Saturday, December 27, 2008

Betulkah Suami Takut Isteri?

Siapakah si suami yang takut kepada isterinya? Pertanyaan ini kalau anda ajukan kepada seribu lelaki yang bergelar suami, maka tiada seorang pun akan mengaku. Lelaki amat sensitif apabila dituduh takut kepada isteri. Jangan pandai-pandai menuduh abang, atau pak cik, apatah lagi ayah anda takut kepada isteri, nanti kena sekeh kepala. Pandang lelaki seantero dunia - dari Maharaja sehingga ke Mat Ganja dikaitkan dengan queen control.

Memang tidak masuk akal suami dikatakan takut kepada isteri yang dicintai. Kalau takut dia tak akan peluk, dakap dan cium isterinya setiap malam. Kalau takut mereka tak akan dikurniakan putera dan puteri sehingga sedozen. Itupun kalau tidak terganggu oleh emak mentua yang selalu batuk-batuk malam hari, mungkin banyak lagi rezeki yang keluar. Isteri bukan harimau. Kenapa mesti ditakutkan. Alasan yang logik dan rasional. Lagipun, lelaki yang badannya besar dan tebal umpama batang durian akan takut kepada si isteri yang nipis dan ramping bak kerengga. Dalam mana-mana keadaan sekalipun sukar diterima akal seorang lelaki takut kepada wanita.

Dalam agama ada dijelaskan bahawa isteri yang mengingkari perintah suami, neraka tempatnya. Jadi, di sini suami sudah ada kelebihan. Justeru, mana-mana suami pun tidak boleh terima apabila dituding jari sebagai takut kepada isteri.

Kalau betul tiada suami yang takut kepada bini, kenapa begitu banyak kedengaran kata-kata begini keluar dari mulut lelaki: "Si Mamat kat luar bukan main galak, bila balik rumah menikus. Takut binilah tu" atau "Datuk tak boleh balik lewat, takut Datin marah" atau "Ada terlintas nak buka cawangan baru, tapi takut orang rumah mengamuk." Kata-kata begini menggambarkan ada suami yang gerun kepada isterinya. Tetapi apabila ditanya, tiada seorang pun yang mengaku.

Rupa-rupanya sesetengah lelaki ada sejenis penyakit iaitu penyakit suka menuduh lelaki lain takut kepada bini. Entahlah kalau dikatakan sikap semula jadi lelaki atau tidak tetapi hakikatnya apabila dibangkitkan soal takut kepada bini, semua lelaki akan menuding kepada lelaki lain, tidak kepada diri sendiri. Lelaki memang pandai menuduh orang lain queen control.

Banyak perkara yang dikaitkan dengan sikap suami yang takut kepada bini. Perkara-perkara tersebut dijadikan sebagai bukti bahawa si suami berkenaan hidup di hujung telunjuk isteri. Salah salahnya ialah balik tepat pada waktu. Sekiranya ada lelaki yang balik rumah tepat pada waktu, tanpa sedikit pun terlewat, pasti segera dilabel sebagai takut kepada bini. "Takkan datang pejabat punch card, balik rumah pun kena punch card juga, bang!" Sindiran halus tetapi tajam. Orang yang mendengar hanya tersengih-sengih kerana memahami maksudnya. Betulkah balik cepat ke rumah ada konotasi dengan sikap takut kepada bini? Jadi, bagi yang balik rumah pukul 12.00 malam tidak takut kepada isteri?

"Meeting apa abang ooi sampai pukul 12.00 malam?"

Bukan takut kepada isteri tetapi malas memekakkan telinga dengan benda-benda yang remeh. Isteri kurang percaya kalau diberitahu mesyuarat tamat jam 10.00 malam, lepas itu bawa client dari luar negara pergi makan dan sedikit entertainment. Sekali-sekali bolehlah, tetapi kalau hari-hari asyik dengan alasan mesyuarat, lali telinga isteri. Perempuan apabila telinga telah lali, maka apa sahaja yang suami perkatakan, sekadar masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan. Daripada dibebel-bebel tidak keruan, ada baiknya balik cepat seandainya betul-betul tiada alasan untuk lewat. Bukan takut kepada isteri tetapi sayang kepada gegendang telinga.

"Selepas sidai kain, jangan lupa siram bunga, ya bang!"

Apabila ada orang nampak si suami membasuh dan menyidai kain, orang akan kata itulah suami Mithali. Sekiranya dilihat pula dalam longgokan kain yang disidai itu terdapat pakaian dalam si isteri, maka dengan pantas akan dikatakan itu bukan suami Mithali sembarangan tetapi Mithali segala Mithali.

Apatah lagi seandainya si suami selepas sidai kain, siram bunga, terpaksa pula basuh kasut sekolah anak-anak. Sedangkan si isteri asyik memberi arahan dari sofa sambil menonton TV.

"Kenapa gaji bulan ini kurang, bang?"

Apabila mendengar pertanyaan begini, sahihlah si isteri adalah akauntan rumah tangga kerana semua urusan kewangan, termasuk gaji bulanan suami diperiksa dan dieditnya. Setiap kali keluar gaji, suami mesti serah kesemua gajinya kepada isteri untuk disimpan. Apabila mahu membeli barang atau keperluan tertentu, suami mesti minta daripada suami. Bab meminta duit daripada isteri, kekadang menyebabkan suami berfikir dua kali. Masakan tidaknya kerana setiap kali minta, semput nafas dibuatnya. Nak beli apa? Berapa harga? Kedai mana? Brand apa? Berapa diskaunnya? Pendek kata, 1001 soalan mesti dijawab sebelum mendapat RM50.00 untuk tukar selipar yang koyak. Suami begini, suami yang melantik isteri sebagai akauntan, sering menjadi sasaran tuduhan takut kepada bini.

Suami yang boros adalah elok kalau isteri yang kawal perbelanjaannya. Maklumlah orang boros sinonim dengan tidak kedekut. Orang tidak kedekut bererti bermurah hati. Orang bermurah hati tidak sayang membelanja kawan makan atau minum. Tidak salah sekali-sekali membelanja kawan makan atau minum, malahan mendapat pahala dan digalakkan oleh agama. Yang menjadi takut sekiranya kawan yang dibelanja makan atau minum itu bukan kawan biasa tetapi Cik Ziana, Miss Wong, atau Kavitha. Silap-silap kerana terhutang budi, dibalas dengan body. Ini yang menjadi ketakutan para isteri. Justeru, adalah baik sekiranya bertindak jadi akauntan kepada si suami.
Si isteri yang kaya, jelita dan seksi menjadi penyebab suami terseksa. Suami sering serba salah apabila berhadapan dengan situasi tertentu dengan isteri yang kaya, jelita dan seksi tetapi kuat mengarah. Membantah kata-katanya, takut dia lari. Sayang juga kalau dia lari pergi kahwin sama jantan lain. Kalau terkena dengan jenis yang sikit-sikit minta cerai, pengsan suami dibuatnya. Dengan segala kelebihan yang dimiliki, isteri zaman sekarang apabila tersekat angin, langsung minta cerai. Mahu tidak mahu suami terpaksa akur segala kehendak isteri, termasuk babak di atas katil - kehendak isteri dari hujung kaki sehingga ke hujung rambut mesti dipenuhi.

