Tuesday, September 30, 2008

Syawal Menjelma Lagi

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir & batin kepada semua sahabat bloggers dan pembaca yang saya hormati!

Monday, September 29, 2008

Bagusnya Jadi Wanita!

Dalam dunia terdapat beberapa golongan manusia yang dilayan secara istimewa sewaktu hendak menaiki kereta. Pertama, golongan pembesar negara. Semua negara telah menetapkan bahawa apabila pembesar negara atau lebih dikenali sebagai VIP atau VVIP hendak menaiki kereta mesti dibukakan pintu oleh pemandunya. Selepas itu, ditutupkan pula. Sememangnya patut diperlakukan sebegitu kerana mereka itu pembesar negara.

Kedua, golongan bos. Golongan ini juga mesti dibukakan pintu kereta untuk mereka. Itu tugas rasmi pemandu. Siapalah pemandu kalau tiada bos. Sebab itu bos mesti dilayan dengan baik. Bapa sendiri tidak dibukakan pintu tidak mengapa kerana kita bukan makan gaji dengan bapa kita. Tetapi dengan bos tidak boleh. Lambat buka pintu kereta kepada bos, "makan sotong gorenglah" jawabnya (dibuang kerja).

Ketiga, orang tua-tua. Golongan ini juga mesti dibukakan pintu apabila hendak naik kereta. Al maklumlah, orang tua mana tahu cara buka pintu kereta. Buka tak tahu, tutup pula tak kuat. Kalau kita minta tutup kuat sikit, ditutupnya sampai kereta macam nak runtuh. Lebih baik kita yang tolong tutupkan demi menjaga hayat pintu kereta.

Keempat, orang-orang cacat. Golongan ini kekadang bukan sekadar dibukakan pintu, malah terpaksa dipikul naik kereta.

Kelima, wanita. Golongan ini aku kurang faham sikit mengapa mesti dibukakan pintu kereta untuk mereka. Tua bukan, cacat juga bukan. Pembesar negara pun tidak, bos lagi jauh. Kalau kita menonton TV cerita Hollywood, Bollywood, Asiawood dan Malaysiawood, selalu kita nampak lelaki akan buka pintu kereta untuk wanita. Asalkan wanita tidak perlu buka dan tutup pintu kereta sendiri. Kenapa? Kerana wanita itu golongan yang lemah dan kita sebagai lelaki harus memberikan keutamaan kepada wanita. Saham kelelakian kita akan melonjak sekiranya kita melayan wanita seperti permaisuri. Begitulah kononnya

Malah sewaktu pergi makan, lelaki biasanya akan tarik kerusi bagi wanita duduk terlebih dahulu. Pokoknya mengapa harus diperlakukan sedemikian? Kata sahibul hikayat, adat buka pintu dan tarik kerusi dilakukan kerana wanita golongan yang lemah dan lelaki mesti layan mereka dengan istimewa. Masih relevan lagikah alasan konvensional itu? Sekarang wanita sudah jadi Perdana Menteri, Gabenor Bank Negara, ahli profesional, jutawan, CEO syarikat gergasi dan sebagainya. Wanita sudah sama taraf dengan lelaki, malah di sesetengah tempat pencapaian wanita lebih tinggi. Universiti kita pun ramai wanita. Hampir kesemua bidang kerjaya dan sukan diceburi wanita. Malah terdapat bidang tertentu wanita lebih cemerlang daripada lelaki.

Oleh itu, mengapa lelaki harus membuka pintu kereta dan menarik kerusi untuk wanita lagi? Aku rasa puncanya bukan kerana wanita itu golongan yang lemah. Mesti ada sebab lain. Sebab yang sengaja dicipta oleh lelaki sendiri. Lelaki jenis kasanova mencipta adat "lady first" untuk mengambil hati wanita, tetapi sebenarnya untuk menggoda, agar wanita terpikat dengan mereka: "Alangkah, baik sekali Si Kacak gagah perkasa ini. Kalau dapat aku mengelus-elus dadanya yang berbulu itu, waduh dunia ini aku yang punya!"

Wanita mudah patah hati dengan tingkah laku lelaki yang sopan dan berbudi bahasa. Kerana termakan budi, tertelan goda, akhirnya tubuh pun tergadai. Matlamat lelaki kasanova pun tercapai. Berbaloi serana sekadar buka pintu kereta dan tarik kerusi restoran dibalas dengan mahkota kewanitaan. selepas itu, siapa yang akan menangis, meraung dan melolong tidak keruan? Jawablah sendiri, sayang!

Tetapi sekarang layanan istimewa sebegitu jarang diamalkan lagi kerana wanita sudah sedar akan muslihat lelaki. Lagipun mereka malu diperlakukan seperti orang cacat. Setakat buka pintu kereta dan tarik kerusi lebih daripada mampu. Lempang suami pun boleh, takkan perkara sekecil ini tidak boleh.

Selamat Hari Raya dan berhati-hati di jalan raya!

