Bangsa Cina lebih suka anak sulung mereka lelaki kerana anak lelaki adalah pewaris keluarga dan keturunan. Sedangkan anak perempuan apabila berkahwin akan menjadi milik keluarga suaminya.
Di Republik Rakyat Cina yang mengehadkan setiap pasangan mempunyai seorang anak, maka ramai pasangan yang melahirkan anak sulung perempuan tidak mahu mendaftarkan anak mereka. Sekiranya anak tersebut didaftarkan, habislah peluang mereka untuk memiliki anak lelaki. Oleh itu, terdapat jutaan kanak-kanak perempuan yang tidak memiliki dokumen kerakyatan. Apabila besar kelak, apa akan terjadi dengan kanak-kanak perempuan tersebut.
Masyarakat moden lain rasanya tiada 'diskriminasi' terhadap jantina anak. Anak lelaki atau anak perempuan adalah rezeki dan diterima dengan sepenuh hati. Masalah manusia sebenarnya bukan berpunca daripada jantina, tetapi pengaruh alam sekitar. didikan awal amat mempengaruhi psikologi kanak-kanak.
Aku tidak berminat untuk menceritakan layanan masyarakat zaman dahulu terhadap jantina kerana tidak mendatangkan faedah. Lagipun pada zaman moden ini, manusia tidak lagi didiskriminasi mengikut jantina. Lelaki atau perempuan layak jadi presiden, perdana menteri, menteri kabinet, CEO, pengarah, pengurus, pekerja kilang atau buruh binaan.
Keupayaan seseorang tidak bergantung kepada jantina. Setiap orang sama ada lelaki atau wanita mempunyai ciri-ciri kelelakian dan kewanitaan dalam dirinya. Peranan jantina wanita boleh membahayakan kesihatan mental wanita sepertimana peranan jantina lelaki boleh membahayakan kesihatan fizikal lelaki. Orang yang paling sihat ialah orang yang mempunyai keseimbangan antara ciri-ciri kelelakian dan kewanitaan. Ini bukan aku yang kata, tetapi pakar yang membuat kajian terhadap jantina manusia seperti Eleanor Maccoby, Carol Jacklin, Robert Ardrey, Konrad Lorenz dan sebagainya.
Atas kesedaran memiliki keupayaan yang sama inilah pejuang hak asasi wanita sampai tidak tidur malam kerana memperjuangkan hak persamaan antara jantina. Hasilnya amat memberangsangkan. Kini ramai lelaki jadi ibu yang penyayang dan wanita jadi bapa yang bertanggungjawab. Walaupun dalam masyarakat Melayu istilah 'house husband' kedengaran janggal tetapi sekarang banyak suami yang rela menjadi 'house husband'. Kawan aku belajar sampai menara gading (isteri dia ada PhD) jadi 'suri rumah' yang baik - jaga anak, cuci pakaian, termasuk seluar dalam bini dia, memasak, sapu lantai dan 1001 jenis. Semua yang menjadi kewajipan suri rumah dilakukannya sepenuh hati. Malah dia juga telah mengambil tugas seorang isteri di katil - tukar cadar, sarung bantal dan lipat selimut. Yang lain dia tak cerita.
Orang kata kahwin dengan wanita yang ada pendidikan lebih tinggi, peluang suami jadi suri rumah sepenuh masa lebih terbuka. Kalau ada spesis aku terasa nak jadi suri rumah, carilah wanita berpangkat dan goda dia siang dan malam. Hati wanita walaupun berpangkat setinggi Menara Berkembar KLCC, ijazah berjela-jela, hatinya ada satu kelemahan yang sama dengan wanita lain - mudah terpikat dengan lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab.
Menurut kajian, anak perempuan lebih mesra dengan bapa kerana dia lebih selesa dengan belaian kasih bapa. Oleh itu, apabila meningkat dewasa wanita mencari belaian kasih lelaki untuk menggantikan belaian kasih bapa yang hilang. Lelaki pun sama. Mereka lebih manja dengan ibu.
Oleh kerana ketagih akan belaian kasih itulah ramai wanita membiarkan tubuh dibelai oleh lelaki yang dicintainya tanpa sebarang bantahan. Ini kehendak semulajadi. Tetapi kehendak ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana akan menimbulkan masalah lain. Agama juga melarang lelaki dan wanita bergaul bebas. Namun, kehendak semulajadi sering menewaskan hukum agama. Mausia hanyut dek nafsu yang tidak terbendung.
Mempunyai anak lelaki atau anak perempuan risiko masalahnya sama, kecuali satu iaitu anak lelaki tidak boleh mengandung. Gadis yang mengandung secara haram dipandang hina dan 'dihukum' berat oleh masyarakat kita, sedangkan lelaki yang menyebabkan mengandung seperti terlepas. Istilah 'play boy' digunakan di merata tempat, tetapi istilah 'play girl' tidak ada pula. Masalah lain tiada perbezaan. Membunuh, merompak, mencuri, menagih dadah, memonteng sekolah dan mendera orang lain berpotensi dilakukan oleh lelaki mahupun perempuan. Merogol aku tidak pasti sama ada perempuan berpotensi melakukannya.
Kesimpulannya, anak lelaki atau anak perempuan pada zaman moden ini mempunyai masalah yang sangat hampir sama. Kedua-dua jenis jantina bisa membuatkan ibu bapa tidak lena tidur. Oleh itu, mendedahkan anak-anak kepada agama sejak kecil merupakan cara terbaik mengelakkan masalah yang disebutkan di atas.
No comments:
Post a Comment