Si isteri kadang-kadang berasa bangga apabila dapat mengarah suami melakukan itu, melakukan ini. Kalau boleh biar semua kerja rumah si suami yang buat. Angan-angan si isteri yang jadi suri rumah biarlah si suami dalam seminggu, 6 hari jadi pengurus atau CEO syarikat dan 1 hari jadi house husband. Sedangkan dia dalam seminggu, kesemua 7 hari jadi Queen Control. Angan-angan tersebut tidak kosong kerana ramai sudah isteri membuktikan yang mereka berjaya merealisasikannya.

"Suami akak ikut apa saja akak cakap. Akak suruh cuci kain, masak nasi, goreng telur, sapu rumah, tukar cakar, mop lantai, buang sampah, malah cuci tahi kucing depan pintu, semua dibuatnya tanpa bantah. Suami orang lain, jangan harap. Kawan-kawan akak puji akak dapat suami seperti abang Najib tu!"

"Jangan-jangan benda tu pun suami kakak yang cuci!"

"Issh, kamu ni!"

Para isteri memang berbangga apabila dapat menceritakan penguasaannya ke atas suami. Kemenangan insan yang lemah ke atas insan yang gagah. kembang hidung isteri apabila mendengar orang kata dia pandai menjinakkan suami, yakni menakutkan suami.

Suami tidak dapat terima penggunaan istilah takut kepada isteri. Mereka lebih gembira apabila istilah tersebut digantikan dengan istilah menyayangi isteri, atau menghormati isteri. Walau bagaimanapun istilahnya, tuduhan "takut kepada isteri" tidak akan hilang selagi kepatuhan suami kepada isteri melampaui norma seorang suami sebagaimana dibenarkan oleh budaya dan agama kita.












Monday, December 15, 2008

Siapa Dia Sebelum Daku

Jodoh di tangan Tuhan. Semua orang pun tahu. Tetapi jodoh tidak akan datang menggolek. Jodoh mesti diusahakan. Kata pepatah Tuhan tidak akan mengubah nasib orang yang duduk berpeluk tangan. Oleh demikian, cari pasangan terlebih dahulu barulah membiarkan Tuhan menentukan jodohnya. Kalau ada jodoh, maka kahwinlah. Kalau tak ada jodoh, carilah yang lain. Kumbang bukan seekor dan bunga bukan sekuntum.

Pasangan mestilah sesuai kerana kalau tidak sesuai perkahwinan tidak kekal lama. Jangan kata pasangan manusia, pasangan lembu yang akan dipasangkan untuk membajak sawah pun mesti sesuai. Kedua-dua ekor mesti serasi dan tahu tugas masing-masing. Sekurang-kurangnya lembu berkenaan mesti faham bahasa lembu, "sok ... sok, cih...cih!" Sekiranya salah seekornya tidak tahu membajak, kira masih boleh dilakukan kerana boleh dipimpin oleh yang seekor lagi. Tetapi kalau kedua-duanya langsung tidak reti, lupakan sahaja pasal niat hendak membajak sawah kerana semuanya sia-sia.

Orang pun sama. Kalau hendak mendirikan rumah tangga, mesti tahu tugasan dan tanggungjawab terlebih dahulu. Suami mesti tahu tugas dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri mesti tahu tugas dan tanggungjawab seorang isteri. Selepas dikurniakan cahaya mat, kedua-duanya mesti tahu tugas dan tanggungjawab seorang bapa dan seorang ibu. Setelah itu barulah mencari jodoh. Orang tua-tua ada berpesan, mencari jodoh tidak boleh sembarangan. Jodoh jenis tangkap muat atau jenis terserempak di pintu Pasar Budaya, di laman KLCC atau di kaki lima Kota Raya tak boleh pakai. Jodoh jenis berkenalan melalui internet, bercinta-cintan dalam talian, bertukar-tukar foto di skrin komputer dan sebulan dua kemudian berjanji untuk sehidup semati jangan diamalkan. Rumah tangga bahagia tidak semudah melafazakan "I love you, you love me!" Love mi maggi bolehlah diwenang-wenangkan, tetapi "love" yang bermaksud cinta kepada calon suami atau isteri tidak boleh cincai-cincai.

Orang tua-tua berpesan kalau hendak mencari calon isteri atau calon suami carilah yang teguh pegangan agamanya. Ini penting. Orang yang baik-baik semuanya kuat pegangan agamanya. Oleh itu, mendapat orang yang ada pegangan agama dapat menjamin kebahagiaan hidup berumah tangga. Walaupun tidak semstinya begitu, tetapi sekurang-kurangnya orang teguh pegangan agamanya lebih baik daripada orang jahil agama. Namun, hendak cari pasangan yang beriman, kita pun kena jenguk diri sendiri. Kalau diri sendiri jahil tukil, sukar sikitlah hendak berpelamin dengan orang beriman. Jadi, sebelum mengintai anak Tok Imam Masjid, muhasabah diri dahulu agar jurangnya antara kita dengan dia tidak jauh sangat.

Kalau kita jenis gemar menghafal lirik lagu Mawi, manakala dia jenis menghafal al-Kitab, lupakanlah hasrat di hati kerana akan susah di kemudian hari. Atau kita jenis penunggu panggung wayang, sedangkan dia jenis penunggu masjid atau surau, berfikirlah dua kali.

Orang kuat pegangan agama juga ada banyak jenis dan fesyennya. Kita mesti tahu jenis mana dan fesyen mana yang kita suka. Jenis yang mengikut Al-Arqam, Ayah Pin atau yang bagaimana semuanya mesti ditetapkan dahulu. Kalau pakai tudung, tudung yang bagaimana. Tudung jenis labuh atau jenis singkat, atau jenis yang tutup lingkup hanya tertinggal dua biji mata sahaja. Ini penting agar kita tidak bertengkar pasal tudung sesudah berkahwin kelak.

Walau apapun, pasangan yang kedua-duanya mempunyai keteguhan agama lebih terjamin keberkatan dan kebahagiaannya daripada pasangan yang jahil kedua-duanya. Atau sekurang-kurangnya si suami mesti tahu ajaran agama kerana dialah bakal menjadi pemimpin dan guru kepada keluarga.

