Aku menafikan sekeras-kerasnya seandainya ada orang menuduh perempuan cemburu buta. Bukan hendak mempertahankan perempuan semata-mata kerana nenek, emak dan intan payung aku perempuan. Hakikatnya perempuan tidak cemburu buta. Dia cemburu kerana dia tidak buka. Dia masih celik dan dapat melihat segala-galanya.
Perempuan cemburu ada sebabnya, bukannya suka-suka hendak cemburu. Tahap cemburu pula berbeza dari satu orang dengan orang lain. Kalau dibandingkan dengan lelaki, cemburu perempuan amat menakutkan. Masa perempuan naik angin kerana cemburu, harimau bintang yang terkenal kerana garangnya pun tewas.
Apabila terdengar khabar, hanya sekadar khabar si dia ada 'dating' dengan perempuan lain, fuyoh, muka yang jelita mula herot, bertompok-tompok merah, malah sesetengahnya terus hitam kerana marah. Dada yang indah berdebar-debar, nadi berdenyut kencang dan tubuh mula menggeletar. Itu baru mendengar khabar. Sekiranya dilihat dengan mata dan kepala sendiri si kekasih atau si tunang atau si suami sedang 'ting tong' dengan perempuan lain ... mak ooiii runtuh langit.
Jangan kata sampai ke tahap 'ting tong', bersembang dalam telefon dengan kawan perempuan lama sikit sudah tarik muka masam - memuncung 24 jam. Boleh dikatakan apa-apa sahaja yang ada kaitan dengan perempuan lain, orang ketiga kononnya, pasti cemburu - cakap telefon lama sikit cemburu, SMS cemburu, berbual di kedai kopi dengan kawan lama cemburu, senyum dengan anak gadis mak cik goreng pisang cemburu, sengih dengan jurujual di kompleks beli-belah cemburu. Semuanya kalau melibatkan spesis sejenisnya, dia akan cemburu. Peliknya apabila kita bersiul dengan pondan, dia tidak cemburu pula. Mungkin dia sedar tak masuk akal cemburu jantan sama jantan.
Seorang kawan yang bosan kerana isterinya terlalu cemburu pernah berkata:"Kalau boleh buka macam buka skru, aku nak buka si anu aku dan selitkan kat pinggang dia seperti keris biar dia bawa 24 jam. Barulah dia tak cemburu!"
Kawan ini pun ngok juga. Perempuan bukan cemburu kerana si anu. Jantan di mana-mana pun dapat dicari. Berlambak di Pasar Seni, Jalan Silang, Kota Raya atau Masjid India. Melayu, Cina, India, Indon, Bangla, Myanmar, Vietnam, Gurkha dan Negro semuanya ada. Tinggi, rendah, kurus dan gemuk boleh pilih ikut selera. Kalau mahu Mat Salleh mesti ke Bukit Bintang, Bangsal atau Mont Kiara. Mahu berapa banyak. Tetapi perempuan cemburu kerana ada sebab lain yang lelaki ngok macam kawan aku tidak memahaminya.
Oleh sebab tidak memahami cemburu perempuan, dan sengaja membiarkan cemburu berulang-ulang, maka terjadilah episod sedih tahap 'Guinness Record' - isteri potong si anu suaminya. Dan si itik malang pula dengan pantas menelannya. Itik jantan atau itik betina tidak diceritakan! Ini kira yang paling sedih (aku tak dapat bayangkan lelaki hidup tanpa benda itu). Yang biasa-biasa seperti ketuk kepala suami dengan kayu, tibai dengan botol, kejar sama parang dan terajang seperti peragut ada di mana-mana. Tetapi kurang mendapat publisiti kerana mahu menjaga 'kredibiliti' lelaki yang bernama suami. Malah disimbah cuka asid pun ada berlaku. Sebab itulah cemburu perempuan menewaskan harimau bintang. Segarang-garang harimau tidak pernah gigit sampai putus si anu pasangannya kerana cemburu.
Lelaki juga cemburu. Siapa bilang dia tidak ada perasaan cemburu, dia berbohong. Tetapi cemburu lelaki ada batas-batasnya dan tidak segila cemburu perempuan.
Orang bilang lelaki dikurniakan 9 akal dan 1 perasaan. Perempuan pula dikurniakan 9 perasaan dan 1 akal. Aku tidak menafikannya. Tetapi cemburu perempuan bukan kerana itu. Cemburu perempuan kerana sayang dan setianya kepada cinta. Maka perempuan juga menuntut agar lelaki yang bernama sang kekasih atau sang suami memahaminya dan turut setia kepada cinta sebagaimana dirinya. Masa bercinta-cintan, perempuan selalu meminta dan mengingatkan:"Abang mesti cinta saya seorang saja tau!" Lelaki mengangguk-angguk setuju.
Tetapi lelaki tetap lelaki. Setelah madu dikecapi, dia menjadi pelupa. Matanya mula melilau-lilau ke arah lain yang lebih segar dan bugar. Perempuan mana tidak naik angin, isteri mana tidak turun minyak. Masakan di rumah tidak makan, sebaliknya pergi cari makan di luar. Dan harus diingat perempuan bukan cemburu kerana marah, tetapi cemburu kerana sayang.
Awas, kerana sayang perempuan sanggup melakukan apa sahaja termasuk membunuh!
No comments:
Post a Comment