Thursday, June 11, 2009

Cinta Durjana

Terharu aku mendengar berita dalam tv seorang suami menikam isterinya bertalu-talu sehingga mati di depan anak-anak mereka. Malah anak-anak seramai 5 orang itu turut tercedera sewaktu cuba menyelamatkan ibu mereka.

Inilah akibatnya apabila manusia hilang waras akal. Isteri tercinta sanggup dibunuh. Kasih sayang yang disemai dan dipupuk bersama sehingga dikurniakan lima cahaya mata berakhir di hujung mata pisau.

Sewaktu bercinta seribu janji manis terukir di bibir. Apabila cinta menjadi luntur, seribu kutukan terhambur dari mulut. Tatkala kemarahan merajalela, sifat kebinatangan yang terperap di dasar jiwa melecus keluar bagai lahar gunung berapi. Anak dan isteri tidak dikenali. Cinta dikhianati, kasih tidak dihargai. Nafsu amarah jua yang dilayani - Tuhan menjadi saksi bisu - cinta suami isteri bermandi darah. Jeritan anak-anak sedikit pun tidak memanusiakan seorang bapa.

Itulah lambang cinta durjana!

Kepada wanita yang sedang berfikir untuk mendirikan rumah tangga, pilihlah pasangan yang baik. Jangan tersalah sehingga memilih binatang bertopengkan manusia. Cemburu buta, pemarah, terlalu ikut perasaan, ketagih dadah, alkohol dan kaki judi antara sebab suami berlaku kejam terhadap isteri. Oleh sebab terlalu sukar mencari suami, maka ramai wanita berjawatan tinggi memilih untuk hidup sendirian. Dan tidak kurang juga yang hanya hidup sendirian pada siang hari, sedangkan pada malam hari berduaan mengumpul dosa. Takut untuk berkahwin tetapi berani untuk berbuat dosa.

Dunia kini semuanya menjadi liberal. Sopan dan santun sekadar memenuhi tuntutan masyarakat bukannya lahir dari hati yang ikhlas. Di depan lain, di belakang lain. Di depan tinggi budi pekerti, tetapi di belakang hanya Tuhan yang tahu. Lelaki dengan dunia lelaki. Wanita dengan dunia wanita. Gay dan lesbian juga ada dunia masing-masing. Dunia yang mengumpulkan segala keseronokan.

Bagaimana untuk menilai cinta sesama manusia? Ah, satu pertanyaan yang amat berat! Siapakah yang bisa menilai cinta, terutama cinta sang teruna kepada si dara? Cinta teruna dara itu terlalu hampir dengan nafsu. Nafsu sesuatu yang begitu sukar dikawal dan diramal. Dalam sekelip mata nafsu mampu menukar manusia kepada binatang. Jadi, cinta bergantung kepada nasib? Tidak juga. Cinta boleh dinilai hanya oleh orang yang bercinta. Orang kata cinta itu kadang-kadang membikin orang buta. Mampukah orang buta menilai cinta? Inilah persoalannya.

Apabila telah dijangkiti virus cinta, semua kata-kata orang tidak didengarnya. Hanya kata hati sendiri dijadikan panduan. Nasihat ibu bapa sekadar menambahkan tahi telinga - masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Lebih malang lagi, TIDAK kata ibu bapa, YA kata dia. Sebaliknya, YA kata ibu bapa, TIDAK kata dia.

Jangan memandang remeh dalam urusan mencari pasangan hidup. Ini bukan pasangan hidup dalam filem atau drama. Pasangan dalam filem atau drama siapa pun boleh asalkan pengarah berkenan. Tetapi pasangan di dunia realiti harus berhati-hati. Sekali silap, menyesal seumur hidup.

Akibat tersilap memilih pasangan maka fail kes perceraian membukit di mahkamah. Orang besar, orang kecil, orang kaya, orang miskin, orang filem, penyanyi, dan penari tidak terkecuali. Apabila selera telah berbeza, kata-kata tidak sehaluan dan perasaan tidak selaras, lebih baik bercerai daripada tidur saling membelakangi. Adakah mereka ini ketandusan cinta?

Cuba renungkan kata-kata ini: "Orang yang mencintai kita tidak akan mengikut perasaan kita, orang yang mengikut perasaan kita adalah orang yang sedang mengkhianati cinta kita!"

Walau bagaimanapun, cinta tidak akan berakhir di hujung pisau. Yang berakhir di hujung pisau bukan cinta!

3 comments:

SIS said...

salam tn..dunia akan hancur tanpa cinta..cinta mampu menjadikan manusia itu paling unggul dan tinggi tahapnya...tapi sekiranya cinta dikhianati tunggulah azabnya...cinta pada yang Agung pasti akan menyerlahkan cinta pada alam ( termasuk makhluk2 di alam )..jaga dan pupuk cinta pada yang Agung pasti dapat cinta dr yang lainnya..

Prasert E.C. said...

Betul kata SIS, cinta pada Yang Agung adalah kemuncak segala cinta. Dari kemuncak itu, cinta akan mengalir bagai jernih air dari gunung merentas ke segala lurah, lembah dan muara, kemudian bersatu di lautan nan luas.

lo mo so said...

Saya pula berpendapat dlm kes ni bukan Sang Lelaki yang mencetuskan punca trajadi cinta durjana ini.

Ia lebeh dikuasai sifat kotor "marn"atau'si syaitan". Ia mengambil peluang mempengaruhi kewarasan manusia dan berjaya menidakkan sifat keagungan cinta dan kaseh sayang seorang suami...

Cinta sang teruna pada si dara adalah harapan atau permulaan kepada satu bentuk cinta murni dan abadi.

Sesungguhnya kewujudan sang teruna dan si dara bertujuan untuk mewarisi kekekalan zuriat manusia di atas muka bumi ini.

Ia jauh sekali daripada nafsu semata-mata.

P/S: pada anak-anak dan kaum keluarga peristiwa terbabit,saya juga tumpang bersedih diatas apa yang sudah berlaku.Terimalah kenyataannya dan meneruskan kehidupan ini dg penuh kewarasan.