Saturday, January 31, 2009

Khayalan Seorang Aku

Jangan membaca tulisan dari sudut realiti kerana tulisan ini sekadar khayalan seorang aku yang terlontar di kepulauan sepi yang terasing dan dikepungi lautan luas nan bebas. Di bawah kolong langit biru, aku menancapkan pandangan mata ke garisan lautan lepas yang bebas. Angin Timur mendesah menjamah raup wajah si gadis yang termenung di depanku. Diakah gadis itu yang bertandang ke alam mimpiku semalam? Diakah gadis itu yang melafazkan ungkapan cinta di pusara mawar merah?

Semalam aku pergi santai di SPA di pinggir Kota Metropilitan. Seorang wanita muda duduk seorang diri di sudut ruang rehat yang dingin sambil sesekali menghirup minuman oren segar di atas meja. Aku tersenyum melihat kecantikannya. Betapa bertuahnya wanita itu dilahirkan sebagai seorang wanita yang cantik dan menarik. Wajahnya bujur, dahinya hebat, matanya lembut seksi, hidungnya mancung, bibirnya basah, dagunya memikat dan aku kira dia tergolong di dalam koleksi wanita-wanita yang indah dan sempurna ciptaannya. Kata seorang pujangga klasik, "Keindahan wanita pastinya terserlah sekiranya tidak dibatasi pakaiannya."

Oh, keindahan wanita itu terselindung di sebalik pakaiannya yang mahal?

Pedulikan kata-kata pujangga. Wanita di sudut ruang itu sudah hilang tatkala fikiran aku menerawang sendirian. Aku beredar ke ruang sauna, menyalin pakaian dan terus masuk ke bilik sauna dengan sehelai tuala. Aku duduk dikepungi wap yang memutih, panas dan terasa sesak nafas. Wap panas begitu tebal, berasap memenuhi bilik kecil sehingga bilik itu menjadi seperti berjerebu. Pandangannya terbatas. Aku menjadi rimas, lemas dan tidak tertahan dengan kepanasannya.

"Saudara tak biasa datang ke sini?"

Aku terkejut apabila terdengar suara sapaan seseorang di sisiku - suara wanita. Aku mengamatinya di dalam kabur asap wap air. Oh, ada seorang wanita separuh bogel dudk tidak jauh dariku. Ah, mengapa bilik sauna untuk lelaki dan wanita tak diasingkan?

"Oh, maaf, saya tak tahu saudari ada di sini," kataku. "Mereka patut asingkan bilik lelaki dan wanita."

"Mereka memang ada asingkan," balas wanita itu. "Tapi pelanggan baru kadang-kadang tersilap masuk!"

"Tersilap masuk? Saya masuk bilik wanita?"

Aku hendak bangun, tetapi dia memegang bahuku. "Tak mengapa, duduklah. Saya tak kisah. Saudara juga tak kisah kan?"

"Ya! Ya!" jawabku kerana selaku lelaki aku tak boleh memalukan perempuan. Aku duduk buat seperti tidak ada apa-apa yang berlaku walaupun dada masih berdebar.

"Nama saya Lin," katanya sambil menghulur tangan perkenalan kepada aku. "Selamat berkenalan!"

"Saya S....!"

Aku terdiam kerana tidak tahu apa yang hendak dibicarakan. Aku kurang minat berbicara dengan orang yang aku tak kenali kerana tiada idea. Kata orang, berdiam diri lebih baik daripada merapu benda yang tidak berfaedah. Jadi, aku berdiam diri membiarkan badan "dibakar" sehingga peluh mengalir bagaikan bermandi. Kata seorang kawan, selepas bermandi wap, peluh mengalir keluar dengan banyak, badan kita akan menjadi segar.

"Pernahkah seorang wanita berbogel di depan saudara?"

Aku amat tersentak dengan pertanyaan itu. "Saudari jangan cuba bergurau. Saya tak suka sesiapa berbogel di depan saya!"

Dia ketawa. "Tentulah saya tak akan berbogel di depan saudara," katanya dengan yakin. "Dan pernahkah saudara berbogel di depan wanita?"

