Tuesday, October 14, 2008

Senyum Sokmo!

Nik Aida, juruhebah KLFM selalu berkata "senyum sokmo" kepada pendengarnya. Apabila mendengarnya, saya ikut tersenyum. Betapa tingginya nilai sebuah senyuman.

Seorang ilmuwan terkemuka pernah berkata harga senyuman lebih tinggi daripada duit sejuta ringgit. Betapa tingginya nilai senyuman. Sesiapa yang selalu senyum bererti dia mempunyai duit jutaan ringgit. Senyuman membolehkan seseorang kaya atau miskin.

Senyuman menggambarkan keperibadian seseorang. Seorang yang selalu senyum dikatakan pemurah, mesra, sopan dan berperibadian tinggi. Penampilannya mengagumkan dan disenangi kawan-kawan. Pendek kata, orang yang mudah senyum mudah mendapat kawan. Dia senang didekati dan digauli.

Manakala orang yang tidak tahu senyum, masam memanjang amat sukar didekati orang lain. Orang yang bermuka masam tidak disenangi orang lain dan sukar pula didampingi. Wajah tanpa senyum menakutkan orang lain. Oleh itu, orang yang bermuka serius 24 jam sukar sekali mendapat kawan. Tiada siapa yang mahu berkawan dengan orang yang tidak tahu mengukir senyuman. Orang yang sukar senyum merupakan orang yang jiwanya kering dan tawar.

Sekiranya anda kedekut senyuman, maka berpuas hatilah untuk bergaul dengan kucing di rumah kerana tiada manusia waras mahu berkawan dengan orang seperti anda. Mencari kawan pun sukar apatah lagi mencari jodoh. Lelaki mahupun wanita lebih tertarik kepada orang yang gemar menghadihkan senyuman kepada orang lain. Wanita yang sering mengukir senyum manis di bibir memang menjadi daya tarikan lelaki. walau bagaimanapun, bukan bererti orang yang tidak tahu senyum tidak akan mendapat jodoh. Jodoh di tangan Tuhan. Tetapi jodoh orang yang kemarau senyum diletakkan di barisan belakang.

Pepatah Cina ada mengatakan sekiranya tidak tahu senyum, tidak usah buka kedai. Tiada siapa di muka bumi ini yang akan masuk ke kedai yang tuannya bermuka masam. Malah kedai menjual cuka sekalipun tidak akan maju sekiranya tuannya berwajah masam sehari suntuk. Pelanggan yang mengidap penyakit kencing manis sekalipun apabila hendak membeli barang, mereka memilih kedai yang tuannya memiliki senyuman manis.

Senyuman terbahagi kepada dua jenis. Pertama, senyuman yang ikhlas yang keluar daripada hati. Kedua, senyuman kepura-puraan yang sengaja dibuat. Kedua-duanya ada nilai tersendiri walaupun yang pertama sangat tinggi nilainya, tetapi yang kedua juga ada nilai. Kita boleh mengukirkan senyuman yang manis lagi ikhlas serta memikat sekiranya hati dan perasaan kita dalam keadaan tenteram. Senyuman begini membahagiakan orang yang memandang dan pasti akan dibalas dengan senyuman yang ikhlas juga.

Tetapi hati dan perasaan manusia tidak selalunya tenteram. Ada ketikanya hati kita bergelora, perasaan kita berkocak. Ketika itu senyuman manis sukar menghiasi bibir. Orang yang bari kehilangan ahli keluarga payah hendak memberikan kita senyuman manis biarpun hatinya ikhlas. Malah orang yang baru bercerai juga sukar mengukirkan senyuman menarik. Masakan hendak senyum kalau air mata pun belum kering. Lainlah kalau bercerai secara "suka sama suka" kerana kedua-duanya sudah ada pasangan baru.

Senyuman seorang musuh bukan setakat tidak manis, bahkan masam dan tidak ikhlas sama sekali. Maksudnya musuh secara sembunyi-sembunyi. Musuh secara terbuka langsung tidak akan senyum kepada kita. Sekiranya seseorang mampu memberikan senyuman manis dan ikhlas kepada musuhnya, maka ketahuilah orang itu merupakan orang yang teramat mulia.

Kesimpulannya, kalau kita hendak mengecapi kesegaran hidup, kita mesti memulakan hari baru kita dengan senyuman. Bangun pagi kita mesti senyum dengan ibu bapa, suami, isteri, anak-anak orang gaji, tukang kebun, kucing dan semua ahli keluarga yang ada. Apabila tiba di pejabat kita senyum pula dengan kawan-kawan sepejabat. Malah apabila berjumpa dengan sesiapa sahaja, kalau kita mahu kesegaran hidup, berikanlah senyuman kepada orang tersebut, pasti dia juga akan membalas senyuman kita. Berbalas senyuman dengan orang yang tidak dikenali akan melahirkan satu perasaan seolah-olah kita dihargai orang lain.

Namun, senyum juga mesti tahu masa dan tempatnya. Senyum 24 jam nanti orang jadi takut ingat kita kurang garam. Walau bagaimanapun, apabila kita senyum kepada dunia, dunia juga akan senyum kepada kita dan ketika itu kita akan merasa bahawa kita mendapat kesegaran dan kebahagiaan hidup yang tiada bandingannya.

Malah pakar psikologi berpendapat orang yang selalu senyum (senyum sokmo), lambat menjadi tua dan usia lebih panjang!

1 comment:

Anonymous said...

kurangkan manis dalam minuman

tambahkan manis dalam senyuman

huhuhuhuh