Apabila menjelang musim banjir, perkara pertama yang terbayang-bayang di kepala aku ialah keluar ke Bandar Kota Bharu untuk bermain banjir. Mengharung air banjir sambil berpayung tatkala hujan renyai-renyai di Kota Bharu ada keistimewaannya yang tersendiri yang tidak ada di kampung halamanku. Keistimewaan yang aku maksudkan ialah mencari cinta yang datang bersama banjir!
Apabila banjir orang tua bersama kebimbangannya manakala orang muda bersama keseronokannya. Orang tua bimbang, takut dan risau terhadap seribu perkara. Padi dibendang belum habis dituai, ubi di kebun belum habis digali, kalau seluruh kampung ditenggelami air, binatang peliharaan akan dibawa ke mana dan seandainya hujan masih mencurah, air hulu semakin bertambah, arus sungai semakin deras, tebing tanah bakal pecah dan menghanyutkan rumah-rumah di sekitarnya. Semuanya menambahkan bimbang orang tua.
Orang muda pula seronok, riang, dan gembira. Banjir bagi mereka sumber rezeki - memukat, memancing dan menukil menjadi pilihan utama orang muda mengisi musim bah. Mendayung sampan, mengalah rakit menjadi mainan anak-anak remaja. Malah tidak kurang yang mengambil kesempatan mencari jodoh, mengintai pasangan. Membina mahligai cinta pada musim banjir begitu indah. Bermain cinta dalam rintik hujan, di permukaan hening air adalah pengalaman yang sukar dilupakan. Sambil bersampan atau berakit membelah lautan banjir di dada sawah saujana mata memandang, suara gurau senda muda-mudi bersama kecipak pendayung menampan air dan hamburan ikan menyambar belalang adalah lagu cinta anak-anak pesawah.
Bagi pengantin baru, tatkala hujan dan banjir mengepung pergerakan lalu terpaksa berkurung di rumah, apa yang terbaik dilakukan selain masuk ke bilik dan bersembang-sembang untuk membunuh masa yang cukup membosankan. Sekadar untuk membunuh masa.
Bagi orang muda yang ada sedikit pendidikan seperti aku, bermain sampan di desa pasti menjemukan. Lantas kami lebih suka berkonvoi dengan motosikal ke Kota Bharu untuk melayan keinginan hati muda terhadap kaum hawa. Di tengah-tengah bandar Kota Bharu, orang ramai yang entah dari mana berkumpul, mengharungi air sambil berpayung bagaikan satu pesta. Lelaki dan wanita bercampur. Rata-ratanya orang muda dan kanak-kanak. Seronok sangatkah bermain banjir di bandar? Ya, seronok sekali. Yang lelaki seronok dapat melihat betis bunting padi gadis jelita, atau paha seksi wanita muda yang diangkatkan kainnya kerana takut basah, manakala yang perempuan rasanya begitu bangga dapat menayangkan kakinya yang lawa dan seksi. Kekadang hujan melebat turun, semua basah kuyup. Bayangkan gadis muda berbaju T nipis tanpa kolar, berwarna putih apabila dibasahi air pasti menampakkan bentuk badannya dengan jelas. Di manakah pandangan mata lelaki akan tertumpah kalau tidak pada dadanya yang berombak?
Malah menjadi satu kesukaan apabila dapat berjalan di belakang perempuan. Bukan untuk melihat punggungnya yang kental (barangkali benar bagi orang lain, tetapi bukan aku), tetapi untuk menguji kehebatan diri sama ada disukai atau tidak. Sambil berjalan, sesi berkenalan bermula dan sekiranya kena dengan cara dan ketikanya persahabatan akan terjalin. Kata-kata usikan yang popular ketika itu ialah: "Merah sangatlah" apabila si gadis berpakaian merah. "Boleh tumbang payung?" apabila si dia berpayung. "Boleh ikut sekali?" apabila hendak berjalan bersama dia. Dan yang paling kasar dan berani ialah: "Sejuklah, boleh peluk tak?" Yang ini silap-silap boleh kena penampar. Penampar kekasihnya andainya dia sudah berteman. Atau penampar abang atau bapanya yang mungkin berada berdekatan.
Satu hal yang aneh apabila tiba musim hujan hati begitu teringinkan cinta. Jiwa yang kedinginan bagaikan mendesak agar dicarikan pasangan. Sedetik kehangatan pelukan sang kekasih rasanya lebih hangat daripada panas unggun api. Apalah lagi yang lebih berharga kepada jiwa yang kedinginan selain kehangatan pelukan sang kekasih? Dan sewaktu rintik hujan mengepung dingin alam, hati yang rindu mengimbau waktu, tetapi kepada siapakah rindu menumpah kalau hidup seorang diri? Sebab itulah ramai yang mencari cinta pada musim hujan.
