Sunday, April 5, 2009

Masa Menguji Kesabaran

Waktu paling mencabar bagi pasangan suami isteri ialah waktu kemelesetan ekonomi. Kemelesetan ekonomi akan mengurangkan pendapatan keluarga. Pendapatan yang berkurangan menjejaskan perbelanjaan keluarga.

Keluarga yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur paling kuat merasai kesannya. Ansuran kereta, bayar atau sewa rumah, belanja dapur, belanja persekolahan dan pelbagai bil harus dilangsaikan setiap bulan. Barang-barang pula semakin mahal. Orang yang tinggal di kampung bukan tidak susah apabila pendapatan keluarga terjejas tetapi tidak seteruk orang di bandar. Orang di kampung selain kos sara hidup tidak begitu tinggi, gaya hidup mereka tidak suka berhutang. Kecuali barangan tertentu seperti kereta yang dibeli secara ansuran bulanan, kebanyakan barang lain dibayar tunai.

Orang di bandar hutang keliling pinggang. Mereka berlumba-lumba untuk berhutang. Semakin banyak berhutang semakin hebat gaya hidupnya. Hutang kad kredit menjadi seperti kewajiban bagi orang di bandar. Tidak sah rasanya jadi orang bandar kalau tidak ada kad kredit. Sekurang-kurangnya sekeping mesti ada terselit di celah dompet supaya tidak dilabel "orang kampung yang ketinggalan zaman". Sekarang ini kad kredit boleh didapati dengan begitu senang. Syarat-syaratnya dipermudahkan. Sebab itulah ramai yang kantoi dek kad kredit yang disebarluaskan - daripada orang kaya kepada orang miskin dan penganggur.

Orang di bandar juga suka beli barangan rumah secara berhutang. Komputer, perabot, tv, peti sejuk, akuarium, katil, tilam, surat khabar dan sebagainya dibeli berhutang. Apabila pendapatan berkurang, hutang tergendala dan ada yang tidak dapat dilangsaikan. Di sinilah masalah rumah tangga akan bermula. Menjadi kelaziman manusia apabila kesenangan hidup terjejas, emosi juga turut terjejas. Sekiranya iman tidak cukup tebal, perang rumah tangga akan tercetus. Ramai pasangan bahagia yang hilang kebahagiaan sewaktu kemelesetan ekonomi sehingga berakhir dengan perceraian.

Pendapatan yang terjejas boleh dikira masih okey kerana masih boleh berbelanja. Masih ada tempat berteduh dan makanan mengisi perut. Walaupun tidak semewah dahulu, tetapi belum sampai terpaksa mengikat perut. Tetapi bagaimana dengan mereka yang terputus pendapatan sama sekali? Mereka yang dibuang kerja misalnya, dan kebetulan simpanan pula tidak ada, bagaimana mereka hendak meneruskan hidup? Sewa rumah, belanja dapur, persekolahan anak-anak dan bil-bil tidak boleh dilangsaikan dengan air liur. Inilah masa paling menduga kesabaran. Silap hari bulan rumah tangga porak peranda dan manusia boleh menjadi gila.

Bilangan mereka yang mengalami tekanan mental semakin meningkat sejak kemelesetan ekonomi, kata Ketua Jabatan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Mohd. Hussain Habil. Menurut beliau sejak dua bulan terakhir pesakit mental yang mendapatkan rawatan di jabatan beliau meningkat sebanyak 20 %. Satu jumlah yang membimbangkan.

Kemelesetan ekonomi merupakan cabaran yang besar kepada suami isteri. Inilah detik-detik yang teramat sukar. Hanya kesabaran, ketabahan dan keimanan sahaja mampu membantu mereka melepasi kesukaran ini dengan sempurna.




No comments: