Memang tidak masuk akal suami dikatakan takut kepada isteri yang dicintai. Kalau takut dia tak akan peluk, dakap dan cium isterinya setiap malam. Kalau takut mereka tak akan dikurniakan putera dan puteri sehingga sedozen. Itupun kalau tidak terganggu oleh emak mentua yang selalu batuk-batuk malam hari, mungkin banyak lagi rezeki yang keluar. Isteri bukan harimau. Kenapa mesti ditakutkan. Alasan yang logik dan rasional. Lagipun, lelaki yang badannya besar dan tebal umpama batang durian akan takut kepada si isteri yang nipis dan ramping bak kerengga. Dalam mana-mana keadaan sekalipun sukar diterima akal seorang lelaki takut kepada wanita.
Dalam agama ada dijelaskan bahawa isteri yang mengingkari perintah suami, neraka tempatnya. Jadi, di sini suami sudah ada kelebihan. Justeru, mana-mana suami pun tidak boleh terima apabila dituding jari sebagai takut kepada isteri.
Kalau betul tiada suami yang takut kepada bini, kenapa begitu banyak kedengaran kata-kata begini keluar dari mulut lelaki: "Si Mamat kat luar bukan main galak, bila balik rumah menikus. Takut binilah tu" atau "Datuk tak boleh balik lewat, takut Datin marah" atau "Ada terlintas nak buka cawangan baru, tapi takut orang rumah mengamuk." Kata-kata begini menggambarkan ada suami yang gerun kepada isterinya. Tetapi apabila ditanya, tiada seorang pun yang mengaku.
Rupa-rupanya sesetengah lelaki ada sejenis penyakit iaitu penyakit suka menuduh lelaki lain takut kepada bini. Entahlah kalau dikatakan sikap semula jadi lelaki atau tidak tetapi hakikatnya apabila dibangkitkan soal takut kepada bini, semua lelaki akan menuding kepada lelaki lain, tidak kepada diri sendiri. Lelaki memang pandai menuduh orang lain queen control.
Banyak perkara yang dikaitkan dengan sikap suami yang takut kepada bini. Perkara-perkara tersebut dijadikan sebagai bukti bahawa si suami berkenaan hidup di hujung telunjuk isteri. Salah salahnya ialah balik tepat pada waktu. Sekiranya ada lelaki yang balik rumah tepat pada waktu, tanpa sedikit pun terlewat, pasti segera dilabel sebagai takut kepada bini. "Takkan datang pejabat punch card, balik rumah pun kena punch card juga, bang!" Sindiran halus tetapi tajam. Orang yang mendengar hanya tersengih-sengih kerana memahami maksudnya. Betulkah balik cepat ke rumah ada konotasi dengan sikap takut kepada bini? Jadi, bagi yang balik rumah pukul 12.00 malam tidak takut kepada isteri?
"Meeting apa abang ooi sampai pukul 12.00 malam?"
Bukan takut kepada isteri tetapi malas memekakkan telinga dengan benda-benda yang remeh. Isteri kurang percaya kalau diberitahu mesyuarat tamat jam 10.00 malam, lepas itu bawa client dari luar negara pergi makan dan sedikit entertainment. Sekali-sekali bolehlah, tetapi kalau hari-hari asyik dengan alasan mesyuarat, lali telinga isteri. Perempuan apabila telinga telah lali, maka apa sahaja yang suami perkatakan, sekadar masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan. Daripada dibebel-bebel tidak keruan, ada baiknya balik cepat seandainya betul-betul tiada alasan untuk lewat. Bukan takut kepada isteri tetapi sayang kepada gegendang telinga.
"Selepas sidai kain, jangan lupa siram bunga, ya bang!"
Apabila ada orang nampak si suami membasuh dan menyidai kain, orang akan kata itulah suami Mithali. Sekiranya dilihat pula dalam longgokan kain yang disidai itu terdapat pakaian dalam si isteri, maka dengan pantas akan dikatakan itu bukan suami Mithali sembarangan tetapi Mithali segala Mithali.
Apatah lagi seandainya si suami selepas sidai kain, siram bunga, terpaksa pula basuh kasut sekolah anak-anak. Sedangkan si isteri asyik memberi arahan dari sofa sambil menonton TV.
"Kenapa gaji bulan ini kurang, bang?"
Apabila mendengar pertanyaan begini, sahihlah si isteri adalah akauntan rumah tangga kerana semua urusan kewangan, termasuk gaji bulanan suami diperiksa dan dieditnya. Setiap kali keluar gaji, suami mesti serah kesemua gajinya kepada isteri untuk disimpan. Apabila mahu membeli barang atau keperluan tertentu, suami mesti minta daripada suami. Bab meminta duit daripada isteri, kekadang menyebabkan suami berfikir dua kali. Masakan tidaknya kerana setiap kali minta, semput nafas dibuatnya. Nak beli apa? Berapa harga? Kedai mana? Brand apa? Berapa diskaunnya? Pendek kata, 1001 soalan mesti dijawab sebelum mendapat RM50.00 untuk tukar selipar yang koyak. Suami begini, suami yang melantik isteri sebagai akauntan, sering menjadi sasaran tuduhan takut kepada bini.
