Aku tak kisah kalau aku belanja kawan makan atau minum di gerai atau restoran. Aku tak peduli andainya aku menghabiskan duit di SPA atau pusat urut tradisional di Bangsal atau Bukit Bintang. Malah aku tak menyesal walaupun aku terbeli batu permata tiruan di kaki lima Masjid India. Dan aku tidak hairan apabila aku membeli buku yang isinya hanya omong kosong. Aku tidak menyesal kerana semua yang aku sebutkan adalah kerelaan aku. Aku tidak menyesal walaupun terpaksa menghabiskan ratusan atau ribuan ringgit untuk melayan minat aku.
Tetapi aku akan menyesal apabila terpaksa mengeluarkan duit poket untuk membeli penipuan. walaupun sikit, atas nama penipuan aku menyesal tak sudah-sudah. Malah aku menjadi marah. Bukan marah kepada si penipu tetapi marah kepada diri sendiri yang ditipu. Orang yang ditipu bagi aku adalah orang yang tidak berhati-hati (dalam bahasa biadab orang bodoh) dan tidak masak dengan kerenah orang lain. Tuduhan ini mungkin terlalu berat bagi orang yang pernah kena tipu. Mungkin orang lain menganggap orang yang terkena tipu kerana kebaikan hatinya dan mudah mempercayai orang lain. Walau apapun, aku tetap menganggap bahawa orang bijak dan berhati-hati mustahil dapat ditipu.
Kerana takut kena tipu dan dituduh bodoh maka aku selalu berhati-hati. Aku yakin semua orang pun, termasuk mereka yang cari makan dengan menipu, tidak mahu ditipu. Pelik sekali manusia, suka menipu orang tetapi tidak suka orang menipu dia. Namun, selama mana kita mampu berhati-hati kerana penipu sekarang begitu profesional dan kita mungkin tertewas. Penipuan boleh berlaku di mana-mana dan melibatkan semua jenis golongan dan tahap kehidupan. Di kota besar, ramai yang hidup dengan penipuan kerana mereka mudah melolosakan diri daripada mangsa. Maklumlah orang kota sangat ramai dan rencam. Siapa boleh ingat semua wajah yang pernah muncul di depan mata. Malah penipu barangkali datang daripada orang yang tidak kita sangka sama sekali.
Dalam berhati-hati melayan setiap orang kerana takut kepada penipuan, akhirnya aku terjerat juga. Bukan skim cepat kaya atau saham atas angin. aku tak main semua itu. Aku kena dengan orang yang tidak disangka-sangka. Kawan sendiri. Sebab itulah orang tua berpesan, kawan paling mudah menipu kita. Aku tak bantah. Kita memang diajarkan percaya kepada kawan. Kejadiannya bermula sewaktu aku menumpangkan seorang kawan tidur di rumahku kerana dia kesempitan hidup. Aku bagi dia tidur, makan dan minum. Duit rokok juga aku bekalkan. Kerana aku pernah merokok, aku faham kesukaran perokok yang tidak ada bekalan rokok.
Setelah dia mendapat pekerjaan baru dia pun berpindah ke rumah sewa baru yang aku tak tahu destinasinya. Dia angkut sekali dua helai seluar jeans Levi's 501, tiga helai baju Playboy, dan sepasang kasut Timberland yang baru aku beli. Apa yang boleh aku buat? Aku tidak berdaya berbuat apa-apa kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapanya di kampung. Aku bukan terkilan dia mencuri barang aku, tetapi terkilan kerana dia menipu aku bahawa dia berhenti kerja kerana tidak sehaluan dengan bos dia. Padahal dia dipecat kerana masalah disiplin.
Minggu lepas aku ditipu lagi. kali ini oleh orang yang aku tak kenal. Sewaktu aku hendak melintas jalan pergi makan tengah hari, sebuah kereta berhenti di tepi aku. Seorang wanita muda, dalam lingkungan 30-an muncul di tingkap kereta dan berkata: "Abang, boleh tolong sikit. Saya kehilangan dompet duit, dan kereta pula hampir kehabisan minyak."
Aku menjenguk ke dalam kereta dan betul minyak hampir kering. "Apa saya boleh bantu?" Pertanyaan bodoh yang sebenarnya aku sudah tahu apa yang dia mahu.
"Boleh pinjamkan saya duit RM30 untuk isi minyak?"
Tentulah boleh kerana zalim namanya menggandakan kesusahan orang lain. Aku tanpa keberatan memberikan dia wang yang dimintanya. Dia terfikir sejenak dan berkata: "Saya belum makan, boleh saya minta lagi RM20?"
Aku tergamam, tetapi kerana aku juga seperti lelaki lain - lemah apabila berhadapan dengan perempuan cantik - maka aku hulurkan lagi RM20. Dia minta nombor telefon aku dan berjanji aku membayar keesokan hari. Aku tidak mengharapkan dia membayar kerana tidak mahu kecewa apabila harapan kecundang. Benar sekali.
Seminggu telah berlalu, aku belum terima panggilan dia. Aku tak menyesal atau marah kerana aku telah menganggapnya sebagai sedekah. Cuma aku sedikit terkilan kerana maruahnya tentu melebihi RM50, tetapi kenapa dia sanggup menggadainya dengan harga semurah itu? Dan sebenarnya dalam keadaan tertentu, betapa bijak dan berhati-hatinya seseorang, manusia memang terdedah kepada penipuan.
No comments:
Post a Comment