Monday, October 26, 2009

Arowana


Hobi manusia berbeza-beza. Salah satu hobi aku ialah memelihara ikan aquarium. Aku suka melihat ikan berenang-renang di dalam aquarium. Ikan Arowana mempunyai gaya renangan yang menarik. Pergerakan badannya begitu lembut.
Namun, terfikir juga oleh aku, manusia hanya menghargai kebebasan sesama manusia, tetapi tidak kepada binatang.

Friday, October 23, 2009

Penyakit Paling Berbahaya


Manusia Malaysia kini ada satu penyakit yang sukar diubati. Penyakit ini tidak membunuh tetapi lebih berbahaya daripada kanser payu dara, sakit jantung, darah tinggi, kencing manis atau HIV Aids kesan kesan sampingannya menggerunkan. Manusia akan jadi bodoh, dungu, dan fikiran membeku akibat penyakit ini. Kalau tidak diubati penyakit ini akan merebak dan menjadi penyakit berjangkit dari generasi ke generasi.


Penyakit yang dimaksudkan ialah penyakit malas membaca. Penyakit ini bakal membawa rakyat Malaysia mundur ke belakang.


Dalam setahun, berapa buah buku anda baca? Kalau anda membaca 5 buah buku setahun, bermakna anda lebih rajin daripada mahasiswa.


Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Jabatan Media, Universiti Malaya, mahasiswa Malaysia hanya membaca 4 buah buku setahun.


Sedangkan mahasiswa Australia membaca 180 buah buku setahun, India (130), Indonesia (94), Thailand (56) dan Brunei (26).


Patutlah rakyat kita mudah percaya khabar angin, berita kelentong, maklumat omong, dan mudah pula diperkotak-katikkan fikirannya.


Penyakit malas membaca ini selain berbahaya, amat memalukan jiran tetangga.


Wednesday, October 21, 2009

Jangan Petik Bunga Sekuntum Itu

Suatu hari tatkala senja merah di ufuk Barat, aku melewati pameran taman bunga di Putrajaya. Aku terpesona melihat sekuntum mawar lalu mengusap-usap kelopaknya.

"Berapa harganya?" tanya aku.

Tuannya berkata kepadaku: "Jangan dipetik bunga sekuntum itu kerana ia akan layu di telapak tanganmu!"

Tuesday, October 20, 2009

Manusia Makhluk Istimewa Yang Pelik

Makhluk dunia paling bijak ialah manusia. Makhluk dunia paling sempurna ialah manusia. Makhluk dunia paling licik ialah manusia. Makhluk dunia paling berhelah ialah manusia. Boleh dikatakan manusia ialah makhluk dunia yang paling istimewa dalam segala segi.

Namun, manusia makhluk istimewa yang pelik. Manusia suka buat benda yang pelik-pelik. Masakan tidak pelik. Ramai manusia yang cakap lain, tetapi bikin lain. Janji lain, tunai lain. Minta lain, ambil lain. Cinta lain, kahwin lain. Isteri sendiri comel molek ada di rumah, pergi suka isteri orang. Suami sendiri gagah perkasa, pergi cinta suami sahabat sendiri. Perkara pelik sebegini tidak berlaku pada gajah, kuda, harimau, ular, malahan lalat kepala hijau pun tidak ada perkara sepelik ini. Hanya manusia yang ada benda pelik-pelik. Minum susu pun guna cara yang pelik (gambar).


Ada manusia suka membohongi orang, tetapi tidak suka apabila ada orang membohongi dia.


Ada orang suka berlagak di depan orang, tetapi tidak suka apabila ada orang berlagak di depan dia.


Ada manusia suka mencuri barang orang, tetapi marah apabila barang dia dicuri orang.


Ada manusia yang gemar meminjam barang orang tetapi tidak gemar menghantar balik. Akan tetapi dia membebel-bebel apabila orang lain meminjam barang dia.


Ada manusia belum habis bulan, poket sudah kosong, lalu membisik ke telinga kawan sebelah minta pinjam, tetapi cepat-cepat memberi seribu alasan apabila ada kawan membisik perkara yang sama ke telinganya.


Ada orang suka "menegur" bos, tetapi tidak suka apabila bos "menegur" dia.


Ada orang suka minta orang lain menyiapkan kerjanya, tetapi selalu memberi alasan apabila orang lain minta dia berbuat begitu.


Ada manusia suka merampas pasangan orang tetapi mengamuk apabila pasangan dia dirampas orang.


Ada manusia mahu anak sendiri pandai, tetapi cemburu apabila anak orang lain lebih pandai daripada anaknya.


