Monday, August 3, 2009

Kalau Anda Berada di Sini?

Ini bukan kisah aku. Aku tidak ada kisah seindah ini kerana kehidupan aku begitu mendatar. Hanya kehidupan yang berliku-liku dan beralun-alun sahaja menyimpan keindahan yang tiada bandingannya. Kehidupan aku sudahlah mendatar, tawar lagi. Bukan setakat tawar kerana tidak cukup gula seperti teh O tepi jalan, bahkan tiada kandungan gula langsung. Tawar jenis yang tidak mengundang selera sesaiapa pun untuk merasainya.

Oleh sebab itulah aku memilih untuk menulis kisah sahabatku. Kisah apa? Kisah cinta perantau yang pulang ke bumi bonda membawa jiwa yang lara. Dia ini pada waktu mudanya begitu jelita. Selalu menjadi siulan jejaka. Ke mana dia pergi, ada-ada sahaja mata yang terpukau. Kalau hendak dibesarkan cerita, siapa terpandang wajahnya, pasti tertelan air liur. Lelaki yang terpandang wajah dan tidak terpikat hanya lelaki buta. Lelaki yang ada mata seperti aku, berbohonglah kalah tidak terdetik perasaan kelelakian apabila berselisih jalan dengan dia.

Aku tidak mahir menggambarkan kecantikan wanita dalam bentuk tulisan kerana aku bukan sasterawan. Aku hanya penulis kaki lima. Oleh itu, anda bayangkan sendiri sahaja kejelitaan wanita yang aku angkat kisahnya ini sebagaimana anda membayangkan kecantikan bidadari di syurga. Bukankah menjadi impian anda mahu memeluk bidadari di syurga yang dikatakan amat jelita itu?

Kisahnya bermula di sini, di saat wanita pujaan ramai jejaka pulang dari perantauan. Dia merantau ke negara Eropah bukan mencari ilmu atau mencari pengalaman sebagaimana Puteri Raja dalam cerita purba. Dia merantau mengikut suaminya, anak tempatan yang mencari makan di bumi orang. Hasil perkahwinan atas dasar suka sama suka - cinta atau tak cinta aku tak tahu - mereka dikurniakan seorang putera. Selama 5 tahun mengecapi suka duka di bumi Mat Salleh, perkahwinan mereka dihampari jalan berduri kerana kemunculan orang ketiga. Akhirnya setelah segala jalan penyelesaian menemukan kebuntuan, mereka berpisah. Wanita jelita berusia 28 tahun jadi ibu tunggal dan pulang ke tanah air seorang diri. Anak lelakinya dijaga oleh suaminya.

Setelah pulang ke tanah air, wanita itu menyepikan diri buat sementara waktu. Seperti kebanyakan ibu tunggal yang lain, berapa lama dia bisa menyepikan diri. Kesunyian pasti menggigit jiwanya. Pengalaman hidup berdua bukan mudah untuk dilupakan begitu sahaja. Maka dia pun mula mencari kembali kebahagiaan yang hilang. Dia mencari kawan aku, bekas kekasihnya sejak zaman muda dahulu. Percintaan mereka - cinta pertama - menjerlus begitu mendalam tetapi kerana tiada jodoh, mereka tidak dapat hidup bersama.

Sepintas lalu kelihatannya tiada masalah. Seorang kekasih kembali ke dakapan pasangan lamanya. Namun, masalahnya lebih besar daripada Gunung Fuji. Kawan aku telah berumah tangga dan dikurniakan dua orang anak, seorang putera dan seorang puteri. Masalah bermula apabila si wanita jelita itu memperolehi nombor telefon kawan aku daripada seorang kawan yang lain. Maka setiap hari dia menghubungi kawan aku untuk meluahkan perasaan - betapa sunyinya kehidupan wanita muda yang ditinggalkan suami. Dia bagaikan terkapai-kapai di lautan lepas dipukul gelombang nafsu yang ganas. Serba salah kawan aku dibuatnya. Dia risau kalau isterinya mengetahuinya.

Pada masa yang sama dia juga kesian kepada wanita itu. Maklumlah orang pernah bercinta dan berkasih kalau tidak ada perasaan kasihan antara satu sama lain bukan orang namanya. Maka tanpa sedar perhubungan mereka menjadi lebih rapat. Mereka keluar makan bersama sambil bertukar-tukar cerita dan pengalaman. Kisah lama yang pernah dilalui bersama diimbau kembali. Segala janji yang tidak terkota diceritakan semula. Dan detik itu, detik hari ini dalam sejarah diulangi lagi di tepi pantai yang indah sebagaimana sewaktu mereka berpadu cinta dahulu.

