jadikan kekasih simpanan. Sekadar kekasih simpanan. Istilah baru ciptaan sendiri. pemain simpanan, pemain bola sepak, sering kedengaran. Aku juga pemain simpanan. Pemain cinta simpanan. Durjana betul. Ketika pemain utama belum tiba, belum muncul, akulah pemain utama. Larianku ke segenap penjuru. Kejar bola, lari bola, gendong bola dan peluk bola. Gawangnya sentiasa terbuka. Aku rembat bola ke dalam gawang. Tendangan tepat. Penonton berikan tepukan gemuruh? Tidak sama sekali. Stadium tiada penonton. Hanya aku dan dia. Kami berdua. Itu kisah kelmarin. Kisah yang tak mungkin berulang kembali. Aku reda.

"Malam ini dingin, bulan ungu di dada langit. Indahnya, Jane!"

"Ah, bulan itu kan biru, Mas!"

"Masakan bulan berwarna biru?"

"Habis bulan berwarna ungu? Bulan madu apa warnanya? Merah kan?"

"Engkau nakal lagi, Mas!"

Aku pencinta simpanan. Pencinta utama muncul tatkala aku di puncak cinta. "Turun!" Halau sahaja aku dari puncak cinta itu seandainya kau mahu. Aku rela pergi. Pemain utama telah datang. Dia lebih handal dan hebat. Aku? Kehandalan dan kehebatan aku sudah berakhir. Sebelum pergi, boleh aku bertanya: Kenapakah aku dijadikan pencinta simpanan? Apakah kekuranganku?

Diam. Kenapa diam? Durjana. Berani engkau permainkan aku. Lelaki yang kau bilang cintai sepenuh hati. Pura-pura. Omong kosong. Aduhai, kasihku. Pejamkan matamu dan imbau kembali kisah lama antara kita. Siapa paksa aku membenihkan cinta untukmu? Engkaulah penggoda yang mencurahkan madu ke mulutku lalu menuduh aku perampas madumu. katakanlah apa sahaja yang terlintas di kotak fikir. Aku tetap aku. Pencinta simpanan yang dipaksa jadi penonton tatkala pencinta utama menjelma diri.

"Pesan pada ombak. Aku pencinta wanita yang satu!"

"Pesan pada camar. Aku kekasihmu yang akhir!"

"Pesan pada pelaut. Kesetiaanku tak teruji."

"Pesan pada pelaut. Janjiku abadi."

Kelmarin yang dilupakan. Semalam yang hilang. Kananku telah dikirikan. Kiriku hilang. Siangku kelam. Malamku pekat. Suara-suara anjing liar bersetubuh bersipongang. Sekujur tubuh menjerangkung di sisi susuk yang menelentang di pesisir longkang. Itulah sepasang kekasih yang setia, sehidup semati. Aku tak peduli!

Mimpi ngeri itu kembali lagi untuk kali kedua.

Dia kesepian seorang diri di kamar. Dari celah jendela matanya melontar pandang ke rumah jiran. Itulah rumah pengantin baru. Lampu di bilik pengantin masih terang. Mungkin pengantin baru sedang bergurau senda sambil bercumbu-cumbuan. Dia tertunduk dan memejamkan matanya seketika. Air matanya menitis. Pengantin itu seharusnya dia. ttapi apakan daya dia cuma pencinta simpanan yang dijadikan batu loncatan sebelum penjelmaan pencinta impian. Dia sekadar alat mainan cinta sang wanita.

Dengan pantas dia membingkas bangun. Pisau belati yang tersisip di dinding dicapainya lalu digenggamnya erat-erat. Dia meluru ke luar kamar dan menuju ke rumah pengantin baru. Pintu diketuk dengan keras. Pintu dibuka. Seorang wanita muncul dalam baju tidur yang nipis.

"Pengkhianat!" Dengan marah dia menikan ke arah wanita di depannya. Pisau belati menusuk tepat ke celah payudara wanita itu. Darah memercik ke muka sang pencinta simpanan. Kedengaran satu jeritan, kemudian terhenti lalu disusuli dengan ketawa.

