Lelaki dan perempuan dicipta untuk menjadi pasangan agar dapat saling melengkapi. Oleh itu, lelaki dan perempuan ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kelebihan yang ada pada lelaki akan melengkapkan kekuranan yang ada pada perempuan. Begitulah juga sebaliknya. Pokoknya, kedua-duanya saling memerlukan kerana ia saling melengkapi.
Lelaki tanpa perempuan bagai dunia tanpa serinya. Perempuan tanpa lelaki bagai apa aku tak tahu sebab aku bukan perempuan. Namun perempuan juga ada kekurangannya tanpa lelaki. Sebelah kasut secantik manapun, tiada berharga kerana tiada siapa sudi memakainya.
Kerana diciptakan berpasangan inilah lelaki dan perempuan mempunyai ciri-ciri magnetik. Satu Kutuk Utara dan satu lagi Kutub Selatan. Tidak boleh dibiarkan berdekatan kerana ia akan menarik dan melekat dengan sendiri. Apabila melekat susah juga hendak dipisahkan.
Masa sekolah dahulu aku gemar sekali bermain dengan dua magnet apabila masuk makmal. Aku mengacah-acahkannya, melaga-lagakannya, kemudian melekatkannya. Selepas itu aku menarik keluar dan memisahkannya. Kemudian aku mendekatkannya perlahan-lahan sehingga melekat. Aku membiarkannya melekat sementara waktu sebelum menariknya keluar lagi. Seronok sekali sampai meleleh air liur. Kadang-kadang aku melekatkan magnet pada sudu, paku atau jarum. (Kakak aku yang jadi tukang jahit menggunakan magnet untuk mengumpulkan jarum-jarum jahitannya).
Kisah magnet memang serupa dengan kisah lelaki dan perempuan. Magnet Utara menarik dan melekat dengan magnet Selatan, lelaki pula menarik dan melekat dengan perempuan. Selain itu, magnet juga akan menarik dan melekat pada sudu, paku dan jarum- kalau melekat pada serbuk besi, susah nak bersihkan.
Orang pun sama, tidak kira lelaki atau perempuan selalu melekat dengan benda-benda yang tidak berfaedah, misalnya dadah, rokok, alkohol, gam dan sebagainya. Mainan video juga mudah dilekati dan diketagihi para remaja. Benda-benda yang disbutkan ini bukan sahaja tidak memberikan faeadah, bahkan membawa keburukan dan kemudaratan. Tengoklah di Pusat Serenti atau Pusat Pemulihan Akhlak semuanya kerana sifat 'melekat" yang ada pada manusia.
Kalau melekat pada kebaikan sebagaimana suruhan agama tidak mengapa kerana ia membawa manfaat. Melekat pada solat dan puasa pada Bulan Ramadan begini teramatlah mulia. Apatah lagi sekiranya sifat-sifat terpuji turut melekat pada hati sepanjang masa.
Tetapi perkara yang paling merisaukan pada masa kini ialah sifat melekat antara lelaki dan perempaun pada tahap yang keterlaluan. Sekiranya kemelekatan itu berada pada tahap semula jadi mengikut lunas-lunas yang dibenarkan oleh agama dan budaya tidak menjadi hal. Tetapi kemelekatan melampaui batasan itulah yang mengganggu lena kebanyakan ibu bapa yang ada anak teruna dan anak dara. Buang bayi bagai buang sampah adalah akibat daripada gejala kemelekatan yang dimaksudkan.
Oleh itu, sebelum melakukan sesuatu, fikirkanlah terlebih dahulu akibat buruknya. Terlalu mengikut hawa nafsu akan membawa padah. Oleh sebab hakikatnya setiap orang ada ciri magnetik pada hati, eloklah sekiranya tidak terlalu hampir dengan pasangan yang ada ciri magnetik yang berlawanan. Wujudkan jarak yang sesuai agar kuasa magnetik tidak terdaya menarik dan melekat antara satu sama lain.
1 comment:
good article.
keep writing ya.
Post a Comment