Bulan Mei banyak hari penting. Hari Buruh, Hari Ibu, Hari Jururawat, Hari Belia dan Hari Guru semuanya pada bulan Mei. Hari cuaca paling panas di Kuala Lumpur juga barangkali bulan Mei. Panas memanjang siang dan malam. Awan hitam di langit tetapi hujan setitis dua sahaja. Hujan seperti malu-malu nak turun, mungkin kerana banyak sangat hari penting.
Esok 16 Mei, Hari Guru.
Selamat Pagi, Cikgu! Satu ungkapan yang pendek tetapi di dalamnya terakam seribu kenangan. Selamat pagi cikgu diucapkan dan belum sempat duduk, cikgi minta sila berdiri. Siapa tak hantar buku latihan naik atas kerusi. Alamak. Selamat pagi cikgu pagi ini bawa bencana. Pelajar lelaki di barisan belakang terkekeh-kekeh tahan ketawa. Pelajar perempuan terpingan-pinga. Dengan malas aku panjat juga kerusi kayu itu.
Selamat pagi cikgu dilafazkan setiap pagi sebagai pembuka pintu ilmu. Ilmu pengetahuan tidak masuk tanpa ucapan keramat ini. Semakin kerap selamat pagi cikgu diucapkan semakin banyak ilmu masuk kepala. Aku paling benci apabila hampir dengan waktu nak ucapkan selamat pagi cikgu kepada Cikgu Bahasa. Bukan aku benci cikgu, tetapi aku tidak suka bahasa. Subjek paling meloyakan aku.
Apabila cikgu menulis "Tatabahasa" di papan hitam, aku mula mengantuk. Paling mengantuk apabila cikgu mula berkata: "Murid-murid, sila buka buku latihan, buat dua Ayat Bangun Membuat dan dua Ayat Bangun Kena Buat!"
Ayat apa yang "bangun membuat" dan "bangun kena buat"? Gatal kepala aku memikirkannya. Yang aku tahu dan selalu kena ialah "bangun dan berdiri" kerana tak buat latihan. Bangun membuat aku tak reti. Tidur membuat juga aku tak tahu. Bangun kena buat lagilah janggal. Kerana alahan aku pada Tatabahasa menyebabkan markah aku dalam subjek bahasa sekadar cukup-cukup makan.
Namun, subjek bahasa begitu cepat berubah. Ayat aktif dan ayat pasif digunakan untuk menggantikan ayat bangun membuat dan ayat bangun kena buat. Walau bagaimanapun aku amat berterima kasih kepada guru bahasa aku yang selalu sekeh kepala aku dahulu. Jasa dialah aku mampu duduk menulis blog seperti sekarang. Subjek yang meloyakan aku bertukar menjadi subjek yang paling aku minati.
Selamat pagi, cikgu! Ucapan yang membawa dua pengertian yang berbeza; pengertian pada murid berbeza dengan pengertian yang ada pada guru. Namun, ucapan itu membawa pengertian yang besar kepada kedua-dua pihak.
Selamat pagi, Cikgu!
Apa yang patut kita lakukan pada Hari Guru? Sebagai guru kita harus berbangga dapat memberikan ilmu kepada anak bangsa di samping berazam akan jadi guru yang baik dan bertanggungjawab.
Guru harus bersabar dan mendekati muridnya dengan kaedah yang betul dan sesuai dengan sikap murid berkenaan. Kaedah sekeh kepala, pulas perut, cubit telinga atau lempang muka tak sesuai lagi. Itu kaedah zaman batu, zaman rimba yang diterima pakai sehingga zaman aku yang dikatakan zaman moden. Moden sangatlah apabila guru menampar muridnya sehingga berdarah hidung. Moden benarlah apabila murid mencurah asid di atas kerusi dan kemudian diduduki oleh guru perempuan. Moden betullah apabila ahli keluarga pelajar yang terdiri daripada datuk, nenek, emak, bapa, abang, kakak dan adik menyerbu sekolah dengan niat untuk membalas dendam ke atas guru. Ini belum lagi diambil kira guru cabul murid. Murid goda guru. Guru cinta murid. Murid cinta guru. Murid cinta murid. Guru cinta guru. Guru merokok, murid ikut merokok. Guru pukul murid kerana merokok. Bolehkah begitu?
