Wednesday, March 4, 2009

Ombak, Cintaku dan Gadis Itu!

Ini kegemaran aku. Apabila pergi ke pandai, aku suka berjalan di gigi air. Sambil berjalan aku suka membawa sebatang kayu kecil. Dengan kayu itu aku akan tulis di pasir apa-apa sahaja yang terlintas di kepala.

Apabila ombak datang, tulisan aku dipadam dan diseret ke laut. Aku akan tulis lagi. Sememangnya aku tulis dengan niat agar ombak membawa tulisan aku ke dasar laut. Impianku agar hidupan laut - ikan, ketam, udang, penyu dan tapak sulaiman dapat membaca tulisanku dan mengerti isi hatiku.

AKU CINTA KEPADAMU! Tulisan ini bertahan beberapa detik cuma, sebelum kedatangan ombak besar dan mengheretnya ke dasar laut.

AKU RINDU KEPADAMU! Tulisan ini bertahan lebih lama kerana ombak yang datang tidak berapa besar dan lidahnya tidak sempat menjilat tulisanku. Aku tambah di hujungnya. OH, OMBAK, BAWALAH RINDUKU KE DASARMU! Dan ini tulisanku yang hampir-hampir tak sempat dihabiskan kerana ombak mengganas sehingga membasahi kaki seluarku.

DI KALA PELUKANKU .... Ini tulisan yang tak sempat menemukan noktah kerana pukulan ombak lebih pantas menyapunya pergi. Deru angin tenggara menikamkan tubuh. Aku kesejukan dalam helaian baju T yang nipis dan separuh basah.

DI KALA PELUKANKU BERTEMU PELUKANMU,

KITA BERSATU DALAM KEHANGATAN CINTA,

DUA JIWA DUA BANGSA,

TANPA MALU-MALU KITA BERCUMBU,

DISAKSIKAN CAMAR-CAMAR,

DI BAWAH RENDANG POHON RHU,

DI HAMPARAN PASIR DAN DEBU,

DI PANTAI CINTA BERAHI (PCB),

KINI NAMANYA DIPERBAHARUI,

PANTAI CAHAYA BULAN (PCB) YANG SOPAN,

ADALAH SATU CATATAN PERIBADI,

KITA PERNAH KE SINI,

BERTEMU,

DAN BERPISAH.

Inilah tulisanku di permukan pasir yang basah yang tertala bertahan di pantai PCB sebelum ombak dengan kejam merampasnya. Angin laut mulai kencang. Hujan renyai-renyai. Aku berlari ke perteduhan di sebuah pondok di tepi pantai. Seorang gadis muda berdiri menggigil sambil memegang sekuntum bunga mawar merah. Bajunya kebasahan. "Adik buat apa seorang diri di pondok ini?"

"Tunggu kepulangan seorang kekasih!"

"Ke mana kekasih adik menghilangkan diri?"

"Nun, di sana! Di lautan lepas terbentang luas, kekasihku bakal kembali. Dia berjanji akan pulang sebelum bunga ini layu!"

"Kekasih adik seorang pelaut?"

"Dia pencinta laut yang setia!"

"Laut adalah kekasih pelaut."

Gadis itu menangis. Bunga digenggamnya sudah layu!

2 comments:

Anonymous said...

u r a very talented writer

mongkut said...

TQ