"Kenapa engkau ketawa setelah pisau belati terbenam ke dadamu?" tanya pencinta simpanan.

"Inilah tanda cinta abadi!" kata wanita. "Bukankah dari dulu aku sudah berkata, cintaku hanya padamu seorang!"

"Aku seorang? Lelaki di atas ranjang itu?"

"Engkaulah kasihku di atas ranjang cinta kita."

Dia menjenguk muka ke dalam bilik. Dia tersentak. Dirinya berbaring kelesuan di atas ranjang.

"Siapakah lelaki sial yang berbaring di sini. wajahnya tak tumpah wajah aku?"

"Aduh, engkaulah itu buah hatiku, sayang!" pisau belati masih melekat di dada. "Bukankah ini malam pertama yang baru kita raikan dengan penuh makna. Kesakitan itu adalah lambang cintaku padamu, sayang. Aduhhh, betapa sakitnya kesan tikamanmu. Betapa bisanya pisau belati yang engkau gunakan untuk membunuh aku. Beginikah balasan yang engkau berikan terhadap kesetiaanku?"

Tidakkkk!

Aku membingkas bangun. Mimpi itu datang lagi.

Orang bujang selalu diganggu mimpi ngeri. Dan pada malam-malam dingin begini, rindu mengusik jiwa, tetapi entah kepada siapa aku merindu!










Monday, November 10, 2008

Saling Memahami

Cinta sejati pun apabila tidak mendapat zuriat boleh membuatkan perasaan terganggu. Malah pertengkaran selalu juga berlaku kerana hajat di hati untuk menimang cahaya mata tidak kesampaian. Sejak kahwin 3 tahun yang lalu isi rumah tidak bertambah, masih empat mata dan dua mulut. Kadang-kadang sampai saling menuduh. Isteri menuduh benih suami tidak cukup mujarab, manakala suami pula menuduh tanah isteri tidak cukup subur, sebab itulah semaian tidak bercambah.

"Badan gempal berisi tapi tak subur!" kata suami. "Tubuh sasa dan segak tapi, alahai tak mujarab langsung!" balas isteri.

Saling menuduh tidak akan memberikan kesan apa-apa selain bermasam muka atau bertengkar. Kalau selalu bertengkar, bagaimana hendak mendapat zuriat kerana tidurnya berpisah tempat. Isteri tidur di bilik, manakala suami pula tidur di sofa. Atau tidurnya masih berkongsi tilam tetapi saling membelakangi.

Pasangan yang tidak mendapat anak sering merasakan bahawa mereka menghadapi sesuatu yang tidak kena. Mereka seolah-olah 'kekurangan' sesuatu. Perasaan 'kekurangan' sesuatu ini akan mengganggu kehidupan dan mengundang pertengkaran antara suami isteri. Apatah lagi sekiranya pasangan tersebut begitu keras mempertahankan diri masing-masing dan tidak mahu mengalah. Suami menuduh isteri. Isteri menuduh suami. Kalau angin tidak baik, pertengkaran akan tercetus. Jiran pasti mengomel:"Lagi-lagi bertengkar pasal anak, lagi-lagi bergaduh pasal zuriat!"

Manakala ibu atau ibu mertua dari kampung selalu pula menelefon bertanya bila dia akan menimang cucu. Perasaan yang terganggu bertambah celaru. Pertengkaran yang ditahan-tahan tercetus kembali. Kalau terkena dengan jenis ibu mertua yang suka mendesak, parah dilakukannya. "Adik-beradik si Mamat anak berdozen, takkan si Mamat ada masalah nak dapat zuriat. Ini tentu si Minah punya pasal!"

Keadaan bertambah buruk apabila kawan-kawan di pejabat juga bertanya perkara yang sama, "bila kamu nak menimang cahaya mata?" Malah ada yang nakal sikit akan bergurau agak keras, "kamu ni si Mamat tak reti buat anak ke?" Pertanyaan begitu bagi seorang suami bukan sekadar pertanyaan biasa tetapi satu sindiran tajam.

