Monday, September 29, 2008

Bagusnya Jadi Wanita!

Dalam dunia terdapat beberapa golongan manusia yang dilayan secara istimewa sewaktu hendak menaiki kereta. Pertama, golongan pembesar negara. Semua negara telah menetapkan bahawa apabila pembesar negara atau lebih dikenali sebagai VIP atau VVIP hendak menaiki kereta mesti dibukakan pintu oleh pemandunya. Selepas itu, ditutupkan pula. Sememangnya patut diperlakukan sebegitu kerana mereka itu pembesar negara.

Kedua, golongan bos. Golongan ini juga mesti dibukakan pintu kereta untuk mereka. Itu tugas rasmi pemandu. Siapalah pemandu kalau tiada bos. Sebab itu bos mesti dilayan dengan baik. Bapa sendiri tidak dibukakan pintu tidak mengapa kerana kita bukan makan gaji dengan bapa kita. Tetapi dengan bos tidak boleh. Lambat buka pintu kereta kepada bos, "makan sotong gorenglah" jawabnya (dibuang kerja).

Ketiga, orang tua-tua. Golongan ini juga mesti dibukakan pintu apabila hendak naik kereta. Al maklumlah, orang tua mana tahu cara buka pintu kereta. Buka tak tahu, tutup pula tak kuat. Kalau kita minta tutup kuat sikit, ditutupnya sampai kereta macam nak runtuh. Lebih baik kita yang tolong tutupkan demi menjaga hayat pintu kereta.

Keempat, orang-orang cacat. Golongan ini kekadang bukan sekadar dibukakan pintu, malah terpaksa dipikul naik kereta.

Kelima, wanita. Golongan ini aku kurang faham sikit mengapa mesti dibukakan pintu kereta untuk mereka. Tua bukan, cacat juga bukan. Pembesar negara pun tidak, bos lagi jauh. Kalau kita menonton TV cerita Hollywood, Bollywood, Asiawood dan Malaysiawood, selalu kita nampak lelaki akan buka pintu kereta untuk wanita. Asalkan wanita tidak perlu buka dan tutup pintu kereta sendiri. Kenapa? Kerana wanita itu golongan yang lemah dan kita sebagai lelaki harus memberikan keutamaan kepada wanita. Saham kelelakian kita akan melonjak sekiranya kita melayan wanita seperti permaisuri. Begitulah kononnya

Malah sewaktu pergi makan, lelaki biasanya akan tarik kerusi bagi wanita duduk terlebih dahulu. Pokoknya mengapa harus diperlakukan sedemikian? Kata sahibul hikayat, adat buka pintu dan tarik kerusi dilakukan kerana wanita golongan yang lemah dan lelaki mesti layan mereka dengan istimewa. Masih relevan lagikah alasan konvensional itu? Sekarang wanita sudah jadi Perdana Menteri, Gabenor Bank Negara, ahli profesional, jutawan, CEO syarikat gergasi dan sebagainya. Wanita sudah sama taraf dengan lelaki, malah di sesetengah tempat pencapaian wanita lebih tinggi. Universiti kita pun ramai wanita. Hampir kesemua bidang kerjaya dan sukan diceburi wanita. Malah terdapat bidang tertentu wanita lebih cemerlang daripada lelaki.

Oleh itu, mengapa lelaki harus membuka pintu kereta dan menarik kerusi untuk wanita lagi? Aku rasa puncanya bukan kerana wanita itu golongan yang lemah. Mesti ada sebab lain. Sebab yang sengaja dicipta oleh lelaki sendiri. Lelaki jenis kasanova mencipta adat "lady first" untuk mengambil hati wanita, tetapi sebenarnya untuk menggoda, agar wanita terpikat dengan mereka: "Alangkah, baik sekali Si Kacak gagah perkasa ini. Kalau dapat aku mengelus-elus dadanya yang berbulu itu, waduh dunia ini aku yang punya!"

Wanita mudah patah hati dengan tingkah laku lelaki yang sopan dan berbudi bahasa. Kerana termakan budi, tertelan goda, akhirnya tubuh pun tergadai. Matlamat lelaki kasanova pun tercapai. Berbaloi serana sekadar buka pintu kereta dan tarik kerusi restoran dibalas dengan mahkota kewanitaan. selepas itu, siapa yang akan menangis, meraung dan melolong tidak keruan? Jawablah sendiri, sayang!

Tetapi sekarang layanan istimewa sebegitu jarang diamalkan lagi kerana wanita sudah sedar akan muslihat lelaki. Lagipun mereka malu diperlakukan seperti orang cacat. Setakat buka pintu kereta dan tarik kerusi lebih daripada mampu. Lempang suami pun boleh, takkan perkara sekecil ini tidak boleh.

Selamat Hari Raya dan berhati-hati di jalan raya!

4 comments:

aeropama said...

tujuan utama utk memikat beb. kalau yg jenis kepala masuk air, tu adalah umpan utk ke perangkap noda hitam...

ps: selamat hari raya

mongkut said...

memikat itu baik, tetapi menipu ke ranjang itu harus berjaga-jaga.

Pok Li said...

Wanita yang paling agong wajib dilayan ialah ibu kita. Kedua isteri kita. Ketiga anak-anak perempuan kita. Saudara mara perempuan kita. Ibu-ibu saudara kita. Kerana tanpa wanita dimanakah kita ;).

mongkut said...

Betul tu pok li, tanpa wanita, maka tiadalah kita.