Sunday, September 28, 2008

Kerja Itu Ibadat

8.00 pagi - Aku pergi meninjau projek kondominium mewah 48 tingkat di ibu kota untuk memastikan segala kerja berjalan lancar. Projek harus disiapkan mengikut jadual. Lewat disiapkan bermakna syarikat akan menanggung kos yang berlebihan. Reputasi aku juga akan merosot.

Semuanya okey. Sebelum pulang aku menjenguk pejabat konsultan. Seperti biasa Encik Amran sudah berada di pejabatnya. Member aku yang seorang ini memang gila kerja. Orang lain cuti, tetapi dia lebih suka memanfaatkan masa di pejabat.

"Ehh, ingatkan sudah balik kampung?" soalku.

"Woit, engkau punya kerjalah ni!" balas Encik Amran.

"Saya?"

"Yalah. Engkau lambat submit, aku yang susah," tegasnya sambil senyum. "Tak adalah, gurau saja. Aku kan orang KL. Nak balik kampung mana?"

"Orang rumah?"

"Mungkin Hari Raya Kedua. Ipoh dekat saja."

Aku duduk di depan Encik Amran. Memang betul dia sedang tanda tangan 'as build drawing' daripada syarikat aku. Drawing tersebut mesti disiapkan sebelum Hari Raya.

Aku betul-betul kagum melihat komitmen Encik Amran terhadap kerja. Secara terus terang aku kata, sukar mencari seorang konsultan yang serajin Encik Amran. Hari Ahad pun kerja sekiranya banyak kerja yang harus disegerakan.

"Kau ada baca berita seorang pelajar mati ditimpa dinding asrama?" tanya Encik Amran.

"Ya."

"Apahal?" Encik Amran tersenyum. "Tanggungjawab kita besar sebenarnya, Putera. Kalau kita main 'tibai' saja, ramai nyawa akan terbang."

Aku mengangguk faham. Semua kerja pembinaan mesti dijalankan mengikut prosedur dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Buat ikut drawing yang telah diluluskan. Tetapi hakikatnya manusia gemar memilih jalan pintas. Bukan jalan pintas untuk siapkan projek tetapi jalan pintas untuk kaya. Korupsi. Gejala korupsi bakal menyebabkan bangunan retak dan runtuh. Ratusan nyawa akan terkorban bersamanya. Siapa yang harus bertanggungjawab? Semuanya lepas tangan. Semuanya bebas. Korupsi yang 'profesional' seperti halnya dengan konspirasi yang 'profesional' - tidak mungkin dapat dihidu oleh BPR yang profesional.

Dalam hal korupsi ini aku respek Encik Amran. Aku pernah mendengar khabar bahawa beliau pernah ditawarkan RM200,000 untuk 'memudahkan' kerja, tetapi ditolak dengan tegas. Orang seperti Encik Amran Bin Daud ini dapat mengelakkan keretakan kondominium, jambatan, jalan raya, sekolah, hospital dan sebagainya.

11.00 pagi - Aku balik ke rumah.

Friday, September 26, 2008

Rindu Mengundang Dosa



Semalam pergi berbuka puasa dengan kawan-kawan sepejabat di De Palma Resort, Putrajaya. makanannya okey tetapi mahal sedikit. Makan tidak seberapa tetapi sembangnya yang lebih. Pada awalnya saya menolak pelawaan tersebut kerana ada urusan di tempat lain. Setelah dipujuk seorang rakan, saya akhirnya berlembut hati dan setuju ikut serta.

Sememangnya Tuhan ingin menemukan kami. Saya dan dia lama berpisah. Sejak berpindah dari bidang produksi drama TV - selaku penulis skrip, kami masing-masing membawa diri. Saya menceburi bidang kontraktor dan dia entah hilang ke mana tanpa khabar berita. Puncanya kerana selepas meninggalkan kerjaya penulisan, selama satu tahun saya menghadapi masa sukar. Sewa rumah, kereta, kredit kad, bil elektrik dan bil api menjadi gawat. Saya harus memilih keutamaan. Bil telefon terpaksa dipotong. Diari yang menyimpan nombor telefon kawan-kawan pula hilang. Rumah terpaksa berpindah "ke hulu" untuk jimat kos. Dari detik itu kami putus hubungan. Dengar khabar dia balik kampung, tetapi bukan tanam jagung atau terung. Dia membantu ibunya berkedai runcit. Saya sendiri tidak tahu di mana kampungnya.

Tiba-tiba sahaja, tanpa ribut tanpa hujan pandangan kami bertembung. Diam sejenak, mengingat dan mengimbas kisah lampau. Oh, dia rupanya. Saya bangun untuk pergi kepada dia tetapi terpaksa duduk semula apabila teringat bahawa lelaki di sebelah dia mungkin suaminya. Memang betul. Dia sudah berkahwin. Dia seperti mahu datang ke tempat saya tetapi takut-takut. Saya memahaminya. Kami sekadar membalas senyum.

Apabila pulang ke rumah saya berasa bersalah dan kesal. Selaku lelaki saya patut pergi menegurnya. Suami dia tidak akan cemburu. Tetapi apa daya semuanya sudah berlalu. Tuhan hanya kehendaki kami sekadar menukar senyum. Entah kenapa malam itu saya tidak dapat tidur. Saya rindu kepada dia - rindu kepada isteri orang. Berdosakah saya?