Ada orang meleleh liur melihat dahi licin anak dara orang tetapi naik geram apabila ada orang menelan liur melihat dahi anak dara dia.


Ada orang suka membuntingkan anak gadis orang, tetapi mengamuk apabila anak gadis dia dibuntingkan orang.


Ada orang pantang melihat isteri orang pasti menjilat bibir, tetapi marah apabila ada orang menjilat bibir melihat isteri dia.


Ada orang rela menjadi madu, tetapi tidak rela dia dimadu.


Ada orang suka rampas tanah adik-beradik sendiri, tetapi berdendam apabila adik-beradik dia merampas tanahnya.


Ada orang selalu melayan orang lain dengan tidak baik, tetapi marah apabila orang lain melayan dia dengan tidak sopan.


Ada orang suka bercakap kasar kepada orang lain, tetapi benci apabila ada orang lain bercakap kasar kepada dia.


Kalau hendak disenaraikan kesemua "kepelikan" menulis sehari suntuk pun tidak habis. Kesimpulannya, manusia ialah makhluk dunia paling istimewa yang pelik.





Saturday, October 10, 2009

Kecantikan Itu untuk Siapa?

Apabila kita berdiri di depan cermin, berpusing-pusing; depan, belakang, sisi, depan, belakang, sisi ... entah berapa kali, kita tidak berasa apa-apa walaupun kita tergolong dalam manusia yang cantik. Perasaan bangga ada kerana dilahirkan cantik dan sempurna anggota, namun perasaan itu tidak sehebat mana. Akan tetapi apabila kita berdiri di depan orang (berpusing depan dan belakang?), orang memuji kita cantik, kita akan berkata: "Elehhh, biasa aje!" Sedangkan dalam hati gembira bagaikan nak gila.

Apabila kita beli pakaian baru, ada orang memuji pakaian kita cantik, kita akan berasa seronok dan gembira. Apabila kita memakainya ke pejabat, orang memuji lagi, kita bertambah gembira. Satu kepuasan menjelma di lubuk hati.

Apabila kita memasak, orang yang memakan masakan kita memuji masakan kita sedap, nombor satu dan tidak mungkin dapat dilupakan, kembang hati kita dibuatnya. Sekuntum senyuman manis terukir di bibir.

Apabila kita membuat bekerja, orang memuji hasil kerja kita bagus, siap mengikut tempoh masa, rapi dan kemas, semestinya membanggakan kita. Kerja dia yang tertangguh mungkin sanggup kita siapkan kerana pujian tersebut.

Apabila kita bercakap, orang memuji kita tinggi budi bahasa, sopan budi pekerti, pastinya amat membanggakan kita. Apabila kita berjalan, orang memuji menariknya lengguk pinggul kita, suka hati sekali kita mendengarnya. Apabila kita senyum, orang memuji senyuman kita manis bak madu, seminggu kita tidak dapat melupakan orang itu.

Pendek kata semua ungkapan yang keluar dari mulut orang yang memuji kita akan melahirkan satu kebanggaan, keseronakan, dan kegembiraan yang mendalam di hati kita. Akan tetapi kita harus beringat, pujian yang menggunung bisa merebahkan kita.

Sebenarnya kita hidup untuk diri sendiri atau untuk orang lain?


Wednesday, October 7, 2009

Umur Bukan Halangan

Oktober bulan Bahasa Kebangsaan. Adalah elok aku memulakan tulisan hari ini dengan peribahasa: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Aku salah seorang yang berminat dan kagum dengan peribahasa Melayu. Melalui peribahasa kita dapat melihat betapa kreatif, sopan dan lembut cara orang Melayu dahulu berbahasa.

Siapa yang cipta peribahasa ini aku tak tahu dan aku tak ada keperluan untuk tahu. Akan tetapi aku kagum kerana peribahasa ini tetap relevan sehingga kini, umpama tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.

Peribahasa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih menggambarkan sifat manusia sejagat yang gemar memberi alasan apabila tidak mahu melakukan sesuatu. Akan tetapi, sanggup berusaha bermati-matian apabila berminat dengan sesuatu benda.

Sifat memberi alasan yang dipanggil "excusitis" oleh Dr. D.J. Schwartz ini merupakan "penyakit mental" yang dihidapi oleh hampir semua manusia sejagat. Penyakit inilah yang membawa kegagalan kepada manusia. Alasan manusia untuk gagal banyak, tetapi antara yang kerap diutarakan ialah umur. Misalnya, sering kita kedengaran rungutan begini: "Aku terlalu tua untuk melakukan kerja itu." Atau, "Aku terlalu muda untuk memimpin organisasi."