Celaka! Aku sedang berhadapan dengan orang gila?

"Lelaki kelihatan menarik bila berbogel, tapi wanita tidak," katanya dengan lembut.

Tentulah. Wanita melihat lelaki menarik ketika berbogel dan lelaki pula melihat wanita menarik tanpa pakaian. Ini lumrah kehidupan lelaki dan wanita.

"Aku benci kepada wanita bogel. Aku juga benci kepada diriku waktu begini."

Ketika aku berpaling ke sisi, aku mendapati wanita itu tidak berpakaian. Walaupun diselubungi asap, aku dapat melihat bentuk tubuhnya dengan jelas. "Saya tak tahan panas, saya minta diri dulu!"

"Walaupun saudara belum membalas keikhlasanku?"

"Keikhlasan? Keikhlasan apa?"

"Seorang wanita rela berbogel di depan saudara, tapi saudara tak sudi lakukan perkara yang sama?"

"Apa?"

"Saya tahu saudara sedang perhatikan saya ketika saya minum di luar tadi. Saya tahu apa yang saudara fikirkan. Bukankah kemahuan saudara telah saya penuhi?"

"Jadi, saudari ini wanita yang minum tadi ... oh, tak sangka sama sekali. Saya hanya berfikir."

"Kecantikan wanita ditutupi oleh pakaiannya, kata pujangga terkenal. Saudara pernah dengar kan?"

"Ya!"

"Saudara silap. Lelakilah yang sembunyikan keindahan di sebalik pakaiannya, bukan wanita!"

Akududuk sambil memejam mata. Aku terbayangkan dia berdiri tanpa seurat benang di depanku. Aku memerhatikan tubuhnya dari kepala turun ke wajah, leher, dada, perut dan sehinggalah ke hujung kakinya. Kemudian dari bawah, aku mengalihkan mata perlahan-lahan le atas - berhenti di situ seketika, merenung, menilai - kemudian bergerak ke atas lagi sehinggalah tamat di kepala. Aku mengeluh. Tiada mana-mana bahagian yang menarik. Betul kata wanita itu bahawa wanita lebih cantik apabila berpakaian.

"Saya mengakui saya silap. Wanita lebih cantik dalam keadaan berpakaian!" kataku tegas. Tiada suara yang menyahut. Aku menoleh ke sisi. Wanita itu tiada. Cepatnya dia pergi tanpa memberitahu sepatah kata. Dia hanya mementingkan maruahnya, tanpa mempedulikan maruah aku. Wanita oh wanita. Ketika aku bangun dan hendak keluar, barulah aku tersedar bahawa tuala yang aku pakai sudah hilang. Bagaimana perkara ini boleh terjadi?

"Nah, tuala saudara!" Wanita itu melontarkan sehelai tuala baru kepada aku. "Tuala saudara kotor, saya tukarkan dengan tuala baru. Saya sudah bilang lelaki kelihatan "comel" ketika berbogel! Saya tunggu di bilik 223!"

"Bilik?"

"Bilik aromaterapi - mampu tenangkan fikiran!"

Aku terlentang di bilik tidur sambil mendengar lagu romantik. "Wanita kelihatan lebih cantik ketika dalam berpakaian. Pakaian adalah penentu kecantikan wanita. Kelemahan utama wanita ialah tidak bijak memilih pakaian untuk dipadankan dengan tubuhnya. Wanita akan nampak begitu hodoh apabila mengenakan pakaian yang tak sesuai dengan bentuk badannya. Wanita gemuk, gempal atau kurus tidak penting, tetapi dia mesti bijak memilih jenis pakaian yang sesuai untuk memperlihatkan penampilannya yang anggun dan yakin!" Begitulah lebih kurang e-mail yang aku hantar kepada Lin.

Dan Lin membalas e-mail aku dengan ringkas. "Lelaki kelihatan menarik ketika pakaiannya di tangan wanita dan pakaian wanita dicampak ke lantai! Dan lelaki semakin menarik bila dia dapat memuaskan hati wanita!"

Ini hanya khayalan seorang aku. Tidak adil seandainya anda menilainya dari sudut realiti kerana di dunia ini tiada realiti melainkan khayalan yang dilakonkan oleh saya dan anda!