Kenapakah Tuhan menduga keimananku sekeras ini?

Wanita Sangat Berani

Insan yang bergelar wanita sebenarnya sangat berani.
Joan of Arc (1412-1431) ialah wirawati Perancis yang sanggup menjulang pedang dan memimpin bala tentera menentang askar musuh dalam Peperangan 100 Tahun British - Perancis.
Kerana Joan of Arc yang cekap dan berani, bumi Perancis dapat dipertahankan daripada taklukan British. Walaupun hayatnya berakhir dengan tragis, wanita yang diberi gelaran Maid of Orleans itu dikenang dan diabadikan dalam sejarah Perancis sebagai penyelamat bangsa.
Namun, keberanian pejuang bangsa Perancis itu telah dinodai oleh wanita masa kini yang melempiaskan keberanian ke jalan yang salah. Mereka berani memperdagangkan kecantikan tubuh kepada umum - cara pintas memperkenalkan diri kepada dunia dan sekaligus menjadi sumber kekayaan yang mudah. Bagaimana seandainya mereka mempunyai anak kelak, adakah mereka tidak malu apabila anak bertanya: "Ini gambar siapa ibu?"
Sekiranya mereka tidak malu, tetapi anak-anak sukar menerima kenyataan bahawa ibu mereka dulunya pernah berbangga apabila berbogel di depan umum!

Thursday, September 25, 2008

Obesiti Tapi Hebat

Siapa kata orang gemuk tidak boleh melakukan apa yang dilakukan oleh orang kurus. Sekiranya
sudah mencapai tahap terpaksa, orang gemuk pun boleh melakukannya. Lihatlah senaman Yoga
'buka kaki' seperti di bawah yang biasanya mampu dilakukan oleh orang kurus. Tetapi si comel
ini membuktikan kepada orang ramai bahawa dia juga mampu melakukannya.
Hebat sungguh!
Sebab itulah anda jangan memandang rendah orang gemuk kerana banyak benda yang boleh
dilakukannya yang kita tidak boleh buat.







Kita bagaimana, sanggup melakukannya?

Hotel Alam Warisan




Aku bukan ahli fotografi, tetapi aku sekadar mahu menunjukkan bahawa dalam kemodenan masih ada manusia yang sayang kepada warisan bangsanya. Inilah hotel 5 star yang mengadunkan ciri-ciri moden dan tradisional Melayu.

Tidak sedikit keringat aku tumpah di rekah tanah dan serpih batu di Alam Warisan ini.

Wednesday, September 24, 2008

Minda Robot

Kebanyakan orang berfikir mengikut apa yang telah diprogramkan di dalam otak mereka. Apabila mereka melihat sesuatu, fikiran mereka pantas membuat tanggapan pertama tanpa meneliti 'kebenaran' perkara itu.

kalau anda tidak percaya, cuba anda mendukung seorang bayi perempuan yang berusia 3-4 bulan dan selimuti bayi tersebut dengan baik. Apabila berjumpa dengan seseorang, beritahu dia bahawa adik anda itu bernama 'Amran'. Orang itu dengan pantas akan berkata: "Oh, sihat, segar dan kuatnya budak ini. Pasti bapanya juga kuat!"

Kemudian apabila berjumpa dengan orang lain, anda katakan kepadanya adik anda bernama 'Nordiana'. Orang itu akan berkata begini: "Hai, comel dan manis anak ini. Ibunya tentu cantik!"

Ini kerana kebanyakan orang membuat tanggapan pertama mereka berdasarkan 'kebiasaan' bukan 'kebenaran'. Amran - lelaki, maka mereka menilainya mengikut sifat kelelakian. Manakala Nordiana - wanita, maka mereka menilainya mengikut sifat kewanitaan.

Minda begini dinamakan minda robot. Sekiranya anda tidak mahu jadi minda robot, maka menilailah sesuatu yang anda lihat mengikut kebenaran bukan kebiasaan.

Tuesday, September 23, 2008

Benda Besar Kesukaan Wanita

Wanita memang suka sangat dengan benda yang besar-besar. Semakin besar semakin hepi dan bangga. Gaji besar, rumah besar, kereta besar, badan besar dan bermacam-macam besar lagi. Pendek kata, asal sahaja besar wanita tentu suka. Malah wanita suka berbangga-bangga dengan benda-benda besar yang dimilikinya.

Oleh itu, anda jangan terkejut sekiranya anda selalu sakit belakang, bahu, leher dan kepala kerana benda besar yang anda bawa setiap hari - beg besar. Beg sandang bersaiz besar menjadi satu fesyen ikut-ikutan wanita mutakhir. Bawa beg besar ada kelas dan bergaya biarpun belakang melengkung kerana berat. Sakit bahu tidak kisah asalkan tidak ketinggalan zaman. Itulah wanita kita.

