Adakalanya ketika kita meluahkan niat untuk mendirikan mahligai cinta dengan pasangan pilihan, orang tua-tua kita akan menasihati kita: "Kenal-kenal dahulu, baru buat keputusan."
Nasihat orang tua-tua bukan tidak mahu kita kahwin. Apatah lagi menyekat niat suci kita untuk meninggallkan alam bujang. Berkahwin satu rahmat. Semua orang tahu itu. Tetapi orang tua-tua lebih berhati-hati daripada orang muda. Orang muda selalu tergesa-gesa membuat sesuatu. Dalam hal perkahwinan orang muda paling tidak bersabar. Tahu-tahu sahajalah hati muda semuanya mahu cepat dan segera. Kahwin cepat ada baiknya kerana dapat mengelakkan maksiat. Namun, cepat semata-mata tanpa menghitungkan faktor lain, kekadang membawa padah. Ramai yang berendam air mata siang dan malam selepas beberapa tahun mendirikan rumah tangga. Malah ada yang hanya dapat bertahan sebagai suami isteri selama sebulan sahaja. Itulah akibatnya tergesa-gesa sangat.
Perkahwinan akan membuatkan seseorang merasa bertanggungjawab, penuh cinta dan kasih sayang kepada pasangannya. Tetapi perasaan-perasaan ini tidak mungkin lahir begitu sahaja. Ia harus berlaku secara timbal balik dan secara semula jadi. Cinta dan kasih sayang tidak boleh berpura-pura, apatah lagi dipaksa-paksa. Bagaimana kita akan mencintai, mengasihi dan berasa bertanggungjawab ke atas seseorang kalau kita tidak kenal dia terlebih dahulu? Malah ganjil kalau kita tidak kenal pasangan kita.
Istilah "kenal" di sini bukan bermaksud perkenalan biasa sebagaimana kita kenal kawan-kawan di sekolah, universiti atau di pejabat. Kenal pasangan ialah kenal secara mendalam mental dan fizikalnya. Maksudnya kita kenal dan arif akan kemahuan, perasaan, fikiran, perlakuan dan tingkah lakunya. Pasangan yang hebat mampu membaca gerak hati dan gerak bodi pasangan masing-masing. Perkenalan begitu dapat membantu kita membuat keputusan tentang niat mendirikan rumah tangga.
Jangan terlalu ambil enteng dengan perkahwinan. Bercinta dalam talian merupakan sesuatu yang luar biasa, tetapi inilah yang banyak berlaku sekarang. Pelik betul. Bercinta walaupun tidak mengenali antara satu sama lain, kecuali mendengar suara dan mungkin juga pengakuan dan janji-janji manis. Bagaimana hati boleh terpikat dengan orang yang belum dilihat wajahnya? Sekadar mendengar suara atau membaca e-mail atau SMSnya bisa memputik cinta? Letak hidungnya, mulutnya dan telinganya entah di bucu mana kita telah jatuh cinta. Mudahnya cinta kita.
Malah yang lebih teruk, ada yang sanggup menjadi pasangan sehidup semata. Memang rupa paras bukan penentu cinta, tetapi adalah lebih elok lihat dahulu rupa parasnya sebelum jatuh cinta. Jangan layan sangat perasaan muda yang semuanya mahu segera.
Perkahwinan merupakan sesuatu yang besar dan harus bersungguh-sungguh. Mungkin ada orang berkata, kita cuba kahwin dulu, bila tak sesuai kita berpisah. Woi, tiada istilah "mencuba" dalam kamus perkahwinan orang Timur. Orang bukannya gulai asam pedas. Mana boleh dicuba-cuba.
Tentulah sesalnya tidak sudah apabila selepas berkahwin baru kita tahu bahawa suami kita seorang kaki judi, kaki minum, kaki perempuan, masjid dan gereja entah di mana dan suka pula pukul isteri. Keraja tidak sudi, hari-hari menjadi beban kepada isteri. Silap-silap dia memaksa isteri dia jadi perempuan malam. Ini bukan gurauan kerana banyak berlaku kes menyayat hati begini. Suami ialah tulang belakang rumah tangga, tetapi kalau suami jenis sampah dunia begini, jangan kata jadi tulang belakang, jadi tulang kelingking pun tak boleh.