Tuesday, January 27, 2009

Mawar Merah Di Penjuru Meja

Cinta boleh bermula di mana-mana dan dengan apa-apa cara sahaja. Cinta tidak memilih tempat dan waktu untuk menjelma. Ada cinta bermula dengan pandangan pertama. Ada cinta bermula dengan usikan dan siulan. Ada cinta bermula dengan SMS. Ada cinta bermula di dalam internet. Dan ada cinta bermula dengan sekuntum mawar merah. Itulah cinta aku beberapa tahun dahulu - bermula dengan sekuntum mawar merah!

Semalam aku terima sekuntum mawar merah dan sekeping nota: "Selamat Tahun Baru - Kong Hee Fatt Choy!" Aku termenung sejenak. Adakah mawar merah di hujung tangkai dan sekeping nota itu kepunyaanku? Aku memerhatikan catatan pada nota. Nama aku tertulis di situ. Ini hantaran tangan. Hanya sekuntum, bukannya sejambak seperti kelaziman. Mungkin daripada budak-budak nakal anak jiran aku. Tetapi kenapa mesti mawar merah, bukan mawar merah jambu atau mawar putih? Lazimnya limau mandarin menjadi hadiah pengikat silaturahim sempena Tahun Baru Cina. Sebaliknya, aku terima bunga. Dan bunga itu daripada seseorang yang aku tidak tahu siapa!

Aku masukkan mawar di dalam pasu yang aku beli beberapa bulan lalu bersama air dan sedikit gula. Pasu tanah liat buatan China begitu indah dihiasi sekuntum mawar merah yang segar. Aku letakkannya di sudut meja di bilik tidur. Walaupun sekuntum, indah dan serinya terserlah apabila tersentuh pantulan lampu bilik yang lembut.

Deringan telefon berbunyi dua kali. Seseorang menghantar SMS kepada aku. Aku mencapai telefon dan melihat mesej: "Maaf kerana tak dapat hantar bunga dengan tangan sendiri. Aku tahu engkau minat dengan mawar merah. Maaf kerana hanya sekuntum." Siapa? Nombor yang hantar mesej tidak ada dalam diari telefon aku. Bagaimana dia tahu aku berminat dengan mawar merah? Hanya seorang yang tahu dan selalu menghadiahi aku mawar merah. Tetapi tidak mungkin orang yang sama yang menghantar mawar ini kepada aku?

Aku menghubungi nombor yang menghantar mesej kepadaku tadi. Tiada siapa yang menjawab panggilanku. Aku mencuba lagi beberapa kali, tetapi semuanya kecewa. Aku teramat benci kepada orang yang malas menjawab telefon. Kenapa pakai telefon kalau malas nak jawab panggilan? Atau barangkali dia tak jawab kerana dia tidak mahu layan aku? Habis, kenapa dia hantar bunga kepada aku sempena Tahun Baru Cina? Aku suka mawar merah, tetapi ketika ini aku lebih suka limau mandarin kerana itulah tanda "kemuliaan" mengikut kelaziman tradisi masyarakat Cina. Mungkin ada seseorang sengaja mempermainkan aku?

Sewaktu aku hampir lelap, telefon berbunyi lagi. "Hello!"

"Kong Hee Fatt Choy! Maaf kerana mengganggu malam-malam buta!"

Aku terdiam seketika kerana aku dapat mengecam suaranya dengan baik.

"Lama tak jumpa, apa khabar?"

"Kau yang hantarkan bunga?"

"Ya. Bunga kesukaan kau."

"Kenapa?"

"Kenapa? Pelik sangatkah seorang wanita hantar bunga kepada lelaki?"

"Tak pelik, tapi tak perlu. Ini Tahun Baru bukan Valentine!"

"Oh, kau sudah lupa pada janji dahulu?"

"Janji?"

"Tahun Baru hanya sekali dalam setahun, tetapi Valentine di antara kita ada setiap hari. Itu yang kau katakan dulu. Masihkah kau ingat?"

"Hanya ini tujuannya kau telefon aku?"

