Ini kisah beberapa bulan dulu. Petang Sabtu yang redup aku membazirkan masa di lorong "lelongan" di sekitar Jalan Petaling. Nama lorong itu aku beri sendiri kerana banyak barang terpakai kategori baru dan antik dilelong di situ.
Nama saja lelong tetapi harganya bukan rendah. Sekiranya mata tidak cukup tajam, kita akan "menukar" duit tulen dengan barang tiruan. Jam tangan berjenama hebat misalnya Omega, Longines, Rado, Mido, Seiko dan sebagainya telah memperdaya banyak mata (bukan mata-mata). Kah ... kah ... kah!
Aku pun ada kisah terpedaya menimpa diri. Aku ada seutas jam Omega Speedmaster 3 kepala. Aku sakit hati betul dengan jam tersebut. Untuk menghilangkan sakit hati, aku pergi ke lorong "lelongan". Aku mahu mencari penawar sakit hati.
Aku tertarik dengan sebentuk cincin zamrud ikat suasa putih. Mungkin kebetulan. Penjual batu permata itu pula terpikat dengan jam Omega yang aku pakai.
"Boleh tengok?" Penjual batu permata minta untuk melihat jam aku. Aku bagi dia tengok. "Mahu tukar?" Dia bertanya setelah meneliti jam aku.
"Tukar sama apa?" Aku bertanya.
"Sama cincin yang encik suka ni," Dia berkata sambil menghulurkan cincin zamrud kepada aku. Aku suluh pakai lampu dan kanta pembesar dengan teliti kalau-kalau ada kesan retak atau bintik-bintik hitam. Bersih dan cantik. Harga pasaran tidak kurang daripada RM3000. Sedangkan jam tangan terpakai ini aku cuma bayar RM1500 - punca sakit hati aku. Namun, hari ini sakit hati aku pasti terubat. Penjual batu permata itu dengan "rela hati" minta jadi penawar sakit hati aku.
"Okey!" Aku menjawab selamba. "Mahu buka tengok enjin?"
"Tak payah. Gua caya lu, lu caya gua. Orait?"
"Orait!"
Barang bertukar tangan tanpa banyak cerita.
"Wah, lu kasi tukar itu cincin sama ini jam? Itu cincin mahal lho!" Aku terdengar satu suara menyapa penjual batu permata dalam bahasa Kantonis.
"Haiya, lu ingat gua bodoh, itu zamrud masak!" balas penjual batu permata.
Aku tergamam seketika, "Haprak betul!"
Kemudian aku terus beredar dari situ. Aku Ssakit hati kali kedua. Penjual batu permata yang "bijak" itu juga pasti sakit hati apabila tahu jam Omega aku juga palsu.
No comments:
Post a Comment