Saturday, April 11, 2009

Jadilah Diri Sendiri

Jadilah diri sendiri. Kedengarannya jangkal sekali. Bolehkah kita menjadi diri orang lain? Tentulah tidak boleh. Kita tidak mungkin dapat menjadi diri M. Nasir, Saiful Apek atau Siti Nurhaliza. Kita hanya dapat menjadi diri kita sahaja.

Tetapi kenapa kita sering mendengar ada orang berkata "jadilah diri sendiri"? Dalam seminar ekonomi, bengkel penulisan kreatif, ceramah motivasi malah dalam khutbah agama kita selalu diingatkan agar jadi diri sendiri. Kita sebenarnya sedang menjadi diri siapa? Kita tidak menjadi diri sesiapa tetapi kita suka berlagak seperti diri orang lain.

Diri orang lain itu diri siapa? Diri orang yang kita rasakan lebih hebat daripada kita. Orang yang lebih hebat itu orang yang bagaimana? Orang yang lebih berjaya daripada kita. Misalnya, terdapat antara kita yang suka berlagak seperti orang kaya. Kerana kekaguman kita terhadap dia menyebabkan kita suka meniru gayanya.

Kita bukan hendak mempersoalkan gaya orang kaya. Kita hanya ingin mempersoalkan diri kita yang suka berlagak seperti orang kaya. Kita di sini bukan bermaksud semua orang tetapi "mereka" yang ada tabiat gemar berlagak kaya ini. Orang begini tidak sukar dikenali. Di mana-mana pun ada. Semua bangsa di dunia pasti ada orang sebegini. Dia rela tidak makan asalkan dapat beli pakaian mahal-mahal, kasut berjenama, dan kereta mewah. Makan minum mesti tempat ada kelas. Bergolok bergadai pun dia sanggup. Biar papa asalkan bergaya ialah peribahasa yang diciptakan khas untuk orang begini.

Selain berlagak jadi orang kaya, terdapat juga yang suka menjadi seperti doktor, guru, artis dan sebagainya. Mereka ini bukan berlagak seperti si Mamat Sewel atau si Minah tiga suku. Mereka ini berlagak ada kelas. Lagak mereka seperti betul. Percakapan, penampilan dan tingkah lakunya menarik dan meyakinkan. Ramai orang pernah tertipu oleh mereka.

Orang yang gemar menjadi diri orang lain sebenarnya ada sebabnya sendiri. Ada yang hanya untuk berlagak semata-mata tanpa tujuan lain. Akan tetapi ramai juga yang berniat tidak baik atau bertujuan menipu. Sesetengahnya bertujuan untuk memikat anak dara orang. Anak dara yang kurang didikan agama atau pendedahan sosial sering menjadi mangsa.

Sebenarnya orang yang suka "menjadi orang lain" ini sengaja menyusahkan diri sendiri. Sampai bila kita mampu menjadi orang kaya sekiranya pendapatan kita tidak seberapa. Lambat laun orang akan tahu juga. Oleh itu, jadilah diri sendiri. Bersyukurlah dengan apa yang kita miliki.

Sunday, April 5, 2009

Masa Menguji Kesabaran

Waktu paling mencabar bagi pasangan suami isteri ialah waktu kemelesetan ekonomi. Kemelesetan ekonomi akan mengurangkan pendapatan keluarga. Pendapatan yang berkurangan menjejaskan perbelanjaan keluarga.

Keluarga yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur paling kuat merasai kesannya. Ansuran kereta, bayar atau sewa rumah, belanja dapur, belanja persekolahan dan pelbagai bil harus dilangsaikan setiap bulan. Barang-barang pula semakin mahal. Orang yang tinggal di kampung bukan tidak susah apabila pendapatan keluarga terjejas tetapi tidak seteruk orang di bandar. Orang di kampung selain kos sara hidup tidak begitu tinggi, gaya hidup mereka tidak suka berhutang. Kecuali barangan tertentu seperti kereta yang dibeli secara ansuran bulanan, kebanyakan barang lain dibayar tunai.

