Sudah masuk minggu kedua Tahun 2009. Begitu cepat masa beredar. Umur sudah bertambah satu tahun lagi. Seperti biasa, apabila menjelang tahun baru, rasanya banyak perkara baru yang bakal muncul dalam kehidupan kita bersama azam baru. Pastinya ramai antara kita yang telah menyematkan azam baru di dada setelah azam lama ditinggalkan bersama tahun 2008.
Banyak orang banyak azamnya. Azam kita mungkin berbeza, malah pastinya berbeza dengan azam kawan kita. Walaupun sama-sama gemar tomyam Mek Pattani atau kari kepala ikan Mamak Jalan Gasing, tetapi azam di hati belum tentu serupa. Ramai yang berjaya mencapai azamnya, tetapi ramai juga yang sama sekali gagal. Azam tidak akan tercapai sekiranya tidak disertai dengan kesungguhan.
Azam manusia memang tidak terhitungkan banyaknya. Setiap orang tentu mempunyai kemahuan tersendiri. Orang yang tidak ada kemahuan langsung biarpun sebesar hujung kelingking, orang matinya. Orang hidup yang masih berdegup jantungnya pasti ada kemahuan, impian dan cita-cita. Selagi ada nafsu, selagi itulah ada kemahuan. Selagi ada kemahuan pastinya ada perasaan untuk mencapainya. Dari situlah azam muncul. Azam adalah kemahuan, impian dan cita-cita yang kuat hendak dicapai atau dikecapi.
Orang tua ada azam mengikut ketuaannya. Orang muda ada azam mengikut kemudaanya. Begitu juga dengan lelaki atau perempuan mempunyai azam masing-masing berdasarkan citarasa, kehendak dan situasi jantinanya. Kanak-kanak juga ada azam tetapi tidak begitu terarah sebagaimana azam orang dewasa. Azam kanak-kanak hanya untuk hari esok atau lusa sahaja, sedangkan azam orang muda atau orang dewasa menjangkaui batasan waktu yang panjang yang melibatkan masa depan kehidupannya.
Pada hari pertama tahun baru saya keluar minum dengan seorang kawan untuk meraikan Tahun 2009 yang kebetulan bersamaan dengan harijadinya. Dia mengatakan tahun ini dia berazam membantu syarikatnya mencatatkan keuntungan besar dalam suasana ekonomi yang kurang memberangsangkan. Dia mahu memecah rekod sebagai pengurus cawangan syarikat yang paling berjaya bagi tahun 2009. Wah, hebatnya azam wanita lembut berjiwa kental ini.
"Apa pula azam kau?"
"Azam aku? Aku nak melamar engkau!"
"Hei, seriuslah sikit!"
"Aku seriuslah ni!"
Ramai wanita bekerjaya tinggi di negara kita mempunyai azam yang tinggi mengalahkan lelaki. Mereka membuktikan bahawa mereka mampu mencapainya. Kata pejuang hak feminin, abad ke-21 merupakan abad untuk kaum hawa kerana kaum ini bakal mencatatkan kejayaan besar setanding dengan kaum lelaki. Syukurlah sekiranya andaian tersebut menjadi kenyataan. Aku sudah bosan tengok lelaki di atas. Aku ingin melihat wanita pula di atas. Dunia mungkin lebih aman apabila wanita di atas.
Seperti yang dikatakan bahawa azam manusia tidak terhitungkan. Bagi yang masih menganggur tentulah cita-cita utama ingin mendapatkan pekerjaan. Bagi yang sudah bekerja, impian untuk mengembangkan kerjaya mungkin menjadi azam utama sepanjang tahun 2009. Bagi mereka yang belum ada rumah atau kereta rasanya mengumpul duit untuk membeli rumah atau kereta menjadi sasaran cita-cita. Bagi mereka yang belum berkahwin tetapi sudah mampu zahir dan batin untuk berumah tangga, eloklah kalau azam baru adalah untuk mengintai jodoh.
Malah tidak kurang juga yang berazam mulai tahun 2009 dia mahu mencukupkan solat lima waktu yang sebelum ini tak pernah cukup. Atau berazam mahu mencukupkan puasa yang sebelumnya tidak pernah sampai 10 hari. Tetapi sekiranya ada yang berazam untuk menambahkan "cawangan baru" atau mengenapkan kuota 4 orang yang kini baru tiga, tolonglah berazam dalam diam. Azam jenis ini kurang sesuai diheboh-hebohkan kerana hilang kejutannya. Silap-silap hilang gigi kerana dilanggar piring atau pinggan terbang.
