Wednesday, August 19, 2009

Ucapan "Selamat Tinggal" Itu Sakit!

"Selamat tinggal sayang, aku tetap mencintamu!"

Aku tak pasti dari mana ucapan ini masuk ke dalam kepala aku dan terakam kemas di dalam kotak ingatan sehingga sekarang. Kalau tak silap ungkapan ini berada dalam kotak ingatan aku sejak zaman persekolahan dahulu. Al maklumlah, masa muda remaja pantang jumpa ungkapan cinta pasti dikutip, dicatat dan dingatkan untuk dijadikan modal menulis surat.

Aku boleh dikatakan hebat juga bab menulis surat cinta. Ramai rakan sekolah yang minta aku menulis surat cinta untuk mereka. Dahulu mana ada telefon. Hanya surat yang menjadi utusan antara dua insan bercinta. Surat cinta - cinta padang pertama - mesti dikarang dengan gaya bahasa yang menarik dan sedikit memuji, barulah dibalas.

Beberapa hari lepas, sekali lagi aku diminta menulis surat cinta. Seorang lelaki berusia 50-an tahun jatuh cinta dengan seorang wanita muda dari negara jiran. Dia baru menerima surat daripada buah hatinya - surat itu ditulis panjang lebar - dalam bahasa yang tidak difahami lelaki berkenaan. Akulah yang jadi jurubahasanya.

Aku hairan kenapa tidak berutusan melalui telefon. Rupa-rupanya mereka ini satu itik dan satu ayam. Tiada bahasa lisan yang mampu menghubungkan mereka kecuali bahasa badan. Macam mana boleh bercinta kalau bercakap pun tidak faham. Bahasa badan - bahasa atas katil barangkali yang menyatukan mereka? Bahasa ini mudah difahami dan mudah menyebabkan orang jatuh cinta. Cinta itu buta.

Sudah dua tahun mereka bercinta. Sebelum ini ada jurubahasa yang menolong menulis surat untuk lelaki tua bercita rasa muda itu. Akan tetapi jurubahasa itu telah berangkat pulang ke negaranya - sama negara dengan si wanita tersebut. Entah macam mana dia boleh tersrampak dengan aku, lalu menghulurkan surat untuk aku baca, kemudian ceritakan isinya kepada dia. Dia begitu galak menunggu aku memberitahu perkhabaran daripada si jantung hatinya. Sewaktu aku membaca surat, dia menceritakan kisah percintaan mereka. Dia memberitahu bahawa dia amat mencintai wanita itu. Setiap bulan dia ada menghantarkan duit. Wanita itu berjanji akan datang ke tempat pertemuan mereka dahulu dalam masa terdekat ini. Sebab itulah dia bergembira sangat kerana bakal berjumpa dengan kekasihnya.

Belum habis aku membaca surat, aku mula naik risau. apa yang aku baca dengan apa yang dia beritahu seperti bercanggah. Dalam surat ada tertulis ungkapan "selamat tinggal" yang menyebabkan aku tertelan liur beberapa kali. Bagaimana aku mahu memberitahunya yang kelihatan begitu mencintai kekasihnya itu? Sedangkan kekasihnya telah mengucapkan "selamat tinggal" kepadanya dan minta dia mencari orang lain. Sebabnya tidak diberitahu. Namun, aku dapat menjangka. Dua keping hati yang bercinta apabila tinggal berjauhan, apa-apa sahaja bisa berlaku. Apatah lagi cinta yang berputik daripada bahasa badan di atas ranjang begini.

Ungkapan "selamat tinggal" walaupun diucapkan dengan perlahan, ia amat menyakitkan. Siapa yang pernah mengalaminya pasti tahu betapa sakitnya apabila orang yang kita sayangi dan cintai mengucapkan "selamat tinggal!" Walaupun alasannya mungkin untuk kebaikan bersama, namun sukar bagi kita menerima kenyataan itu.

"Apa dia kata?" tanya lelaki itu.

Hah! Aku tersentak.