Kawan sebelah isteri juga ada yang celupar dan bertanya terus terang, "alahai kamu si Minah, mandul ke? Alamak sakit hati tidak tertanggung. Malu juga apabila ditanya bergitu berulang kali. Setiap kali ada kawan sepejabat membusung, pasti soalan yang sama dilontarkan. Balik rumah bergaduh lagi. Suami menuding isteri, isteri menuding suami.

Mengapa membiarkan keadaan tidak selesa itu berlarutan. Pergi berjumpa doktor, buat pemeriksaan. Keputusan yang dikeluarkan oleh doktor, sama ada berpunca daripada suami mahupun isteri mesti diterima sebagai masalah bersama. Kesabaran menjadi keutamaan. melayan perasaan ketika keadaan tertekan begini boleh menyebabkan rumah tangga porak peranda. Seandainya masalah berpunca daripada isteri, dan suami mahu juga mempunyai zuriat sendiri isteri seharusnya mengizinkan suami kahwin seorang lagi. Islam mengharuskan suami kahwin lebih daripada seorang sekiranya mampu zahir dan batin. Jikalau masalah berpunca daripada suami, suami juga mesti rela melepaskan isteri sekiranya diminta berbuat begitu oleh isteri. Atau mungkin boleh menggunakan jalan tengah iaitu mengambil anak angkat.

Tetapi terdapat kes tertentu yang kedua-duanya - suami dan isteri - tiada sebarang masalah. Doktor tidak menjumpai apa-apa kekurangan yang ada pada suami mahupun isteri. Kedua-dua orang 'sempurna' dan boleh mendapat zuriat. Doktor minta bersabar menunggu. Menunggu punya menunggu, lepas tahun ke tahun, tetapi isteri tidak juga loya-loya atau muntah-muntah. Pergi berjumpa doktor pakar, seperti biasa doktor minta bersabar lagi. Sampai bila hendak bersabar. Rambut mula berkilau-kilau warna putih, anak belum dapat dan doktor minta bersabar. Setiap kali balik kampung, ibu mentua memuncung, ibu sendiri masam muka kerana mengidam cucu sekian lama belum dapat-dapat. Apa nak dikata, apa nak dibuat. Bukan tidak buat, malam Jumaat tidak pernah tinggal, tetapi hajat belum dimakbulkan.

Aku ada seorang kawan yang tidak mendapat anak tetapi doktor mengesahkan mereka tidak menghadapi sebarang masalah kesuburan. Tiga tahun menunggu tetapi hampa. Mereka membuat keputusan bersama untuk mengambil anak angkat. Setelah mengambil anak angkat beberapa bulan, zuriat sendiri mengisi rahim. Sekarang sudah dikurniakan 3 orang anak. Mereka berterima kasih kepada aku kerana aku yang mencadangkan mereka mengambil anak angkat. Orang tua-tua ada berkata, anak angkat boleh menjadi 'denak' kepada anak sendiri.

Bagi pasangan yang tidak dikurniakan zuriat setelah lama berkahwin segeralah berjumpa doktor. Bertengkar atau saling menuduh bukan jalan keluar yang betul. Setelah mengetahui puncanya, terimalah sebagai masalah bersama dan carilah jalan penyelesaian yang dapat diterima baik kedua-dua pihak.

Saturday, November 8, 2008

Citarasa Berbeza

"Apakah yang engkau akan lakukan sekiranya tiba-tiba ada seorang wanita jelita berdiri di depan engkau sambil berbogel?"

Seorang kawan bertanya kepada aku suatu hari sewaktu kami minum di kafe di sekitar Bintang Walk. Aku tercengang sekejap kerana soalan tersebut membuatkan fikiran aku mati seketika. Soalan gila begitu sememangnya membuatkan semua lelaki tercengang.
Aku membalas pertanyaan begini: "Bagaimana dengan kamu seandainya ada lelaki kacak berbogel di depan muka kamu?"