Mengikut Dr. Schwartz, tiada halangan umur untuk seseorang berjaya. Semua orang boleh berjaya dalam umur berapa sekalipun asalkan ada daya untuk menjayakannya. Umur tidak penting kerana yang penting ialah daya usaha. Ramai yang menjadi jutawan dalam usia 50-an. Tidak kurang yang berjaya memimpin organisasi besar seawal usia 20-an. Ada pasangan yang mendirikan rumah tangga pada usia emas. Mereka bahagia. Oleh itu, umur tidak harus dijadikan alasan untuk kita memulakan sesuatu yang baru.

Siapa yang ingin bercinta, tetapi usia sudah lanjut, atau perbezaan umurnya ketara, tidak usah malu-malu kerana cinta itu satu perasaan yang langsung tiada kaitan dengan umur. Jangan jadikan umur sebagai penghalang untuk kita menikmati kehidupan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Monday, October 5, 2009

Jangan Pandang Terlalu Jauh


Orang bilang kita mesti ada pandangan jauh ke depan. Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan seorang pemimpin yang memandang jauh ke depan. Pemimpin begini dikatakan ada karisma, ada wawasan. Wawasan 2020 dan dasar 70 juta penduduk adalah bukti pandangan jauh beliau.


Pandangan jauh, menjangkaui masa adalah penting. Tiada siapa menafikannya. Orang yang berjaya ialah orang yang memandang jauh ke depan. Namun, bukan dalam semua situasi. Dalam situasi tertentu kita tidak boleh memandang terlalu jauh kerana akan terlepas pandang benda-benda berharga yang berada berdekatan kita.


Orang yang berjalan di dalam hutan, kekadang terlalu memandang ke depan menyebabkan muka tergores ranting yang terjuntai di depan mata. Orang yang berjalan di jalan rata adakala tersepak batu di hujung kaki kerana mata tertancap ke jauh ke depan. Sesiapa yang pernah terpijak kaca tahulah bahawa puncanya kerana mata tidak melihat di depan kaki.


Kita selalu bimbang rumah kita dimasuki pencuri sewaktu kita ke pejabat lalu mengharapkan jiran tolong menjaganya. Namun, kita jarang terfikir bahawa pencuri yang membimbangkan kita berada di rumah jiran kita. Kita terlalu menyanjung sahabat yang berada di kejauhan. Sahabat di depan rumah, kita kurang hargai. Sedangkan apabila sakit demam pada waktu malam sahabat paling dekat sampai dulu.


Banyak benda yang berharga yang terlepas dari mata kita kerana pandangan kita terlalu jauh ke depan. Jarang ada orang nampak duit di tanah terbiar di depan kampung sendiri. Akan tetapi ramai yang nampak duit di kebun mangga di depan kampung orang lain. Seandainya ada orang luar mengusahakan tanah terbiar itu barulah kita nampak duitnya. Kurang ada orang melihat keindahan di depan tangga rumahnya, tetapi ramai yang terpegun melihat keindahan pokok-pokok bunga di depan tangga orang lain. Sedangkan depan tangga kita pun akan indah sekiranya ditanam dengan pokok-pokok bunga.


Seorang jejaka misalnya terlepas pandang seorang gadis jelita lagi sopan yang menaruh harapan di depan mata kerana pandangannya asyik menerawang kepada gadis lain. Seorang gadis terlepas pandang seorang jejaka baik hati, jujur dan mencintainya sepenuh hati di depan matanya kerana dia asyik memerhatikan jejaka lain yang kaya raya tetapi sudah berpunya. Terdapat anak gadis yang begitu berwaspada dengan orang asing, tetapi kerana lalai menyebabkan ternoda oleh orang di depan mata.


Banyak lagi benda-benda yang berharga di depan kita yang terlepas daripada pandangan kita. Begitu juga dengan benda-benda yang berbahaya yang mungkin berada di mana-mana sahaja termasuk di depan hidung kita.


Berpandangan jauh itu penting; ada visi, kata orang. Akan tetapi jangan memandang tersangat jauh sehingga terlepas benda-benda di depan mata. Ingat, benda yang paling berharga selalunya berada tidak jauh dari kita. Manakala benda yang paling berbahaya pula sentiasa berada berdekatan dengan kita.

Thursday, October 1, 2009

Letakkan Benda Pada Tempatnya

Seorang penulis ternama pernah menjadikan sebutir pasir di dalam kasut sebagai tema cerpennya. Dia berjaya menggambarkan ketidakselesaan seorang lelaki yang tapak kakinya terganggu oleh sebutir pasir kasar di dalam kasutnya.

