Sunday, September 14, 2008

Kita Dicipta Berpasangan

Lelaki dan perempuan dicipta untuk menjadi pasangan agar dapat saling melengkapi. Oleh itu, lelaki dan perempuan ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kelebihan yang ada pada lelaki akan melengkapkan kekuranan yang ada pada perempuan. Begitulah juga sebaliknya. Pokoknya, kedua-duanya saling memerlukan kerana ia saling melengkapi.

Lelaki tanpa perempuan bagai dunia tanpa serinya. Perempuan tanpa lelaki bagai apa aku tak tahu sebab aku bukan perempuan. Namun perempuan juga ada kekurangannya tanpa lelaki. Sebelah kasut secantik manapun, tiada berharga kerana tiada siapa sudi memakainya.
Kerana diciptakan berpasangan inilah lelaki dan perempuan mempunyai ciri-ciri magnetik. Satu Kutuk Utara dan satu lagi Kutub Selatan. Tidak boleh dibiarkan berdekatan kerana ia akan menarik dan melekat dengan sendiri. Apabila melekat susah juga hendak dipisahkan.

Masa sekolah dahulu aku gemar sekali bermain dengan dua magnet apabila masuk makmal. Aku mengacah-acahkannya, melaga-lagakannya, kemudian melekatkannya. Selepas itu aku menarik keluar dan memisahkannya. Kemudian aku mendekatkannya perlahan-lahan sehingga melekat. Aku membiarkannya melekat sementara waktu sebelum menariknya keluar lagi. Seronok sekali sampai meleleh air liur. Kadang-kadang aku melekatkan magnet pada sudu, paku atau jarum. (Kakak aku yang jadi tukang jahit menggunakan magnet untuk mengumpulkan jarum-jarum jahitannya).

Kisah magnet memang serupa dengan kisah lelaki dan perempuan. Magnet Utara menarik dan melekat dengan magnet Selatan, lelaki pula menarik dan melekat dengan perempuan. Selain itu, magnet juga akan menarik dan melekat pada sudu, paku dan jarum- kalau melekat pada serbuk besi, susah nak bersihkan.

Orang pun sama, tidak kira lelaki atau perempuan selalu melekat dengan benda-benda yang tidak berfaedah, misalnya dadah, rokok, alkohol, gam dan sebagainya. Mainan video juga mudah dilekati dan diketagihi para remaja. Benda-benda yang disbutkan ini bukan sahaja tidak memberikan faeadah, bahkan membawa keburukan dan kemudaratan. Tengoklah di Pusat Serenti atau Pusat Pemulihan Akhlak semuanya kerana sifat 'melekat" yang ada pada manusia.

Kalau melekat pada kebaikan sebagaimana suruhan agama tidak mengapa kerana ia membawa manfaat. Melekat pada solat dan puasa pada Bulan Ramadan begini teramatlah mulia. Apatah lagi sekiranya sifat-sifat terpuji turut melekat pada hati sepanjang masa.

Tetapi perkara yang paling merisaukan pada masa kini ialah sifat melekat antara lelaki dan perempaun pada tahap yang keterlaluan. Sekiranya kemelekatan itu berada pada tahap semula jadi mengikut lunas-lunas yang dibenarkan oleh agama dan budaya tidak menjadi hal. Tetapi kemelekatan melampaui batasan itulah yang mengganggu lena kebanyakan ibu bapa yang ada anak teruna dan anak dara. Buang bayi bagai buang sampah adalah akibat daripada gejala kemelekatan yang dimaksudkan.

Oleh itu, sebelum melakukan sesuatu, fikirkanlah terlebih dahulu akibat buruknya. Terlalu mengikut hawa nafsu akan membawa padah. Oleh sebab hakikatnya setiap orang ada ciri magnetik pada hati, eloklah sekiranya tidak terlalu hampir dengan pasangan yang ada ciri magnetik yang berlawanan. Wujudkan jarak yang sesuai agar kuasa magnetik tidak terdaya menarik dan melekat antara satu sama lain.

Sunday, September 7, 2008

Jiran Yang Memenatkan

Ramai orang memilih Hari Minggu untuk keluar makan angin bersama keluarga di luar kawasan rutin. Tetapi aku lebih gemar menghabiskan cuti hujung minggu untuk berehat dan bersantai di rumah. Kebiasaan itu telah lama mencorak hidupku. Aku malas membuang masa di luar atau berdua-duaan mencipta dosa di pusat beli-belah, pusat hiburan, hutan lipur dan sebagainya. Dunia bujangku betul-betul 'bujang'.

Berehat di rumah amat menyenangkan - berehat sambil menonton TV, mendengar lagu, melayari internet, membaca buku atau menulis blog.

Tetapi sejak akhir-akhir ini berehat di rumah tidak menyenangkan lagi. Jiran baru aku kurang asam sedikit. Dia suri rumah sepenuh masa. Selalu sahaja menjerit-jerit kepada anak kecilnya yang baru belajar berjalan. Jeritannya mengalahkan petir. Bocah sebesar itu dijerit-jerit begitu, kalau tidak menjadi pekak pasti terencat pendengarannya.

