Monday, March 2, 2009

Jangan Pandang Sepi Syiling 10 Sen!

Sewaktu aku pergi ke rumah kakak aku beberapa hari lepas, aku mendapat satu pengajaran. Budak-budak zaman sekarang tidak menghargai duit syiling. Duit syiling bagi mereka tak ada nilai. Aku lihat duit syiling 10 sen dan 20 sen bersepah di lantai, di penjuru rumah dan di bawah sofa.

Budak-budak tak peduli. Emak mereka juga tak hirau. Duit 10 sen atau 20 sen tak tahu nak beli apa, kata kakak aku. Kalau tak ada 10 sen, seringgit juga tak ada, kataku. Dia ketawa. Seketika, anak saudara aku yang berusia 5 tahun mengutip duit syiling di penjuru rumah dan di bawah sofa, lalu menghulurkan kepada aku. Emak dia ketawa. Aku turut ketawa. Aku hitung syiling berhabuk di tapak tangan. Duit 10 sen enam keping dan 20 sen lima keping. Aku letakkan di atas meja. Betapa tak ada harganya duit syiling bagi budak-budak sekarang.

Duit merah 1 sen usah diperkatakan. Dibuang di merata-rata. Aku sendiri pun kurang sayang dengan syiling merah 1 sen. Walaupun boleh digunakan untuk membayar bil, aku lebih selesa campak di dalam tin kosong di sudut rumah.

Selepas makan tengah hari aku minta diri. Ketika berjalan ke kereta, aku terlihat sekeping duit syiling 10 sen bersilau di permukaan jalan dipancar terik mentari. Aku terfikir mahu kutip atau tidak. Aku tersenyum, lalu menuju ke kereta. Duit 10 sen nak beli apa. Ah, buat malu saja kalau ada budak-budak ternampak aku kutip duit itu!

Dalam perlajanan pulang aku singgah di pejabat kawan kerana ada urusan peribadi. Nasib baik ada petak parkir kosong. Aku sangat malas datang ke sini kerana sukar cari tempat parkir. Sewaktu hendak membeli tiket parkir "bayar dan peraga", aku tergamam kerana duit syiling dalam poket cuma ada 50 sen. Bayaran minimum 60 sen untuk satu jam. Aku selongkar kereta tetapi satu sen pu tak ada. Aku teringat syiling 10 sen yang bersilau di permukaan jalan. Kalau aku kutip duit itu, aku tak perlu garu kepala sekarang. Ah, sekejap saja tak perlu bayarlah!

Setelah selesai urusan dengan kawan, aku terus keluar kerana takut saman. Ketakutan aku menjadi kenyataan. Ketika tiba di kereta kertas saman terselit di wiper. Waduh, kena saman lagi! RM30 pasti melayang. Kalau aku menghargai duit 10 sen, aku tentu tak perlu bayar saman RM30!




1 comment:

Anonymous said...

macam kat johor jer. parking 60sen sejam. huhuhuh