Monday, November 10, 2008

Saling Memahami

Cinta sejati pun apabila tidak mendapat zuriat boleh membuatkan perasaan terganggu. Malah pertengkaran selalu juga berlaku kerana hajat di hati untuk menimang cahaya mata tidak kesampaian. Sejak kahwin 3 tahun yang lalu isi rumah tidak bertambah, masih empat mata dan dua mulut. Kadang-kadang sampai saling menuduh. Isteri menuduh benih suami tidak cukup mujarab, manakala suami pula menuduh tanah isteri tidak cukup subur, sebab itulah semaian tidak bercambah.

"Badan gempal berisi tapi tak subur!" kata suami. "Tubuh sasa dan segak tapi, alahai tak mujarab langsung!" balas isteri.

Saling menuduh tidak akan memberikan kesan apa-apa selain bermasam muka atau bertengkar. Kalau selalu bertengkar, bagaimana hendak mendapat zuriat kerana tidurnya berpisah tempat. Isteri tidur di bilik, manakala suami pula tidur di sofa. Atau tidurnya masih berkongsi tilam tetapi saling membelakangi.

Pasangan yang tidak mendapat anak sering merasakan bahawa mereka menghadapi sesuatu yang tidak kena. Mereka seolah-olah 'kekurangan' sesuatu. Perasaan 'kekurangan' sesuatu ini akan mengganggu kehidupan dan mengundang pertengkaran antara suami isteri. Apatah lagi sekiranya pasangan tersebut begitu keras mempertahankan diri masing-masing dan tidak mahu mengalah. Suami menuduh isteri. Isteri menuduh suami. Kalau angin tidak baik, pertengkaran akan tercetus. Jiran pasti mengomel:"Lagi-lagi bertengkar pasal anak, lagi-lagi bergaduh pasal zuriat!"

Manakala ibu atau ibu mertua dari kampung selalu pula menelefon bertanya bila dia akan menimang cucu. Perasaan yang terganggu bertambah celaru. Pertengkaran yang ditahan-tahan tercetus kembali. Kalau terkena dengan jenis ibu mertua yang suka mendesak, parah dilakukannya. "Adik-beradik si Mamat anak berdozen, takkan si Mamat ada masalah nak dapat zuriat. Ini tentu si Minah punya pasal!"

Keadaan bertambah buruk apabila kawan-kawan di pejabat juga bertanya perkara yang sama, "bila kamu nak menimang cahaya mata?" Malah ada yang nakal sikit akan bergurau agak keras, "kamu ni si Mamat tak reti buat anak ke?" Pertanyaan begitu bagi seorang suami bukan sekadar pertanyaan biasa tetapi satu sindiran tajam.

Kawan sebelah isteri juga ada yang celupar dan bertanya terus terang, "alahai kamu si Minah, mandul ke? Alamak sakit hati tidak tertanggung. Malu juga apabila ditanya bergitu berulang kali. Setiap kali ada kawan sepejabat membusung, pasti soalan yang sama dilontarkan. Balik rumah bergaduh lagi. Suami menuding isteri, isteri menuding suami.

Mengapa membiarkan keadaan tidak selesa itu berlarutan. Pergi berjumpa doktor, buat pemeriksaan. Keputusan yang dikeluarkan oleh doktor, sama ada berpunca daripada suami mahupun isteri mesti diterima sebagai masalah bersama. Kesabaran menjadi keutamaan. melayan perasaan ketika keadaan tertekan begini boleh menyebabkan rumah tangga porak peranda. Seandainya masalah berpunca daripada isteri, dan suami mahu juga mempunyai zuriat sendiri isteri seharusnya mengizinkan suami kahwin seorang lagi. Islam mengharuskan suami kahwin lebih daripada seorang sekiranya mampu zahir dan batin. Jikalau masalah berpunca daripada suami, suami juga mesti rela melepaskan isteri sekiranya diminta berbuat begitu oleh isteri. Atau mungkin boleh menggunakan jalan tengah iaitu mengambil anak angkat.

Tetapi terdapat kes tertentu yang kedua-duanya - suami dan isteri - tiada sebarang masalah. Doktor tidak menjumpai apa-apa kekurangan yang ada pada suami mahupun isteri. Kedua-dua orang 'sempurna' dan boleh mendapat zuriat. Doktor minta bersabar menunggu. Menunggu punya menunggu, lepas tahun ke tahun, tetapi isteri tidak juga loya-loya atau muntah-muntah. Pergi berjumpa doktor pakar, seperti biasa doktor minta bersabar lagi. Sampai bila hendak bersabar. Rambut mula berkilau-kilau warna putih, anak belum dapat dan doktor minta bersabar. Setiap kali balik kampung, ibu mentua memuncung, ibu sendiri masam muka kerana mengidam cucu sekian lama belum dapat-dapat. Apa nak dikata, apa nak dibuat. Bukan tidak buat, malam Jumaat tidak pernah tinggal, tetapi hajat belum dimakbulkan.

Aku ada seorang kawan yang tidak mendapat anak tetapi doktor mengesahkan mereka tidak menghadapi sebarang masalah kesuburan. Tiga tahun menunggu tetapi hampa. Mereka membuat keputusan bersama untuk mengambil anak angkat. Setelah mengambil anak angkat beberapa bulan, zuriat sendiri mengisi rahim. Sekarang sudah dikurniakan 3 orang anak. Mereka berterima kasih kepada aku kerana aku yang mencadangkan mereka mengambil anak angkat. Orang tua-tua ada berkata, anak angkat boleh menjadi 'denak' kepada anak sendiri.

Bagi pasangan yang tidak dikurniakan zuriat setelah lama berkahwin segeralah berjumpa doktor. Bertengkar atau saling menuduh bukan jalan keluar yang betul. Setelah mengetahui puncanya, terimalah sebagai masalah bersama dan carilah jalan penyelesaian yang dapat diterima baik kedua-dua pihak.

3 comments:

Anonymous said...

Ini pula dalam kes yang berlainan namun agak serupa. suami isteri dikurniakan anak tapi semua anak perempuan..da beranak sampai lima orang tak juga keluar anak lelaki..abis sisuami pon mula lah buat hal konon nak dapat anak lelaki sebab anak lelaki ni pembawa keturunan....abis kesian lah anak2 pompuan macam saya ni bukan pembawa keturunan rupanya....

cinta said...

Kita kena percaya kepada qadak dan qadar. Mungkin belum rezeki untuk menimang cahaya mata.

Prasert Chaipradit said...

Anak lelaki atau anak perempuan sama saja, kedua-duanya anak juga. Jantina anak ada kebaikannya tersendiri. Anak perempuan juga 'penyambung' keturunan kerana tanpa perempuan keturunan juga tak dapat disambungkan.

Ya, setiap manusia mesti percaya kepada qada dan qadar.