Orang di bandar hutang keliling pinggang. Mereka berlumba-lumba untuk berhutang. Semakin banyak berhutang semakin hebat gaya hidupnya. Hutang kad kredit menjadi seperti kewajiban bagi orang di bandar. Tidak sah rasanya jadi orang bandar kalau tidak ada kad kredit. Sekurang-kurangnya sekeping mesti ada terselit di celah dompet supaya tidak dilabel "orang kampung yang ketinggalan zaman". Sekarang ini kad kredit boleh didapati dengan begitu senang. Syarat-syaratnya dipermudahkan. Sebab itulah ramai yang kantoi dek kad kredit yang disebarluaskan - daripada orang kaya kepada orang miskin dan penganggur.

Orang di bandar juga suka beli barangan rumah secara berhutang. Komputer, perabot, tv, peti sejuk, akuarium, katil, tilam, surat khabar dan sebagainya dibeli berhutang. Apabila pendapatan berkurang, hutang tergendala dan ada yang tidak dapat dilangsaikan. Di sinilah masalah rumah tangga akan bermula. Menjadi kelaziman manusia apabila kesenangan hidup terjejas, emosi juga turut terjejas. Sekiranya iman tidak cukup tebal, perang rumah tangga akan tercetus. Ramai pasangan bahagia yang hilang kebahagiaan sewaktu kemelesetan ekonomi sehingga berakhir dengan perceraian.

Pendapatan yang terjejas boleh dikira masih okey kerana masih boleh berbelanja. Masih ada tempat berteduh dan makanan mengisi perut. Walaupun tidak semewah dahulu, tetapi belum sampai terpaksa mengikat perut. Tetapi bagaimana dengan mereka yang terputus pendapatan sama sekali? Mereka yang dibuang kerja misalnya, dan kebetulan simpanan pula tidak ada, bagaimana mereka hendak meneruskan hidup? Sewa rumah, belanja dapur, persekolahan anak-anak dan bil-bil tidak boleh dilangsaikan dengan air liur. Inilah masa paling menduga kesabaran. Silap hari bulan rumah tangga porak peranda dan manusia boleh menjadi gila.

Bilangan mereka yang mengalami tekanan mental semakin meningkat sejak kemelesetan ekonomi, kata Ketua Jabatan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Mohd. Hussain Habil. Menurut beliau sejak dua bulan terakhir pesakit mental yang mendapatkan rawatan di jabatan beliau meningkat sebanyak 20 %. Satu jumlah yang membimbangkan.

Kemelesetan ekonomi merupakan cabaran yang besar kepada suami isteri. Inilah detik-detik yang teramat sukar. Hanya kesabaran, ketabahan dan keimanan sahaja mampu membantu mereka melepasi kesukaran ini dengan sempurna.




Friday, April 3, 2009

Cinta Di Hujung Keranda


Novel Seorang Tua Di Kaki Gunung mengisahkan seorang tua yang bertarung nyawa di kaki bukit. Novel Old Man and The Sea mengutarakan seorang tua yang bergadai nyawa di laut. Novel Pawang Kri menyingkap kehidupan seorang pawang tua menangkap buaya di sungai. Aku bukan mahu apresiasi karya sastera tersohor ini. Aku sekadar ingin melontarkan pandangan tentang dunia orang tua.

Semua orang akan menjadi tua. Kita semua sedang dalam perjalanan ke hari tua. Dunia orang tua begitu kompleks. Orang muda tidak akan memahami orang tua. Namun, orang tua boleh memahami orang muda kerana sebelum tua mereka pernah muda. Walau bagaimanapun nasihat orang tua bukan semua didengar dan dipatuhi orang muda.