Telefon kawan aku berdering. Isterinya menjawab. Wanita muda itu terus memanggil 'darling' dan disertai dengan kata-kata rindu kerana dia ingat yang mendengar itu kekasihnya. Kawan aku yang keluar dari bilik air terkejut dan tercengang melihat isterinya sedang berbual dengan kekasihnya. Akibatnya berlakulah perang besar.

Untuk pendekkan cerita, isteri tersayang memberi kata dua kepada kawan aku: "Aku atau si dia?"

Kata dua yang sukar dipilih. Kalau diikutkan hati, mahu memilih kedua-duanya, tetapi tidak mungkin. Isterinya tidak mahu bermadu. Bercerai? Ini pun bukan pilihan yang baik kerana dia dan isterinya ada pertalian saudara. Hubungan keluarganya dan keluarga isterinya bagai isi dengan kuku. Perceraian bermakna melukakan hati mereka.

Ah, lepaskan sahaja kekasih pembawa masalah itu! Bukan mudah juga kerana cintanya telah menjerlus begitu mendalam - siang dan malam asyik terkenangkan wanita itu. Lagipun wanita ibu tunggal itu seperti bertekad. Kalau orang boleh merampas suaminya, kenapa dia tidak boleh merampas suami orang.

Kenapa aku menyibuk dengan hal orang? Bukan aku menyibuk, jangan anda salah faham. Isteri kawan aku itu sahabat aku juga. Aku lebih dahulu mengenali perempuan itu sewaktu bengkel penulisan. Kami selalu bersembang tentang hasil penulisan. Oleh itu, aku dijadikan tempat meluahkan perasaan oleh dua orang sahabat - suami dan isteri. Aku kebuntuan kerana terpaksa menjaga dua keping hati yang aku rasa akan hancur luluh. Si suami tetap berdegil mahu meneruskan percintaan terlarangnya. Manakala si isteri bermati-matian tidak rela berkongsi suami. Anak-anak akan jadi mangsa keadaan.

Setelah keadaan semakin parah, aku menasihatkan mereka (sebenarnya memaksa) agar pergi berjumpa dengan pakar kaunseling rumah tangga. Mereka bersetuju. Masalah yang berat kelihatan sedikit ringan, tidak bergelora seperti sebelumnya. Sampai bila? Aku tidak mampu memberikan jawapan kerana aku tahu cinta pertama sukar dilupakan!

Kalau anda jadi kawan aku, apakah pilihan anda?

5 comments:

xie said...

jge ati bini...jd laki mithali..kalo jge bini pun xbole nape perlu jge pmpn lain..kan mnmbh keje nama tu..

Gula-gula pedas said...

Kalau aku jadi kawan tuan blogger tu, senang ajer aku tutup mulut atas dan mulut bawah kedua2nya. diam lah tu tak akan bising lagi si isteri dan kekasih pun diam merasa ajer. Buat aper nak pusing kepala. kalau tak memang depa bising sebab kalau tau nak dua2 ajer tapi tak bagi cukup makan mana adilkan. kalau tuan blogger macam mana pulak?? he he he...

Prasert E.C. said...

Hebat sungguh idea gula-gula, tutup mulut atas dan bawah sekali gus.

juliet said...

Fikir secara matang, sebelum kahadiran si kekasih, hidup aman bahagia dgn isteri & anak2, tp bila hadir org ke-3..? knp perlu dirumitkan keadaan? Jgn tamak dgn kasih syg sehingga nakkan kedua2 nya .. pelihalah keharmonian rumah tangga. Kesian pd anak2. Tinggalkanlah insan ketiga itu.. biarlah dia mencari kebahagiaannya sendiri...

Asam manis said...

saya pernah berada dipersimpangan hidup yang sama..tinggalkan si jelitawan...balik pada anak2 dan isteri yang ada..jgn di rungkai ikatan yang telah termeterai.. ingat pada lapaz dan akad nikah yang telah diucap depan kadi di rumah Allah..anak2 yang menjadi mangsa.. jgn pentingkan diri sendiri..saya bercakap dari pengalaman..sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna..sebagaimana saya menyesal kemudian...