Thursday, November 6, 2008

Pesan Kepada Wanita

Sesetengah lelaki sanggup melakukan apa cara sahaja untuk mencapai impian cintanya, termasuk berhelah dan berbohong. Lelaki jenis ini sanggup pandu kereta besar, sarung kasut mahal, pakai seluar dan baju berjenama kelas dunia semata-mata untuk memancing gadis jelita idaman hatinya. Ini bukan omong kosong atau cerita rekaan tetapi realiti yang sering terjadi di mana-mana yang ada CINTA.

Demi memikat hati pasangan, lelaki sanggup berlagak jadi orang berkerjaya tinggi atau usahawan berjaya. Gadis yang muda fikiran mudah terpikat dan terpedaya. Maka dengan rela hati, cinta dan jiwa raga diserahkan. Selepas segalanya dikorbankan atau mungkin setelah melangkah ke jinjang pelamin barulah pecah tembelang. Kereta besar hanya sewaan, kasut mahal pinjam kawan, seluar dan baju berjenama kelas dunia hutang duit rakan. Sedu-sedan dan air mata penyesalan hanya hiasan pipi kerana nasi sudah menjadi bubur basi.

Terlanjur perahu dapat diundurkan, terlanjur kata dapat dimaafkan tetapi terlanjur perbuatan sendiri yang menanggungnya. Apatah lagi setelah cincin berlian tersarung ke jari, kenduri kahwin telah berlangsung, saudara mara di kampung telah dikhabarkan dan bahtera rumah tangga sudah dilayari barulah kisah benar menjelma. Bagai sembilu menikam hulu hati apabila mendapat tahu si suami bukan orang berkerjaya tinggi mahupun usahawan berjaya seperti diakui. Semuanya helah dan bohong belaka. Apakan daya yang dapat dilakukan oleh si isteri selain reda menerima segalanya sebagai takdir. Keadaan akan bertambah parah sekiranya ditakdirkan juga bahawa si suami sudah beristeri dan beranak-pinak. Madu kasih tidak semanis madu lebah. Bertanyalah kepada wanita berapa ramai yang sanggup meneguk madi kasih dengan rela hati. Apakah lagi madu yang datangnya dari sarang helah dan bohong.

Oleh itu, gadis muda lagi berdahi licin, berhati-hati menerima kehadiran lelaki ke dalam jiwa raga. Tidak usah mudah buka pintu hati walaupun diketuk berulang kali berserta pujuk dan rayu. Sekali pintu hati dibuka, lelaki jenis berhelah dan berbohong selinap masuk sukar untuk didesak keluar. Lelaki jenis kasanova ini sanggup melakukan segala cara, helah, tipu daya dan pembohongan asalkan impian nafsunya tercapai.

Jangan mudah makan umpan. Penampilan bergaya, personaliti yang menarik, hebat dan memikat sehingga meleleh air liur sekalipun bersabarlah sayang kerana kelelakian orang dengan kejantanan haiwan tidak sama. Bagaimana anda melihat luaran kejantanan haiwan, begitulah dalamannya. Sedangkan kelelakian orang tidak begitu. Mereka pandai berpura-pura, pintar bermain kata-kata dan licik bergaya. Mereka berani bersumpah dan berjanji untuk dimungkiri kemudian hari. Biar tebal muka menghulur tangan minta pinjam duit, kereta, kasut, seluar, baju atau mungkin seluar dalam tidak mengapa asalkan impin untuk meneroka gadis idaman tercapai. Oleh hal demikian, sebelum membuka pintu untuk sebarang lelaki, berfikirlah secara matang. Kenali dulu baru berkawan. Berkawan dulu baru bercinta. Bercinta dulu baru berkahwin. Berkahwin dulu baru ... berpadu kasih. Jangan sesekali menterbalikkan urutan tersebut. Tuhan murka nanti.