Seorang pakar kesihatan di sebuah Pusat Perubatan di Texas Amerika Syarikat mendapati beg yang besar dengan kandungan yang berat akan mengundang masalah kesihatan kepada wanita. Apabila terdapat wanita pergi ke kliniknya dan mengadu sakit belakang, leher, bahu dan kepala dia terlebih dahulu akan minta begnya untuk ditimbang. Kebiasaannya berat beg tersebut antara 3.1 - 4.5 kilogram. Betapa beratnya beg yang tergantung pada bahu wanita. Mana tidak sakit badan.

Trend beg besar ini muncul hasil daripada idea mutakhir pereka beg yang menggabungkan beg tangan wanita dengan beg dokumen. Melalui promosi yang hebat oleh peragawati yang terkenal, beg besar akhirnya menjadi kegemaran wanita seluruh dunia.

Wanita oh, wanita! Biar sakit tidak mengapa asalkan bergaya!

Sukan Berbahaya

Bersukan dapat menyihatkan badan dan menjalinkan persahabatan. Tetapi adakala bersukan boleh membahayakan badan dan menimbulkan permusuhan. Ramai ahli sukan yang cedera teruk, malah meninggal dunia ketika bersukan. Pemain bola sepak profesional misalnya, ada yang tiba-tiba jantung tidak berfungsi dan rebah di atas padang. Jadi, bersukan kalau tidak kena dengan caranya boleh mengundang bahaya.


Harap-harap anda tidak bersukan sehingga "membahayakan" diri begini!



Monday, September 22, 2008

Syurga di Bawah Tapak Kaki Ibu!

Seorang siswazah muda yang baru tamat pengajian pergi temuduga kerja di sebuah syarikat swasta. Kebetulan hari itu bos syarikat sendiri yang menjadi penemuduga. Setelah meneliti resume, sijil dan dokumen yang dikepilkan, dia kemukakan satu soalan mudah, tetapi membikin si gadis siswazah tersentak dan tergamam.

"Pernah cuci kaki ibu?"

"Hah?"

"Pernahkah saudari cuci kaki ibu saudari?"

Gadis manis itu terdiam seketika sebelum menjawab dengan jujur: "Tidak pernah!"

"Syarikat kami hanya terima orang yang ada pengalaman pernah cuci kaki ibunya!"

Gadis siswazah bidang ekonomi itu balik dengan kecewa. Dia kecewa dengan sikap bos syarikat yang bertanyakan soalan yang langsung tidak ada kaitan dengan bidang kerja yang dipohonnya. Lainlah kalau dia minta jadi jururawat.

Balik ke rumah dia termenung seketika. Pada sebelah petang ketika ibunya balik dari kebun, dia segera minta izin untuk memandikan ibunya. Ibunya menjadi hairan kerana inilah kali pertama anak gadisnya mahu memandikannya. Ibunya tidak membantah, malah bangga bercampur hairan.

Dia memandikan ibunya, mengosok kotoran di leher, badan dan turun ke kaki. Kaki ibunya berdaki, kukunya panjang, hitam dan berkarat. Celah-celah jari begitu kotor, calar-calar dan ada kesan luka kemerah-merahan. Tapak kaki pula merekah, pecah-pecah dan bengkak. Tersentuh kuat sikit, ibunya tersentap kerana sakit. Maklumlah kaki pekebun dan pesawah yang hari-hari berbudi kepada tanah. Melihat keadaan kaki ibunya, dia tidak dapat menahan air mata. Malah dia menangis teresak-esak. Betapa kesalnya dia kerana tidak pernah ambil tahu terhadap sepasang kaki yang membesar dan memberikannya pendidikan sehingga ke universiti. Betapa sakit dan deritanya kaki tersebut.

Dia membasuh kaki ibunya sehingga bersih.

Dia terasa seperti terhutang budi kepada bos syarikat yang dia pergi temuduga.

Mungkin inilah yang dikatakan syurga di bawah tapak kaki ibu, fikirnya!

Saturday, September 20, 2008

Siapa Kata Perempuan Cemburu Buta?

Aku menafikan sekeras-kerasnya seandainya ada orang menuduh perempuan cemburu buta. Bukan hendak mempertahankan perempuan semata-mata kerana nenek, emak dan intan payung aku perempuan. Hakikatnya perempuan tidak cemburu buta. Dia cemburu kerana dia tidak buka. Dia masih celik dan dapat melihat segala-galanya.

Perempuan cemburu ada sebabnya, bukannya suka-suka hendak cemburu. Tahap cemburu pula berbeza dari satu orang dengan orang lain. Kalau dibandingkan dengan lelaki, cemburu perempuan amat menakutkan. Masa perempuan naik angin kerana cemburu, harimau bintang yang terkenal kerana garangnya pun tewas.

Apabila terdengar khabar, hanya sekadar khabar si dia ada 'dating' dengan perempuan lain, fuyoh, muka yang jelita mula herot, bertompok-tompok merah, malah sesetengahnya terus hitam kerana marah. Dada yang indah berdebar-debar, nadi berdenyut kencang dan tubuh mula menggeletar. Itu baru mendengar khabar. Sekiranya dilihat dengan mata dan kepala sendiri si kekasih atau si tunang atau si suami sedang 'ting tong' dengan perempuan lain ... mak ooiii runtuh langit.

