Friday, January 4, 2013

Cinta Tahun Baru 2013

Tahun 2012 telah berlalu. Kini masuk ambang baru tahun 2013. Betapa cepatnya masa beredar. Mental dan fizikal juga tidak sekuat dahulu. Beberapa tahun dahulu rambut masih hitam berkilat, kini mula berbunga salji; kulit leher yang tegang menawan, kini mula kendur; panjat tangga bangunan 10 tingkat langsung ke puncak, kini dua kali berhenti. Semalam tercari-cari buku Barack Obama. Oh, terlupa bahawa kawan telah meminjamnya belum hantar balik. Dan baru tersedar bahawa pokok mawar merah di rumah jiran telah mati kekeringan, entah sejak bila, aku tidak perasan. Segala-galanya sudah berubah.

Pada malam tahun baru aku meraikannya bersama kawan-kawan sehingga jam 3.00 pagi. Kami meraikannya secara bersantai - bakar ikan, ayam dan kambing. Minuman ringan menjadi keutamaan. Doktor bilang minuman berat tidak baik untuk kesihatan orang yang semakin berusia. Aku belum tua, cuma semakin berusia. Orang bilang tendang tin kosong masih bisa berbunyi. Siapa kata semakin tua semakin lemak? Manusia bukannya kelapa, masakan ada santan. Iya, jika kelapa, makin tua makin lemak santannya. Aku? Belum tiba masanya makan jamu Madura penguat badan. Atau belum perlu mencari Blackmores di farmasi. Aku masih kuat, meskipun tidak sekuat 10 tahun dahulu.

Yang penting kesihatannya tidak terganggu. Pemakanannya harus seimbang. Senaman mesti ada.

Tahun 2012 tidak ada apa-apa yang penting untuk diingati. Orang lain aku tidak tahu. Akan tetapi aku memang tiada kenangan pahit mahu pun indah pada tahun 2012. Mungkin kerana aku bukan orang muda. Biasanya orang-orang muda yang menyimpan seribu kenangan dalam setahun. Kenangan bercinta - mencintai atau dicintai atau disakiti sangat berharga buat setiap manusia. Bukan orang tua tidak punya cinta tetapi cinta orang tua tidak sehebat cinta orang muda. Cinta orang tua lebih tenang dan suci. Cinta orang muda sangat bergelora tetapi tidak berapa suci kerana disaluti nafsu-nafsi.

Sewaktu muda dahulu aku kira akulah lelaki yang paling hebat dalam percintaan kerana memiliki sekuntum cinta yang suci buat gadis pujaannya. Kami umpama Romeo dan Juliet, laksanan Laila dan Majnum. Biarpun langit dijadikan hamparan kertas, pokok-pokok dijadikan pena dan air lautan dijadikan dakwat, namun belum cukup untuk melakarkan kehebatan dan keindahan cinta kami. Sehari tidak berjumpa bagaikan setahun tidak bersua. Janji bulan dan bintang menghiasi biar bersama sehidup semati. Waduh, hebat sekali cinta kami ketika muda remaja dahulu. Namun, semua itu sekadar perasaan, kepura-puraan dan nafsu-nafsi kemudaan.

Cinta nafsu-nafsi ini berbahaya, sangat berbahaya kerana sering berakhir dengan kekecewaan dan kesakitan. Remaja lelaki mahupun perempuan sering terperangkap dalam percintaan begini - disangka suci, tetapi realitinya kepura-puraan belaka. Mana ada lagi cinta suci seperti lagenda cinta Romeo dan Juliet atau Laila dan Majnun. Cinta gigi kepada gusi berpisah juga akhirnya. Cinta kuku kepada isi kekadang tercabut jua. Cinta mulut kepada lidah masih tergigit. Yang senang dicari sekarang cinta sardin kepada roti atau cinta kerja kepada gaji.

Cinta nafsu-nafsi umpama raksasa yang sentiasa mencari mangsa untuk ditelan. Hasil kajian Universiti Putra Malaysia membikin kita menggeleng kepala. Seramai lebih 300 remaja Melayu di bandar dan luar bandar berusia antara 13 hingga 25 tahun mengaku terbabit dengan gejala seks bebas hingga ada yang terpaksa menggugurkan janin. Kita akan bertambah menggeleng kepala apabila 85% mengakui perbuatan tersebut menyeronokkan - bukan mahu menyesal kerana terlanjur tetapi pengalaman yang menyeronokkan bagi mereka. Dan yang menyebabkan kita menggeleng kepala sambil berkerut dahi ialah mereka mengakui mendapat pendidikan agama yang mencukupi.

Ini kajian ke atas remaja Melayu. Belum lagi diambil kira remaja kaum lain yang tidak kurang kehebatan cinta nafsu-nafsi dan pergaulan bebasnya. Seorang guru wanita pernah beritahu aku bahawa dia memarahi pelajar perempuan yang malas belajar lalu bertanya: "Kamu malas belajar, bila besar nak jadi apa?" Pelajar itu menjawab: "Jadi pelacur!"

Sekarang pelacur di kalangan pelajar bukan sesuatu yang pelik. Dahulu kita hanya disogokkan dengan berita pelajar luar negara yang jual tubuh kerana himpitan kehidupan dan kos pengajian yang tinggi. Sekarang pelajar negara kita juga berada dalam situasi yang sama, tetapi bukan kerana himpitan kehidupan, sebaliknya kerana mahu kemewahan secara pintas. Bahkan terdapat pelajar perempuan yang rela ditiduri semata-mata kerana mahu dihadiahkan iphone. Pelajar lelaki pula terperangkap dalam kegiatan gigola dengan wanita golongan atasan.

Kita tidak perlu pergi jauh. Bagi mereka yang tinggal di Kuala Lumpur, pergi saja kawasan Dataran Merdeka, KLCC atau Bukit Bintang pada malam sambutan tahun baru. Jenguk-jenguk hotel bajet. Ramai pasangan remaja yang bermalan di hotel tersebut. Maka tidak hairanlah apabila banyak pasangan yang ditangkap pencegah maksiat. Dan di lorong-lorong, taman-taman atau di pusat-pusat hiburan, kondom terpakai antara sampah yang mudah dilihat bertaburan di lantai.

Sekarang sangat popular dengan cinta maya, cinta internet atau cinta Facebook. Di sini cinta bersemi dan di hotel cinta berakhir. Kes pengguguran anak yang semakin bertambah berpunca daripada cinta nafsu-nafsi ini.  Walaupun pelbagai cara digunakan untuk memberi kesedaran dan menyekat gejala seks bebas, namun tidak berjaya. Kuasa nafsu dan keinginan seks terlalu kuat untuk disekat.

Cinta suci yang berpaksi pada perkahwinan ada tetapi sering tertewas oleh cinta nafsu serakah. Percayalah, hawa nafsu yang tidak terkawal hanya membawa keburukan kepada diri sendiri. Meskipun atas nama "cinta yang agung" sekiranya dibiarkan bebas, kesucian cinta pasti ternoda. Cinta yang agung pasti rebah dan tersungkur. Nafsu serakah umpama kilat yang pantas menyambar. Sedar-sedar sudah terkulai lesu bersama air mata penyesalan.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna! Mari kita menjalani kehidupan tahun 2013 dengan kegiatan-kegiatan positif agar kehidupan kita lebih bermakna. Agama jangan dilupakan, budaya jangan diabaikan dan nilai-nilai murni biar terpahat di hati sepanjang masa.

Pesan aku, pada tahun 2013 ini, sebelum mencintai seseorang, cintailah diri sendiri dengan jujur terlebih dahulu!










No comments: