Mengarut. Aku bukan jenis tak pedulikan perempuan langsung. Selalu aku tafsir perempuan - tatkala aku melihat perempuan senyum, aku tafsir senyumannya; tatkala aku merenung perempuan ketawa aku tafsir ketawanya; tatkala aku terlihat perempuan menangis, aku tafsir air matanya; dan tatkala aku memandang perempuan berjalan, aku tafsir lenggok pinggulnya. Namun, aku tetap tidak mengerti. Barangkali aku memerlukan lebih daripada itu. Aku memerlukan seorang perempuan berbogel di depanku dan mentafsirnya setiap sudut tubuhnya? Mengarutlah aku ini. Perempuan hanya sanggup bertelanjang di depan pelukis profesional, atau jurugambar majalah tersohor. Gilalah perempuan itu kalau berdiri menayang bodi di depan aku. Dan gila juga aku membiarkan perempuan bukan muhrim mendedah aurat di depan mata.
Sumpah! Dari hati yang tulus aku memang tidak mengerti perempuan. Perempuan sentuh lelaki, lelaki tak pernah marah. Apabila lelaki sentuh perempuan, perempuan terus meradang. Apabila perempuan jilat bibir di depan lelaki, lelaki anggap perkara biasa kerana perempuan suka jilat lipstik pada bibir sendiri. Tetapi apabila lelaki menjilat bibir di depan perempuan, perempuan kata itu adalah gangguan seksual. Malam-malam buta perempuan telefon lelaki, ibu bapa lelaki tak pernah ambil pusing. Apabila lelaki telefon perempuan malam-malam buta, ibu bapa perempuan pasti tuduh lelaki gila. Lelaki ming. Lelaki pengacau anak dara orang.
Sekarang aku betul-betul belum mengerti mengapa perempuan suka pakai skirt, gaun dan baju kurung? Kenapa lelaki tidak. Kenapa lelaki dikatakan gila apabila pakai skirt, gaun dan baju kurung? Kenapa perempuan mesti pakai gincu, bedak, celak mata dan cabut kening? Kalau lelaki juga pakai gincu, bedak, celak mata dan cabut kening bagaimana? Lawakah begitu?
Perempuan rela menghabiskan ratusan atau ribuan untuk menghias diri. Kos untuk kepala sahaja sebulan berapa. Sekejap keriting, sekejap rebonding, sekejap calouring, sekejap itu, sekejap ini.
Kepala perempuan satu-satunya kepala yang termahal dalam kesemua jenis kepala, termasuk kepala bendul di rumah aku di kampung. Kepala aku? Hish, kepala aku langsung tak ada harga bagi perempuan. Perempuan tak suka kepala lokal. Mereka suka kepala import, biarpun sasul, mereka tetap suka. Inilah yang menambahkan pening aku tentang golongan hawa.
Aku menjadi lebih keliru apabila melihat perempuan pakai kasut tumit tinggi. Kalau pakai selesa tak mengapa. Ini tidak. Pakai tak selesa, tetapi paksa diri pakai juga. Inilah yang aku betul-betul tak mengerti. Perempuan rendah pakai kasut tumit tinggi untuk tambah ketinggian agar kelihatan lebih cantik. Rasional. Bagaimana dengan perempuan yang tinggi lampai, tetapi masih berjengket-jengket dengan kasut tumit tinggi? Dan apabila terpaksa berjalan jauh sikit, merungut-rungut dan mulalah mencari sasaran untuk menghamburkan kemarahan. Tidak ada makhluk Tuhan yang sanggup mengorbankan keselesaan diri selain manusia bernama perempuan ini.
Bukan setakat aku tidak mengerti, besi penutup longkang juga tidak mengerti perempuan. Petang itu waktu puncak. Orang baru keluar dari pejabat. Aku berjalan-jalan mencari sesuatu (bukan cari perempuan) di tengah hiruk-pikuk manusia nak balik rumah. Tiba-tiba seorang perempuan yang berjalan di depan aku menjerit dengan kuat. Dia terhuyung-hayang seperti hendak jatuh. Aku sempat menyambut pangkal lengannya; terasa lembut dan hangat, mungkin terlanggar colinya. Orang ramai memandang ke arah kami.
Dia berulang kali mengucapkan terima kasih kepada aku kerana selamatkan dia daripada tersungkur. Siar kaki tak rata? Bukan siar kaki tak rata tetapi kasut tumit tingginya terperlus dan melekat di celah besi penutup longkang. Aku semakin tidak mengerti. Langkahnya mati. Dia memegang bahu aku untuk mengimbangkan badannya. Dengan perlahan-lahan dia membuka kasut jenama luar negerinya. Aku bantu tarik kasutnya. Lekatnya sangat kuat. Dua kali tarik barulah tercabut.
"Nasib baik tak patah!" Dia sedikit tersenyum melihat kasutnya "selamat". Perempuan, oh perempuan. Dia lebih sayangkan kasut yang hampir membunuhnya daripada dirinya sendiri? Aku tak tahu nak menjawab kerana aku tak mengerti perempuan. Biar dialah yang menjawabnya.
Aku betul-betul tak mengerti perempuan, tetapi bukan semuanya. Ada perkara-perkara tertentu, sudut-sudut tertentu dan kesukaan-kesukaan tertentu yang aku cukup mengerti tentang perempuan. Dan satu perkara yang aku cukup mengerti tentang perempuan adalah kasih sayang. Kasih sayang perempuan membawa ke syurga!
3 comments:
Kecian betul desbil kat mongkut ni...langsung tak mengerti pompuan ;D... tapi syukurlah sekurang2nya mongkut mengerti akan kasih sayang seorang perempuan yang membawa kesyurga...tak lain tak bukan kasih sayang ibu sendiri...ini desbil sangat pasti itu pompuan yang mongkut maksudkan ..:D..
betul jugak ek. memang susah dimengertikan perempuan
Kalau perempuan senang dimengerti, Sultan Melaka dah beristerikan Puteri Gunung Ledang dan Mahsuri tak akan mati dibunuh.
Post a Comment