Monday, October 5, 2009

Jangan Pandang Terlalu Jauh


Orang bilang kita mesti ada pandangan jauh ke depan. Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan seorang pemimpin yang memandang jauh ke depan. Pemimpin begini dikatakan ada karisma, ada wawasan. Wawasan 2020 dan dasar 70 juta penduduk adalah bukti pandangan jauh beliau.


Pandangan jauh, menjangkaui masa adalah penting. Tiada siapa menafikannya. Orang yang berjaya ialah orang yang memandang jauh ke depan. Namun, bukan dalam semua situasi. Dalam situasi tertentu kita tidak boleh memandang terlalu jauh kerana akan terlepas pandang benda-benda berharga yang berada berdekatan kita.


Orang yang berjalan di dalam hutan, kekadang terlalu memandang ke depan menyebabkan muka tergores ranting yang terjuntai di depan mata. Orang yang berjalan di jalan rata adakala tersepak batu di hujung kaki kerana mata tertancap ke jauh ke depan. Sesiapa yang pernah terpijak kaca tahulah bahawa puncanya kerana mata tidak melihat di depan kaki.


Kita selalu bimbang rumah kita dimasuki pencuri sewaktu kita ke pejabat lalu mengharapkan jiran tolong menjaganya. Namun, kita jarang terfikir bahawa pencuri yang membimbangkan kita berada di rumah jiran kita. Kita terlalu menyanjung sahabat yang berada di kejauhan. Sahabat di depan rumah, kita kurang hargai. Sedangkan apabila sakit demam pada waktu malam sahabat paling dekat sampai dulu.


Banyak benda yang berharga yang terlepas dari mata kita kerana pandangan kita terlalu jauh ke depan. Jarang ada orang nampak duit di tanah terbiar di depan kampung sendiri. Akan tetapi ramai yang nampak duit di kebun mangga di depan kampung orang lain. Seandainya ada orang luar mengusahakan tanah terbiar itu barulah kita nampak duitnya. Kurang ada orang melihat keindahan di depan tangga rumahnya, tetapi ramai yang terpegun melihat keindahan pokok-pokok bunga di depan tangga orang lain. Sedangkan depan tangga kita pun akan indah sekiranya ditanam dengan pokok-pokok bunga.


Seorang jejaka misalnya terlepas pandang seorang gadis jelita lagi sopan yang menaruh harapan di depan mata kerana pandangannya asyik menerawang kepada gadis lain. Seorang gadis terlepas pandang seorang jejaka baik hati, jujur dan mencintainya sepenuh hati di depan matanya kerana dia asyik memerhatikan jejaka lain yang kaya raya tetapi sudah berpunya. Terdapat anak gadis yang begitu berwaspada dengan orang asing, tetapi kerana lalai menyebabkan ternoda oleh orang di depan mata.


Banyak lagi benda-benda yang berharga di depan kita yang terlepas daripada pandangan kita. Begitu juga dengan benda-benda yang berbahaya yang mungkin berada di mana-mana sahaja termasuk di depan hidung kita.


Berpandangan jauh itu penting; ada visi, kata orang. Akan tetapi jangan memandang tersangat jauh sehingga terlepas benda-benda di depan mata. Ingat, benda yang paling berharga selalunya berada tidak jauh dari kita. Manakala benda yang paling berbahaya pula sentiasa berada berdekatan dengan kita.

7 comments:

imHepPie said...

jgn pandang blakang...

Prasert E.C. said...

Depan, belakang, kiri, kanan, atas bawah semua mesti pandang.

al-alvendari said...

masa kecik2 dulu, atau masa masih belum berakal, saya suka curi tebu orang sedangkan keliling rumah saya penuh dgn tebu. tebu curi tu rasanya lebih manis dari tebu sendiri. sekarang tak buat lagilah benda2 macam tu.

Prasert E.C. said...

al-alvendari: Aku juga masa budak suka curi tebu orang walaupun sendiri ada tanam tebu.

Musim tembikai nenek aku ada tanam juga. Tapi tembikai di rumah tak makan, pergi curi makan dekat kebun.

Sekarang dah taubat, curi-curi makan tak main lagi.

anniecute said...

thanks for your comment in my blog..no publish,ok
Jgn pandang belakang lagi sbb kita harus maju ke depan, betul ke?

Prasert E.C. said...

Masa nak undur kereta, kena juga pandang belakang.

anniecute said...

Kadang tak perlu pandang pun tak pe sbb ada cermin pandang belakang....