Aku masih ingat kata-kata yang entah dari mana aku ambil dan aku pernah gunakan untuk menghiasi surat cinta: "Seandainya hujan di tempatmu; tempias mengucup pipimu yang gebu; biarkanlah kerana itu adalah kucupan rindu daripadaku!"
Orang lelaki ada satu tabiat yang aneh iaitu suka berebut perempuan. Aku sendiri berasa aneh kerana sikap tersebut pun ada pada aku. Andaikan lelaki bertiga berjumpa dengan gadis yang bertiga juga, pasti hanya seorang yang menjadi rebutan. Maka berlakulah persaingan. Gadis itu pula apabila dia tersedar sedang diperhatikan malah sedang menjadi idaman 3 orang lelaki sekawan, alamak naik tocang habis. Lenggoknya mengalahkan peragawati. Egonya melangit. Pura-pura jual mahal. Kalau dahulu jual longgok, sekarang mesti timbang pakai kilogram. Jual mahal tidak salah sekiranya betul-betul berkualiti. Kalau setakat ubi keledek tenggelam air, jual mahal siapa mahu beli. Eleh, "mahal sangatlah Mak Ngah!" Itulah yang sering keluar dari mulut lelaki apabila berhadapan dengan perempuan jual mahal.
Perebutan tidak selalu berakhir dengan kemenangan. Adakalanya semua orang pun kecewa kerana "cinta" ditolak. Tetapi sekiranya berjaya pasti gembira kerana "cinta" yang diperolehi dengan cara berebut amat bermakna kepada seorang lelaki. Dan jangan lupa bahawa kerana persaingan berebut cinta, lelaki sanggup membunuh dan berkorban nyawa.
Pada awal 80-an lagu Jamal Abdillah "Berkorban Apa Saja" dan lagu Roy dan Fran "Siapa Dia Sebelum Daku" sedang hangat. Maka berkumandanglah lagu-lagu tersebut di bandar Kota Bharu. Bukan dari corong radio tetapi dari kerongkong si kasanova untuk memikat gadis idaman. Biarpun hanya sedikit lebih merdu daripada suara katak memanggil hujan tidak menjadi soal asalkan tujuan utama mengunci hati gadis pujaan tercapai.
Perempuan juga seperti lelaki. Mereka seperti telah bersedia untuk menerima lamaran cinta yang datang bersama air banjir. Mereka gembira apabila diusik, ditegur, malah dicuit-cuit sambil berkongsi payung. Betapa hebat sepasang teruna dan dara yang tidak pernah kenal dapat berpayung bersama dan adakalanya berpeluk pinggang. Aduhai, kuasa cinta pertama, sekiranya dapat dinamakan cinta, mampu mengalah segala-galanya. Cinta yang bersemi tidak akan berhenti setakat itu kerana ia akan berlanjutan sehingga ke panggung wayang. Sumpah destinasi terakhir kami hanya di panggung wayang - kami hanya mencipta dosa-dosa di panggung Lido, Odeon, atau Red sambil ditemani Rishi Kapoor dan Neetu Singh. Kami tidak pernah pergi ke hotel atau rumah tumpangan kerana emak berpesan jangan berpijak ke tempat seumpama itu dengan anak dara orang. Aku tidak pernah berfikir tentang itu, sekurang-kurangnya waktu itu kerana usiaku terlalu muda.
Kekadang aku tersenyum sendiri teringatkan pesan emak yang aku langgar setelah usiaku meningkat dewasa. Maafkan aku, mak!
Pengalaman musim banjir memang seronok dan sukar dilupakan. Namun, kini segala-galanya sudah berubah. Banjir di bandar Kota Bharu tidak semeriah dahulu. Orang-orangnya sudah matang dan dewasa. Muda-mudi tidak bercinta di tempat terbuka lagi kerana mereka lebih selesa bercinta di tempat tertutup.
Sama ada cinta musim banjir, musim kemarau atau cinta tanpa musim, kata pujangga cinta kepada Tuhan satu-satunya cinta yang kekal abadi!
"Cinta lelaki kepada perempuan dan sebaliknya, walau bagaimanapun susun kata dan halus bahasanya, maksudnya hanyalah satu, iaitu bersetubuh." Sigmund Freud
"Cintailah segala yang hendak engkau cintai, tetapi ingat bahawa engkau kelak akan berpisah dengannya." Jamalus Johan
3 comments:
"A man is a hunter..."
Pengakuan berani mati..
Heh, heh, heh, pengakuan berani mati? Berani kerana benar!
best betul baca artikel nie...
Post a Comment