"Tidak. Aku nak beritahu bahawa selepas Tahun Baru nanti aku akan ke Amerika."

"Selamat jalan!"

"Kau tak nak tanya dengan siapa?"

"Kenapa nak tanya kerana seorang isteri tentu akan pergi dengan suaminya."

"Kami sudah berpisah!"

Aku terdiam dan seketika kedengaran suara tangisan. Aku mengeluh berat, kemudian mendengar luahan hatinya. Dia cerita satu persatu kisah kehidupannya - dari saat perpisahan kami, hari perkahwinannya, alam rumah tangganya selama dua tahun, dan detik-detik hitam sehingga membawa kepada perpisahan.

"Sudikah kau berjumpa aku?"

Aku tidak tahu apa yang terbaik yang harus aku ungkapkan. "Bila?"

"Sekarang!"

"Esok saja, ya. Sekarang sudah lewat malam!"

Tahulah aku kenapa dia menghantarkan aku mawar merah kerana dulu aku sering memberikan dia bunga tersebut. Dia sengaja mengungkitkan kenangan lampau yang kami tinggalkan bersama. Inilah "kelemahan'" sesetengah perempuan. Apabila perkahwinannya buntu, rumah tangga berantakan, dia cenderung kembali kepada kisah silam. Walaupun bakal menyakitkan orang lain, dia tidak kisah. Asalkan kebahagiaan dapat dipenuhi, luka orang lain berdarah kembali tidak diperhitungkan.

Aku merenung bunga mawar merah - sehelai kelopaknya gugur di penjuru meja. Dari ruang jendela yang terbuka, aku melontar pandang ke luar. Kaki bukit kelihatan kelam.
Keesokan hari ketika matahari merah di Timur aku akan memulakan hidup baru - indahnya cinta kepada Pencipta!






Monday, January 26, 2009

Seorang Bernama Aku

Kong Hee Fatt Choy, Ann!!!!

Kekadang hidup ini terasa begitu bosan. Semalam aku memandu ke PD untuk menikmati angin pantai seorang diri. Bukan apa, hanya untuk menghilangkan bosan. KL terlalu sempit dan terkurung di dalamnya sepanjang hari, minggu, bulan amat merimaskan. Sekali-sekali mesti keluar dari KL walaupun terpaksa berebut masa dengan kerja.

Wah, PD begitu pantas berubah! Lima tahun aku tak datang, banyak benda yang aku saksikan telah berubah. Hampir tiada apa lagi yang boleh jadi saksi bahawa aku pernah datang ke sini. Cuma satu benda yang masih kekal - air lautnya yang masin dan kotor. Biasalah. Perubahan adalah lumrah kejadian alam. alam tak akan kaku dan beku. Saban waktu alam bertarung dengan dirinya yang sentiasa berubah.

Manusia pun sama. Sentiasa merintih kepada perubahan. Sejak azali manusia tidak pernah abadi dalam kejadiannya yang indah. Perubahan kekadang menyakitkan. Kebosanan adalah sebahagian daripada perubahan. Beberapa hari alu aku begitu ceria. Semalam tiba-tiba terasa kebosanan. Perubahan datang menghinggap ke sanubari aku. Kebosanan tanpa punca. Pastilah bohong sekiranya sesuatu itu berlaku tanpa puncanya.

Aku kebosanan kerana ada puncanya. Namun, biarlah menjadi rahsia aku seorang sahaja. Aku belum bersedia untuk berkongsi. Bukan semua kehidupan kita dapat dikongsi dengan orang lain. Ada sudut yang menjadi rahsia. Itulah harga seorang aku!

Pantai berpasir dan bayu laut bukan destinasi terbaik untuk mengubati kebosanan seorang yang bernama aku. ENGKAU adalah pencetus bosan. Selamat tinggal!

Saturday, January 17, 2009

Bolehkah Perempuan Menggoncang Dunia?