Keteguhan agama semata-mata tidak cukup kerana keturunan juga menjadi penentu kehidupan seseorang. Orang dahulu teramat menitik-beratkan keturunan apabila mencari jodoh kepada anak-anak. Keturunan baik-baik biasanya akan mencari jodoh di kalangan keturunan baik-baik juga. Misalnya, bangsawan akan menjodohkan anak mereka dengan bangsawan juga. Tetapi itu cerita dahulu, cerita zaman orang berjalan kaki atau naik kereta lembu. Cerita sekarang, zaman orang kembara ke angkasa lepas sudah berbeza. Soal keturunan kurang dijadikan alasan menghalang jodoh anak-anak. Namun, dalam sesetengah hal keturuna masih penting terutama bagi keluarga yang tidak mahu anak cucunya berdarah kacukan antara kaum atau bangsa.

Kesempurnaan sifat jangan dipandang rendah, jangan diambil mudah. Bukan menghina orang yang tidak sempurna akal atau anggota badan, tetapi jodoh yang sempurna akal dan anggota badan dapat mengelakkan kesusahan kemudian hari. Orang yang ada masalah akal dan anggota tubuh, terutamanya si suami pasti menyukarkan kehidupan. Walau bagaimanapun, cacat anggota badan masih dapat diterima, tetapi cacat akal, gila atau sewel mintalah dijauhkan. Sebaik mana keturunannya, kalau gila, tetap juga gila. Sukar dibayangkan bagaimana mengecapi kebahagiaan apabila hidup dengan suami atau isteri yang kakinya dirantai dengan tiang.

Kesihatan jangan ditolak ke belakang. Mungkin masa tengah dilamun cinta, ada pasangan yang berkata,"demi cinta kami sanggup mati bersama termasuk mati kerana menghidap Aids." Cakap memang senang tetapi realiti kehidupan berkeluarga tidak semudah itu. Betapa membaranya cinta, kalau sekadar cinta yang diselaputi nafsu, selepas kahwin kuranglah baranya. Selepas bara telah hilang, jangan kata mati bersama, susah bersama pun tidak sudi. Oleh itu, tidak usah mengabaikan bab penyakit. Sekarang ini banyak penyakit berbahaya menyerang manusia, misalnya Aids, barah, sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, sawan babi dan sebagainya. Berkahwin dengan pasangan yang menghidap penyakit bakal mengundang sengsara, bukan kepada kita berdua tetapi kepada seluruh sanak saudara. Kalau mendapat anak, anak ikut menanggung sengsaranya.

Malah penyakit panau yang membunga di seluruh belakang juga tidak indah dipandang. Kurap di celah jari juga menggelikan mata. Pendek kata, berhati-hatilah memilih pasangan agar niat di hati ingin memeluk suami atau isteri tersayang tetapi rupa-rupa terpeluk HIV sekali.

Harta juga tidak boleh diterlepas daripada saringan. Rasanya tidak ramai yang suka kepada pasangan yang miskin harta. Rata-rata mahu kahwin dengan orang kaya. Kalau tidak percaya, tanyalah kepada Minah lepak di depan Suria KLCC sama ada mahu nikah dengan orang kaya atau orang miskin. Pasti jawapannya seperti yang kita jangka iaitu orang kaya. Jawapan yang rasional. Sebab itulah ramai yang bermimpin siang malam agar dapat diketemukan jodoh dengan Datuk, Tan Sri atau usahawan berjaya. Malah lelaki pun kalau diberikan pilihan rasanya ramai yang memilih isteri kaya.

Pasangan mesti sepadan sebagaimana kata bidalan bagai pinang dibelah dua. Tidak dinafikan bahawa ramai lelaki mahu isteri yang jelita. Wanita jelita banyak kelebihannya. Berkepit dengan orang jelita dapat melahirkan satu kebanggaan apatah lagi apabila ada pemuda sewel di kaki lima bersiul-siul dan bersiuup-siuup melihat pasangan kita. Kerana faktor kecantikan dan kejelitaan inilah maka Datuk, Datuk Seri, Menteri atau Setiausaha Politik terkejar-kejar artis jelita, ternama lagi seksi. Nampaknya penyakit menyukai wanita cantik ini bukan penyakit orang biasa-biasa tetapi penyakit orang kaya, bangsawan dan kaum kerabat.

Kalau semua mahu kahwin wanita jelita, wanita yang tidak jelita nak kahwin dengan siapa? Kahwin sesama wanita bukan budaya kita. Jangan lupa bahawa apabila kita memilih orang, orang juga akan memilih kita. Wanita pun kalau ikut kemahuan mahu memilih lelaki tampan dan kacak sebagai pasangan. Tidur dengan orang tampan dan kacak hangatnya tidak sama dengan orang biasa-biasa. Menyembam muka di dada Shah Rukh Khan atau Brad Pitt atau Christian Ronaldo tentu tidak sama dengan menyembam muka di dada Mamat Pasar Borong.

Oleh itu, pilihlah pasangan yang sepadan dengan kita. Tidak usah mengejar yang jelita atau yang kacak kerana silap-silap yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

Perkara terakhir yang tidak kurang pentingnya ialah setelah jodoh ditetapkan, lupakan segala perkara yang lepas. Jangan selapas kahwin timbul soalan "siapa dia sebelum daku" kerana soalan ini bakal menjahanamkan rumah tangga.

Walau apapun, memilih jodoh mesti ada batasannya kerana terlalu memilih akan menyebabkan kita sukar mencari pasangan. Jumlah mereka yang menjadi andartu (anak dara tua) dan antertu (anak teruna tua) telah banyak. Oleh itu, kita janganlah menambahkan lagi jumlah tersebut!




Saturday, December 13, 2008

Buruk Padah Membohongi Kanak-Kanak

Sewaktu kanak-kanak dahulu kita sering sahaja ditipu dan dibohongi orang-orang tua. Ibu bapa kitalah paling banyak membohongi kita. Tetapi kita terus sahaja percaya tanpa mempertikaikan pembohongan tersebut. Maklumlah fikiran kanak-kanak tidak setajam fikiran orang-orang tua. Lagipun sejak mencelik mata kita diajarkan supaya mempercayai kata-kata orang yang lebih tua. Jadi, zaman kanak-kanak merupakan zaman yang dikelilingi penipuan dan pembohongan.

Sekiranya orang-orang tua takut budak-budak bermandi sungai, terutama sungai yang luas dan deras alirannya, mereka akan menipu bahawa sungai itu ada buaya. Kerana takut dibaham buaya, maka selamatlah budak-budak daripada mati lemas. Kadang-kadang kalau buaya tidak berkesan, mereka akan menukar pula dengan hantu air. Kononnya, hantu air adalah perempuan, oleh itu dia suka sangat dengan budak-budak lelaki yang mandi bogel. Dulu kita memang suka mandi bogel kerana kalau mandi pakai seluar nanti balik rumah emak tahu tentu kena piat. Hantu paling popular dijadikan topik membohongi kanak-kanak. aneka jenis hantu digunakan untuk menakutkan kanak-kanak.

Untuk mengelakkan budak-budak panjat pokok pisang kerana takut patah, orang-orang tua mencipta cerita bahawa sesiapa panjat pokok pisang akan menjadi tempang. Kerana takut tempang, maka tiada siapa berani panjat pokok pisang.

Bagi kanak-kanak yang suka menangis, menakut-nakutkan dengan "orang gila" amatlah mujarab. Sebut sahaja "Dollah Gila" atau "Jusoh Gila" pasti tangisan akan berhenti. Entah mengapa kanak-kanak, termasuk aku takut kepada orang gila walaupun tidak pernah diapa-apakan oleh orang gila. Malah kebanyakan kanak-kanak akan terus diam apabila disebut "orang gila".

Apabila usia meningkat seputuh atau sebelas tahun, menipu dengan "orang gila" tidak akan berkesan lagi kerana kanak-kanak seusia ini sudah dapat membezakan orang normal daripada orang gila. Orang-orang tua memang kreatif dalam bab menjaga keselamatan kanak-kanak. Mereka cari cerita lain pula. Ketika aku darjah lima, cerita paling sohor, lebih sohor daripada Titanic atau Superman ialah cerita "potong kepala budak". Al-kisahnya penipuan yang ngeri dan gerun ini bermula apabila budak-budak yang sedang membesar gemar merayau jauh dari kampung sendiri.

Dengan basikal buruk, kanak-kanak terutama lelaki akan berkayuh sehari tumas ke kampung-kampung lain yang adakalanya melintasi sempadan daerah. Ibu bapa bimbang. Maka diciptakan cerita kononnya setiap kali ada pembinaan jalan kereta api, kepala budak diperlukan untuk memuja semangat kereta api. Pihak yang berkenaan akan hantar orang-orangnya mencari kanak-kanak dengan kereta khas. Kanak-kanak akan ditangkap dan disumbat ke dalam kereta untuk dibawa ke tempat pemujaan. Pembohongan ini barangkali berakar umbi daripada perihal "landasan kereta api maut di Sungai Kwei, Thailand" yang meragut ramai nyawa rakyat Malaysia.

Kerana percaya akan cereka "potong kepala budak", maka setiap kali terlihat kereta yang pelik, kita akan cepat-cepat lari ke dalam sawah. Pernah sekali sewaktu aku bersama kakak jalan pulang dari sekolah, sebuah kereta berhenti di depan kami. Kami berlari ke dalam sawah yang airnya paras betis. Jauh kami lari kerana ketakutan. Apabila berpaling ke belakang, aku terlihat seorang perempuan sedang memanggil kami sambil melambai-lambai. Ingat "pemancung kepala Keretapi Tanah Melayu, rupa-rupanya Mak Cik kami yang dalam perjalanan balik dari Siam. Tetapi segalanya sudah terlambat kerana aku dan kakak sudah jadi seperti anak kerbau berkubang.

Seribu satu cerita digunakan untuk menipu budak-budak, bukan apa, demi kebaikan budak-budak juga. Budak-budak kalau tidak ditipu tidak akan mendengar cakap. Malah hendak menyuapkan nasi pun mesti ditipu. Kalau tidak mahu makan, nasi akan disuapkan kepada kucing atau anjing.

Itu kisah budak-budak zaman dahulu. Kanak-kanak zaman sekarang sudah cerdik dan sukar ditipu atau dibohongi. Malah pakar psikologi melarang ibu bapa berbohong kepada anak-anak kerana akan meninggalkan kesan yang negatif kepada emosi. Misalnya, kanak-kanak yang selalu dibohongi dengan hantu, apabila besar akan menjadi penakut hantu. Malah kemungkinan kanak-kanak tersebut akan menjadi pembohong.

Oleh itu, jangan menipu kanak-kanak. Di bawah ini aku petik kisah menipu kanak-kanak yang membawa padah yang aku baca dalam internet untuk dijadikan iktibar.

Kisahnya bermula dengan seorang lelaki sedang berbaring sambil berbogel untuk berjemur mentari di tepi pantai peranginan. Maklumlah Mat Salleh, pantang melihat cahaya matahari pasti akan berjemur. Kebetulan seorang kanak-kanak perempuan lalu di situ. Lelaki tersebut cepat-cepat menutup si anunya dengan kertas surat khabar. Budak itu bertanya, "apa yang ditutup?" Lelaki itu menjawab, "burung!" Budak itu pun beredar pergi.

Kerana kenyamanan hembusan dan kehangatan pancaran suria, lelaki itu terlelap. Apabila tersedar, dia dapati dia berada di hospital. Seluruh badannya terasa sakit. Dia cedera dan begitu sukar menggerakkan badannya. Polis datang menyiasat dan bertanya orang terakhir yang dijumpai lelaki malang tersebut. Lelaki itu berkata dia berjumpa dengan seorang budak perempuan sekian-sekian.

Polis datang ke pantai dan kebetulan berjumpa dengan budak perempuan sedang bermain pasir. Polis bertanya, sama ada budak itu mencederakan seorang lelaki yang tidur di pantai. Budak itu dengan selamba berkata bahawa dia tidak mencederakan lelaki yang baik hati itu. Dia hanya bermain dengan burung lelaki itu, tetapi burung tersebut meludah tangannya. Kerana marah dia mematahkan leher burung, memecahkan telurnya dan kemudian membakar sarangnya. Polis tercengang seketika kerana tidak tahu apa akan dilakukan seterusnya!

Itulah yang aku katakan, jangan berbohong kepada budak, buruk akibatnya!

Tuesday, December 9, 2008

Perigi Cari Timba

Apabila membelek Kamus Dewan Edisi Ketiga (1997) tidak jumpa pula perabahasa "perigi cari timba", sedangkan peribahasa ini meniti bibir masyarakat sejak aku belum reti pakai seluar dan sehingga sekarang masih diperkatakan lagi. Barangkali penyusun kamus tak berani masukkan sebagai entri kerana takut apabila kamus itu diterbitkan, kebetulan isteri seorang penulis cerpen atau novel membacanya (penulis mesti membaca kamus) dan bertanya: "Ini keraja siapa ni, kerja abang?" Susah juga hendak menjawab kerana takkan perkara sekecil ini pun hendak berbohong kepada isteri.

Perkara kecil bagi lelaki tetapi perkara besar bagi perempuan. "Perigi cari timba" kasar dan tidak sopan dilafazkan di depan perempuan. Pantang perempuan mendengarnya, apatah lagi seandainya ada orang menyindirnya dengan peribahasa ini, pasti berperang besar. Kalau kena jenis yang berbibir nipis, sumpah seranahnya memecahkan telinga. Mana-mana perempuan di dunia ini tidak sukar dikaitkan dengan perigi mencari timba. Malah perempuan yang terkenal dengan sikap penggodanya sekalipun tidak dapat terima kalau digelar perigi cari timba kerana kedengarannya terlalu kurang sopan.

