Apakah itu cinta? Istilah cinta mempunyai banyak definisi figuratif. Definisi cinta antara kita secara figuratif kemungkinan sama, kemungkinan berbeza, bergantung pada dari sudut mana kita mentafsir cinta. Sekumpulan ahli falsafah Greek, termasuk di dalamnya Socrates memberi definisi cinta sebagai kekuatan yang sempurna. Cinta yang dimaksudkan ialah cinta antara lelaki dengan perempuan. Kekuatan sempurna manusia akan wujud apabila lelaki dan perempuan berpadu cinta menjadi satu - sehati, sejiwa. Manusia lemah apabila berseorangan. Oleh itu, mereka memerlukan cinta untuk menjadikan mereka kuat - mencintai dan dicintai. Menjadi kuat untuk apa? Untuk menghadapi cabaran Pencipta.
Seorang kawan aku yang berpangkat "Pak Lebai" mengatakan bahawa cinta ialah perasaan sayang. Cinta yang melahirkan kasih sayang. Perasaan sangat sayang kepada seseorang atau sesuatu ialah cinta yang amat mulia. Saya kepada Tuhan, ibu bapa, negara, keadilan, keamanan dan lain-lain merupakan cinta agung yang tiada tandingannya. Cinta jenis ini tidak akan menyebabkan kita dikecewakan. kita tidak akan patah hati kerana Tuhan, kita tidak akan frus menonggeng kerana ibu bapa. Kita tidak akan diderhaka oleh negara. Kita tidak akan dikhianati oleh keadilan dan keamanan kerana hanya kita yang bakal mengkhianatinya. Kalau kita setia kepada keadilan dan keamanan maka hati kita akan berasa adil dan aman sepanjang waktu walaupun suasana di luar bergolak.
Ada orang berkata cinta itu pengorbanan. Aku selalu mendengar definisi ini. Seorang pujangga tanah air pernah berbisik ke telinga aku begini: "Apa gunanya kita kecewa bila si dia terlena di dada jejaka lain kerana cinta itu pengorbanan. Kita mesti sedia berkorban untuk orang yang kita cintai, termasuk merelakan dia dimiliki orang lain!" Waduh, sakitnya cinta pengorbanan ini! Namun, hakikatnya begitulah bagi orang yang melihat cinta ialah pengorbanan. Mereka sanggup berkorban apa sahaja kerana cinta. Mereka rela berkorban harta dan nyawa seperti lagu nyanyian Tan Sri P Ramlee - "berkorban apa saja, harta atau nyawa...." Untuk kebahagiaan orang yang kita cintai, kita mesti rela berkorban. Walaupun pada permulaannya kemungkinan teramat sakit - kita dan dia - tetapi suatu hari kelak dia akan memaafkan kita apabila dia memahaminya. Kita tidak boleh mementingkan diri dalam cinta.
Namun, pengorbanan ini jangan sembarangan sehingga mengorbankan maruah diri.
Cinta ialah seksaan. Betulkah begitu? Kemungkinan betul apabila cinta terpaksa berjauhan. Misalnya, seorang bertugas di utara tanah air, manakala seorang lagi bekerja di selatan negara. Sebulan sekali berjumpa. Rindu mencengkam kalbu. Cinta antara dua benua, dua negara atau dua negeri diwarnai rindu. Rindu itu satu menyeksaan. Nasib baik zaman sekarang ada telefon, boleh berhubung sehari sepuluh kali sebagai pengganti diri buat menghilang rindu.
Aku pernah mendengar ada orang menyebut cinta itu penghormatan. Maksudnya kita mesti memberi penghormatan yang tinggi kepada orang atau benda yang kita cintai. Misalnya, pencinta alam tidak boleh membuang sampah ke dalam sungai. Kita mesti menghormati sungai. Apabila kita mencintai seseorang, kita tidak boleh meragut harga diri buah hati kita. Kita tidak boleh memalukannya, menjatuhkan air mukanya atau menyebabkan dia ditertawakan orang lain. Memberi penghormatan kepada orang yang dicintai ialah satu kemuliaan.
Cinta ialah perasaan berahi. Definisi ini selalunya ada pada kebanyakan cinta remaja. Cinta yang tumbuh di atas timbunan nafsu-nafsi. Cinta ini sering menimbulkan masalah sosial - seks bebas di rumah sewa, di asrama, di pesta-pesta keramaian, di sungai, di pantai dan di mana-mana sahaja yang mampu dikunjungi manusia. Seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat pengajian tinggi kerajaan pernah memberitahu saya bahawa sampah paling banyak di tempat kerjanya ialah kondom terpakai - bersepah di merata tempat. Masalah sosial akibat definisi cinta yang salah ini semakin hari semakin buruk. Namun, definisi inilah yang mampu difikirkan oleh kebanyakan remaja, termasuk aku masa aku muda dahulu. Tetapi aku tidak pernah melangkaui batasan moral terhadap orang yang aku cintai.
Cinta ialah kenduri. Ini definisi yang pelik tetapi ada berlaku. Dua pemuda memperdaya kekasih mereka untuk "dikendurikan" oleh rakan-rakan di sebuah bangsal. Ini berita yang tersiar dalam akhbar. Alangkah rendahnya moral remaja sekarang. Cinta kenduri ini berakar umbi daripada cinta berahi. Inilah cinta yang tidak layak dipanggil cinta. Namun, berhati-hati cinta kategori ini sedang memerhatikan gerak-geri saudari!
Remaja, terutamanya remaja perempuan jangan mudah mempercayai ungkapan cinta yang dilafazkan walaupun manisnya bak madu kerana definisi cinta itu pelbagai. Ada cinta yang beracun. Ada cinta bisa menjerat leher sendiri. Cinta Adam dan Hawa, cinta Romeo dan Juliet atau cinta Teruna dan Dara tidak sama dengan cinta aku dan engkau, atau cinta kamu dan dia.
Cinta buih sabun itu dalam kategori mana, sekejap mengembung, kemudian hilang entah ke mana.
Definisi figuratif cinta terlalu banyak dan tidak terlarat hendak mengungkapkan kesemuanya. Bagaimana definisi cinta anda?