Pengalaman orang tua yang terkandung dalam ungkapan "aku makan garam terlebih dahulu" kurang diberikan perhatian oleh orang muda. Malah dengan sindiran orang muda selalu berkata "garam dahulu dengan garam sekarang tak sama, Pak!" Soal siapa lebih dahulu makan garam selalu juga menusuk telinga aku apabila berlaku perselisihan pendapat dengan orang tua - nenek aku!

Kerana masa makan garam tidak sama waktu, maka pendapat orang tua dan orang muda sering bercanggah. Pemikiran, citarasa, percakapan, perlakuan, makanan dan sebagainya bagi orang tua berbeza dengan orang muda. Orang tua lebih penyabar. Orang muda berdarah panas. Orang muda apabila hati sudah berkata "aku nak" maka dia akan berusaha mendapatkannya dengan segera. Tetapi apabila hati berkata "aku tak nak" orang muda akan berusaha menolaknya dengan serta merta.

Orang tua lain. Sama ada "aku nak" atau "aku tak nak" orang tua akan menghadapinya dengan sebaik mungkin. Perbezaan antara "aku nak" dengan "aku tak nak" kurang menonjol. Orang tua apabila menerima sesuatu menerima dengan tenang. Apabila menolak sesuatu, menolak dengan tenang juga.

Orang muda apabila dapat artis jelita, diterimanya dengan riang ria. Apabila sudah dibencinya terus dilafazkan talak. Orang tua mana ada. Paling kuat marah pun setakat tidur berpusing belakang. Talak jarang berlaku. Orang tua tidak suka memberikan hadiah talak kepada bininya.

Dalam soal bercinta pun sama. Orang tua bercinta? Ramai orang tua dilamun cinta tetapi orang muda apa tahu. Rahsia cinta orang tua lebih rahsia daripada tempat persembunyian harta karun. Cinta orang tua tersangat indah walaupun orang muda menggelarnya "cinta di hujujng keranda". Orang muda memang celupar apabila berbicara tentang orang tua. Tetapi sekiranya orang muda ada akal, mereka pasti malu apabila mendapat tahu bahawa terdapat orang tua berumur 80 tahun tetapi masih mampu memberi kebahagiaan zahir dan batin kepada pasangannya. Ini mesti diberikan tabik hormat oleh orang muda. Cinta di hujung keranda itu tersangat hebat. Orang muda harus sedar tentang hakikat ini.

Namun, keindahan cinta orang tua sedikit terjejas apabila pasangannya terlalu muda. Telah dikatakan tadi bahawa pemikiran, citarasa dan kehendak orang tua berbeza dengan orang muda. Dalam soal percintaan pun tidak terkecuali. Maka akibat perbezaan tersebut, cinta orang tua selalu mengelirukan pasangannya yang muda. Betapa dia cuba meyakinkan pasangannya yang muda lagi jelita bahawa cintanya setia, tulus dan ikhlas, tetapi gagal. Maklumlah orang tua entah akan mati esok lusa. Cinta setulus mana pun apabila tuannya telah masuk keranda, hilanglah semuanya.

Jadi, kepada orang muda apabila hendak bercinta pilih yang sebaya. Bukan tidak boleh bercinta dengan orang tua. Ramai pasangan tua -muda hidup bahagia. Tetapi kalau kita tidak dapat menerima pemikiran, mentaliti dan kasih sayang orang tua yang tentunya berlainan dengan orang muda lebih baik menarik diri kerana ia akan melukakan hati orang tua.

Walaupun orang tua dan orang muda berbeza dalam banyak segi, namun kedua-duanya tidak dapat dipisahkan. Gabungan pemikiran dan tenaga tua dan muda adalah penentu kesinambungan tamadun manusia.

Hormati dan hargailah orang tua kerana yang muda hari ini akan tua hari esok.