Jangan kata sampai ke tahap 'ting tong', bersembang dalam telefon dengan kawan perempuan lama sikit sudah tarik muka masam - memuncung 24 jam. Boleh dikatakan apa-apa sahaja yang ada kaitan dengan perempuan lain, orang ketiga kononnya, pasti cemburu - cakap telefon lama sikit cemburu, SMS cemburu, berbual di kedai kopi dengan kawan lama cemburu, senyum dengan anak gadis mak cik goreng pisang cemburu, sengih dengan jurujual di kompleks beli-belah cemburu. Semuanya kalau melibatkan spesis sejenisnya, dia akan cemburu. Peliknya apabila kita bersiul dengan pondan, dia tidak cemburu pula. Mungkin dia sedar tak masuk akal cemburu jantan sama jantan.

Seorang kawan yang bosan kerana isterinya terlalu cemburu pernah berkata:"Kalau boleh buka macam buka skru, aku nak buka si anu aku dan selitkan kat pinggang dia seperti keris biar dia bawa 24 jam. Barulah dia tak cemburu!"

Kawan ini pun ngok juga. Perempuan bukan cemburu kerana si anu. Jantan di mana-mana pun dapat dicari. Berlambak di Pasar Seni, Jalan Silang, Kota Raya atau Masjid India. Melayu, Cina, India, Indon, Bangla, Myanmar, Vietnam, Gurkha dan Negro semuanya ada. Tinggi, rendah, kurus dan gemuk boleh pilih ikut selera. Kalau mahu Mat Salleh mesti ke Bukit Bintang, Bangsal atau Mont Kiara. Mahu berapa banyak. Tetapi perempuan cemburu kerana ada sebab lain yang lelaki ngok macam kawan aku tidak memahaminya.

Oleh sebab tidak memahami cemburu perempuan, dan sengaja membiarkan cemburu berulang-ulang, maka terjadilah episod sedih tahap 'Guinness Record' - isteri potong si anu suaminya. Dan si itik malang pula dengan pantas menelannya. Itik jantan atau itik betina tidak diceritakan! Ini kira yang paling sedih (aku tak dapat bayangkan lelaki hidup tanpa benda itu). Yang biasa-biasa seperti ketuk kepala suami dengan kayu, tibai dengan botol, kejar sama parang dan terajang seperti peragut ada di mana-mana. Tetapi kurang mendapat publisiti kerana mahu menjaga 'kredibiliti' lelaki yang bernama suami. Malah disimbah cuka asid pun ada berlaku. Sebab itulah cemburu perempuan menewaskan harimau bintang. Segarang-garang harimau tidak pernah gigit sampai putus si anu pasangannya kerana cemburu.

Lelaki juga cemburu. Siapa bilang dia tidak ada perasaan cemburu, dia berbohong. Tetapi cemburu lelaki ada batas-batasnya dan tidak segila cemburu perempuan.

Orang bilang lelaki dikurniakan 9 akal dan 1 perasaan. Perempuan pula dikurniakan 9 perasaan dan 1 akal. Aku tidak menafikannya. Tetapi cemburu perempuan bukan kerana itu. Cemburu perempuan kerana sayang dan setianya kepada cinta. Maka perempuan juga menuntut agar lelaki yang bernama sang kekasih atau sang suami memahaminya dan turut setia kepada cinta sebagaimana dirinya. Masa bercinta-cintan, perempuan selalu meminta dan mengingatkan:"Abang mesti cinta saya seorang saja tau!" Lelaki mengangguk-angguk setuju.

Tetapi lelaki tetap lelaki. Setelah madu dikecapi, dia menjadi pelupa. Matanya mula melilau-lilau ke arah lain yang lebih segar dan bugar. Perempuan mana tidak naik angin, isteri mana tidak turun minyak. Masakan di rumah tidak makan, sebaliknya pergi cari makan di luar. Dan harus diingat perempuan bukan cemburu kerana marah, tetapi cemburu kerana sayang.

Awas, kerana sayang perempuan sanggup melakukan apa sahaja termasuk membunuh!

Thursday, September 18, 2008

Agungnya Cinta Perempuan (1)

Cinta seorang perempuan memang tiada tandingannya. Sekiranya terdapat sesiapa mempersoalkan kesucian dan kesetiaan perempuan kepada cintanya, maka tahulah bahawa orang itu tidak mengerti erti cinta seorang perempuan.

Perempuan begitu mengagungkan cintanya. Sememangnya dia layak berbuat begitu kerana cintanya adalah cinta agung. Perempuan simpan cintanya di dada. Saban waktu dia menjaga dadanya kerana di situ cintanya bersemi. Betapa perempuan menghargai cinta. Apabila hati sudah terpikat, cinta sudah terpahat, janji sudah dilafazkan, maka kesetiaan perempuan hanya kepada cinta yang satu. Biar digoda si Mawi, dikenyit mata si Shah Rukh Khan atau dipujuk si David Beckham, cinta perempuan tidak tergoda selagi si dia masih ada.