Siapa yang mencipta pepatah ini aku tak tahu tetapi aku mendengarnya sejak aku belum mengerti erti cinta. Jauh sekali mengerti erti kehangatan pelukan perempuan sebaya yang bukan muhrim. Perempuan bagi aku sama sahaja iaitu jantina yang mudah menangis tetapi kaya dengan kasih sayang. Keistimewaan perempuan bagi aku bukan pada matanya yang seksi, senyumannya yang menggoda, dadanya yang menarik atau pinggulnya yang menggiurkan, tetapi kerana bijaknya dia sembunyikan kekuatannya di sebalik kelembutannya.

Pepatah yang aku maksudkan ialah: "Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncangkan dunia!"

Aku setuju biarpun tak perlu mengambil masa lama untuk merenung atau kata orang sastera menghening cipta atau kata Sasterawan Negara, Pak Samad Said, "mengunyah" idea. Sekilas pepatah dan petitih menusuk gegendang telinga, sudah tahu erti tersurat dan tersiratnya. Keupayaan tangan perempuan yang lembut dan licin yang menghayun buaian saban hari mampu menggoncangkan dunia sukar dinafikan. Perempuan memang pakar dalam soal menggoncang-goncang.

Banyak benda yang memerlukan goncangan sebelum dapat berfungsi dengan baik. Jam automatik misalnya mesti digoncangkan terlebih dahulu barulah akan hidup dan jarumnya dapat bergerak. Jangka masa gerakan jarumnya bergantung kepada hasil goncangan. Susu bayi juga mesti digoncang dahulu barulah diberikan kepada bayi. Maksud aku susu botol. Susu ibu aku tak berapa pasti sama ada kena goncang juga sebelum disuap ke mulut bayi.

Menggoncang ertinya menggoyang dengan kuat. Bolehkah dunia digoncang-goncang seperti seorang ibu menggoncang botol susu bayinya? Tentulah tidak boleh. Dunia mana boleh digoncang oleh manusia. Jangan kata perempuan, lelaki pun tak mampu menggoncang dunia. Dunia bukan glob yang diletakkan di atas meja cikgu Geografi. Jadi, mengapa ada pepatah tangan yang menghayun buaian mampu menggoncangkan dunia? Kerana gancang di sini bukan bermaksud goyang tetapi bermaksud tidak tenteram. Dunia yang tidak tenteram umpama dunia yang sedang digoncang. Dunia tidak tenteram bukan kerana lelaki bengis semata-mata, bahkan perempuan yang ayu lagi lembut juga berupaya menghuru-harakan dunia.

Bagaimanapun, ketidaktenteraman dunia bermula daripada perempuan. Aku bukan menuduh sembarangan. Perempuan memang berupaya menentukan sama ada dunia ini tenteram atau tidak. Hitler salah seorang pemimpin zalim yang membunuh jutaan keturunan Israel di Eropah. Pol Pot memetik nyawa hampir 2 juta bangsa sendiri kerana perbezaan ideologi. Hitler dan Pol Pot tidak akan menjadi pembunuh kejam seandainya perempuan yang melahir, mengasuh dan mendidik mereka berjaya menjadikan mereka insan beriman. Bukan salah ibu yang mengandung. Bukan silap teknik asuhan dan didikan. Aku setuju kita tak boleh meletakkan beban kejahatan anak ke atas pundak ibunya. Namun, aku yakin bahawa "ibu yang berjaya" adalah ibu yang berjaya mendidik anak-anaknya menjadi orang yang baik. Ibu yang berkerjaya tinggi, atau usahawan ternama tetapi gagal mengasuh dan membentuk anak-anak menjadi insan yang beriman atau berakhlak mulia belum boleh dikatakan ibu yang berjaya.

Manakala manusia yang berhati mulia bisa mengekalkan ketenteraman dunia. Mahatma Gandhi misalnya memilih kaedah "aman" untuk membebaskan negaranya daripada penjajahan British. Ibu kepada Gandhi walaupun miskin dan hidup dalam kepayahan tetapi boleh dikatakan ibu yang berjaya kerana mampu membentuk peribadi anaknya menjadi insan mulia. Tanggungjawab ibu bukan sekadar melahirkan putera atau puteri, tetapi mesti mengasuh mereka menjadi manusia yang baik, integriti dan bertanggungjawab.