Yang peliknya peribahasa "enau memanjat sigai" yang mempunyai maksud yang sama dengan "perigi cari timba" ada dalam Kamus Dewan. Malah peribahasa "enau sebatang, dua sigai" yang mendukung maksud yang lebih teruk juga ada. Barangkali perkataan "perigi" itu tidak sedap didengar. Dalam Kamus Dewan, perigi diberikan maksud lubang untuk mendapatkan air, atau sumur. Perigi buta ialah perigi yang tidak mengandungi air lagi dan perigi wakaf ialah perigi untuk digunakan oleh orang ramai. Jadi, perigi ada pelbagai jenis.

Berbalik kepada "perigi cari timba", entah siapa yang menciptakan peribahasa ini. Ini peribahasa baru kerana dahulu tidak ada atau terlalu kurang "perigi cari timba" kerana yang jenuh hanya "timba cari perigi". Timba cari perigi memang banyak dan terdapat di mana-mana sahaja sama ada di sawah, di bendang, di kebun atau di dalam semak di belakang rumah. Tidak kira waktu pagi, tengah hari, petang, senja, malam, larut malam, atau subuh, timba cari perigi boleh sahaja muncul. Rumah yang ada simpan anak dara, anak gadis, anak yang tak dara dan tak gadis, mak janda, janda tunggal, atau janda tak tunggal, timba jenis cari perigi ini pasti akan muncul siang dan malam. Malahan tunang orang atau bini orang sekalipun, tidak terkecuali daripada menjadi tumpuan timba jenis tebal muka, nipis iman ini.

"Tunang orang atau bini orang, kalau kena dengan caranya mudah dijinak atau dijebak daripada anak dara orang." Aku sudah terlupa aku mendengar dari mana kata-kata ini. "Antara tunang orang dengan bini orang pula, bini orang lebih mudah!" Siapalah yang mencipta teori penuh dosa-dosa ini sehingga terperangkap di dalam ingatan aku. Apa jadahnya sehingga aku pergi mengingat benda karut begini?

"Timba cari perigi" sudah klise dan tidak ada nilai berita lagi umpama suami pukul isteri kerana yang ada nilai berita mesti isteri pukul suami. Oleh hal yang demikian rupa, maka kisah "timba cari perigi" diterbalikkan kepada "perigi cari timba" kerana nilainya tinggi. Seperti yang aku katakan tadi, zaman dahulu perigi cari timba sangat kurang, tetapi zaman sekarang tiba-tiba menjadi jenuh, lebih jenuh daripada timba cari perigi. Maklumlah, nisbah antara perigi dan timba tidak seimbang. Semakin hari timba semakin berkurang - mati perang, korban jalan raya dan mangsa Aids setiap tahun bukan sedikit. Kerana takut air melimpah perigi, maka terpaksa mencari timba untuk mencedok air keluar. Asyik menunggu sahaja entah bila akan didatangi timba. Daripada membiarkan timba idaman yang diperbuat daripada upih nibung tenggelam ke dalam perigi rumah sebelah, lebih baik pergi mencarinya terlebih dahulu.

Perigi cari timba ada pelbagai jenis. Ada perigi tua mencari timba muda. Ada perigi muda mencari timba tua. Ada perigi yang mencari timba sebaya dengannya. Malah perigi cari perigi pun ada. Walaupun kedengarannya pelik, "perigi cari perigi" tetapi perubahan zaman memungkinkan apa sahaja boleh terjadi. Begitulah juga dengan "timba cari timba" yang boleh dilihat di mana-mana, terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Semuanya terpulang kepada citra dan selera masing-masing.

Perigi tua cari timba muda umpama kambing tua mendapat pucuk muda. Pucuk muda memanglah sedap. Mana-mana binatang, rusa, kambing walhal lembu minat sekali dengan pucuk muda kerana rasanya lain daripada daun tua. Orang pun suka dengan pucuk muda untuk dijadikan ulam. Pucuk muda kalau kena dengan lawannya - sambal belacan, cencaluk, budu, tempoyak dan sebagainya mengikut kesukaan masing-masing boleh menambah selera sehingga dua kali tambah nasi.

Kalau anda pernah ke Singapura, kalau anda jenis suka menjaga tepi kain orang seperti aku, anda akan melihat "perigi tua" yang kaya dan ada kelas mengepit "timba muda" yang dikebas dari IPTA atau IPTS di Malaysia untuk dibawa pergi shopping, makan dan tidur. Singapura selamat kerana tidak ada "penjaga moral" masyarakat seperti Malaysia. Kalau hendak dikatakan dengan lebih sesuai, peribahasa "enau sebatang, dua sigai" lebih tepat kerana "perigi tua" itu sememangnya sudah ada "timba tua" di rumah. Tetapi alang-alang menceluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan, (tapi jangan sampai mencecah bulu ketiak), alang-alang mencari timba, biarlah yang muda perkasa barulah puas hati.

Perigi tua mencari timba tua bukan tidak ada tetapi jarang. Walaupun mencari timba dipandang tidak elok, tetapi kalau sebaya tidak menjolok mata sangat. Begitu juga dengan perigi muda yang mencari timba muda telah dianggap perkara biasa pada zaman IT ini. Maklumlah dalam kebanyakan hal manusia terpaksa mendapatkan sesuatu dengan berebut. Siapa cepat dia dapat. Sebab itulah sering kali kita kedengaran ada perigi bergaduh kerana berebut timba yang satu itu. Malah yang lebih dahsyat dibawa sehingga ke mahkamah. Aduhai, masalah perigi berebut timba dan timba berebut pergi tidak pernah habis-habis. Sedihnya, ada perigi yang terpinggir tanpa timba dan timba tersisih tanpa pergi.

Yang sangat membimbangkan, sekurang-kurangnya oleh perigi-perigi yang lain ialah perigi muda yang mencari timba tua. Semua orang maklum bahawa kebanyakan timba tua sudah berpunya perigi sendiri. Tetapi perigi muda apa peduli. Bukan timba yang dikehendakinya sangat tetapi harta yang bakal dikikisnya. Perigi jenis pisau cukur ini ada di mana-mana termasuk menara gading. Penampilannya yang bergaya dan manja serta seksi boleh menyebabkan timba tua yang kerepot kembali menjadi muda dan segar bugar. Dengan perigi di rumah, sebulan sekali tidak pernah mencedok air, tetapi dengan perigi yang baru dua tiga kali seminggu sap-sap soi. Ini bukan timba sembarangan, mungkin diperbuat daripada upih nibung tunggal di tengah rumpun.

