Seorang siswazah muda yang baru tamat pengajian pergi temuduga kerja di sebuah syarikat swasta. Kebetulan hari itu bos syarikat sendiri yang menjadi penemuduga. Setelah meneliti resume, sijil dan dokumen yang dikepilkan, dia kemukakan satu soalan mudah, tetapi membikin si gadis siswazah tersentak dan tergamam.
"Pernah cuci kaki ibu?"
"Hah?"
"Pernahkah saudari cuci kaki ibu saudari?"
Gadis manis itu terdiam seketika sebelum menjawab dengan jujur: "Tidak pernah!"
"Syarikat kami hanya terima orang yang ada pengalaman pernah cuci kaki ibunya!"
Gadis siswazah bidang ekonomi itu balik dengan kecewa. Dia kecewa dengan sikap bos syarikat yang bertanyakan soalan yang langsung tidak ada kaitan dengan bidang kerja yang dipohonnya. Lainlah kalau dia minta jadi jururawat.
Balik ke rumah dia termenung seketika. Pada sebelah petang ketika ibunya balik dari kebun, dia segera minta izin untuk memandikan ibunya. Ibunya menjadi hairan kerana inilah kali pertama anak gadisnya mahu memandikannya. Ibunya tidak membantah, malah bangga bercampur hairan.
Dia memandikan ibunya, mengosok kotoran di leher, badan dan turun ke kaki. Kaki ibunya berdaki, kukunya panjang, hitam dan berkarat. Celah-celah jari begitu kotor, calar-calar dan ada kesan luka kemerah-merahan. Tapak kaki pula merekah, pecah-pecah dan bengkak. Tersentuh kuat sikit, ibunya tersentap kerana sakit. Maklumlah kaki pekebun dan pesawah yang hari-hari berbudi kepada tanah. Melihat keadaan kaki ibunya, dia tidak dapat menahan air mata. Malah dia menangis teresak-esak. Betapa kesalnya dia kerana tidak pernah ambil tahu terhadap sepasang kaki yang membesar dan memberikannya pendidikan sehingga ke universiti. Betapa sakit dan deritanya kaki tersebut.
Dia membasuh kaki ibunya sehingga bersih.
Dia terasa seperti terhutang budi kepada bos syarikat yang dia pergi temuduga.
Mungkin inilah yang dikatakan syurga di bawah tapak kaki ibu, fikirnya!
2 comments:
emmm... tersentuh baca cerita ni.. saya pun belum pernah cuci kaki mama saya.. paling tidak pun, tolong urut jer.. esok pagi nak pulang ke rumah.. dah cuti raya.. rasa mcm nak tlg mam cucikan kaki lepas penat2 wat kuih raya.. emmm...
nway slamat hari raya n thanx 4 view me! nice blog!
Baiklah gitu kirana. Jasa ibu tiada bandingannya.
Post a Comment