Thursday, April 2, 2009

Aku Dan Cerita Tentang Cinta Buta

Teringat akan suatu cerita yang pernah kudengari. Sepasang kekasih sedang jatuh cinta.... Biasalah bila dah jatuh cinta semuanya menjadi terlalu indah untuk dikongsi bersama orang lain. CINTA ITU BUTA…semua orang yang mengalaminya memang akan jadi buta jika dah terkena panahan cinta yang terlalu romantik. Tiap detik dan waktu kerinduan akan mencengkam jiwa. Cinta dikatakan buta kerana perbezaan usia, darjat dan keturunan. Cinta itu juga dianggap buta bila bercinta tanpa mengenali antara satu sama lain malah cinta juga sering dipersalahkan sebagai buta bila mencintai seseorang di alam maya.

Sayugia ceritanya bermula, dengan satu pertanyaan yang ahkirnya berlarutan kepada pertanyaan-pertanyaan yang berikutnya telah membuahkan cinta di alam maya. Cinta yang lahir dari naluri suci antara dua insan. Namun sering didengari cinta alam maya penuh dengan cerita negatif yang sukar diterima manusia secara positif.

Entahlah kenapa sang kekasih tak ingin memberitahu pada kekasihnya yang dia sedang melalui satu percintaan yang terlalu sukar baginya, sukar kerana dia akan sentiasa tertanya-tanya siapakah kekasihnya itu … sampai bila sang kekasih harus menahan kerinduannya. Mungkinkah dia takut akan kehilangan cinta dari sang kekasihnya … satu persoalan yang tidak siapa mampu menjawab kerana ini melibatkan perasaan seorang yang menderita dan terperangkap dalam dunia percintaan….

Cinta adalah sesuatu yang indah bila melalui kegembiraan namun ianya amat menyakitkan jika cinta itu gagal. Jatuh cinta tak mengenal siapa sebenarnya … seorang yang hodoh, tua, muda, sihat dan sakit semua memiliki perasaan ingin dicintai dan mencintai seterusnya jatuh cinta. Sesungguhnya sang kekasih amat mencintai kekasihnya. Salah siapakah ini???? Adakah ianya kerana CINTA ITU BUTA.????.............. Aku terlalu mencintaimu sayang!
Dan sang kekasih yang sekian lama merenung pecahan ombak Lautan Cina Selatan mengirimkan bisikan rindu bersama angin lalu: Aku jua mencintaimu!

Wednesday, April 1, 2009

Mencari Damai Di Taman Pertanian

Hari itu stres sangat, lalu memandu ke Taman Pertanian, Putrajaya untuk mencari damai hati. Udara yang nyaman dan pemandangan yang menghijau memang betul dapat mendamaikan hati. Tanaman buah-buahan kelihatan tumbuh segar. Pokok durian, nangka, jambu air, rambutan, mangga dan sebagainya ditanam dengan banyak.

Taman ini juga sesuai untuk bersenam - berjogging atau berjalan sambil menikmati keindahan pokok-pokok dan buahnya yang lebat.

Bagi pasangan yang bercinta, tempat ini molek juga untuk berdating. Udara yang segar dan pemandangan yang menghijau membantu mengeratkan cinta yang bersemi di dada. Tetapi awas, jangan melakukan onar di sebalik pokok-pokok kerana terdapat mata yang memerhatikan anda. Masa bersiar-siar sambil bersembang cinta, berbicara kasih, jangan gatal tangan sehingga terpetik daun-daun atau buah-buah di atas kepala. Anda akan dikenakan kompaun. Sekiranya gatal sangat tangan tu, kutiplah sampah daun pokok yang gugur dan buang ke dalam tong sampah yang disediakan. Tentu tak ada orang marah.

























Sewaktu hendak pulang, kerana tak tahan melihat buah celagi, aku petik setangkai. Aku pantang melihat buah yang masam, terliur mulut. Biasanya perempuan terliur benda masam, tetapi aku memang sejak dulu suka buah yang masam-masam. Buah celagi, kundang, dan mangga muda kegemaran aku.
Orang bilang, orang yang suka makan benda masam setia pada cinta.
Bagaimana dengan bau badan yang masam juga setia pada cinta?