Timba tua atau sederhana tua yang kaya dan berharta sering menjadi sasaran perigi muda lagi seksi ini. Sekali terperangkap sukar untuk melepaskan diri. Timba tua mendapat perigi muda sama penyakitnya dengan perigi tua memperolehi timba muda iaitu penyakit ketagih pucuk muda. Perihal pucuk muda ini menjadi barah dalam masyarakat manusia sejak sekina lama. Kerana pucuk muda, berbaldi-baldi air mata menitis, beratus-ratus talak dilafaz dan berduyun-duyun bergelar duda dan janda. Semata-mata pucuk muda, mahligai cinta yang dibina puluhan tahun roboh dalam sekelip mata.

Pucuk muda jenis "sugar daddy" paling menakutkan dan menggerunkan, malah memalukan kerana apabila berjalan beriringan bagaikan datuk dengan cucunya. Al-kisah diceritakan dalam corong radio seorang anak duka nestapa kerana bapanya ada simpan "sugar daddy" yang sekelas dengan dia di universiti. Si anak ini bukan bimbang bapa dia beli rumah, kereta, barang kemas kepada pucuk mudanya, tetapi dia takut ibunya tahu. Kalau ibunya tahu, pasti lemah lutut dan longlai jantung atau barangkali terus good bye kerana ibunya menghidap penyakit darah tinggi. Kepada bapa-bapa dan datuk-datuk (terutamanya Dato', Dato' Seri, Tan Sri dan Tun) yang banyak harta dan tidak tahu hendak dibelanjakan ke mana, carilah rumah kebajikan daripada menyara pisau cukur cap Gillette yang tajam itu. Sekali dicukurnya, bukan setakat misai atau janggut, bahkan bulu ketiak, bulu lengan, betis, tengkuk walhal bulu segala bulu habis licin.

Sebelum mengakhiri cerita, ada baiknya disentuh sikit pasal "perigi cari perigi" dan "timba cari timba". Kalau perigi cari timba dianggap kurang sopan, perigi cari pergi dan timba cari timba dianggap macam mana? Tentulah dianggap luar biasa dan dipandang hina. Sekarang banyak perigi mahu jadi timba dan timba mahu jadi perigi. Malah ada yang sampai membutakan Tok Imam menikahkan perigi sama perigi. Nasib baik, bapa mentua ada pengalaman, pergi menggegau-gegau, barulah pecah rahsia. Betapa songsangnya dunia hari ini.

Dan kalau boleh tak usahlah menjadi "perigi cari timba" atau "enau memanjat sigai" kerana akan menjejaskan maruah diri. Tetapi seandainya terpaksa kerana tidak sabar menunggu, uban pun suduh tumbuh, carilah dengan bijak supaya tidak dipandang serong.

Sunday, December 7, 2008

Banjir Mengundang Cinta

Apabila menjelang musim banjir, perkara pertama yang terbayang-bayang di kepala aku ialah keluar ke Bandar Kota Bharu untuk bermain banjir. Mengharung air banjir sambil berpayung tatkala hujan renyai-renyai di Kota Bharu ada keistimewaannya yang tersendiri yang tidak ada di kampung halamanku. Keistimewaan yang aku maksudkan ialah mencari cinta yang datang bersama banjir!

Apabila banjir orang tua bersama kebimbangannya manakala orang muda bersama keseronokannya. Orang tua bimbang, takut dan risau terhadap seribu perkara. Padi dibendang belum habis dituai, ubi di kebun belum habis digali, kalau seluruh kampung ditenggelami air, binatang peliharaan akan dibawa ke mana dan seandainya hujan masih mencurah, air hulu semakin bertambah, arus sungai semakin deras, tebing tanah bakal pecah dan menghanyutkan rumah-rumah di sekitarnya. Semuanya menambahkan bimbang orang tua.

Orang muda pula seronok, riang, dan gembira. Banjir bagi mereka sumber rezeki - memukat, memancing dan menukil menjadi pilihan utama orang muda mengisi musim bah. Mendayung sampan, mengalah rakit menjadi mainan anak-anak remaja. Malah tidak kurang yang mengambil kesempatan mencari jodoh, mengintai pasangan. Membina mahligai cinta pada musim banjir begitu indah. Bermain cinta dalam rintik hujan, di permukaan hening air adalah pengalaman yang sukar dilupakan. Sambil bersampan atau berakit membelah lautan banjir di dada sawah saujana mata memandang, suara gurau senda muda-mudi bersama kecipak pendayung menampan air dan hamburan ikan menyambar belalang adalah lagu cinta anak-anak pesawah.

Bagi pengantin baru, tatkala hujan dan banjir mengepung pergerakan lalu terpaksa berkurung di rumah, apa yang terbaik dilakukan selain masuk ke bilik dan bersembang-sembang untuk membunuh masa yang cukup membosankan. Sekadar untuk membunuh masa.

Bagi orang muda yang ada sedikit pendidikan seperti aku, bermain sampan di desa pasti menjemukan. Lantas kami lebih suka berkonvoi dengan motosikal ke Kota Bharu untuk melayan keinginan hati muda terhadap kaum hawa. Di tengah-tengah bandar Kota Bharu, orang ramai yang entah dari mana berkumpul, mengharungi air sambil berpayung bagaikan satu pesta. Lelaki dan wanita bercampur. Rata-ratanya orang muda dan kanak-kanak. Seronok sangatkah bermain banjir di bandar? Ya, seronok sekali. Yang lelaki seronok dapat melihat betis bunting padi gadis jelita, atau paha seksi wanita muda yang diangkatkan kainnya kerana takut basah, manakala yang perempuan rasanya begitu bangga dapat menayangkan kakinya yang lawa dan seksi. Kekadang hujan melebat turun, semua basah kuyup. Bayangkan gadis muda berbaju T nipis tanpa kolar, berwarna putih apabila dibasahi air pasti menampakkan bentuk badannya dengan jelas. Di manakah pandangan mata lelaki akan tertumpah kalau tidak pada dadanya yang berombak?

Malah menjadi satu kesukaan apabila dapat berjalan di belakang perempuan. Bukan untuk melihat punggungnya yang kental (barangkali benar bagi orang lain, tetapi bukan aku), tetapi untuk menguji kehebatan diri sama ada disukai atau tidak. Sambil berjalan, sesi berkenalan bermula dan sekiranya kena dengan cara dan ketikanya persahabatan akan terjalin. Kata-kata usikan yang popular ketika itu ialah: "Merah sangatlah" apabila si gadis berpakaian merah. "Boleh tumbang payung?" apabila si dia berpayung. "Boleh ikut sekali?" apabila hendak berjalan bersama dia. Dan yang paling kasar dan berani ialah: "Sejuklah, boleh peluk tak?" Yang ini silap-silap boleh kena penampar. Penampar kekasihnya andainya dia sudah berteman. Atau penampar abang atau bapanya yang mungkin berada berdekatan.

Satu hal yang aneh apabila tiba musim hujan hati begitu teringinkan cinta. Jiwa yang kedinginan bagaikan mendesak agar dicarikan pasangan. Sedetik kehangatan pelukan sang kekasih rasanya lebih hangat daripada panas unggun api. Apalah lagi yang lebih berharga kepada jiwa yang kedinginan selain kehangatan pelukan sang kekasih? Dan sewaktu rintik hujan mengepung dingin alam, hati yang rindu mengimbau waktu, tetapi kepada siapakah rindu menumpah kalau hidup seorang diri? Sebab itulah ramai yang mencari cinta pada musim hujan.

Aku masih ingat kata-kata yang entah dari mana aku ambil dan aku pernah gunakan untuk menghiasi surat cinta: "Seandainya hujan di tempatmu; tempias mengucup pipimu yang gebu; biarkanlah kerana itu adalah kucupan rindu daripadaku!"

Orang lelaki ada satu tabiat yang aneh iaitu suka berebut perempuan. Aku sendiri berasa aneh kerana sikap tersebut pun ada pada aku. Andaikan lelaki bertiga berjumpa dengan gadis yang bertiga juga, pasti hanya seorang yang menjadi rebutan. Maka berlakulah persaingan. Gadis itu pula apabila dia tersedar sedang diperhatikan malah sedang menjadi idaman 3 orang lelaki sekawan, alamak naik tocang habis. Lenggoknya mengalahkan peragawati. Egonya melangit. Pura-pura jual mahal. Kalau dahulu jual longgok, sekarang mesti timbang pakai kilogram. Jual mahal tidak salah sekiranya betul-betul berkualiti. Kalau setakat ubi keledek tenggelam air, jual mahal siapa mahu beli. Eleh, "mahal sangatlah Mak Ngah!" Itulah yang sering keluar dari mulut lelaki apabila berhadapan dengan perempuan jual mahal.

Perebutan tidak selalu berakhir dengan kemenangan. Adakalanya semua orang pun kecewa kerana "cinta" ditolak. Tetapi sekiranya berjaya pasti gembira kerana "cinta" yang diperolehi dengan cara berebut amat bermakna kepada seorang lelaki. Dan jangan lupa bahawa kerana persaingan berebut cinta, lelaki sanggup membunuh dan berkorban nyawa.

Pada awal 80-an lagu Jamal Abdillah "Berkorban Apa Saja" dan lagu Roy dan Fran "Siapa Dia Sebelum Daku" sedang hangat. Maka berkumandanglah lagu-lagu tersebut di bandar Kota Bharu. Bukan dari corong radio tetapi dari kerongkong si kasanova untuk memikat gadis idaman. Biarpun hanya sedikit lebih merdu daripada suara katak memanggil hujan tidak menjadi soal asalkan tujuan utama mengunci hati gadis pujaan tercapai.

Perempuan juga seperti lelaki. Mereka seperti telah bersedia untuk menerima lamaran cinta yang datang bersama air banjir. Mereka gembira apabila diusik, ditegur, malah dicuit-cuit sambil berkongsi payung. Betapa hebat sepasang teruna dan dara yang tidak pernah kenal dapat berpayung bersama dan adakalanya berpeluk pinggang. Aduhai, kuasa cinta pertama, sekiranya dapat dinamakan cinta, mampu mengalah segala-galanya. Cinta yang bersemi tidak akan berhenti setakat itu kerana ia akan berlanjutan sehingga ke panggung wayang. Sumpah destinasi terakhir kami hanya di panggung wayang - kami hanya mencipta dosa-dosa di panggung Lido, Odeon, atau Red sambil ditemani Rishi Kapoor dan Neetu Singh. Kami tidak pernah pergi ke hotel atau rumah tumpangan kerana emak berpesan jangan berpijak ke tempat seumpama itu dengan anak dara orang. Aku tidak pernah berfikir tentang itu, sekurang-kurangnya waktu itu kerana usiaku terlalu muda.

Kekadang aku tersenyum sendiri teringatkan pesan emak yang aku langgar setelah usiaku meningkat dewasa. Maafkan aku, mak!

Pengalaman musim banjir memang seronok dan sukar dilupakan. Namun, kini segala-galanya sudah berubah. Banjir di bandar Kota Bharu tidak semeriah dahulu. Orang-orangnya sudah matang dan dewasa. Muda-mudi tidak bercinta di tempat terbuka lagi kerana mereka lebih selesa bercinta di tempat tertutup.

Sama ada cinta musim banjir, musim kemarau atau cinta tanpa musim, kata pujangga cinta kepada Tuhan satu-satunya cinta yang kekal abadi!

"Cinta lelaki kepada perempuan dan sebaliknya, walau bagaimanapun susun kata dan halus bahasanya, maksudnya hanyalah satu, iaitu bersetubuh." Sigmund Freud

"Cintailah segala yang hendak engkau cintai, tetapi ingat bahawa engkau kelak akan berpisah dengannya." Jamalus Johan

Wednesday, December 3, 2008

Merajuk Untuk Dipujuk

Masa kita pergi berkelah di Pulau Perhentian misalnya, sewaktu seronok melihat sekawan ikan berenang di jernih air bersama kekasih hati, tiba-tiba kekasih hati meninggalkan kita tanpa sepatah kata. Dia pulang ke tempat penginapan seorang diri. Apabila tersedar, pastinya kita tergesa-gesa mengekorinya, maklumlah seorang perempuan tidak boleh dibiarkan seorang diri di pulau terasing ini.

Manalah tahu kalau-kalau ada remaja nakal yang terliur melihat si dia yang tinggi lampai, rambut ikal mayang, wajah bujur sirih, leher jinjang, kulit cerah lagi halus, dada berombak ketika berlari-lari di gigi air dan punggungnya aduhai ... aduhai! Usah bilang remaja nakal, Pak Haji pun bisa gugur imannya. Bagaimana andainya setan yang berkeliaran di pulau peranginan itu mengamuk, waduh tidak dapat dibayangkan kekasih hati diperkosa di depan mata.

Setiba di tempat penginapan, si dia duduk bermasam muka. Walaupun ditanya dan dipujuk, dia terus membisu. Kita segera dapat menangkap puncanya - kekasihku merajuk lagi. Pokoknya, kenapa dia merajuk dengan tiba-tiba dan tanpa sebabnya? Mustahil ada orang merajuk tiada bersebab, barangkali kita yang tidak tahu sebabnya.

Penyakit merajuk tidak kenal gender atau usia. Lelaki dan wanita sama sahaja kerana kedua-duanya pandai merajuk. Siapa bilang lelaki tidak reti merajuk. Lelaki pun ada perasaan dan sensitiviti seperti perempuan. Cuma lelaki lebih bijak apabila merajuk kerana dia tahu tiada siapa yang akan memujuk. Wanita apabila merajuk memang menakutkan terutama bagi lelaki yang tidak pandai memujuk. Penyakit merajuk ini kalau tidak pandai memujuk, meleret-leret jadinya. Malah berpanjangan sampai beberapa hari.

Memujuk juga kena ada cara dan gaya kerana silap-silap akan bertukar menjadi pertengkaran. Malah apabila selalu dipujuk, maksudnya setiap kali dia merajuk, kita memujuk, lama-lama dia naik tocang. Silap sikit merajuk. Tidak kena sikit tarik muka masam. Salah sikit, memuncung. Boleh pengsan kita dibuatnya.

Merajuk orang muda yang baru bercinta atau baru mendirikan rumah tangga merupakan perkara biasa. Sesekali merajuk ada faedah juga kerana dapat menambahkan keindahan kasih sayang. Perempuan kalau pandai merajuk memang manis dan menggoda. Merajuk orang bercinta dapat memberikan kesegaran kepada cinta. Tetapi janganlah kerap sangat nanti runtuh cinta. Merajuk laksana awan gelap. Selepas awan menghilang, maka teranglah langit. Selepas hilang merajuk, muncullah kasih, timbullah sayang. Bagi suami isteri, detik-detik selepas merajuk sering digunakan untuk bermadu kasih, bertangkup sayang. Kepada si suami, inilah waktunya mendukung si isteri ke ranjang ... pasti ada kelainannya. Cuba dulu baru bilang aku berbohong! (Bagi pasangan yang belum bernikah, abaikan cadangan ini. Aku tak akan menanggung dosa-dosa kalian).

Orang tua bagaimana? Fuhh, orang tua lagi hebat merajuknya. Tiada detik yang paling hodoh bagi orang tua melainkan ketika dia merajuk. Namun begitu, orang tua pastinya matang dan tidak rela menanggung malu merajuk di depan cucu. Lantas, boleh sahaja merajuk secara sembunyi-sembunyi di celah pintu atau di sudut dapur. Biasanya merajuk orang tua ditujukan kepada si anak-anak yang berkumpul sekali-sekala. Bukan apa, mahu manja-manja sama anak anak.

Merajuk banyak puncanya. Dikatakan bahawa lelaki yang tidak peka terhadap kehendak dan kemahuan wanita boleh menyebabkan wanita merajuk. Maklumlah wanita begitu sensitif, lemah kawal emosi, suka bermanja yang kekadang berlebih-lebihan. Tetapi sifat-sifat inilah yang menjadi daya tarikan wanita. "Aku tidak akan jatuh cinta kepada wanita yang langsung tak tahu merajuk!" Itu kata sahabat aku. "Aku pula tak akan kahwin sama wanita yang tak tahu manja!" Ini kata aku. Betul. Aku suka kepada wanita yang manja dan merajuk sekali-sekala. Ada tak di dunia ini wanita yang tak tahu merajuk dan manja? Kalau ada, pastilah wanita robot.

Lelaki mesti peka terhadap kemahuan wanita, kalau tidak lebih baik jadi wanita sahaja. Kemahuan wanit mungkin beratus atau beribu. Justeru kepekaan lelaki seharusnya beratus dan beribu juga? Kemahuan jenis suka makan keropok lekor tidak ada masalah. Tetapi kemahuan jenis pantang terlihat pakaian baru, beg baru, perabot baru, kereta baru dan segala yang baru semuanya nak beli, botak kepala suami belum tua. "Bang, jiran sebelah dah tukar kereta baru, kita bila lagi?" Aduhai sedapnya dengar, sejuk menusuk telinga abangnya. Nak tukar kereta baru. Kemahuan jenis ini seandainya si abang gaji seciput, tambah anak pula berdozen, betapa peka sekalipun susah nak layan.

Adakalanya isteri merajuk ketika ibu mentua dari kampung datang ke rumah. Al-maklumlah ibu lama-lama datang sekali, menjadi tanggungjawab si anak melayannya dengan baik. Tetapi isteri pula tersalah tafsir ingat si suami sayang ibunya lebih daripada dia. Dia pun merajuk. Kalau jenis yang boleh dipujuk, okeylah. Kalau jenis yang tak makan pujuk? Serba salah si suami dibuatnya. Sebelah kanan ibu, sebelah kiri isteri dan kedua-dua pun dikasihi dan disayangi. Situasi yang sukar bagi seorang suami. Suami yang bijak dapat selesaikan masalah ini dengan baik umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berterabur. Bagaimana kalau suami itu kurang bijak? Minta ibu segera balik ke kampung? Derhaka namanya. Biarkan sahaja isteri memuncung 24 jam dan berjalan menghentak-hentak kaki di depan ibu mentuanya?

Merajuk kadang-kadang tanpa disedari sebabnya bagai langit yang cerah, tanpa awan tanpa ribut, tiba-tiba hujan mencurah turun. Sebagaimana aku berikan contoh suasana di Pulau Perhentian. Merajuk melanda tanpa disedari puncanya. Tentu anda kurang percaya kalau aku katakan wanita mahupun lelaki boleh merajuk walaupun dengan seekor ikan. Wanita begitu sensitif apabila dia mendapati kekasihnya atau suaminya melayan "benda lain", termasuk ikan, burung, layang-layang, atau internet melebihi layanan yang diberikan kepada dia. Seelok-eloknya, layanlah apa-apa yang ada pada wanita itu melebihi benda lain. Atau sekurang-kurangnya layanan tersebut mesti seimbang.

Oleh itu, kalau anda suka ikan akuarium, masa melihat ikan berenang, jangan lupa belai-belai rambut isteri anda, cubit-cubit dagunya, gosok-gosok telinganya, atau ramas-ramas pahanya. Tetapi jangan sekeh-sekeh kepalanya. Boleh kata, lakukanlah apa-apa ke atas pasangan anda yang dapat menunjukkan bahawa anda mengambil berat dirinya lebih daripada segala-galanya.

Punca merajuk kalau hendak disenaraikan kesemuanya, tak larat nak tulis. Petik awan jadikan hamparan kertas, segunung pokok jadikan pensel, belum cukup untuk menulis punca merajuk.

Pertimbangan akal amat diperlukan untuk menangani masalah merajuk. Sebenarnya merajuk boleh dikawal kerana puncanya daripada emosi. Setiap perlakuan emosi dapat dikawal oleh akal. Persoalannya sama ada kita mahu menggunakan akal atau tidak? Atau kita lebih suka membiarkan emosi menguasai kita? Jangan memilih cara kedua kerana kita bakal kecundang di lembah kemusnahan berumah tangga.

Dengan kata lain, merajuk harus ada batasan. Merajuk yang melampau akan mengundang kemarahan orang yang hendak memujuk. Tiada berguna apabila merajuk tetapi tiada orang memujuk kerana tujuan merajuk adalah untuk dipujuk.