Malah, seandainya mendapat khabar bahawa si dia bermain kayu tiga (kayu yang bagaimana?), perempuan tetap setia kepada cintanya selagi tidak terlihat oleh mata sendiri. Malah, apabila terlihat oleh mata sendiri, si dia sedang menggigit cuping perempuan lain, cintanya tidak terlerai. Biarpun menangis tidak berlagu, menjerit, melolong dan melalak kesedihan sehingga tersedu-sedan, cinta permpuan tetap utuh dan kukuh. Setahun, dua tahun dan tiga tahun bukan jangka waktu yang bisa melupakan perempuan kepada cintanya walaupun cinta itu cinta beracun. Betapa agungnya cinta manusia spesis yang aku sayangi ini!

Cinta lelaki? Fuyohhh. Pagi melafazkan cinta kepada Linda Onn, petang mengaku cinta kepada Nik Aida. Hari ini janji setia, sehidup semati sama si Fasha Sanda, esok atau lusa atau mungkin tulat sumpah pula dengan si Adibah Noor untuk sama-sama meredah lautan api.

Hebat sungguh cinta lelaki. Minta Bukit Belacan, dia berikan Gunung Tahan. Minta Gunung Kinabalu, dia hadiahkan Gunung Fujiyama. Betapa murah hatinya lelaki kepada cintanya. Semuanya kerana lelaki simpan cintanya di hujung lidah. Sebab itulah lidah lelaki paling mengancam berbanding dengan lidah lembu atau lidah kerbau. Sekali disentuh lidah lelaki, menggeletar satu badan sang kekasihnya kerana sentuhan itu adalah sentuhan cinta si teruna kepada si dara.

Cinta lelaki bisa dilafazkan dan diucapkan setiap masa dan detik mengikut lentik lidahnya yang berbelit-belit dan bergulung-gulung. Betapa hebatnya cinta spesis aku ini!

Kesimpulannya, perempuan simpan cinta di dada sementara lelaki simpan cinta di lidah. Oleh itu, perempuan seharusnya bimbang dengan lidah lelaki dan lelaki semestinya mengawasi dada perempuan kerana kedua-dua itu sumber cinta dan noda.


(Perhatian: Bentuk dada dan lidah tidak menggambarkan cinta seseorang)

Perempuan, Oh Perempuan!

Ketika aku hampir di simpang tiga Jalan Perkasa - Taman Maluri, sebuah kereta MYVI pantas keluar dari simpang dan memotong depan aku. Aku membrek sehingga kedengaran jeritan tayar Goodyear kwek kwekkkk. Aku mengucap panjang. Nasib baik tidak cium buntut dia.

Aku menekan pedal minyak, menjenguk muka, memang sudah dijangka - perempuan muda duduk selamba di depan stering. Dia buat muka tak kisah saja. Mungkin dia tak kisah pun kerana aku yang terkejut sehingga terkecut telur bukan dia. Ini bukan kali pertama. Pemandu perempuan suka keluar simpang tanpa memandang kanan. Dia rasa nak keluar, dia keluar tak peduli orang lain. Fikir ikut syok sendiri, orang lain peduli apa. Atau mungkin dia menjangka bahawa pemandu lelaki akan beri laluan dia dulu - "lady first". Jangan perasan saudari. "Lady first" kena tengok tempat juga.

Ketika hendak menukar lorong - masuk lorong dan keluar lorong, perempuan suka menunjukkan perangai kurang sabar. Kalau kita mahu selit depan dia, haram jadah dia tak bagi. Tetapi masa dia hendak masuk lorong kita, tak kira ada signal atau tidak, dia main redah buta sehingga kita terpaksa menekan brek untuk mengelakkan pergeseran. Dia betul-betul mahu menuntut hak "femininnya" - lelaki mesti mengalah kepada perempuan. Sayang ooi, di jalan raya istilah kalah atau menang tak ada, melainkan pelumba haram.

Itu kira perempuan berani. Perempuan takut lain pula ceritanya. Adakah patut dia bawa dengan kelajuan 80 km/j di lebuh raya. Kalau lorong kiri boleh dimaafkan, tetapi ini di lorong tengah. Kalau bas laju datang pasti berbahaya. Gejala langgar buntut berpunca daripada pandu perlahan di lorong yang tidak sesuai. Secantik mana pun buntut kalau dilanggar bas, kemek dan hiruk pikuk jadinya.

Pemandu lelaki lain sekali. Tidak gopoh keluar simpang, masuk cabang. Malah tenang dan berhati-hati setiap kali menukar lorong - masuk lorong, keluar lorong. Berikan lampu isyarat tik-tak tik-tak, bila kereta di tepi sudah betul-betul bersedia, barulah dia perlahan-lahan julurkan kepala, masuk lorong baru. Kemudian angkat tangan tanda terima kasih.

Di lebuh raya juga sama. Tidak ada pemandu lelaki memandu kelajuan 80 km/j di lorong tengah kerana mereka takut kena langgar belakang. Pemandu lelaki tahu di mana hendak pakai gear rendah, di mana sesuai pakai gear tinggi. Asyik dengan gear yang sama saja tak boleh. Kesian kereta. Perempuan lain, tukar gear pun kadang-kadang malas. Nasib baik sekarang ada kereta auto. Selamat kereta.

