Friday, November 28, 2008

Iktibar Daripada Yim Pek Ha

Saya menarik nafas lega apabila mendengar berita TV bahawa suri rumah Yim Pek Ha hari ini didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen. Dia menghadapi tiga tuduhan mencederakan pembantu rumahnya dari Indonesia, Nirmala Bonat, dengan menggunakan seterika dan air panas empat tahun lalu.

Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan itu setelah mendapati bahawa kecederaan yang dialami oleh Nirmala bukan dilakukan sendiri seperti yang didakwa oleh Yim. Yim, 40, bekas pramugari, mencederakan Normala di rumahnya di Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini pada Januari, Mac dan April 2004. Yim Pek Ha, dihukum penjara 18 tahun. Hukuman ini sebenarnya untuk memberikan kesedaran kepada Yim bahawa kasih sayang yang hilang merupakan benih kekejaman yang akan menyebabkan seseorang kehilangan kebebasan. Harap-harap Yim insaf dengan apa yang telah dilakukannya.

Hukuman yang dikenakan ke atas Yim Pek Ha tentu menyebabkan ramai orang turut menarik nafas lega, bukan kerana gembira melihat orang lain dipenjarakan, tetapi kerana keadilan masih ada di mahkamah kita. Beberapa kes berprofil tinggi sebelum ini telah menjadi sasaran kritikan pihak tertentu apabila tertuduh dilepaskan. Kes yang terbaru ialah pembunuhan Altantuya yang menyebabkan ada pihak tidak berpuas hati. Sesetengah orang menerimanya dengan keluhan dan rungutan. Jadi, ramai yang bimbang andainya kes Yim Pek Ha - Normala Bonat juga akan berakhir dengan keluhan dan rungutan.

Perbuatan yang kejam dan tidak perikemanusiaan seharusnya mendapat balasan yang setimpal agar dapat dijadikan pengajaran kepada orang lain. Sebagai manusia kita seharusnya berfikiran waras. Apabila kita tidak suka kepada pembantu rumah kita, kita berhentikan sahaja dia dan cari pembantu rumah yang baru. Bertindak mendera dia dengan alasan apa sekalipun tidak dapat diterima oleh masyarakat yang bertamadun.

Penderaan merupakan satu kekejaman yang tidak boleh dimaafkan tidak kira mangsa deraan itu manusia atau binatang. Malah binatang pun tidak pernah mendera binatang yang lain. Ini pula manusia. Penderaan tidak setakat pembantu rumah, malahan kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang kurang upaya juga sering menjadi mangsanya. Kanak-kanak paling banyak dilaporkan. Ini menunjukkan bahawa masyarakat kita menghadapi masalah kasih sayang yang tenat. Masyarakat sedang sakit. Orang yang mempunyai kasih sayang sesama manusia tidak akan mendera orang lain. Malah dengan haiwan pun tidak mungkin dianiayainya kerana kasih sayang yang sejati merangkumi semua makhluk bernyawa termasuk diri sendiri.

Oleh itu, tanamkanlah nilai kasih sayang ke sanubari agar kita dapat hidup harmoni, tenteram dan bahagia tanpa mengira sempadan keturunan, kaum, agama, budaya, kedudukan atau gender. Tanpa kasih sayang, dunia bakal menuju kemusnahan.

3 comments:

Anonymous said...

Kehidupan akan lebih bermakna dengan kasih sayang tak kira lah kita yang nak beri kasih sayang atau pun kita perlukan kasih sayang.Saling sayang menyayangi akan mengelakkan perkara yang menyakitkan sama ada secara fizikal atau pun mental.Begitu kuatnya kuasa kasih sayang.

Pok Li said...

Adakah kita kehilangan kasih sayang atau kita kita tidak mampu memberi kasih sayang. Kehidupan yang semakin sakit.

Anonymous said...

Artikel yang sangat bagus. Sebagai seorang Islam dari Indonesia, saya sangat sedih bahwa teman saya Nirmala diperlakukan seperti binatang. Tetapi saya juga kecewa bahwa ternyata sampai hari ini Yim hanya menjadi tahanan rumah dan bukan tahanan penjara di Malaysia. Bagaimana saya bisa mengajukan petisi agar pengadilan Malaysia melanjutkan keputusan memenjarakan Yim?