Azam selalunya untuk ke arah kebaikan. Jarang kita dengar ada orang berazam ke arah negatif. Misalnya, tak pernah dengar ada orang berazam untuk minta cerai kerana ingin mencari pasangan baru yang lebih baik, lebih kaya dan glamour.
Sekiranya anda tiba-tiba terdengar seorang lelaki menjerit kuat-kuat seorang diri tanpa sebab, tahulah bahawa itulah lelaki bujang yang sedang bosan dengan kehidupan bujangnya. Atau mungkin anda terlihat seorang gadis muda berwajah murung dalam keadaan resah-gelisah sepanjang masa tanpa pasal-pasal itulah tandanya dia juga dirundung penyakit kesepian hidup seorang diri. Moleklah kalau kedua-dua hamba Allah itu bermunajat untuk mendirikan rumah tangga sebelum penyakit kesepiannya menjadi parah.
Azam untuk mendirikan rumah tangga tidak semudah dilafazkan sebagaimana lafaz sambutan tahun baru setiap kali menjelang jam 12.00 tengah malam. Mendirikan rumah tangga mesti ada pasangannya. Pasangannya pula mesti dicari atau dicarikan. Sudah ada pasangan belum tentu ada jodoh. Tetapi daripada asyik menjerit-jerit seorang diri atau bermurung sepanjang hari, ada baiknya berkahwin. Hidup membujang bukanlah seronok sangat kerana sekali-sekali terlintas juga ingin merasa sesuatu yang baru. Dahulu, seorang gadis yang kahwin pada usia muda dikatakan gadis yang baik. Sekurang-kurangnya dia dapat menjauhi perbuatan maksiat.
Sekiranya azam mendirikan rumah tangga berhasil menjaya kenyataan, gembiranya bukan main seolah-olah dunia ini kepunyaan kita. Kegembiraan orang yang bakal mengakhiri alam bujang sukar digambarkan. Pohon-pohon yang menghijau kelihatan begitu indah. Langit yang membiru begitu menawan. Kilau embun pagi di hujung lalang dirasakan seperti kilau cincin berlian yang bakal disarung ke jari manis sebagai tanda ikatan kasih. Tiada saat yang paling manis selain saat hendak naik ke jinjang pelamin. Degup jantung bertambah kencang, perasaan malu tetapi mahu menggelora di dada.
Sebelum berkahwin, mestilah bertunang terlebih dahulu. Tidak pernah dibuat orang berkahwin dahulu kemudian bertunang, kecualilah istilah "kahwin" itu diubahsuai maksudnya. Bagi seorang gadis, saat menunggu rombongan lelaki datang meminang merupakan saat yang mendebarkan. Gembira dalam resah. Resah dalam bimbang. Bimbang dalam cemas. Namun dalam segala perasaan yang mencengkam itu, dicuri-curinya senyum seorang diri. Pelbagai perkara dikhayalkan, dari saat bersimpuh di depan Tok Imam, ketika pengantin lelaki tergagap-gagap melafazkan nikah sehinggalah ke saat malam pertama. Ah, malunya terkenagkan semua itu!
Seperti yang dikatakan bahawa jodoh di tangan Tuhan. Tatkala si gadis menunggu pinangan sang kekasih, pinangan pun tiba tetapi alangkah gundahnya hati, hancurnya perasaan bagai digilis jentera penggilis tanah. Gagal mencapai impian bukan perkara pelik. Pinangan ditunda adalah perkara biasa. Putus tunang berlaku di mana-mana. Tetapi cincin pertunangan sang kekasih bertukar jari pada hari dan saat yang dijanjikan merupakan sesuatu yang sukar diterima, apatah lagi jari baru itu adalah jari kakak sendiri. Alangkah sedih dan parahnya keputusan orang tua menerima pinangan lelaki yang dikasihi bagi pihak si kakak. Sang kekasih pula jenis lurus bendul, ikut semua telunjuk ibu bapa. Bercinta dengan si adik, bertunang dengan si kakak. Keadaan akan bertambah parah seandainya pasangan kekasih yang dinafikan jodoh itu pernah terlanjur.
Itulah azam manusia. Setiap kali menjelang tahun baru, manusia akan melafazkan azam baru. Ada yang tercapai dan ada pula yang gagal. Dan ada yang bukan sahaja gagal mencapai azam, malah terpaksa menanggung kesakitan yang berpanjangan kerana azam!
1 comment:
"Sepi itu indah.." Lady boss sometimes is very fussy...
Post a Comment