Sekarang perempuan bukan menggoncang dunia melalui putera atau puterinya tetapi melalui tangannya sendiri. Ramai perempuan berjaya menjadi pemimpin tersohor dunia. Sejarah pernah mencatatkan kehebatan perempuan. Queen Isabella I (1451-1504) merupakan permaisuri yang membiayai pelayaran Christopher Columbus dan pengaruhnya memberi kesan besar kepada Sepanyol dan Amerika Latin selama beberapa abad. Manakala Joan of Arc (1412-1431) adalah wirawati yang menyelamatkan Perancis dalam Peperangan 100 Tahun antara Inggeris - Perancis. Perempuan memang hebat.

Kehebatan perempuan hari ini kerana keberaniannya. Ramai perempuan berani mengambil risiko dalam perniagaan, menyertai tentera, polis, pengawal keselamatan, pemandu bas, lori, kapal terbang dan sebagainya. Pejuang ideologi komunis juga ada perempuan. Inilah secebis bukti bahawa perempuan ada daya keberanian setaraf lelaki. Malah dalam hal tertentu perempuan lebih berani daripada lelaki.

Dalam usia belum mencapai 15 tahun, perempuan berani mengikut lelaki pergi ke mana-mana sahaja termasuk ke rumah sewa lelaki. Malah ada yang berani ikut lelaki melancong sampai ke luar negara dan akhirnya menjerit-jerit dari bumi orang untuk pulang ke tanah air. hilang dara tak cukup, terpaksa hilang ibu bapa dan saudara mara. Akibat keberanian menyahut cabaran lelaki, ramai gadis muda terjebak ke lembah maksiat. Pesta seks bebas setiap kali datang tahun baru menjadi satu kebiasaan. Selepas pesta seks bebas, diikuti pula pesta buang bayi. Inilah satu-satunya keberanian perempuan, "buang bayi", yang belum mampu ditandingi lelaki.

Buang anak kucing pun tak berani aku, jangan kata buang anak sendiri. Tetapi perempuan berani. Berani buat, berani buang. Bukan dunia yang goncang, tetapi ibu bapa yang tak dapat tidur malam terkenangkan anak gadis yang sedang membesar saban hari. Anak gadis yang sedang membesar segala-galanya ini bakal menggoncangkan jiwa raga ibu bapa. Walaupun didikan agama dan moral diberikan tetapi belum tentu pintu yang satu itu dapat dijaga dan ditutup agar tidak dicerobohi. Menjaga pintu yang satu itu lebih sukar daripada menjaga tujuh pintu istana. Pintu yang aku maksudkan ialah pintu hati. Apabila pintu hati dibuka kepada kemungkaran, maka apa-apa sahaja termasuk perkara di luar jangkaan akan terjadi.

Jadi, sebagai anak perempuan jagalah diri agar tidak dicerobohi kemungkaran. Mempercayai lelaki harus ada batasannya terutama lelaki yang baru dikenali. Perempuan dan lelaki adalah "kawan" dalam beberapa segi dan sekaligus "musuh" dalam segi yang lain. Apabila dewasa dan beranak-pinak, didiklah anak dengan baik kerana ibu adalah guru pertama kepada anak-anak.

Oleh sebab "kehebatan" perempuan inilah maka dikatakan tangan yang menghayun buaian mampu menggoncangkan dunia!

Thursday, January 8, 2009

Tahun Baru, Azam Baru,

Sudah masuk minggu kedua Tahun 2009. Begitu cepat masa beredar. Umur sudah bertambah satu tahun lagi. Seperti biasa, apabila menjelang tahun baru, rasanya banyak perkara baru yang bakal muncul dalam kehidupan kita bersama azam baru. Pastinya ramai antara kita yang telah menyematkan azam baru di dada setelah azam lama ditinggalkan bersama tahun 2008.

Banyak orang banyak azamnya. Azam kita mungkin berbeza, malah pastinya berbeza dengan azam kawan kita. Walaupun sama-sama gemar tomyam Mek Pattani atau kari kepala ikan Mamak Jalan Gasing, tetapi azam di hati belum tentu serupa. Ramai yang berjaya mencapai azamnya, tetapi ramai juga yang sama sekali gagal. Azam tidak akan tercapai sekiranya tidak disertai dengan kesungguhan.