Setiap murid tidak sama. Oleh itu, guru juga mesti menggunakan pendekatan yang berbeza. Cara mendekati pelajar A mungkin tidak boleh diguna pakai kepada pelajar B dan sebaliknya. Salah menggunakan pendekatan bakal mencetuskan masalah. Pelajar nakal paling sukar didekati. Kalau guru menggunakan cara yang "nakal" juga nescaya haru-biru jadinya. Pelajar nakal semakin dihukum, semakin nakal. Menjeritlah sehingga gugur bulu mata, pelajar nakal tak rasa apa-apa. Menjerkahlah sehingga bergegar bangunan sekolah, tumbang papan tulis dan jatuh berderai gambar Menteri Pelajaran di dinding, pelajar buta huruf tetap buta huruf, pelajar nakal tetap nakal.
Pelajar yang baik akhlaknya tetapi tidak tahu membaca dan menulis apabila ditangani dengan kaedah yang salah akan jadi pelajar nakal. Pelajar tidak tahu membaca dan menulis. Guru pula menekan mereka agar cepat-cepat pandai membaca dan menulis. Menekan mesti tahu caranya. Menekan dengan cara yang salah, bukan sahaja menyebabkan pelajar jadi nakal, malah guru juga boleh jadi sakit jiwa. Apabila guru sakit jiwa nescaya murid sakit badan. Apabila kebetulan ibu bapa juga keturunan sakit jiwa, perang meletus di sekolah. Silap-silap dijadikan kes mahkamah. Peguam yang untung.
Guru harus sedar bahawa pelajar mereka ialah manusia biasa yang tidak terlepas daripada segala kesilapan dan kesalahan. Pendekatan menghukum secara keterlaluan memberikan kesan yang tidak baik terhadap psikologi pelajar.
Bagaimana dengan pelajar? Selaku pelajar kita mesti menghormati dan menghargai jasa guru. Pada Hari Guru, guru tidak mengharapkan apa-apa hadiah daripada pelajarnya. Cukuplah kalau mereka dengar nasihat, berdisiplin dan cemerlang dalam pelajaran. Itu sahaja. Lulus cemerlang dalam semua mata pelajaran adalah hadiah paling mahal yang diidam-idamkan oleh semua guru. Lulus cemerlang dalam peperiksaan, tetapi akhlak macam syaitan bolehkah cikgu?
Ibu bapa dan masyarakat? Inilah golongan penting yang tidak boleh ditinggalkan apabila bercakap tentang guru dan murid. Aku kata penting kerana keluarga dan masyarakat berupaya menimbulkan suasana yang dingin atau hangat dalam iklim pendidikan negara. Sekiranya masyarakat memandang guru dan sekolah dari sudut positif maka positiflah hasilnya. Tetapi kalau masyarakat melihat guru dan sekolah dari sudut negatif maka negatiflah kesannya.
Dalam zaman materialistik ini, tidak ramai ibu bapa yang memandang guru sebagai guru. Habis, mereka memandang guru sebagai apa? Mereka lebih gemar memandang guru sebagai "pengambil upah" yang dibayar oleh kerajaan untuk mengajar anak mereka. Oleh itu, mereka tidak berasa bersalah menyerbu ke sekolah untuk menengking atau memarahi guru di depan pelajar. "Peduli apa, guru hanya pengambil upah, sedangkan aku orang kaya dan dihormati masyarakat." Jadi, berikan penghormatan kepada guru sekiranya kita mahu anak-anak cemerlang. Anak-anak tidak akan cemerlang dalam pelajaran kalau ibu bapanya hari-hari mengutuk guru. Konsep berbincang dari hati ke hati dapat menbantu merungkaikan masalah antara guru, murid dan ibu bapa. PIBG tidak boleh kaku dan jadi perhiasan sahaja. Hari Guru tidak membawa sebarang makna kalau ibu bapa "tidak kenal" siapa guru dan "tidak tahu" bagaimana kita patut melayan guru dengan betul.
Hari Guru mesti diraikan oleh semua orang kerana jasa guru begitu besar. Siapa kita tanpa guru. Raja, Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar, Pegawai Tinggi, Jeneral, Ketua Polis, dan Ketua Masyarakat dapat jadi seperti sekarang kerana jasa guru.
Aku bernasib baik kerana pernah merasai dunia pelajar, dunia guru dan dunia ibu bapa yang ketiga-tiganya bersatu dalam melahirkan anak bangsa yang cemerlang!
Selamat Hari Guru!
No comments:
Post a Comment