Dia tersenyum mendengar pertanyaan aku. Aku kira jawapan kami sama walaupun gender kami sedikit berbeza. Aku lelaki seratus peratus tanpa cacat cela. Dia lelaki pada nama dan fizikal sahaja sedangkan hati dan jiwanya perempuan. Jadi, minat kami berbeza. Aku minat kepada perempuan manakala dia minat kepada lelaki. Kami berkenalan semenjak di bangku sekolah rendah lagi. Ketika itu dia belum menunjukkan tanda-tanda akan bertukar gender. Apabila masuk sekolah menengah, kelembutannya mula menjadi-jadi. Dia mula suka melambai-lambai.

Persoalannya bermula tatkala dia meningkat dewasa. Ibunya sering bertanya bila dia akan berkahwin. Ibunya seperti mendesak agar dia segera kahwin. Ramai gadis diperkenalkan kepada dia tetapi semuanya ditolak dengan pelbagai alasan. Al maklum sahajalah dia bukan seperti kebanyakan lelaki lain. Dia dalam kategori lembut, bagaimana dia hendak berkahwin. Perempuan pun tentu tak mahu berkahwin dengan lelaki 'lembut'. Simpati juga aku kepadanya. Dia sendiri tidak meminta dilahirkan begitu. Melawan arus kehendak hati bukan mudah dilakukan.

Kerana tidak tahan dengan leteran ibu, dia merantau ke Kuala Lumpur. 'Pemudi' kampung tanpa sebarang kelulusan datang ke KL bukan senang cari kerja. Lalu dia sertai kawan-kawannya menjadi tukang urut di sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew. Aku tak tahu dari mana dia belajar. Kami terserempak di Pameran Batu Permata di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Terkejut aku melihat pemakaian dan penampilannya mengalahkan Azwan Ali.

Berbalik ke soalan pertama. Dia menceritakan bahawa wanita-wanita yang datang mengurut sering berbogel di depannya. Maklumlah wanita-wanita itu tahu berbogel pun tak ada bahayanya. Benda yang lembut tetap lembut.

"Kenapa? Mengurut sambil telanjang ke? aku bertanya untuk mendapatkan kepastian.

"Ya. ada yang suka begitu, tapi bukan semua."
Hah, beraninya wanita KL.

"Laki juga telanjang?"

"Sama."

"Sukalah kamu!"

"Jahatnya!"

Awas para isteri sekiranya suami mengeluh-ngeluh sakit belakang dan hendak pergi mengurut. Tanya dulu di mana tempat urut itu dan jenis yang bagaimana. Silap-silap pergi berbaring tanpa sehelai benang di depan tukang urut wanita buruk akibatnya. Tukang urut jenis 'lembut' macam kawan aku tidak berbahaya sangat, tetapi tukang urut wanita, apatah lagi yang muda mana boleh percaya. Silap langkah berendam air mata si isteri dibuatnya.


Thursday, November 6, 2008

Pesan Kepada Wanita

Sesetengah lelaki sanggup melakukan apa cara sahaja untuk mencapai impian cintanya, termasuk berhelah dan berbohong. Lelaki jenis ini sanggup pandu kereta besar, sarung kasut mahal, pakai seluar dan baju berjenama kelas dunia semata-mata untuk memancing gadis jelita idaman hatinya. Ini bukan omong kosong atau cerita rekaan tetapi realiti yang sering terjadi di mana-mana yang ada CINTA.

Demi memikat hati pasangan, lelaki sanggup berlagak jadi orang berkerjaya tinggi atau usahawan berjaya. Gadis yang muda fikiran mudah terpikat dan terpedaya. Maka dengan rela hati, cinta dan jiwa raga diserahkan. Selepas segalanya dikorbankan atau mungkin setelah melangkah ke jinjang pelamin barulah pecah tembelang. Kereta besar hanya sewaan, kasut mahal pinjam kawan, seluar dan baju berjenama kelas dunia hutang duit rakan. Sedu-sedan dan air mata penyesalan hanya hiasan pipi kerana nasi sudah menjadi bubur basi.