Azam manusia memang tidak terhitungkan banyaknya. Setiap orang tentu mempunyai kemahuan tersendiri. Orang yang tidak ada kemahuan langsung biarpun sebesar hujung kelingking, orang matinya. Orang hidup yang masih berdegup jantungnya pasti ada kemahuan, impian dan cita-cita. Selagi ada nafsu, selagi itulah ada kemahuan. Selagi ada kemahuan pastinya ada perasaan untuk mencapainya. Dari situlah azam muncul. Azam adalah kemahuan, impian dan cita-cita yang kuat hendak dicapai atau dikecapi.

Orang tua ada azam mengikut ketuaannya. Orang muda ada azam mengikut kemudaanya. Begitu juga dengan lelaki atau perempuan mempunyai azam masing-masing berdasarkan citarasa, kehendak dan situasi jantinanya. Kanak-kanak juga ada azam tetapi tidak begitu terarah sebagaimana azam orang dewasa. Azam kanak-kanak hanya untuk hari esok atau lusa sahaja, sedangkan azam orang muda atau orang dewasa menjangkaui batasan waktu yang panjang yang melibatkan masa depan kehidupannya.

Pada hari pertama tahun baru saya keluar minum dengan seorang kawan untuk meraikan Tahun 2009 yang kebetulan bersamaan dengan harijadinya. Dia mengatakan tahun ini dia berazam membantu syarikatnya mencatatkan keuntungan besar dalam suasana ekonomi yang kurang memberangsangkan. Dia mahu memecah rekod sebagai pengurus cawangan syarikat yang paling berjaya bagi tahun 2009. Wah, hebatnya azam wanita lembut berjiwa kental ini.

"Apa pula azam kau?"

"Azam aku? Aku nak melamar engkau!"

"Hei, seriuslah sikit!"

"Aku seriuslah ni!"

Ramai wanita bekerjaya tinggi di negara kita mempunyai azam yang tinggi mengalahkan lelaki. Mereka membuktikan bahawa mereka mampu mencapainya. Kata pejuang hak feminin, abad ke-21 merupakan abad untuk kaum hawa kerana kaum ini bakal mencatatkan kejayaan besar setanding dengan kaum lelaki. Syukurlah sekiranya andaian tersebut menjadi kenyataan. Aku sudah bosan tengok lelaki di atas. Aku ingin melihat wanita pula di atas. Dunia mungkin lebih aman apabila wanita di atas.

Seperti yang dikatakan bahawa azam manusia tidak terhitungkan. Bagi yang masih menganggur tentulah cita-cita utama ingin mendapatkan pekerjaan. Bagi yang sudah bekerja, impian untuk mengembangkan kerjaya mungkin menjadi azam utama sepanjang tahun 2009. Bagi mereka yang belum ada rumah atau kereta rasanya mengumpul duit untuk membeli rumah atau kereta menjadi sasaran cita-cita. Bagi mereka yang belum berkahwin tetapi sudah mampu zahir dan batin untuk berumah tangga, eloklah kalau azam baru adalah untuk mengintai jodoh.

Malah tidak kurang juga yang berazam mulai tahun 2009 dia mahu mencukupkan solat lima waktu yang sebelum ini tak pernah cukup. Atau berazam mahu mencukupkan puasa yang sebelumnya tidak pernah sampai 10 hari. Tetapi sekiranya ada yang berazam untuk menambahkan "cawangan baru" atau mengenapkan kuota 4 orang yang kini baru tiga, tolonglah berazam dalam diam. Azam jenis ini kurang sesuai diheboh-hebohkan kerana hilang kejutannya. Silap-silap hilang gigi kerana dilanggar piring atau pinggan terbang.

Azam selalunya untuk ke arah kebaikan. Jarang kita dengar ada orang berazam ke arah negatif. Misalnya, tak pernah dengar ada orang berazam untuk minta cerai kerana ingin mencari pasangan baru yang lebih baik, lebih kaya dan glamour.