"Dia ... dia sihat!" Aku tidak tahu bagaimana hendak memberitahunya perkara yang sebenar. Aku takut dia kecewa, sedih dan duka. Betul-betul aku buntu. Aku kemudian ceritakan apa yang patut dan tinggalkan perkara yang berkaitan dengan "selamat tinggal". Lama aku merenung wajah orang tua itu. Dia tertipu atau sememangnya cintanya hanya setakat itu?

"Awak tolong balas surat ni!" minta lelaki itu.

Alamak! Aku juga kena balas surat itu.

"Beritahu dia, saya sangat rindukan dia!"

Aku menolak permintaannya dengan alasan bahawa aku hanya pandai membaca tetapi tidak pandai menulis. Aku minta dia pergi cari orang lain sebagimana orang lain minta dia mencari aku. Dalam hati aku, aku betul-betul kesian kepada lelaki malang itu. Betapa sakit hatinya seandainya dia tahu bahawa dia telah diucapkan "selamat tinggal!" Dan pasti dia akan tahu suatu hari nanti!

Aku lebih rela sendiri sakit hati daripada melihat orang lain sakit hati. Mungkin ada orang yang tidak percaya akan kata-kataku. Namun, dia akan percaya juga suatu hari nanti apabila dia tahu bahawa aku tidak berbohong!

Monday, August 3, 2009

Kalau Anda Berada di Sini?

Ini bukan kisah aku. Aku tidak ada kisah seindah ini kerana kehidupan aku begitu mendatar. Hanya kehidupan yang berliku-liku dan beralun-alun sahaja menyimpan keindahan yang tiada bandingannya. Kehidupan aku sudahlah mendatar, tawar lagi. Bukan setakat tawar kerana tidak cukup gula seperti teh O tepi jalan, bahkan tiada kandungan gula langsung. Tawar jenis yang tidak mengundang selera sesaiapa pun untuk merasainya.

Oleh sebab itulah aku memilih untuk menulis kisah sahabatku. Kisah apa? Kisah cinta perantau yang pulang ke bumi bonda membawa jiwa yang lara. Dia ini pada waktu mudanya begitu jelita. Selalu menjadi siulan jejaka. Ke mana dia pergi, ada-ada sahaja mata yang terpukau. Kalau hendak dibesarkan cerita, siapa terpandang wajahnya, pasti tertelan air liur. Lelaki yang terpandang wajah dan tidak terpikat hanya lelaki buta. Lelaki yang ada mata seperti aku, berbohonglah kalah tidak terdetik perasaan kelelakian apabila berselisih jalan dengan dia.

Aku tidak mahir menggambarkan kecantikan wanita dalam bentuk tulisan kerana aku bukan sasterawan. Aku hanya penulis kaki lima. Oleh itu, anda bayangkan sendiri sahaja kejelitaan wanita yang aku angkat kisahnya ini sebagaimana anda membayangkan kecantikan bidadari di syurga. Bukankah menjadi impian anda mahu memeluk bidadari di syurga yang dikatakan amat jelita itu?

Kisahnya bermula di sini, di saat wanita pujaan ramai jejaka pulang dari perantauan. Dia merantau ke negara Eropah bukan mencari ilmu atau mencari pengalaman sebagaimana Puteri Raja dalam cerita purba. Dia merantau mengikut suaminya, anak tempatan yang mencari makan di bumi orang. Hasil perkahwinan atas dasar suka sama suka - cinta atau tak cinta aku tak tahu - mereka dikurniakan seorang putera. Selama 5 tahun mengecapi suka duka di bumi Mat Salleh, perkahwinan mereka dihampari jalan berduri kerana kemunculan orang ketiga. Akhirnya setelah segala jalan penyelesaian menemukan kebuntuan, mereka berpisah. Wanita jelita berusia 28 tahun jadi ibu tunggal dan pulang ke tanah air seorang diri. Anak lelakinya dijaga oleh suaminya.

Setelah pulang ke tanah air, wanita itu menyepikan diri buat sementara waktu. Seperti kebanyakan ibu tunggal yang lain, berapa lama dia bisa menyepikan diri. Kesunyian pasti menggigit jiwanya. Pengalaman hidup berdua bukan mudah untuk dilupakan begitu sahaja. Maka dia pun mula mencari kembali kebahagiaan yang hilang. Dia mencari kawan aku, bekas kekasihnya sejak zaman muda dahulu. Percintaan mereka - cinta pertama - menjerlus begitu mendalam tetapi kerana tiada jodoh, mereka tidak dapat hidup bersama.