Ini sekadar contoh. Bukan semua pemandu perempuan seperti yang digambarkan di atas. Ramai pemandu perempuan yang cekap dan berhemah. Tetapi KEBANYAKANNYA memang gemar dengan "lady first" dan "lelaki mesti mengalah". Jalan raya bukan seperti di dalam kelambu!

Jangan marah, nanti muka cepat berkedut!

Sunday, September 14, 2008

Kita Dicipta Berpasangan

Lelaki dan perempuan dicipta untuk menjadi pasangan agar dapat saling melengkapi. Oleh itu, lelaki dan perempuan ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kelebihan yang ada pada lelaki akan melengkapkan kekuranan yang ada pada perempuan. Begitulah juga sebaliknya. Pokoknya, kedua-duanya saling memerlukan kerana ia saling melengkapi.

Lelaki tanpa perempuan bagai dunia tanpa serinya. Perempuan tanpa lelaki bagai apa aku tak tahu sebab aku bukan perempuan. Namun perempuan juga ada kekurangannya tanpa lelaki. Sebelah kasut secantik manapun, tiada berharga kerana tiada siapa sudi memakainya.
Kerana diciptakan berpasangan inilah lelaki dan perempuan mempunyai ciri-ciri magnetik. Satu Kutuk Utara dan satu lagi Kutub Selatan. Tidak boleh dibiarkan berdekatan kerana ia akan menarik dan melekat dengan sendiri. Apabila melekat susah juga hendak dipisahkan.

Masa sekolah dahulu aku gemar sekali bermain dengan dua magnet apabila masuk makmal. Aku mengacah-acahkannya, melaga-lagakannya, kemudian melekatkannya. Selepas itu aku menarik keluar dan memisahkannya. Kemudian aku mendekatkannya perlahan-lahan sehingga melekat. Aku membiarkannya melekat sementara waktu sebelum menariknya keluar lagi. Seronok sekali sampai meleleh air liur. Kadang-kadang aku melekatkan magnet pada sudu, paku atau jarum. (Kakak aku yang jadi tukang jahit menggunakan magnet untuk mengumpulkan jarum-jarum jahitannya).

Kisah magnet memang serupa dengan kisah lelaki dan perempuan. Magnet Utara menarik dan melekat dengan magnet Selatan, lelaki pula menarik dan melekat dengan perempuan. Selain itu, magnet juga akan menarik dan melekat pada sudu, paku dan jarum- kalau melekat pada serbuk besi, susah nak bersihkan.

Orang pun sama, tidak kira lelaki atau perempuan selalu melekat dengan benda-benda yang tidak berfaedah, misalnya dadah, rokok, alkohol, gam dan sebagainya. Mainan video juga mudah dilekati dan diketagihi para remaja. Benda-benda yang disbutkan ini bukan sahaja tidak memberikan faeadah, bahkan membawa keburukan dan kemudaratan. Tengoklah di Pusat Serenti atau Pusat Pemulihan Akhlak semuanya kerana sifat 'melekat" yang ada pada manusia.

Kalau melekat pada kebaikan sebagaimana suruhan agama tidak mengapa kerana ia membawa manfaat. Melekat pada solat dan puasa pada Bulan Ramadan begini teramatlah mulia. Apatah lagi sekiranya sifat-sifat terpuji turut melekat pada hati sepanjang masa.

Tetapi perkara yang paling merisaukan pada masa kini ialah sifat melekat antara lelaki dan perempaun pada tahap yang keterlaluan. Sekiranya kemelekatan itu berada pada tahap semula jadi mengikut lunas-lunas yang dibenarkan oleh agama dan budaya tidak menjadi hal. Tetapi kemelekatan melampaui batasan itulah yang mengganggu lena kebanyakan ibu bapa yang ada anak teruna dan anak dara. Buang bayi bagai buang sampah adalah akibat daripada gejala kemelekatan yang dimaksudkan.

Oleh itu, sebelum melakukan sesuatu, fikirkanlah terlebih dahulu akibat buruknya. Terlalu mengikut hawa nafsu akan membawa padah. Oleh sebab hakikatnya setiap orang ada ciri magnetik pada hati, eloklah sekiranya tidak terlalu hampir dengan pasangan yang ada ciri magnetik yang berlawanan. Wujudkan jarak yang sesuai agar kuasa magnetik tidak terdaya menarik dan melekat antara satu sama lain.

Sunday, September 7, 2008

Jiran Yang Memenatkan

Ramai orang memilih Hari Minggu untuk keluar makan angin bersama keluarga di luar kawasan rutin. Tetapi aku lebih gemar menghabiskan cuti hujung minggu untuk berehat dan bersantai di rumah. Kebiasaan itu telah lama mencorak hidupku. Aku malas membuang masa di luar atau berdua-duaan mencipta dosa di pusat beli-belah, pusat hiburan, hutan lipur dan sebagainya. Dunia bujangku betul-betul 'bujang'.

Berehat di rumah amat menyenangkan - berehat sambil menonton TV, mendengar lagu, melayari internet, membaca buku atau menulis blog.

