Friday, September 26, 2008

Rindu Mengundang Dosa



Semalam pergi berbuka puasa dengan kawan-kawan sepejabat di De Palma Resort, Putrajaya. makanannya okey tetapi mahal sedikit. Makan tidak seberapa tetapi sembangnya yang lebih. Pada awalnya saya menolak pelawaan tersebut kerana ada urusan di tempat lain. Setelah dipujuk seorang rakan, saya akhirnya berlembut hati dan setuju ikut serta.

Sememangnya Tuhan ingin menemukan kami. Saya dan dia lama berpisah. Sejak berpindah dari bidang produksi drama TV - selaku penulis skrip, kami masing-masing membawa diri. Saya menceburi bidang kontraktor dan dia entah hilang ke mana tanpa khabar berita. Puncanya kerana selepas meninggalkan kerjaya penulisan, selama satu tahun saya menghadapi masa sukar. Sewa rumah, kereta, kredit kad, bil elektrik dan bil api menjadi gawat. Saya harus memilih keutamaan. Bil telefon terpaksa dipotong. Diari yang menyimpan nombor telefon kawan-kawan pula hilang. Rumah terpaksa berpindah "ke hulu" untuk jimat kos. Dari detik itu kami putus hubungan. Dengar khabar dia balik kampung, tetapi bukan tanam jagung atau terung. Dia membantu ibunya berkedai runcit. Saya sendiri tidak tahu di mana kampungnya.

Tiba-tiba sahaja, tanpa ribut tanpa hujan pandangan kami bertembung. Diam sejenak, mengingat dan mengimbas kisah lampau. Oh, dia rupanya. Saya bangun untuk pergi kepada dia tetapi terpaksa duduk semula apabila teringat bahawa lelaki di sebelah dia mungkin suaminya. Memang betul. Dia sudah berkahwin. Dia seperti mahu datang ke tempat saya tetapi takut-takut. Saya memahaminya. Kami sekadar membalas senyum.

Apabila pulang ke rumah saya berasa bersalah dan kesal. Selaku lelaki saya patut pergi menegurnya. Suami dia tidak akan cemburu. Tetapi apa daya semuanya sudah berlalu. Tuhan hanya kehendaki kami sekadar menukar senyum. Entah kenapa malam itu saya tidak dapat tidur. Saya rindu kepada dia - rindu kepada isteri orang. Berdosakah saya?

Kenapakah Tuhan menduga keimananku sekeras ini?

3 comments: