Friday, June 15, 2012

Cemburu Itu Sahabat Kepada Cinta

Cinta tidak selalunya mendatar. Adakala lurus, adakala bengkang-bengkok umpama lebuh raya yang melilit pada pinggang pergunungan. Cinta yang mendatar itu tawar bagai teh tanpa secubit gula. Cinta yang bengkang-bengkok menyeronokkan biarpun kekadang bisa muntah-muntah kerana kepeningan. Bercinta tidak tumpah seperti pemain motosikal. Pemain motosikal tidak gemar jalan yang lurus. Tidak mencabar dan tidak seronok. Jalan berselekoh begitu nyaman dilayan. Namun, segenggam pasir yang bertaburan di muka jalan boleh mengundang malapetaka.

Anda pernah jatuh motosikal? Jikalau pernah, anda tentu pernah merasa sakitnya. Anda pernah jatuh cinta? Oh, jatuh cinta tidak sakit seperti jatuh motosikal. Jatuh cinta indah, seronok dan sukar dilupakan. Orang bilang detik-detik di mana kita jatuh cinta adalah detik-detik yang manis. Detik yang merakam dan menyimpan seribu kenangan. Aku bilang detik-detik kita jatuh motosikal juga detik-detik yang tidak boleh dilupakan. Ini detik hitam yang dimohon tidak diketemukan untuk kali kedua. Jatuh motosikal dan jatuh cinta detik yang penting dengan dua perasaan yang berbeza.

Orang jatuh motosikal kerana dia menunggang atau membonceng motosikal. Orang jatuh cinta bukan kerana dia menunggang atau membonceng cinta. Cinta tidak boleh ditunggang atau dibonceng seperti motosikal. Orang jatuh cinta kerana dia mendambakan cinta. Merah senja tatkala mentari terbenam di ufuk Barat begitu indah, kata penyair, tetapi indah lagi cinta. Kelipan sejuta bintang di langit luas indah sekali kata pujangga, tetapi indah lagi cinta. Keindahan cinta tidak mungkin dapat digambarkan dengan bahasa yang serba kekurangan ini. Betapa indahnya cinta, lihatlah kepada orang yang dilamun cinta; dia bisa saja tersenyum kepada sebatang pokok yang berdiri kaku di depannya.

Orang selalu berkata, seronoknya bermain cinta. Adakah cinta satu permainan? Cinta bukan permainan tetapi manusia yang tersilap suka mempermainkan cinta. Kita mungkin biasa-biasa sahaja apabila mempermainkan cinta orang. Namun, apabila orang mempermainkan cinta kita, barulah kita tahu betapa sakitnya hati apabila cinta kita menjadi mainan orang. Sebenarnya cinta tidak boleh dipermainkan sesiapa atau sesiapa tidak boleh mempermainkan cinta. Cinta terlalu mulia untuk dijadikan permainan. Yang dipermainkan ialah perasaan, bukan cinta. Perasaan orang yang bercinta begitu sensitif dan mudah tergores. Oleh itu, apabila berasa sakit lantas dituduh cintanya dipermainkan.

Sahabat kepada cinta ialah cemburu. Di mana ada cinta, di situ ada cemburu. Cemburu ini sahabat paling setia yang mengikuti ke mana sahaja cinta pergi. Ke hutan belantara cinta pergi, ke situ juga cemburu mengekorinya. Ke kota Metropolitan cinta beradu, ke situ juga cemburu menunggu. Cemburu umpama rempah ratus kepada sebuah cinta. Rempah ratus harus dikawal dan digunakan secukup rasa. Langsung tiada rempah ratus, cinta akan menjadi tawar.

Orang berkata, cemburu sebagai tanda sayang. Ini tidak dinafikan. Cemburu tidak lahir pada orang yang tidak kita cintai. Kita hanya cemburu kepada orang yang kita cintai kerana kita sayang kepadanya. Namun, cemburu yang keterlaluan, cemburu buta boleh membawa padah, menyebabkan cinta rebah di pertengahan jalan. Jatuh cinta itu indah, tetapi rebah dalam percintaan itu sakit.

Cinta tidak mungkin dapat menghindari kesilapan. Kesilapan yang kecil tidak memberi kesan yang besar. Akan tetapi kesilapan yang besar, mungkin membawa kepada putus cinta. Inilah detik-detik yang paling sukar, saat-saat yang paling sakit. Ramai yang menangis tidak berlagu kerana putus cinta. Ramai yang menjadi seperti orang gila kerana cinta diputuskan orang. Cinta ditolak pun sakit, tetapi sakit lagi cinta diputuskan.

Apabila orang yang kita cintai menjauhkan diri kerana kesilapan kita, kita mesti memujuknya kembali. Ini fasa yang sukar. Memujuk orang bukan senang. Tambah-tambah lagi sekiranya kesilapan kita terlalu besar sehingga merobek hatinya.

Kita mesti jujur mengakui kesilapan kita. Kita mesti menyakinkan dia bahawa kita telah mempelajari sesuatu daripada kesilapan tersebut dan tidak akan mengulanginya lagi. Dan yang paling penting, yakinkan dia bahawa kita tidak boleh hidup tanpanya. Ini boleh melembutkan hatinya.

Berikan dia hadiah, biarpun tidak mahal tetapi mesti istimewa. Cari hadiah yang boleh mengingatkan dia kepada kenangan manis yang pernah dilalui bersama.

Memujuk mungkin mengambil masa. Sepanjang tempoh percubaan tersebut, kita mesti membuktikan bahawa kita betul-betul berubah. Jikalau dia dapat tahu bahawa kita sekadar bermain kata-kata, sedangkan hati masih seperti sebelumnya, dia mungkin akan terus hilang kepercayaan terhadap cinta kita. Cinta yang telah hilang kepercayaan amat sukar dikembalikan.

Anda sedang bercinta?

Jagalah cinta anda dengan baik. Kita boleh memberikan seribu cinta kepada orang lain, tetapi belum tentu orang lain boleh berbuat begitu kepada kita. Hargai orang yang memberikan cintanya kepada kita. Dan jagalah cinta tersebut dengan sepenuh hati. Jangan sampai kehilangan cinta barulah hendak berkata: "Oh, cinta dia sangat bermakna kepada kehidupanku, tetapi sayang sekali telah diberikan kepada orang lain!"