Kalau boleh siasat dulu latar belakang lelaki segak bergaya dan kaya harta yang tiba-tiba muncul dan memberikan sejambak bunga. Semakin hebat seseorang lelaki, semakin tinggi risikonya. Dua jenis wanita sering menjadi mangsa lelaki jenis penipu ini. Pertama, wanita jelita yang sombong dan berlagak. Kasanova memang suka menipu wanita jenis ini. Kedua, wanita tamak harta dan bermimpi siang malam hendak bersuamikan jutawan, berpangkat dan ada kedudukan. Orang tamak mudah ditipu. Kereta besar, rumah mewah dan restoran ternama menjadi umpan yang senang mengena.

Anehnya lelaki jenis lidah bercabang begini mudah pula mencari pasangan. Wanita lebih percaya kepada mereka berbanding dengan lelaki yang jujur. Lelaki yang jujur hendak mencari seorang kekasih pun susah, sedangkan lelaki penipu berkepit siang dan malam. Siang kepit si Minah, malam pula kepit si Tijah. Manakala di rumah si Milah sedang menunggu giliran. Malah lebih malang dari malang apabila wanita yang berjaya dan berkerjaya tinggi ikut terperangkap. Belajar sehingga universiti tetapi otak kurang berfungsi dalam bab cinta-cintan begini sehingga tertipu oleh lelaki buaya tembaga.

Itulah akibatnya apabila perasaan dan nafsu serakah mendahului akal fikiran. Alasan yang sering didengar ialah wanita itu lemah, sebab itu mudah ditipu. Selemah mana pun, kalau beriman dan menjadi wanita solehan, tiada jantan mana dapat menipu. Pintu hati berkunci dari dalam, kalau kita tidak membukanya, tiada siapa boleh menceroboh masuk!

4 comments:

Anonymous said...

Terimakasih untuk seorang kaum adam yang sudi berkongsi pengalaman yang saya anggap diperolehi menerusi pemerhatian...

Pecah dah tembelang sesetengah kaum adam ini...namun sebagi kaum hawa sudah semestinya kena pergunakan sepenuhnya kurniaan akal fikiran yang sempurna. Banyak perkara yang harus dipertimbangkan dalam mengenali kaum adam ini dan dengan kebijaksanaan yang ada mungkin keralatan pilihan boleh dikurangkan.Seandainya harta kekayaan dan kereta besar yang jadi keutamaan ini lah yang akan menjadikan kaum hawa mudah terperangkap.Untuk memikat kaum hawa yang berkedudukan pula kaum adam yang bertujuan tidak baik akan mengunakan kebijaksanaan otak disusuli dengan tindakan menerusi mulut manis..kasian kaum hawa yang bijak ini kadangkala ada yang tak dapat menangkisnya...namun setiap manusia akan ada petunjuk keikhlasan itu naluri manusia amat kuat untuk mendalami sesuatu yang ingin diketahui sekiranya kaum hawa tahu untuk mengunakannya.

Sebagai kaum hawa seperti saya sama-samalah kita renungkan mesej jelas pada topik kaum adam ini.Namun harus kita sedari masih ramai kaum adam di mukabumi ini yang benar2 ikhlas dan menyayangi wanita...malah ada yang pencinta wanita...hehehhehe tak gitu ker wahai kaum adam??..

Prasert Chaipradit said...

Tiada keindahan dapat menandingi keindahan yang dikurniakan kepada seorang wanita. Tiada belaian kasih sehebat belaian kasih seorang wanita.

Aku penyayang dan pencinta wanita.

Anonymous said...

Ini pun dah dikira mulut manis ni mongkut silap hari bulan saya pun cair kalau kaum adam ucap macam ini pada saya....

Pok Li said...

Tanggungjawab seorang lelaki untuk menjaga kehormatan seorang wanita. Apatah lagi jika ia berkahwin. Wanita (isteri) adalah amanah Allah yang perlu dijaga.