Tetapi sejak akhir-akhir ini berehat di rumah tidak menyenangkan lagi. Jiran baru aku kurang asam sedikit. Dia suri rumah sepenuh masa. Selalu sahaja menjerit-jerit kepada anak kecilnya yang baru belajar berjalan. Jeritannya mengalahkan petir. Bocah sebesar itu dijerit-jerit begitu, kalau tidak menjadi pekak pasti terencat pendengarannya.

Jeritan si ibu gemuk seperti badak air itu cukup mengganggu ketenanganku. Aku terfikir, pada zaman 'pendidikan untuk semua' masih ada manusia yang 'tiada pendidikan'. Perasaan jiran langsung tidak diambil kira.

Saturday, September 6, 2008

Jam Tiruan, Batu Suntikan

Ini kisah beberapa bulan dulu. Petang Sabtu yang redup aku membazirkan masa di lorong "lelongan" di sekitar Jalan Petaling. Nama lorong itu aku beri sendiri kerana banyak barang terpakai kategori baru dan antik dilelong di situ.

Nama saja lelong tetapi harganya bukan rendah. Sekiranya mata tidak cukup tajam, kita akan "menukar" duit tulen dengan barang tiruan. Jam tangan berjenama hebat misalnya Omega, Longines, Rado, Mido, Seiko dan sebagainya telah memperdaya banyak mata (bukan mata-mata). Kah ... kah ... kah!

Aku pun ada kisah terpedaya menimpa diri. Aku ada seutas jam Omega Speedmaster 3 kepala. Aku sakit hati betul dengan jam tersebut. Untuk menghilangkan sakit hati, aku pergi ke lorong "lelongan". Aku mahu mencari penawar sakit hati.

Aku tertarik dengan sebentuk cincin zamrud ikat suasa putih. Mungkin kebetulan. Penjual batu permata itu pula terpikat dengan jam Omega yang aku pakai.

"Boleh tengok?" Penjual batu permata minta untuk melihat jam aku. Aku bagi dia tengok. "Mahu tukar?" Dia bertanya setelah meneliti jam aku.

"Tukar sama apa?" Aku bertanya.

"Sama cincin yang encik suka ni," Dia berkata sambil menghulurkan cincin zamrud kepada aku. Aku suluh pakai lampu dan kanta pembesar dengan teliti kalau-kalau ada kesan retak atau bintik-bintik hitam. Bersih dan cantik. Harga pasaran tidak kurang daripada RM3000. Sedangkan jam tangan terpakai ini aku cuma bayar RM1500 - punca sakit hati aku. Namun, hari ini sakit hati aku pasti terubat. Penjual batu permata itu dengan "rela hati" minta jadi penawar sakit hati aku.

"Okey!" Aku menjawab selamba. "Mahu buka tengok enjin?"

"Tak payah. Gua caya lu, lu caya gua. Orait?"

"Orait!"

Barang bertukar tangan tanpa banyak cerita.

"Wah, lu kasi tukar itu cincin sama ini jam? Itu cincin mahal lho!" Aku terdengar satu suara menyapa penjual batu permata dalam bahasa Kantonis.

"Haiya, lu ingat gua bodoh, itu zamrud masak!" balas penjual batu permata.

Aku tergamam seketika, "Haprak betul!"

Kemudian aku terus beredar dari situ. Aku Ssakit hati kali kedua. Penjual batu permata yang "bijak" itu juga pasti sakit hati apabila tahu jam Omega aku juga palsu.

Thursday, September 4, 2008

Pencorak Masa Hadapan

Anak-anak siapa ini begitu seronok bermandi?







Mereka adalah anak-anak Malaysia tercinta.

Suatu petang yang panas aku bermalas-malas di bangku Taman KLCC sambil melontar pandang ke arah anak-anak Malaysia bermain air. Begitu seronok dan gembira anak-anak ini bermandi dan bergurau senda sambil ditemani ibu bapa atau penjaga.

"Kanak-kanak ibarat kanvas putih. Kitalah yang akan melukisnya menjadi lautan biru atau padang lalang!"

Semoga apabila besar kelak mereka tidak bersengketa atas apa jua alasan. Mereka adalah bangsa Malaysia - pencorak masa hadapan tanah air kita.







Tuesday, September 2, 2008

Lupa Bulan Puasa


Balik dari kerja jam 6.00 petang aku singgah di Pasar Malam. Aku bersiar-siar melihat barangan dan makanan yang pelbagai jenis. Aku membeli beberapa jenis kuih dan sebelum pulang aku pergi ke gerai jual buah duku. Buahnya cantik dan segar. Nampak macam manis.

"Manis, bang!" kata penjual buah duku import dari Siam itu.

Aku ambil sebiji, kopek kulitnya dan mencuba isinya yang ranum.

"Memang manis," balasku selamba. Penjual melopong.

Apabila aku memandang ke kiri dan kanan, beberapa orang sedang memandang aku dengan pandangan yang pelik. Alamak, aku pula terkejut besar. Aku terlupa ini bulan Ramadhan. Masa berbuka puasa belum tiba, tetapi aku sudah "berbuka" di depan khalayak ramai.

Aku bergegas meninggalkan gerai buah duku. Aku buat muka tebal saja!