Namun, bagi pasangan tertentu anak menjadi punca pertengkaran. Ini sering terjadi pada pasangan muda yang belajar berdikari. Kerenah anak sering mencabar kesabaran mereka. Setiap kali anak membuat kerenah, ibu bapa pula bertengkar. Puncanya berlaku apabila salah seorang, sama ada suami atau isteri mendidik anak mengikut acuannya sendiri tetapi tidak disenangi oleh pasangannya. Misalnya, isteri bertegas, sedangkan suami berlembut dan suka memanjakan anak dengan cara yang salah. Anak boleh dimanjakan tetapi mesti bertempat.
Anak yang suka membuat fiil tidak tentu pasal menyebabkan emosi suami isteri terganggu. Pada mulanya marah anak. Lama-lama kemarahan merebak kepada orang si sebelah. Mahu bertengkar dengan anak yang baru bertatih tidak masuk akal. Maka bertengkarlah sesama suami isteri. Kekadang bukan sekadar pertengkaran biasa. Bisingnya menembusi telinga jiran. Kata-kata kesat dilontarkan sesuka hati. Bagaimana seandainya pertengkaran itu tercetus pada waktu malam-malam buta ketika jiran nyenyak tidur? Dan bagaimana pula sekiranya ketika itu jiran juga terganggu emosinya lalu menjerkah keluar? Bukankah tidak pasal-pasal, kerana anak terpaksa berkelahi dengan jiran.
Suami isteri seelok-eloknya menyelaraskan kaedah membesarkan anak. Kaedah yang berbeza bukan sahaja menimbulkan masalah antara suami isteri, bahkan anak juga menjadi keliru. Malah yang paling menyedihkan apabila suami isteri bertengkar kerana anak di depan anak tersebut. Contohnya, si suami memberi duit RM30.00 kepada anaknya untuk top-up telefon. Isteri pula membantah kerana baru dua hari lepas sudah diberikan RM30.00. Perkara sekecil ini kalau tidak ditangani dengan baik akan mencetuskan masalah besar.
Selain masalah duit saku anak, masalah pelajaran anak-anak, masalah pergaulan anak-anak dan masalah moral anak-anak juga sering menimbulkan kekecohan dalam keluarga. Kekecohan terjadi apabila suami isteri tidak dapat mencari kata sepakat tentang masalah anak-anak. Batas pergaulan dan kebebasan anak-anak selalu menjadi perdebatan antara suami isteri. Walaupun semua orang tahu bahawa pendekatan agama paling berkesan, tetapi realitinya bukan semua pasangan suami isteri mahu menggunakan pendekatan tersebut. Lagipun masalah keluarga - hubungan suami isteri, anak-anak dan persekitaran lebih rumit dan kompleks daripada membaca dan menghafal kitab agama.
Jadi, bagi pasangan yang baru mendapat anak, banyaklah bersabar menghadapi kerenah anak. Anggaplah itu satu ujian. Semakin membesar, semakin kompleks kerenahnya. Beruntunglah sekiranya mana-mana pasangan suami isteri yang dikurniakan anak yang senang diasuh dan dididik.
1 comment:
Bagus untuk panduan...comelnya budak sepasang tu..anak siapa?..
Post a Comment