Friday, March 13, 2009

Bunga Rindu

Seandainya malam ini aku berada di kampung, aku akan berkejar ke permatang menghirup segar udara dan dingin desah angin sambil menikmati kerdipan bintang-bintang di langit. Bintang-bintang yang bertaburan di dada langit begitu indah. Dan keindahannya tambah berseri pada malam bulan purnama.

Sewaktu remaja aku selalu berdiri di hujung permatang menyaksikan keindahan bulan purnama di pagari bintang-bintang. Budak desa seperti aku, apakah yang lebih indah daripada pemandangan sawah, langit, bulan dan bintang? Pada sawah kami menggantungkan harapan. Pada bulan kami menumpahkan rindu. Pada langit kami memanjatkan doa agar hari esok kehidupan lebih segar.

Malam ini aku di kota, tiada sawah, bulan dan bintang-bintang. Rinduku pada detik silam tiba-tiba mencengkam jiwa. Aku kembali menghitung diri - aku merenungi kembali perjalanan hidupku yang lepas, kini dan akan datang. Seorang kenalan baru mengingatkan aku kepada pelbagai perkara. Aku seperti berada di persimpangan.

Dia bertanya aku tentang jodoh: "Adakah itu keputusan muktamad?"
Terima kasih sahabat kerana mengingatkan aku tentang cinta dan jodoh.

Aku tidak berani menjawab. Jodoh entah di tangan Tuhan atau aku yang menentukannya? Sekiranya muktamad keputusanku, bagaimana andainya aku diketemukan cinta? Sekiranya belum muktamad keputusanku, bererti aku telah membiarkan masa berlalu begitu lama tanpa sebarang kepastian? Dan sampai bila aku mampu menutup pintu hatiku kepada cinta manusia yang bernama wanita? Bukankah cinta itu satu keindahan yang harus dimiliki semua orang?

"Hidup kosong tanpa cinta!"

Hidup aku sebenarnya kosong?

Tidak. Hidup aku tidak kosong.

"Apakah sakit yang lebih sakit daripada kesakitan ditinggalkan oleh orang yang amat kita cintai?" Mungkin satu pertanyaan yang bodoh. Tetapi hakikatnya manusia tidak bijak dalam semua perkara. Dan manusia juga tidak rela sakit kali kedua bagi perkara yang sama.

Aku tiba-tiba terasa rindu berbunga, tetapi kepada siapa rindu itu kutumpahkan?




4 comments:

Desbil said...

Kalau nukilan itu adalah fantasi , mongkut memang seorg yang kreatif krn mampu berfantasi seolah2 ianya realiti. Namun jika nukilan itu adalah realiti tentang kehidupan Mongkut yang sebenar maka mongkut perlu menghargai apa yang sepatutnya diinginkan. Langit tak selalunya mendung..begitu juga bintang selalu kelihatan dilangit kecuali hari hujan dan mendung...begitu juga lah kehidupan manusia...lupakan saja cerita lama dan buka lah cerita baru...pilih lah mana2 bunga untuk melepas rindu bunga mawar? carnation? hibicus? melati? banyak tu ...untuk ditanam dihalaman rumah atau sekurang2 dalam pasu dan letak di varenda..

Macam 'broken hearted' yer..

mongkut said...

Aku suka mawar merah!

Anonymous said...

Aku peminat blog kamu. Kenapa tak balas e-mail aku? Tak sudi, tak apa. Teruskan berkarya.

mongkut said...

Sorryler aku belum buka e-mail. Terima kasih kerana sudi masuk blog aku.