Terlanjur perahu dapat diundurkan, terlanjur kata dapat dimaafkan tetapi terlanjur perbuatan sendiri yang menanggungnya. Apatah lagi setelah cincin berlian tersarung ke jari, kenduri kahwin telah berlangsung, saudara mara di kampung telah dikhabarkan dan bahtera rumah tangga sudah dilayari barulah kisah benar menjelma. Bagai sembilu menikam hulu hati apabila mendapat tahu si suami bukan orang berkerjaya tinggi mahupun usahawan berjaya seperti diakui. Semuanya helah dan bohong belaka. Apakan daya yang dapat dilakukan oleh si isteri selain reda menerima segalanya sebagai takdir. Keadaan akan bertambah parah sekiranya ditakdirkan juga bahawa si suami sudah beristeri dan beranak-pinak. Madu kasih tidak semanis madu lebah. Bertanyalah kepada wanita berapa ramai yang sanggup meneguk madi kasih dengan rela hati. Apakah lagi madu yang datangnya dari sarang helah dan bohong.

Oleh itu, gadis muda lagi berdahi licin, berhati-hati menerima kehadiran lelaki ke dalam jiwa raga. Tidak usah mudah buka pintu hati walaupun diketuk berulang kali berserta pujuk dan rayu. Sekali pintu hati dibuka, lelaki jenis berhelah dan berbohong selinap masuk sukar untuk didesak keluar. Lelaki jenis kasanova ini sanggup melakukan segala cara, helah, tipu daya dan pembohongan asalkan impian nafsunya tercapai.

Jangan mudah makan umpan. Penampilan bergaya, personaliti yang menarik, hebat dan memikat sehingga meleleh air liur sekalipun bersabarlah sayang kerana kelelakian orang dengan kejantanan haiwan tidak sama. Bagaimana anda melihat luaran kejantanan haiwan, begitulah dalamannya. Sedangkan kelelakian orang tidak begitu. Mereka pandai berpura-pura, pintar bermain kata-kata dan licik bergaya. Mereka berani bersumpah dan berjanji untuk dimungkiri kemudian hari. Biar tebal muka menghulur tangan minta pinjam duit, kereta, kasut, seluar, baju atau mungkin seluar dalam tidak mengapa asalkan impin untuk meneroka gadis idaman tercapai. Oleh hal demikian, sebelum membuka pintu untuk sebarang lelaki, berfikirlah secara matang. Kenali dulu baru berkawan. Berkawan dulu baru bercinta. Bercinta dulu baru berkahwin. Berkahwin dulu baru ... berpadu kasih. Jangan sesekali menterbalikkan urutan tersebut. Tuhan murka nanti.

Kalau boleh siasat dulu latar belakang lelaki segak bergaya dan kaya harta yang tiba-tiba muncul dan memberikan sejambak bunga. Semakin hebat seseorang lelaki, semakin tinggi risikonya. Dua jenis wanita sering menjadi mangsa lelaki jenis penipu ini. Pertama, wanita jelita yang sombong dan berlagak. Kasanova memang suka menipu wanita jenis ini. Kedua, wanita tamak harta dan bermimpi siang malam hendak bersuamikan jutawan, berpangkat dan ada kedudukan. Orang tamak mudah ditipu. Kereta besar, rumah mewah dan restoran ternama menjadi umpan yang senang mengena.

Anehnya lelaki jenis lidah bercabang begini mudah pula mencari pasangan. Wanita lebih percaya kepada mereka berbanding dengan lelaki yang jujur. Lelaki yang jujur hendak mencari seorang kekasih pun susah, sedangkan lelaki penipu berkepit siang dan malam. Siang kepit si Minah, malam pula kepit si Tijah. Manakala di rumah si Milah sedang menunggu giliran. Malah lebih malang dari malang apabila wanita yang berjaya dan berkerjaya tinggi ikut terperangkap. Belajar sehingga universiti tetapi otak kurang berfungsi dalam bab cinta-cintan begini sehingga tertipu oleh lelaki buaya tembaga.