Jeritan si ibu gemuk seperti badak air itu cukup mengganggu ketenanganku. Aku terfikir, pada zaman 'pendidikan untuk semua' masih ada manusia yang 'tiada pendidikan'. Perasaan jiran langsung tidak diambil kira.

Saturday, September 6, 2008

Jam Tiruan, Batu Suntikan

Ini kisah beberapa bulan dulu. Petang Sabtu yang redup aku membazirkan masa di lorong "lelongan" di sekitar Jalan Petaling. Nama lorong itu aku beri sendiri kerana banyak barang terpakai kategori baru dan antik dilelong di situ.

Nama saja lelong tetapi harganya bukan rendah. Sekiranya mata tidak cukup tajam, kita akan "menukar" duit tulen dengan barang tiruan. Jam tangan berjenama hebat misalnya Omega, Longines, Rado, Mido, Seiko dan sebagainya telah memperdaya banyak mata (bukan mata-mata). Kah ... kah ... kah!

Aku pun ada kisah terpedaya menimpa diri. Aku ada seutas jam Omega Speedmaster 3 kepala. Aku sakit hati betul dengan jam tersebut. Untuk menghilangkan sakit hati, aku pergi ke lorong "lelongan". Aku mahu mencari penawar sakit hati.

Aku tertarik dengan sebentuk cincin zamrud ikat suasa putih. Mungkin kebetulan. Penjual batu permata itu pula terpikat dengan jam Omega yang aku pakai.

"Boleh tengok?" Penjual batu permata minta untuk melihat jam aku. Aku bagi dia tengok. "Mahu tukar?" Dia bertanya setelah meneliti jam aku.

"Tukar sama apa?" Aku bertanya.

"Sama cincin yang encik suka ni," Dia berkata sambil menghulurkan cincin zamrud kepada aku. Aku suluh pakai lampu dan kanta pembesar dengan teliti kalau-kalau ada kesan retak atau bintik-bintik hitam. Bersih dan cantik. Harga pasaran tidak kurang daripada RM3000. Sedangkan jam tangan terpakai ini aku cuma bayar RM1500 - punca sakit hati aku. Namun, hari ini sakit hati aku pasti terubat. Penjual batu permata itu dengan "rela hati" minta jadi penawar sakit hati aku.

"Okey!" Aku menjawab selamba. "Mahu buka tengok enjin?"

"Tak payah. Gua caya lu, lu caya gua. Orait?"

"Orait!"

Barang bertukar tangan tanpa banyak cerita.

"Wah, lu kasi tukar itu cincin sama ini jam? Itu cincin mahal lho!" Aku terdengar satu suara menyapa penjual batu permata dalam bahasa Kantonis.

"Haiya, lu ingat gua bodoh, itu zamrud masak!" balas penjual batu permata.

Aku tergamam seketika, "Haprak betul!"

Kemudian aku terus beredar dari situ. Aku Ssakit hati kali kedua. Penjual batu permata yang "bijak" itu juga pasti sakit hati apabila tahu jam Omega aku juga palsu.

Thursday, September 4, 2008

Pencorak Masa Hadapan

Anak-anak siapa ini begitu seronok bermandi?







Mereka adalah anak-anak Malaysia tercinta.

Suatu petang yang panas aku bermalas-malas di bangku Taman KLCC sambil melontar pandang ke arah anak-anak Malaysia bermain air. Begitu seronok dan gembira anak-anak ini bermandi dan bergurau senda sambil ditemani ibu bapa atau penjaga.

"Kanak-kanak ibarat kanvas putih. Kitalah yang akan melukisnya menjadi lautan biru atau padang lalang!"

Semoga apabila besar kelak mereka tidak bersengketa atas apa jua alasan. Mereka adalah bangsa Malaysia - pencorak masa hadapan tanah air kita.







Tuesday, September 2, 2008

Lupa Bulan Puasa


Balik dari kerja jam 6.00 petang aku singgah di Pasar Malam. Aku bersiar-siar melihat barangan dan makanan yang pelbagai jenis. Aku membeli beberapa jenis kuih dan sebelum pulang aku pergi ke gerai jual buah duku. Buahnya cantik dan segar. Nampak macam manis.

"Manis, bang!" kata penjual buah duku import dari Siam itu.

Aku ambil sebiji, kopek kulitnya dan mencuba isinya yang ranum.

"Memang manis," balasku selamba. Penjual melopong.

Apabila aku memandang ke kiri dan kanan, beberapa orang sedang memandang aku dengan pandangan yang pelik. Alamak, aku pula terkejut besar. Aku terlupa ini bulan Ramadhan. Masa berbuka puasa belum tiba, tetapi aku sudah "berbuka" di depan khalayak ramai.

Aku bergegas meninggalkan gerai buah duku. Aku buat muka tebal saja!