Lelaki pun sama. Sebelum kahwin mesti kenal calon isteri dengan betul; latar belakangnya, keturuannya, dan agamanya. Orang dulu-dulu akan hantar agen 007 untuk merisik calon isteri sebelum masuk meminang. Tujuannya adalah untuk mengenalinya sama ada betul-betul anak dara orang atau anak dara hantu. Kahwin dengan anak dara hantu yang buruk perangai, terlalu mementingkan diri dan sentiasa buruk sangka terhadap mentua tidak akan membawa kebahagiaan. Akhirnya pertengkaran tercetus, maka perceraian pun tidak dapat dielakkan.
Satu hal lagi yang pasangan selalu abaikan iaitu faktor kesihatan. Bukannya niat aku hendak menyebarkan diskriminasi perkahwinan terhadap pembawa penyakit. Tetapi apakah faedahnya selepas mendirikan rumah tangga beberapa bulan atau beberapa tahun, pasangan kita diusung ke kubur meninggalkan kita terkonteng-konteng seorang diri bagai sampan kecil di tengah lautan luas yang bergelora. Jadi, fikirkan juga faktor kesihatan apabila mencari pasangan hidup. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudain tidak berguna.
Sesi "kenal-mengenal" ini jangan pula dijadikan sesi mengambil kesempatan atau melepaskan nafsu serakah. Ramai pasangan yang tersilap faham. Mereka menjadikan sesi bercinta sebagai sesi membuat maksiat. Orang tua-tua minta kita saling mengenali, bukan suruh kita saling berpeluk, bercium dan bercumbu. Tetapi pendidikan kita terlalu tinggi sehingga universiti lalu menyebabkan kita terlalu pandai - kita menukarkan sesi mengenali kepada sesi mengumpul dosa-dosa. Akibatnya ramai yang dihadapkan ke mahkamah kerana ditangkap basah.
Tangkap basah akan menjadi lebih basah sekiranya lelaki tidak mahu bertanggungjawab untuk mengahwini pasangannya itu. Selepas bayar denda mahkamah, kedua-dua pun bye-bye. Siapa yang malu? Ibu bapa siapa yang bakal dicontengkan arang pada mukanya sehingga menyebabkan mereka tidak berani berdepan dengan jiran-jiran? Oleh itu, lelaki mahupun perempuan, bergaul, bercinta dan saling mengenali biarlah pada batas-batasnya.
Akhir sekali, sebelum mendirikan rumah tangga, kenali pasangan kita dengan baik terlebih dahulu kerana ia dapat menjamin kebahagiaan dan keberkatan rumah tangga. Dan ingat, pasangan kita bukan mi segera dalam perkahwinan.
7 comments:
Kalau makan mee segera...Sedap,cepat masak, cepat kenyang lepas kenyang tak nak lagi...mee maggie asam laksa...;D
satu nasihat yang berguna untuk yang sedang mencari jodoh dan diri sendiri ker???.. ngeh ngeh ngeh..
Ramai juga yang bertopengkan masjid ker, gereja ker atau alim2 kucing bila sedang bercinta...yang ni macam mana nak nampak yer...;D
Jodoh dekat di mata boleh lihat, jodoh jauh di mana bagaimana, ya?
Alim kucing senang diduga, bagi "ikan" kalau terkam sah alim kucing.
Jodoh yang depan mata tu lah jodoh sebenarnya yang bukan depan mata tu buat aper!!..;D
Kasian kucing dijadikan puncanya...kucing perisian Desbil betul2 tak alim lah...letak ikan goreng atas meja dgn freskies dua2 dia bantai makan...rakus betul si kucing tu..ngeh ngeh ngeh...
Pilih lah jodoh yang terbaik, bukan memilih-milih jodoh.
Kekadang bila dah sebumbung baru tahu the true colours..terimalah pasangan kita seadanya..sbb kita juga ada kekurangannya..
Kami tak pernah mengenali di antara satu sama lain..isteri pilihan ayah ...
genap 20tahun dah,anak penuh kampung..
bahagia berterusan..
pakat sekata..pertama dan yang terakhir.!
Post a Comment