Wednesday, October 8, 2008

Jangan Mudah Percaya

Orang tua-tua ada mengatakan bahawa sekiranya kita ingin mengambil sesuatu benda daripada bocah kecil, kita mesti menukarnya dengan benda lain. Misalnya, boleh sahaja begini: "Bagi abang pisau itu, nanti abang bawa pergi makan aiskrim!" Tetapi biasanya janji tersebut jarang ditunaikan kerana bocah kecil akan melupakannya selepas itu.

Mengambil pisau dari tangan kanak-kanak kecil dengan cara yang salah boleh mengundang bahaya.

Orang dewasa juga begitu. Kita tidak boleh merebut barang di tangan orang lain. Kita mesti minta keizinan, kalau dibenarkan barulah kita ambil. Orang dewasa tidak memerlukan barang pertukaran, sekadar minta dengan baik sudah memadai. Tetapi terpulang pada jenis barang juga. Bukan semua benda boleh diberikan kepada orang lain sewenang-wenangnya. Betapa pemurah sekalipun kita, bukan semua benda milik kita boleh diberikan kepada orang lain hanya dengan permintaan yang baik.

Dalam situasi tertentu, apabila ada orang meminta barang kesayangan kita dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, serba salah juga kita dibuatnya. Umpamanya, seorang kawan minta pinjam kereta baru kita untuk membawa temannya pergi makan angin. Kalau tidak bagi, pasti dia akan tersinggung hati kerana dia bukan pinjam hari-hari. Persahabatan mungkin terjejas. Kalau bagi, kita pula susah hati kerana kereta tersebut baru beberapa bulan dibeli. Kita sendiri belum puas bermanja dengannya, kawan pula minta pinjam. Dan bagaimana seandainya berlaku kemalangan?

Pasangan yang bercinta sering menghadapi situasi yang sukar begini. Kemahuan yang berbeza. Pada hari minggu misalnya, si gadis hendak pergi shopping, sedangkan si teruna hendak pergi berkelah. Sekali dua boleh bertolak ansur, tetapi kalau terlalu kerap bagaimana? Kata orang, kita mesti bertimbang rasa. Kita bergilir-gilir. Minggu ini ikut cakap engkau, dan minggu depan ikut suka hati aku pula. Okey. Cakap memang senang. Realitinya tidak selalu begitu.

Oleh itu, setiap pasangan mesti ada cara tersendiri untuk menghadapi masalah begini. Bagaimana? Kemahiran memujuk dan merayu. Pandai menggunakan kata-kata manis yang menyakinkan dapat melembutkan hati pasangan. Maklumlah manusia, sama ada lelaki mahupun wanita mudah 'terpedaya' dengan kata-kata manis. Kalau kena dengan caranya, semua benda diserahkan.

Kata-kata manis merupakan 'guna-guna' paling mujarab untuk melembutkan hati pasangan. Tetapi kata-kata manis boleh mengundang malapetakan. Oleh sebab mudah menerima pujuk rayu yang manis bak madu dan janji muluk-muluk daripada sang Romeo, maka ramai si Juliet yang tersungkur di ranjang sepanjang malam. Betapa mudahnya manusia menukarkan barang miliknya yang berharga hanya dengan kalimat yang dibentuk oleh lidah tiada bertulang.

Oleh itu, selaku orang dewasa kita tidak boleh begitu mudah menyerahkan barang kepunyaan kita kepada orang lain hanya dengan janji akan dibawa pergi makan aiskrim.

3 comments:

13may said...

dalam maksud cerita nih :)

btw, thanks sebab singgah blog gua aritu :)

Pok Li said...

Pertama percaya diri sendiri. Kedua jangan tipu diri sendiri ;)

Miss Zahidah Zakaria said...

nice info.