Sepintas lalu kelihatannya tiada masalah. Seorang kekasih kembali ke dakapan pasangan lamanya. Namun, masalahnya lebih besar daripada Gunung Fuji. Kawan aku telah berumah tangga dan dikurniakan dua orang anak, seorang putera dan seorang puteri. Masalah bermula apabila si wanita jelita itu memperolehi nombor telefon kawan aku daripada seorang kawan yang lain. Maka setiap hari dia menghubungi kawan aku untuk meluahkan perasaan - betapa sunyinya kehidupan wanita muda yang ditinggalkan suami. Dia bagaikan terkapai-kapai di lautan lepas dipukul gelombang nafsu yang ganas. Serba salah kawan aku dibuatnya. Dia risau kalau isterinya mengetahuinya.

Pada masa yang sama dia juga kesian kepada wanita itu. Maklumlah orang pernah bercinta dan berkasih kalau tidak ada perasaan kasihan antara satu sama lain bukan orang namanya. Maka tanpa sedar perhubungan mereka menjadi lebih rapat. Mereka keluar makan bersama sambil bertukar-tukar cerita dan pengalaman. Kisah lama yang pernah dilalui bersama diimbau kembali. Segala janji yang tidak terkota diceritakan semula. Dan detik itu, detik hari ini dalam sejarah diulangi lagi di tepi pantai yang indah sebagaimana sewaktu mereka berpadu cinta dahulu.

Telefon kawan aku berdering. Isterinya menjawab. Wanita muda itu terus memanggil 'darling' dan disertai dengan kata-kata rindu kerana dia ingat yang mendengar itu kekasihnya. Kawan aku yang keluar dari bilik air terkejut dan tercengang melihat isterinya sedang berbual dengan kekasihnya. Akibatnya berlakulah perang besar.

Untuk pendekkan cerita, isteri tersayang memberi kata dua kepada kawan aku: "Aku atau si dia?"

Kata dua yang sukar dipilih. Kalau diikutkan hati, mahu memilih kedua-duanya, tetapi tidak mungkin. Isterinya tidak mahu bermadu. Bercerai? Ini pun bukan pilihan yang baik kerana dia dan isterinya ada pertalian saudara. Hubungan keluarganya dan keluarga isterinya bagai isi dengan kuku. Perceraian bermakna melukakan hati mereka.

Ah, lepaskan sahaja kekasih pembawa masalah itu! Bukan mudah juga kerana cintanya telah menjerlus begitu mendalam - siang dan malam asyik terkenangkan wanita itu. Lagipun wanita ibu tunggal itu seperti bertekad. Kalau orang boleh merampas suaminya, kenapa dia tidak boleh merampas suami orang.

Kenapa aku menyibuk dengan hal orang? Bukan aku menyibuk, jangan anda salah faham. Isteri kawan aku itu sahabat aku juga. Aku lebih dahulu mengenali perempuan itu sewaktu bengkel penulisan. Kami selalu bersembang tentang hasil penulisan. Oleh itu, aku dijadikan tempat meluahkan perasaan oleh dua orang sahabat - suami dan isteri. Aku kebuntuan kerana terpaksa menjaga dua keping hati yang aku rasa akan hancur luluh. Si suami tetap berdegil mahu meneruskan percintaan terlarangnya. Manakala si isteri bermati-matian tidak rela berkongsi suami. Anak-anak akan jadi mangsa keadaan.

Setelah keadaan semakin parah, aku menasihatkan mereka (sebenarnya memaksa) agar pergi berjumpa dengan pakar kaunseling rumah tangga. Mereka bersetuju. Masalah yang berat kelihatan sedikit ringan, tidak bergelora seperti sebelumnya. Sampai bila? Aku tidak mampu memberikan jawapan kerana aku tahu cinta pertama sukar dilupakan!

Kalau anda jadi kawan aku, apakah pilihan anda?