Monday, April 20, 2009

Siapa Kata Air Mata Lelaki Mahal?

Pada zaman kanak-kanak apabila budak lelaki menangis orang dewasa akan berkata, "Hei, budak laki tak boleh menangis, malunya!" Kerana malu budak lelaki akan segera mengesat mata dan berhenti menangis. Pada hari lain budak lelaki akan menangis lagi dan ditegur lagi. Teguran yang berulang kali menyebabkan budak lelaki malu menangis di depan orang. Oleh itu, dia sembunyi-sembunyi apabila hendak menangis.

"Budak lelaki mesti keras hati!" Ini nasihat yang sering kita dengar dari mulut bapa, ibu, abang, kakak mahupun jiran tetangga apabila kita semakin meningkat usia. Nasihat tersebut kita simpan dalam ingatan. Apabila terjatuh atau terkena sesuatu yang menyakitkan, kita akan tahan menangis kerana malu dikatakan lemah hati. Kita tidak mahu jadi seperti budak perempuan yang mudah menangis. Budak perempuan sikit-sikit menangis. Namun, tangisan budak perempuan ada daya tarikan tersendiri. Budak lelaki dengan rela hati akan memujuknya. Malah tangisan budak perempuan adalah senjata ampuh yang sentiasa berjaya menewaskan budak lelaki.

Apabila usia meningkat matang, telinga kita dibuai peribahasa: "Biar putih tulang, jangan putih mata!" Maknanya orang lelaki tidak boleh jadi penakut. Biar darah mengalir membasahi bumi, air mata jangan setitis mencemari tanah air tercinta. Air mata lelaki lambang kelemahan hatinya, kerapuhan semangatnya. Jarang kita mendengar dalam cerita legenda pahlawan agung menangis di hujung pedang musuh. Betapa cekalnya hati lelaki. Pedang besi kursani atau keris tujuh pa hanya mampu mengalirkan darah lelaki tetapi tidak air matanya. Maka sesuailah peribahasa "biar putih tulang, jangan putih mata" ditujukan kepada lelaki.

Lelaki tidak reti menangis? Lelaki pun orang. Semua orang tahu menangis. Air mata adalah salah satu proses semulajadi membersihkan mata daripada kotoran dan habuk. Namun apabila anda ternampak lelaki menangis, anda jangan sangka matanya dimasuki sampah. Adakala air mata lelaki mengalir kerana sebab lain. Walaupun lelaki dikatakan keras hati - kebanyakan anggota tubuh lelaki memang keras dan kental - tetapi terdapat bahagian tertentu yang lembut dan lemah. Perasaan. Perasaan lelaki sama lemah dengan perasaan perempuan. Perasaan lelaki juga begitu sensitif. Kekadang lelaki lebih emosional daripada perempuan.

Akibat perasaannya yang lemah dan sensitif, lelaki hanya dapat menahan sakit luka tetapi tidak mampu menahan sakit cinta. Lelaki juga menangis apabila dikecewakan oleh orang tersayang. Air mata lelaki juga membasahi pipi apabila cinta yang dicitakan terputus di pertengahan jalan. Namun lelaki bijak menyembunyikan kesedihan. Dia menangis, meraung, menjerit dan sedu-sedan ketika berseorangan. Sakit akibat cinta yang ditanggung lelaki sama sakitnya dengan yang ditanggung perempuan. Buktinya dapat kita lihat ramai lelaki membunuh diri kerana cinta kecundang. Jambatan Pulau Pinang adalah saksi setia bahawa lelaki begitu longlai dan rela memetik nyawa sendiri kerana cinta terhalang.

Dalam cerita dongeng kita selalu disogokkan dengan Pahlawan Agung yang menang di medan perang tetapi tewas di medan cinta. Dia menangis teresak-esak kerana cinta yang gagal.

Walaupun kita jarang melihat lelaki menangis dalam kebanyakan hal termasuk kematian orang yang disayangi, tetapi lelaki begitu mudah menitiskan air mata kerana sebuah cinta yang hilang. Lelaki lebih reda kepada kematian daripada kehilangan seorang kekasih!




2 comments:

Desbil said...

Setiap yang bergelar manusia normal punya perasaan.Lelaki dan perempuan macam itu juga. yang membezakan adalah keegoan. Apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Percayalah kita tak boleh paksa diri untuk mencintai orang lain begitu juga tak ada kuasa menghalang orang untuk mencintai kita namun seseorang tidak terikat untuk membalas cinta orang lain. Hidup mesti diteruskan ketabahan adalah kunci segalanya.Let the time heal the pain...biarlah semua gembira menikmati kehidupan yang singkat ini.

Anonymous said...

Memang beruntung kalau seseorg itu dpt melihat air mata sama ada lelaki atau perempuan..tapi tak semestinya kita tanya apa dan mengapa?...Setiap insan ada sebab tersendiri..Dlm dunia ini tak semestinya jika jwb semua soalan..