Thursday, September 18, 2008

Agungnya Cinta Perempuan (1)

Cinta seorang perempuan memang tiada tandingannya. Sekiranya terdapat sesiapa mempersoalkan kesucian dan kesetiaan perempuan kepada cintanya, maka tahulah bahawa orang itu tidak mengerti erti cinta seorang perempuan.

Perempuan begitu mengagungkan cintanya. Sememangnya dia layak berbuat begitu kerana cintanya adalah cinta agung. Perempuan simpan cintanya di dada. Saban waktu dia menjaga dadanya kerana di situ cintanya bersemi. Betapa perempuan menghargai cinta. Apabila hati sudah terpikat, cinta sudah terpahat, janji sudah dilafazkan, maka kesetiaan perempuan hanya kepada cinta yang satu. Biar digoda si Mawi, dikenyit mata si Shah Rukh Khan atau dipujuk si David Beckham, cinta perempuan tidak tergoda selagi si dia masih ada.

Malah, seandainya mendapat khabar bahawa si dia bermain kayu tiga (kayu yang bagaimana?), perempuan tetap setia kepada cintanya selagi tidak terlihat oleh mata sendiri. Malah, apabila terlihat oleh mata sendiri, si dia sedang menggigit cuping perempuan lain, cintanya tidak terlerai. Biarpun menangis tidak berlagu, menjerit, melolong dan melalak kesedihan sehingga tersedu-sedan, cinta permpuan tetap utuh dan kukuh. Setahun, dua tahun dan tiga tahun bukan jangka waktu yang bisa melupakan perempuan kepada cintanya walaupun cinta itu cinta beracun. Betapa agungnya cinta manusia spesis yang aku sayangi ini!

Cinta lelaki? Fuyohhh. Pagi melafazkan cinta kepada Linda Onn, petang mengaku cinta kepada Nik Aida. Hari ini janji setia, sehidup semati sama si Fasha Sanda, esok atau lusa atau mungkin tulat sumpah pula dengan si Adibah Noor untuk sama-sama meredah lautan api.

Hebat sungguh cinta lelaki. Minta Bukit Belacan, dia berikan Gunung Tahan. Minta Gunung Kinabalu, dia hadiahkan Gunung Fujiyama. Betapa murah hatinya lelaki kepada cintanya. Semuanya kerana lelaki simpan cintanya di hujung lidah. Sebab itulah lidah lelaki paling mengancam berbanding dengan lidah lembu atau lidah kerbau. Sekali disentuh lidah lelaki, menggeletar satu badan sang kekasihnya kerana sentuhan itu adalah sentuhan cinta si teruna kepada si dara.

Cinta lelaki bisa dilafazkan dan diucapkan setiap masa dan detik mengikut lentik lidahnya yang berbelit-belit dan bergulung-gulung. Betapa hebatnya cinta spesis aku ini!

Kesimpulannya, perempuan simpan cinta di dada sementara lelaki simpan cinta di lidah. Oleh itu, perempuan seharusnya bimbang dengan lidah lelaki dan lelaki semestinya mengawasi dada perempuan kerana kedua-dua itu sumber cinta dan noda.


(Perhatian: Bentuk dada dan lidah tidak menggambarkan cinta seseorang)

3 comments:

Unknown said...

cinta.perempuan.lelaki.menarik untuk di ceritakan....seronok membaca catatan diatas- kenapa & dimana akan memberi warna2 seterusnya dalam cinta.Impak dari kenapa & dimana akan mencerita apa seterusnya.....apa2 pun selamat berkenalan.

Prasert Chaipradit said...

Selamat berkenalan

Anonymous said...

mahu kebenaran?
saya menangis baca entri anda yang satu ini.
tapi, jgn ditanya kenapa.
:)