Saturday, May 7, 2011

Bukan Semua Manusia Berbakat Itu Baik!

Manusia dilahirkan dengan pelbagai bakat semula jadi. Manusia yang berbakat ini buat apa pun semuanya menjadi; apabila melukis, hasil lukisannya kelihatan hidup; apabila menulis, hasil tulisannya sedap dibaca; apabila berlakon, hasil lakonannya memukau mata. Pendek kata manusia yang dikurniakan bakat semula jadi ini bukan manusia sembarangan. Semua hasil kerjanya memikat hati manusia lain. Orang berbakat ini memang dicari orang - cari bakat.

Namun, manusia berbakat ini, kekadang menggunakan bakatnya untuk tujuan yang tidak baik. Kedengarannya pelik, tetapi itulah hakikatnya. Bakat istimewa tidak semestinya digunakan untuk melukis, menulis dan berlakon sahaja. Berbohong, menipu dan memperdayakan orang juga memerlukan bakat luar biasa. Kalau tidak, masakan orang yang belajar tinggi-tinggi sehingga ada PhD boleh ditipu oleh orang yang tamat sekolah atap. Orang yang lahir, besar dan dewasa di negara maju tertipu oleh orang yang berasal dari negara miskin dan mundur.

Sekarang ini dunia semakin terdesak. Oleh itu, manusia menggunakan bakat semua jadi yang tidak ada pada orang lain untuk tujuan jahat. Manusia berbakat ini selain bijak menggunakan bakatnya, bijak juga menggunakan kesempatan. Misalnya, jikalau mereka hendak menipu duit seseorang, mereka akan cari orang yang tamak duit. Orang tamak selalu rugi menjadi kunci pegangan mereka. Bermacam-macam cara dicipta bagi memperdaya mangsa. Kekadang mereka main tabur duit bagi mendapatkan pulangan duit dalam jumlah gandaan. Boleh kata, mereka cukup berbakat sehingga penipuan mereka sukar diketahui mangsa sehinggalah mangsa tersebut terpedaya. Sedar-sedar ribuan, malah jutaan telah lesap.

Bagi lelaki kasanova, mereka mencari mangsa yang kebutuhan cinta. Orang kebutuhan cinta tidak kira anak dara, emak dara atau isteri orang apabila kebutuhan cinta, begitu mudah diperdayakan oleh lelaki kasanova. Jikalau kebetulan lelaki berwajah kacak ini dikurniakan bakat istimewa, lagilah cepat mangsa rebah di dadanya. Lelaki kasanova lazimnya bermulut manis, berlidah lincah dan romantis apabila disulami bakat istimewa, jangan kata wanita biasa, datin seri pun boleh hilang gincu dibuatnya. Lelaki kasanova ini begitu bijak memilihj masa bila hendak bertahan, menyerang atau mengalah.

Kasanova umpama seekor harimau yang menghendap, memerhati dan akan menerkam mangsa hanya pada masa yang dirasakan sesuai. Gigitannya pula tepat pada leher. Sekali gigit, mangsa terus lemah dan mati. Gigitan yang silap akan menyebabkan mangsa terlepas. Begitu juga dengan kasanova. Ketepatan membuat pilihan merupakan kunci kejayaan mereka.

Orang politik mempunyai bakat istimewa dalam ceramah atau syarahan. Orang politik tidak perlu bijak dan bermoral tinggi. Cukuplah sekadar memperlihatkan seperti orang bijak dan bermoral tinggi. Bakat istimewa yang ada pada mereka mampu menutup segala kelemahan yang ada. Sebab itulah kita akan kesal setiap kali kita mahu mencari kebijakan dan moraliti pada orang politik.

Malahan perompak, penyamun dan pembunuh upahan juga harus berbakat bagi menjayakan kerja jahat mereka.

Kesimpulannya, manusia berbakat tidak semestinya menggunakan bakat ke arah kebaikan sahaja. Tidak kurang yang menggunakan bakat ke arah kejahatan. Walaupun kita tidak memanggil pembohong, penipu atau perompak sebagai manusia berbakat, tetapi kerja mereka dilakukan dengan jayanya kerana mereka berbakat istimewa dengan kerja-kerja tersebut. Maka, berwaspadalah dengan manusia berbakat jahat ini sebelum kita jadi mangsanya.