Seorang penulis ternama pernah menjadikan sebutir pasir di dalam kasut sebagai tema cerpennya. Dia berjaya menggambarkan ketidakselesaan seorang lelaki yang tapak kakinya terganggu oleh sebutir pasir kasar di dalam kasutnya.
Seandainya sebutir pasir di jalanan, bukan di dalam kasut, ketidakselesaan itu tidak akan terjadi. Mesejnya jelas. Sekecil-kecil sebutir pasir apabila terletak di tempat yang salah, bisa mengganggu ketenteraman jiwa. Apatah lagi benda-benda yang besar.
Oleh itu, adalah elok kita meletakkan benda pada tempatnya. Misalnya, kasut mesti diletakkan di rak kasut. Pakaian mesti dilipat atau digantung di dalam almari. Buku disusun di rak buku. Ubat disimpan di dalam peti ubat. Ubat boleh dimakan dan tidak boleh dimakan wajib diasingkan dan diletakkan di tempat yang tidak tercapai oleh kanak-kanak. Periuk, kuali, pinggan, mangkuk dan gelas mesti diletakkan di tempat masing-masing. Meletakkan barang atau benda bukan pada tempatnya, bakal mengundang masalah - lebih besar daripada masalah sebutir pasir di dalam kasut.
Begitu juga dengan anggota keluarga. Kita, sama ada sebagai seorang suami, isteri, anak-anak dan sesiapa sahaja wajib meletakkan orang di sekeliling kita pada tempatnya yang sesuai. Kita wajib tahu di mana kita patut "meletakkan" ibu bapa, mentua, suami, isteri, adik- beradik, saudara mara, jiran-jiran dan sebagainya. Meletakkan orang di sekeliling kita pada tempat yang salah bukan setakat mengundang masalah, bahkan berdosa. Siapa yang patut didahulukan, wajib didahulukan. Ibu bapa misalnya mesti didahulukan daripada adik-beradik. Adik-beradik harus didahulukan daripada jiran tetangga. Namun kita kena faham juga maksud didahulukan di sini. Misalnya, kita menjemput jiran tetangga datang beraya di rumah kita, tetapi kita tidak melayan mereka kerana kita sibuk melayan adik-beradik kita. Ini tentulah tidak elok kerana menyalahi adat menyambut tetamu.
Membiarkan anak-anak berlapar seketika, masih boleh dimaafkan, tetapi membiarkan ibu bapa berlapar biarpun sesaat berdosa namanya.
Namun, pada zaman moden ini, ramai antara kita yang terlalai "meletakkan" orang di sekeliling kita bukan pada tempatnya. Tempat seorang isteri ialah di sisi suaminya. Akan tetapi entah di mana silapnya, sewaktu suami menunggu meraikan hari jadi isteri bersama sebiji kek, si isteri pula berdua-duaan dengan lelaki bukan muhrim di bilik hotel - bincang business katanya. Bolehkah dipercayai?
Seorang anak letaknya "di bawah" ibu bapa. Namun, anak moden suka duduk "di atas" kepala ibu bapa. Mereka mahu jadi lebih besar dan lebih berkuasa daripada kedua orang tua mereka. Syurga di tapak kaki ibu langsung tidak diambil tahu. Sepatah kata ibu, sepuluh patah dijawab anak. Jaga maruah diri, pesan bapa kepada anak gadisnya. Si anak gadis hantar SMS kepada teman lelaki, kalau "mahu" datang malam ini ... seperti biasa naik ikut tingkap. Berhati-hati menunggang motosikal, pesan ibu kepada anak lelaki. Si anak lelaki terus merempit di jalan raya. Apabila ditangkap polis, didenda serta dipenjara, ibu bapa juga yang susah.
Letaknya dara di sisi teruna. Betul. Akan tetapi bukan diletakkan sesuka hati. Mesti ada syarat dan batasannya. Kahwin dahulu kalau mahu "diletakkan" pada tempatnya. Salah letak, besar akibatnya. Membuang bayi berpunca daripada "meletakkan" benda bukan pada tempatnya. Oleh itu, eloklah belajar sedikit tentang "kedudukan" semua benda (termasuk orang) di sekeliling kita agar kita tidak tersalah tempat meletaknya.
Nota: (Aku tersalah meletakkan kaki ke dalam kasut running yang agak tinggi tapaknya (gambar di atas) untuk bermain badmintan. Akibatnya, aku tergelincir lalu kaki terseliuh. Dua tiga hari berjalan terincut-incut. Semuanya tidak akan terjadi sekiranya aku meletakkan kaki di dalam kasut yang sesuai untuk permainan gelanggang kerana aku ada banyak pasang kasut sukan).
2 comments:
entri ini saya suka. isunya dikupas dgn bersahaja dgn contoh2 yang biasa. ia memberi ingatan kpd kita semua. kadang2 kita bukan tak tahu tapi sengaja nak tunjuk keras kepala.
saya pernah bersembahyang di sebuah surau di kawasan RR di lebuhraya PLUS ... saya melihat ada sepasang kasut di letakkan oleh seorang yang datang bersembahyang, di atas rak di atas tempat kita ambil air sembahyang. tempat yang kita biasa letak songkok, cermin mata, jam tangan dsb. panas betul hati saya. tujuannya datang bersembahyang baik, tapi kasutnya di letakkan di salah tempat.
sampai sekarang saya menyesal tak membuang kasut tersebut ke dalam longkang !
Saya setuju, kdg2 kita alpa sampai kita terabaikan perkara yg sepatutnya menjadi pegangan. Tidak mengumpamakan apa yg sepatutnya. Ada ketikanya kita sering mendahulukan orang yg 'agak jauh' dari kita daripada orang yg berada paling hampir di sisi kita. Terima kasih, Sdr Prasert mengingatkan saya juga sebenarnya....
Post a Comment