Monday, April 27, 2009

Mengimpikan Seseorang Yang Mamahami Kita

Sekiranya kita berasa sudah bersedia untuk memiliki seseorang yang memahami kita, kita mesti bersedia membuka pintu hati kita. Membuka pintu hati bukan untuk dimasuki orang luar, tetapi untuk memberi peluang kepada jiwa kita keluar mengenali seseorang yang diimpikan.

Kita harus memberi peluang kepada diri kita pergi melibatkan diri dalam aktiviti yang kita minati. Barangkali kita akan mengenali kawan baru di samping memperluaskan pergaulan. Pergaulan yang luas memberi kita kemungkinan dapat berjumpa dan berkenalan dengan seseorang yang memahami kita.

Dalam pergaulan kita mesti ada keyakinan diri. Penampilan, percakapan dan tingkah laku kita akan diperhatikan. Orang lain tidak akan yakin kepada orang yang tidak ada keyakinan diri. Lapangkan dada menerima persahabatan baru di samping mengekalkan persahabatan sedia ada. Lakukan apa yang kita mahu orang lain lakukan kepada kita.

Senyuman merupakan permulaan perkenalan yang terbaik. Oleh itu, jangan sayangkan senyuman. Kita tidak perlu membayar apa-apa dengan menghadiahkan orang di sekeliling kita dengan sekuntum senyuman manis.

Sebuah senyuman ibarat sekuntum mawar merah yang segar. Kemesraan terjalin dengan mudah melalui senyuman. Semua orang suka kepada senyuman. Manusia akan berasa dihargai apabila ada orang menghadiahkan mereka senyuman.

Wajah yang mesra disenangi ramai orang. Kita mudah didekati. Ramai kawan akan menerima kita dalam komuniti mereka. Sekiranya kita tidak menemukan seseorang yang kita suka, sekurang-kurang kita dapat kawan baru. Ini pun sudah cukup untuk mengeluarkan kira daripada ruang yang sepi.

Namun, satu perkara yang harus diingati. Apabila mendapat kawan baru, jangan mudah mempercayainya. Kita tidak boleh menaruh kepercayaan sepenuh hati kepada kawan baru kerana kita belum mengenali hati budinya. Persahabatan memerlukan kesabaran. Berikan masa kepada hati kita dan hati dia saling mengenali. Perhitungan yang tergopoh-gapah dan kurang matang mungkin menyebabkan kita terlepas pandang sikap negatifnya.

Perasaan ingin memiliki seseorang yang memahami kita harus diseimbangi dengan sikap kita yang juga mesti cuba memahami dia. Kita tidak boleh sekadar merungut saban hari bahawa dia tidak memahami kita sekiranya kita juga tidak cuba memahami dia.

Saling mengenali dan memahami hati merupakan pintu yang harus dilalui sebelum melafazkan: "Aku cinta kepada kamu." Sedikit kesilapan akan menyebabkan kita berendam air mata!


4 comments:

Desbil said...

Semua orang mengimpikan seseorang yang memahami agar saling memahami. Semoga impian yang di impikan akan tercapai!.

Selamat mengejar impian!

Lo mo so said...

Awas,setelah impian tercapai..janganlah abaikan pula impian tersebut.

Pupuk dan tatanglah ia untuk keharmonian bersama.

sayang menyanyangi dan hormat menghormati hak masing-masing umpama baja pada semaian kasih.

Selamat menyemai kasih!

gua caya lu said...

Sampai mati tak akan jumpa orang memahami kita sebaik diri kita sendiri.

Prasert Chaipradit said...

Semua orang mengimpikan orang yang memahami dirinya. Sama ada impian itu jadi kenyataan, itu soal lain. Yang penting kita jangan duduk berpeluk tubuh menanti impian menjelma di depan mata.