Suami yang boros adalah elok kalau isteri yang kawal perbelanjaannya. Maklumlah orang boros sinonim dengan tidak kedekut. Orang tidak kedekut bererti bermurah hati. Orang bermurah hati tidak sayang membelanja kawan makan atau minum. Tidak salah sekali-sekali membelanja kawan makan atau minum, malahan mendapat pahala dan digalakkan oleh agama. Yang menjadi takut sekiranya kawan yang dibelanja makan atau minum itu bukan kawan biasa tetapi Cik Ziana, Miss Wong, atau Kavitha. Silap-silap kerana terhutang budi, dibalas dengan body. Ini yang menjadi ketakutan para isteri. Justeru, adalah baik sekiranya bertindak jadi akauntan kepada si suami.
Si isteri yang kaya, jelita dan seksi menjadi penyebab suami terseksa. Suami sering serba salah apabila berhadapan dengan situasi tertentu dengan isteri yang kaya, jelita dan seksi tetapi kuat mengarah. Membantah kata-katanya, takut dia lari. Sayang juga kalau dia lari pergi kahwin sama jantan lain. Kalau terkena dengan jenis yang sikit-sikit minta cerai, pengsan suami dibuatnya. Dengan segala kelebihan yang dimiliki, isteri zaman sekarang apabila tersekat angin, langsung minta cerai. Mahu tidak mahu suami terpaksa akur segala kehendak isteri, termasuk babak di atas katil - kehendak isteri dari hujung kaki sehingga ke hujung rambut mesti dipenuhi.
Si isteri kadang-kadang berasa bangga apabila dapat mengarah suami melakukan itu, melakukan ini. Kalau boleh biar semua kerja rumah si suami yang buat. Angan-angan si isteri yang jadi suri rumah biarlah si suami dalam seminggu, 6 hari jadi pengurus atau CEO syarikat dan 1 hari jadi house husband. Sedangkan dia dalam seminggu, kesemua 7 hari jadi Queen Control. Angan-angan tersebut tidak kosong kerana ramai sudah isteri membuktikan yang mereka berjaya merealisasikannya.
"Suami akak ikut apa saja akak cakap. Akak suruh cuci kain, masak nasi, goreng telur, sapu rumah, tukar cakar, mop lantai, buang sampah, malah cuci tahi kucing depan pintu, semua dibuatnya tanpa bantah. Suami orang lain, jangan harap. Kawan-kawan akak puji akak dapat suami seperti abang Najib tu!"
"Jangan-jangan benda tu pun suami kakak yang cuci!"
"Issh, kamu ni!"
Para isteri memang berbangga apabila dapat menceritakan penguasaannya ke atas suami. Kemenangan insan yang lemah ke atas insan yang gagah. kembang hidung isteri apabila mendengar orang kata dia pandai menjinakkan suami, yakni menakutkan suami.
Suami tidak dapat terima penggunaan istilah takut kepada isteri. Mereka lebih gembira apabila istilah tersebut digantikan dengan istilah menyayangi isteri, atau menghormati isteri. Walau bagaimanapun istilahnya, tuduhan "takut kepada isteri" tidak akan hilang selagi kepatuhan suami kepada isteri melampaui norma seorang suami sebagaimana dibenarkan oleh budaya dan agama kita.
6 comments:
bukan takut bro, tapi sayang....huhuhuhu
Apa yang di ceritakan dalam artikel ini tidak lah semua dianggap sebagai suami tunduk kepada telunjuk isteri atau takut bini tapi lebih kepada menghormati isteri. Apa yang tak bestnya dan seorang suami layak dikatakan takut isteri adalah bila sendirian bersama-sama dengan kawan-kawan perempuan bukan main lagi gelagatnya lupa dunia tapi bila jalan dengan isteri dan terserempak dgn kawan perempuan yang sering bersembang dengannya pun pura-pura dia tak nampak pada hal bergesel bahu saja tidak. Suami ini lah yang dikatakan kalau depan isteri pijak semut pun tak mati. Rasanya kalau sedang berjalan dgn isteri dan terjumpa dengan kawan biasa dari kaum hawa tak salah nak tegur atau sekurang-kurangnya perkenalkan isterinya pada kawan wanitanya( kawan biasa). Meluat tengok suami macam ini..mongkut pula kalau sedang berjalan dengan isteri dan terserempak dgn desbil jangan pula pura-pura tak kenal yer...ngeh...ngeh
Salam Hijrah dan Tahun Baru 2009
Jadi lelaki sendiri yang silap kerana suka sangat menuduh member takut isteri padahal hakikatnya "terlalu sayang", kan gitu.
Kepada Desbil, tak usahlah risau, saya pasti tegur kalau jumpa, tapi macam mana nak kenal ya? Nanti tegur salah orang pulak. Saya tak ada isteri, tunggu Desbil tolong carikan, ok!
Pok Li, Salam Hijrah dan Selamat Tahun Baru 2009. Tahun baru azam baru!
yer ker maaflah yer ingatkan dah beristeri dan beranak pinak...naper semua calon2nya ada ciri-ciri QUEEN CONTROL ker?..
Jenis material control.
Post a Comment