Sekiranya anda tiba-tiba terdengar seorang lelaki menjerit kuat-kuat seorang diri tanpa sebab, tahulah bahawa itulah lelaki bujang yang sedang bosan dengan kehidupan bujangnya. Atau mungkin anda terlihat seorang gadis muda berwajah murung dalam keadaan resah-gelisah sepanjang masa tanpa pasal-pasal itulah tandanya dia juga dirundung penyakit kesepian hidup seorang diri. Moleklah kalau kedua-dua hamba Allah itu bermunajat untuk mendirikan rumah tangga sebelum penyakit kesepiannya menjadi parah.

Azam untuk mendirikan rumah tangga tidak semudah dilafazkan sebagaimana lafaz sambutan tahun baru setiap kali menjelang jam 12.00 tengah malam. Mendirikan rumah tangga mesti ada pasangannya. Pasangannya pula mesti dicari atau dicarikan. Sudah ada pasangan belum tentu ada jodoh. Tetapi daripada asyik menjerit-jerit seorang diri atau bermurung sepanjang hari, ada baiknya berkahwin. Hidup membujang bukanlah seronok sangat kerana sekali-sekali terlintas juga ingin merasa sesuatu yang baru. Dahulu, seorang gadis yang kahwin pada usia muda dikatakan gadis yang baik. Sekurang-kurangnya dia dapat menjauhi perbuatan maksiat.

Sekiranya azam mendirikan rumah tangga berhasil menjaya kenyataan, gembiranya bukan main seolah-olah dunia ini kepunyaan kita. Kegembiraan orang yang bakal mengakhiri alam bujang sukar digambarkan. Pohon-pohon yang menghijau kelihatan begitu indah. Langit yang membiru begitu menawan. Kilau embun pagi di hujung lalang dirasakan seperti kilau cincin berlian yang bakal disarung ke jari manis sebagai tanda ikatan kasih. Tiada saat yang paling manis selain saat hendak naik ke jinjang pelamin. Degup jantung bertambah kencang, perasaan malu tetapi mahu menggelora di dada.

Sebelum berkahwin, mestilah bertunang terlebih dahulu. Tidak pernah dibuat orang berkahwin dahulu kemudian bertunang, kecualilah istilah "kahwin" itu diubahsuai maksudnya. Bagi seorang gadis, saat menunggu rombongan lelaki datang meminang merupakan saat yang mendebarkan. Gembira dalam resah. Resah dalam bimbang. Bimbang dalam cemas. Namun dalam segala perasaan yang mencengkam itu, dicuri-curinya senyum seorang diri. Pelbagai perkara dikhayalkan, dari saat bersimpuh di depan Tok Imam, ketika pengantin lelaki tergagap-gagap melafazkan nikah sehinggalah ke saat malam pertama. Ah, malunya terkenagkan semua itu!

Seperti yang dikatakan bahawa jodoh di tangan Tuhan. Tatkala si gadis menunggu pinangan sang kekasih, pinangan pun tiba tetapi alangkah gundahnya hati, hancurnya perasaan bagai digilis jentera penggilis tanah. Gagal mencapai impian bukan perkara pelik. Pinangan ditunda adalah perkara biasa. Putus tunang berlaku di mana-mana. Tetapi cincin pertunangan sang kekasih bertukar jari pada hari dan saat yang dijanjikan merupakan sesuatu yang sukar diterima, apatah lagi jari baru itu adalah jari kakak sendiri. Alangkah sedih dan parahnya keputusan orang tua menerima pinangan lelaki yang dikasihi bagi pihak si kakak. Sang kekasih pula jenis lurus bendul, ikut semua telunjuk ibu bapa. Bercinta dengan si adik, bertunang dengan si kakak. Keadaan akan bertambah parah seandainya pasangan kekasih yang dinafikan jodoh itu pernah terlanjur.

Itulah azam manusia. Setiap kali menjelang tahun baru, manusia akan melafazkan azam baru. Ada yang tercapai dan ada pula yang gagal. Dan ada yang bukan sahaja gagal mencapai azam, malah terpaksa menanggung kesakitan yang berpanjangan kerana azam!