Seandainya sebutir pasir di jalanan, bukan di dalam kasut, ketidakselesaan itu tidak akan terjadi. Mesejnya jelas. Sekecil-kecil sebutir pasir apabila terletak di tempat yang salah, bisa mengganggu ketenteraman jiwa. Apatah lagi benda-benda yang besar.

Oleh itu, adalah elok kita meletakkan benda pada tempatnya. Misalnya, kasut mesti diletakkan di rak kasut. Pakaian mesti dilipat atau digantung di dalam almari. Buku disusun di rak buku. Ubat disimpan di dalam peti ubat. Ubat boleh dimakan dan tidak boleh dimakan wajib diasingkan dan diletakkan di tempat yang tidak tercapai oleh kanak-kanak. Periuk, kuali, pinggan, mangkuk dan gelas mesti diletakkan di tempat masing-masing. Meletakkan barang atau benda bukan pada tempatnya, bakal mengundang masalah - lebih besar daripada masalah sebutir pasir di dalam kasut.

Begitu juga dengan anggota keluarga. Kita, sama ada sebagai seorang suami, isteri, anak-anak dan sesiapa sahaja wajib meletakkan orang di sekeliling kita pada tempatnya yang sesuai. Kita wajib tahu di mana kita patut "meletakkan" ibu bapa, mentua, suami, isteri, adik- beradik, saudara mara, jiran-jiran dan sebagainya. Meletakkan orang di sekeliling kita pada tempat yang salah bukan setakat mengundang masalah, bahkan berdosa. Siapa yang patut didahulukan, wajib didahulukan. Ibu bapa misalnya mesti didahulukan daripada adik-beradik. Adik-beradik harus didahulukan daripada jiran tetangga. Namun kita kena faham juga maksud didahulukan di sini. Misalnya, kita menjemput jiran tetangga datang beraya di rumah kita, tetapi kita tidak melayan mereka kerana kita sibuk melayan adik-beradik kita. Ini tentulah tidak elok kerana menyalahi adat menyambut tetamu.

Membiarkan anak-anak berlapar seketika, masih boleh dimaafkan, tetapi membiarkan ibu bapa berlapar biarpun sesaat berdosa namanya.

Namun, pada zaman moden ini, ramai antara kita yang terlalai "meletakkan" orang di sekeliling kita bukan pada tempatnya. Tempat seorang isteri ialah di sisi suaminya. Akan tetapi entah di mana silapnya, sewaktu suami menunggu meraikan hari jadi isteri bersama sebiji kek, si isteri pula berdua-duaan dengan lelaki bukan muhrim di bilik hotel - bincang business katanya. Bolehkah dipercayai?

Seorang anak letaknya "di bawah" ibu bapa. Namun, anak moden suka duduk "di atas" kepala ibu bapa. Mereka mahu jadi lebih besar dan lebih berkuasa daripada kedua orang tua mereka. Syurga di tapak kaki ibu langsung tidak diambil tahu. Sepatah kata ibu, sepuluh patah dijawab anak. Jaga maruah diri, pesan bapa kepada anak gadisnya. Si anak gadis hantar SMS kepada teman lelaki, kalau "mahu" datang malam ini ... seperti biasa naik ikut tingkap. Berhati-hati menunggang motosikal, pesan ibu kepada anak lelaki. Si anak lelaki terus merempit di jalan raya. Apabila ditangkap polis, didenda serta dipenjara, ibu bapa juga yang susah.

Letaknya dara di sisi teruna. Betul. Akan tetapi bukan diletakkan sesuka hati. Mesti ada syarat dan batasannya. Kahwin dahulu kalau mahu "diletakkan" pada tempatnya. Salah letak, besar akibatnya. Membuang bayi berpunca daripada "meletakkan" benda bukan pada tempatnya. Oleh itu, eloklah belajar sedikit tentang "kedudukan" semua benda (termasuk orang) di sekeliling kita agar kita tidak tersalah tempat meletaknya.

Nota: (Aku tersalah meletakkan kaki ke dalam kasut running yang agak tinggi tapaknya (gambar di atas) untuk bermain badmintan. Akibatnya, aku tergelincir lalu kaki terseliuh. Dua tiga hari berjalan terincut-incut. Semuanya tidak akan terjadi sekiranya aku meletakkan kaki di dalam kasut yang sesuai untuk permainan gelanggang kerana aku ada banyak pasang kasut sukan).