Itulah akibatnya apabila perasaan dan nafsu serakah mendahului akal fikiran. Alasan yang sering didengar ialah wanita itu lemah, sebab itu mudah ditipu. Selemah mana pun, kalau beriman dan menjadi wanita solehan, tiada jantan mana dapat menipu. Pintu hati berkunci dari dalam, kalau kita tidak membukanya, tiada siapa boleh menceroboh masuk!

Monday, November 3, 2008

I Love You!

Ketika menelusuri gigi air sambil mendengar syahdu ombak di Pantai Irama, Bachok, Kelantan, aku terdengar seorang kanak-kanak lelaki dengan berani mengucapkan cinta kepada seorang kanak-kanak perempuan sebaya di sisinya:"I love you!"

Kanak-kanak perempuan merah muka, marah dan mengejar kanak-kanak lelaki itu untuk memukulnya.

Aku melihat telatah dua kanak-kanak belasan tahun tersebut dengan senyum. Mengertikah mereka kalimat "I love you" yang dilafazakan? Betapa popularnya kalimat keramat itu sehingga kanak-kanak pun pandai mengucapkannya. Biarkanlah kanak-kanak dengan dumia kekanakannya.

Sekarang kita kembali ke dunia kita - dunia kedewasaan. Betulkah kita sudah dewasa? Berikanlah penilaian kepada diri sendiri. Dewasa atau tidak, usia pasti bertambah setiap tahun. Anehnya, manusia semua peringkat usia, muda atau tua gemar mendengar ungkapan "I love you!" Gembira sekali apabila dapat mendengar ada orng lain, orang yang kita sayangi membisik ke telinga kita, "I love you!" Betapa hebatnya kata-kata ini.

Tetapi persoalannya, berapa ramai antara kita yang benar-benar mengerti erti tersirat di sebalik kalimat I love you? Atau sekadar melafazkannya sesuka hati mengikut apa yang dilihat dalam filem?

Aku termasuk di dalam manusia yang buta pengertian "I love you". Sewaktu muda dahulu - usia awal 20-an - aku pernah mengucapkan "I love you!" kepada seorang gadis. Aku serius, tetapi malangnya ditertawakan oleh gadis berpipi mongel itu. Aku dimalukan oleh seorang gadis sebayaku, tetapi jauh lebih matang. Bukan dia menolak "I love you" aku, tetapi dia ingin tahu sama ada aku mengerti apa yang aku katakan kepadanya.

Aku tersipu malu. Bayangkan betapa bodohnya aku ketika itu. Aku memang betul-betul terpikat kepada dia. Tetapi kami baru berkenalan selama 3 hari, aku sudah melamar cintanya, sebab itulah dia minta penjelasan tentang makna cintaku.

"Baru 3 hari kita kenal, kau kata I love you padaku! Jangan takutkan aku!" katanya selamba sambil tersenyum mengejek aku. "Tunggulah beberapa bulan lagi, kau kembali dengan 'I love you' kau, dan aku akan balas dengan 'I love you' aku pula!"

Malangnya kami tak pernah jumpa selepas itu. Ungkapan "I love you" merupakan ungkapan yang paling bernilai dan sangat dihargai oleh semua manusia, terutama mereka yang sedang dilamun cinta. Semua orang suka mendegarnya. Tetapi harus diketahui, jangan gopoh mengucapkannya. Kalau boleh ucapkan kata-kata perkenalan atau persahabtan lain terlebih dahulu, barulah "I love you". Tunggu sehingga si dia betul-betul ada hati dengan kita. Pengucapan yang tidak sesuai dengan masa dan keadaan akan menyebabkan "I love you" menjadi 'I hate you".

Jangan mengulangi kesilapan aku. Seorang gadis tidak suka kepada sesuatu yang dilakukan secara gopoh - menerjah secara kasar tidak disukai oleh gadis, malah dibencinya walaupun dia sendiri ketika itu begitu rindu mahu mendengar kata-kata "I love you" daripada seorang jejaka. Yang penting anda mesti ikhlas mengucapkannya.

Pengucapan I LOVE YOU yang sesuai dengan masa dan keadaan menjadi penentuan PENCINTAAN anda!