Adakah sesiapa yang tak pernah jatuh cinta? Aku tak percaya kalau ada sesiapa kata dia tak pernah jatuh cinta. Lainlah kalau dia belum cukup umur, belum kenal erti cinta.
Aku dulu masa umur 12 tahun sudah main surat cinta. Tulis surat cinta, lipat jadi kapal terbang dan lancar ke arah orang yang aku suka. Kapal terbang mendarat tepat di atas kepala. Mak ooi. Mendarat di atas kepala Cikgu. Apa lagi. Aku diberi makan pembaris panjang. Sedapnya punggung hanya sendiri yang tahu. Cinta budak-budak hanya cinta monyet. Cepat datang dan cepat pergi, tetapi ikhlas dan selamat. Berdua-duaan dalam pondok daun pisang pun tak takut ditangkap khalwat.
Naik sekolah menengah, jatuh cinta lagi. Kali ini lebih hebat. Siang dan malam teringatkan dia. Tulis surat cinta lagi. Siap dengan pantun dan sajak. Malang datang lagi. Posmen dicekup Pengawas dan surat diserahkan kepada Cikgu Disiplin. Mak ooi. Cikgu itu baca surat cinta aku dalam kelas. Aku hanya tersengih. Tetapi dia menangis kerana malu. Aku dipanggil ke bilik Pengetua. Pengetua botak itu marah aku sakan. Rupa-rupanya budak perempuan yang aku tergila-gilakan itu anak saudara dia. Kalau aku tahu, taubat aku tak berani kacau. Anak saudara Pengetua, beb, nak cari nahas?
Masuk kolej jatuh cinta, masuk universiti jatuh cinta dan masuk pejabat pun jatuh cinta. Banyak benar jatuh cinta. Biasalah manusia. Kalau tak jatuh cinta, tak lengkap resipi kehidupan. Siapa yang tak pernah jatuh cinta ibarat makan nasi tanpa lauk. Sedapkah makan nasi kosong? Kucing pun tak mahu, jangan kata manusia.
Jadi, sesiapa yang belum jatuh cinta, segera cari cinta. Jangan tunggu sampai tua baru nak jatuh cinta, tak elok. Hari tua hanya sesuai untuk menambahkan resipi cinta sedia ada agar sentiasa segar, bukannya baru nak jatuh cinta. Masa jatuh cinta mesti masa muda. Belasan tahun atau awal dua puluhan paling sesuai. Tiga puluhan dan empat puluhan bukan tak boleh jatuh cinta tetapi tak sedap macam masa muda. Perasaan tua dan perasaan muda lain rasanya. Tetapi beringat, cinta tua adakalanya lebih mengancam daripada cinta muda.
Jatuh cinta belum tentu manis. Jatuh cinta akan manis apabila dia juga jatuh cinta kepada kita. Kalau kita jatuh cinta sebelah pihak sahaja, sakitnya berdenyut-denyut. Kata pepatah, tepuk tangan sebelah tak akan berbunyi. Itu betul. Tetapi kalau tepuk ke batu bukan setakat tak berbunyi, malah sakit lagi. Jatuh cinta sebelah memang betul-betul sakit. Siapa yang pernah alami tahu betapa sakitnya cinta sebelah pihak. Pagi sakit, petang sakit. Siang sakit, malam bertambah sakit. Sakitnya menikam-nikam jantung apabila wajah si dia melayang-layang di depan mata. Buka mata nampak wajah dia. Katup mata pun nampak wajah dia. ambil bantal tutup muka, wajah dia masih menjelma. Dia seperti mengejek, mencebir mulut dan menjelir lidah. Sudahlah tak balas cinta kita, mengejek kita pula. Gigit lidah biar putus baru tahu!
Cinta tak berbalas sekiranya tidak serasi. Ini hukum alam, bukan hukum ciptaan aku. Keserasian cinta diputuskan orang yang bercinta. Sekiranya orang yang mahu berpadu cinta itu sangat berbeza ciri-cirinya, cinta tak akan jadi serasi. Contohnya, cinta si kaya sukar jadi serasi dengan cinta si miskin. Tambah-tambah lagi si kaya yang sombong dan ego dengan kekayaannya. Cinta si jantan tua juga sukar diserasikan dengan cinta si gadis muda. Cinta berlainan darjat pun mustahil disatukan. Sukar untuk kita percayai cinta putera raja dapat dipasangkan dengan cinta anak pengemis jalanan. Namun, contoh-contoh ini tidak muktamad kerana bukan semua orang "bercinta kerana cinta" tetapi terdapat orang yang bercinta kerana perkara lain. "Perkara lain" ini sering hadir dalam cinta tanpa disedari dan menyebabkan cinta tersebut hilang kesuciannya.
Perkara lain boleh jadi datang dalam bentuk kekayaan, kemasyhuran, belas kasihan, simpati, penghormatan, dan sebagainya sering mencemarkan kesucian bercinta kerana cinta. Bercinta kerana cinta ialah perasaan cinta kita kepada dia kerana dia bukan kerana faktor lain misalnya, kekayaan atau kemasyhurannya. Bercinta kerana cinta selalu dilabelkan sebagai gila apabila dua orang yang bercinta itu terpisah oleh jurang yang dalam. Jurang cinta lazimnya terbentuk oleh masyarakat sehingga menjadi tradisi. Cinta seorang lelaki muda kepada seorang nenek pasti dipandang aneh walaupun cinta tersebut murni. Begitu juga dengan gadis muda dengan lelaki tua.
Cinta tidak berbalas lebih sakit daripada jatuh tangga. Jatuh tangga hanya sakit sekali kerana lain kali kita akan berhati-hati apabila naik tangga. Tetapi sakit kerana jatuh cinta yang tidak berbalas sering berulang-ulang. Serik sekejap. Lepas sakit jatuh lagi. Jatuh dan jatuh sehingga jumpa cinta yang berbalas.
Jatuh cinta akan jadi manis apabila cinta tersebut dibalas. Tiada yang lebih manis bagi seseorang yang jatuh cinta selain cintanya berbalas. Cinta bertambah bermakna seandainya keluarga turut merestuinya. Namun, sebelum jumpa cinta sejati, cinta yang berbalas, entah berapa kali terpaksa sakit. Malah ada yang sakit kerana cinta sehingga mencederakan diri. Membunuh diri kerana cinta ditolak juga selalu berlaku. Pendek kata, perasaan yang dinamakan cinta menyebabkan manusia sanggup melakukan apa-apa sahaja termasuk mencabut nyawa sendiri.
Kalau takut sakit, jangan jatuh cinta. Kalau takut jatuh cinta, jauhilah cinta. Tetapi jangan lupa, orang yang tak pernah jatuh cinta adalah orang yang tak lengkap kehidupannya!
No comments:
Post a Comment