Thursday, May 7, 2009

Isteri Sumber Ilham

Jadi penulis mesti rajin fikir dan rajin tulis. Kedua-dua rajin ini umpama sampan dengan pendayung. Rajin fikir, malas tulis tidak akan menghasilkan apa-apa tulisan. Rajin tulis tetapi malas fikir, tunggang-langgang hasil tulisannya. Tulisan tidak masak, separuh mentah atau mungkin mentah terus.

Kalau malas fikir dan malas tulis sekaligus, tak usah cakap. Habis cerita. Tak dapat nak menolong. Adakala sangat rajin nak berfikir, bersemangat nak menulis, tetapi tiada objek untuk difikirkan. Ini masalah utama penulis ikan bilis. Penulis ikan jerung tak ada masalah ini. Idea dan ilham bukan senang dapat. Kalau tak mahir ilham tak akan menjelma di dalam otak. Ilham sesuatu yang "tiada" tetapi dapat "diwujudkan" dengan kemahiran berfikir. Pelik sekali kedengarannya - "mewujudkan ilham daripada sesuatu yang tiada". Kalau anda ahli falsafah anda pasti akan kata aku gila kerana tidak ada apa benda yang boleh "diwujudkan" daripada sesuatu yang "tiada". Aku bukan ahli falsafah, jadi istilah "tiada" yang aku gunakan bukan bermaksud "kosong". Ah, cukuplah. Terpesong pula tulisan aku nanti.

Aku tak akan sentuh tentang teknik kemahiran berfikir. Biarlah Edward de Bono, Ainon Muhamad dan Abdullah Hassan sahaja menulisnya.

Aku hanya hendak menulis tentang cara seorang penulis dari Barat mendapatkan idea. Aku telah lupa namanya walaupun dua jam aku duduk mendengar dia membebel di sebuah hotel di ibu kota sedekad lalu. Cara dialuar biasa dan istimewa.

Korek ilham bukan senang. Kekadang duduk termenung sehari suntuk idea tak juga muncul-muncul. Sepatah haram tak dapat tulis. Langit sudah dipandang, bumi sudah dilihat dan pokok kelapa di depan rumah telah ditenung, tetapi idea masih liat nak keluar. Duduk buntu, bangun buntu, berdiri buntu, berjalan buntu, menonggeng, menonggek pun masih buntu. Mencangkung di atas mangkuk tandas juga kepala tetap kosong.

Gunalah cara penulis hebat ini. Dia kata apabila tiada ilham dia akan memerhatikan isteri dia. Isteri sumber ilham, lubuk idea dan pencetus penulisan. Wahai lelaki, jangan pandang enteng isteri anda. Dia boleh jadikan anda sehebat Hemingway. Kenal Hemingway? Kalau tak kenal tanya sama Sasterawan Negara A Samad Said yang menentang PPSMI itu.

"Ah, hari-hari aku pandang isteri aku, tapi idea tak datang-datang juga!" Mungkin ada yang berkata begini. Aku tak menafikan. Hari-hari pandang belum tentu dapat memberikan apa-apa ilham kalau caranya tidak betul. Pandang isteri pun mesti ada cara ke? Mestilah. Pandang dengan tujuan mendapatkan ilham tidak sama dengan pandang untuk diumpan ke katil. Pandang untuk diumpan ke katil mesti lirik-lirik, jeling-jeling dan angguk-angguk. Kita faham, dia faham dan sama-sama faham sudah cukup. Pandang untuk dapatkan ilham lain sikit.

Pandang isteri untuk ilham isteri tidak perlu faham. Dia tidak mungkin faham. Malah pantang dia difahamkan. Jangan sesekali menyedarkan bahawa anda sedang memerhatikan dia. Oleh itu, pandang belakang dia. Pandang belakang? Ya. Pandang belakang. Pandang depan nanti dia sedar. Apabila dia sedar bahawa dia sedang diperhatikan, gerak-gerinya tidak asli. Kita mesti dapatkan yang asli barulah dapat lahirkan ilham. Ingat, ilham hebat tak pernah datang bersama kepalsuan.

Pandang belakang isteri sewaktu dia berjalan ke sana ke mari di dalam rumah. Masa dia berdiri cuci pinggan mangkuk di sinki paling elok. Perhatikan gerak bahunya, lenggok tubuhnya, dan goyang pinggulnya. Ini punca idea yang hebat. Pinggul isteri sumber ilham penulis besar. Perhatikan dengan penuh minat dan anda akan mendapat ilham. Apabila telah dapat ilham, "kunyah" (istilah A Samad Said) sehingga lumat sebelum diterjemah ke dalam bentuk penulisan. Kunyah ilham bukan kunyah isteri anda.
Kalau ilham tak datang juga walaupun puas memandang, merenung, memerhati dan menyaksikan segala gerak-geri isteri anda sehingga biji mata pun hampir terpacul keluar, anda boleh tolong dia basuh pinggan sambil bersembang-sembang. Ilham pasti datang. Ilham hebat akan datang ketika otak kita sibuk tetapi hanya boleh dimatangkan ketika otak kita tenang.

Boleh percaya ke? Jangan cepat menolak cadangan ini. Lakukan terlebih dahulu, anda akan tahu betapa hebat hasilnya.

Bagaimana bagi yang tiada isteri? Pandang kekasih. Tiada kekasih? Pandang punggung isteri orang? Cubalah kalau nak kena lempang. Inilah masalahnya kerana penulis tersebut tidak sebut tentang ini. Peserta pula tidak bertanya. Aku sendiri berat mulut kerana asyik ketawa dengar dia celoteh. Aku cadangkan anda boleh pergi ke mana-mana pusat beli-belah dan perhatikan wanita yang lalu lalang. Mungkin ideanya lebih hebat daripada renung isteri sendiri. Tetapi mesti kawal imaginasi. Jangan berkhayal lebih-lebih nanti lain pula jadinya. Jaga otak jangan sampai naik biru. Ilham tak boleh berputik di dalam otak yang biru.

Bagaimana dengan penulis wanita? Dia nak pandang apa? Pandang suami? Pandang kucing yang dimandulkan atau arnab telinga sumbing yang layak dijadikan sate? Aku tak pasti sama ada wanita boleh dapat ilham dengan memandang suaminya. Tanyalah sama J.K Rowling, Khadijah Hashim atau Catherine Lim. Tak kenal J.K. Rowling? Selidik dengan Harry Potter.

Aku bukan penulis yang layak dipanggil "penulis". Jadi, tak usah serius sangat! Bye-bye!!!!


No comments: