Sunday, May 10, 2009

Kasih Ibu

Tanggal 10 Mei ialah Hari Ibu. Pada hari ini ramai yang membawa ibu mereka keluar makan di restoran ternama atau pergi makan angin di tempat-tempat yang sesuai dengan usia ibu. Malah ramai juga yang membelikan hadian istimewa.

Dan perkara yang pasti tidak akan dilupakan ialah memanjatkan ampun sekiranya terdapat salah silap laku sambil memohon kata-kata restu daripada wanita paling istimewa itu. Siapalah kita, seorang anak, tanpa wanita bernama ibu.

Namun, kehendak seorang ibu daripada anaknya bukanlah makanan berharga mahal di restoran ternama, atau hotel lima bintang, pergi makan angin atau hadiah istimewa berharga tinggi. Kehendak seorang ibu begitu ringkas dan tidak memerlukan modal, tetapi begitu sukar untuk ditunaikan oleh orang yang bernama anak.

Seorang ibu hanya mahu anaknya menjadi orang baik, orang yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara. Tiada seorang ibu yang mahu anaknya jadi orang jahat atau orang yang menyusahkan orang lain.

Permintaan ibu pula tidak banyak. Dia hanya minta anak atau anak-anaknya mendengar kata-katanya. Permintaan yang mudah tetapi begitu payah untuk ditunaikan. Sesetengah anak lebih rela mendengar kata-kata orang lain daripada kata-kata ibu sendiri.

Walaupun betul kata-kata orang lain – orang yang penting dalam kehidupan kita – patut didengar juga, tetapi kata-kata ibu jangan ditolak ke tepi. Tiada helah atau tipu daya yang tersembunyi di sebalik ungkapan ibu. Tiada racun berbisa atau belati tajam tersorak di dalam kalimatnya. Semua yang keluar dari mulut ibu, biarpun sesekali menusuk hati kecil, ialah penawar mujarab bagi seorang anak.

Namun, menjadi kelaziman manusia tidak suka kepada penawar. Manusia lebih gemar kepada racun. Sepuluh kali ibu memberi nasihat, hanya masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan. Sekali seorang rakan memberi “nasihat”, diturutinya dengan setia.

Gejala sosial yang melanda masyarakat kita hari ini misalnya, berpunca daripada keengganan anak mematuhi nasihat ibunya. Tiada ibu yang mahu anak-anaknya jadi beban masyarakat. Dia sanggup berkorban apa sahaja termasuk berkorban nyawa demi mempertahan anaknya. Namun anak begitu sukar berkorban untuk ibunya biarpun dalam hal-hal yang kecil. Contohnya, rajin belajar bukan susah untuk dilakukan tetapi ramai yang enggan walaupun diminta berulang kali oleh ibunya. Begitu juga dengan merokok, merempit, balik lewat malam, bergaul bebas bukan susah untuk dihindari tetapi ramai tidak peduli. Mereka memilih melukakan perasaan ibu daripada meninggalkan gejala tidak sihat itu.

Jasa ibu tiada terkira. Semua anak tahu tentang itu, tetapi ramai yang ambil ringan. Sejak dalam kandungan selama sembilan bulan, jasa ibu sudah melimpah tidak terhitung. Makan minum dijaga kerana takut memberi kesan kepada anak dalam kandungan. Makan pedas dan panas dihindari, dan selera mulut diketepikan demi menjaga kesihatan kandungan.

Permata berkualiti tinggi walaupun direndam di dalam lumpur seribu tahun permata itu tidak akan pudar. Nilainya tidak akan jatuh. Begitulah nilai seorang anak bagi seorang ibu. Sejahat mana seorang anak, ibu tidak pernah jemu mendoakan keinsafannya.

Ibu selalu mendoakan anaknya sihat dan bahagia. Sakit hati ibu apabila mendapati anaknya sakit. Namun sakitnya seorang ibu kurang diketahui anak-anak.

Pedih hati ibu melihat anak-anaknya bertengkar sesama sendiri. Dia mahu semua anaknya menjalinkan kasih sayang antara adik-beradik sehingga ke akhir hayat. Tetapi tidak ramai anak-anak yang sedar akan kemahuan ini.

Malah dalam kehidupan moden, terdapat adik-beradik yang berkelahi kerana tidak mahu menjaga ibu yang telah tua. Semuanya memberikan alasan tersendiri sehingga akhirnya ibu terpaksa dihantar ke rumah orang-orang tua.

Betapa berat pengorbanan ibu (atau bapa), anak tidak akan tahu sehinggalah mereka sendiri menjadi ibu (atau bapa). Adakala apabila mereka menjadi seorang ibu dan mampu menyelami hati nurani seorang ibu, wanita berjasa itu telah tiada.

Hargailah ibu ketika dia masih hidup. Namun, lumrah kebanyakan manusia tidak menghargai benda yang ada di depan mata. Apabila benda itu sudah tiada barulah mula menyesal. Tetapi telah terlambat. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Meratap sehingga keluar air mata darah sekalipun, ibu tidak mungkin dapat dihidupkan kembali.

Segala kelalaian ke atas tanggungjawab kita sebagai seorang anak kepada orang tuanya, akan menjadi bayangan hitam yang mengekori kita seumur hidup. Tiada anak yang paling teruk daripada daripada anak yang sentiasa menyakiti hati dan menitiskan air mata ibunya.

Jadilah seorang anak yang baik. Sayangi ibu dengan sepenuh hati kerana dialah wanita paling istimewa bagi seorang anak. Tiada wanita lain lebih istimewa daripada wanita yang melahirkan kita.

Kasihnya ibu membawa ke syurga. Jasa ibu tidak mungkin dapat dibalas kesemuanya tetapi cara terbaik untuk membalas jasanya adalah dengan menjaga makan minumnya dan tidak menyakiti hatinya. Ibu akan berasa bahagia apabila mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada anak-anaknya.

Selamat Hari Ibu!

11 comments:

SIS said...

salam perkenalan...baru kenal blog tn..mmg best

Desbil said...

"Ibu selalu mendoakan anaknya sihat dan bahagia. Sakit hati ibu apabila mendapati anaknya sakit. Namun sakitnya seorang ibu kurang diketahui anak-anak."

Kenyataan ini cukup disedari oleh anak tentang apa yang dilalui oleh seorang ibu, namun tidak ada siapa yang mampu melawan takdir.

lo mo so said...

Saat yang paling ibu sakit ialah semasa melahirkan anak.

Ada orang kata saat yang paling ibu sakit ialah apabila anaknya menderhaka.

Tapi ada gak orang kata ibu paling sakit dan kecewa apabila cinta setianya di nodai dan di penduakan oleh sang bapa.!!

Minta maaf Tuan blogger, izinkan saya nak tanya kawan kita desbil tu..

" DES, ANDA PERNAH MENGALAMI SAAT-SAAT BEGINI TAK"?

Desbil said...

Hai Lo Mo So...:D mcm food testing ker ni...

Soalan cepumas ini desbil bagi jawaban "cepuintan"

Semasa disekolah rendah seorang guru pernah berkata semasa nak jawab soalan dan tak pasti sama ada jawaban yang kamu beri boleh mempengaruhi pemeriksa untuk memberikan markah sekurang2nya lulus maka cuba lah jawab soalan sebaik mungkin dimana dia sukar untuk mengagalkan kamu.biarkan pemeriksa serba salah nak gagalkan kamu sebab biasanya pemeriksa tak ingin menggagalkan anak muridnya. Jangan tinggalkan kertas jawaban kosong.

Jawabannya:

Seorang ibu yang kematian anak berkata "meratapi kematian anak adalah lebih sakit dari melahirkan anak."

seorang ibu yang diderhakai anak berkata " anak derhaka dan anak sakit dua2 amat menyakitkan dan menyedihkan"

seorang ibu yang cintanya dinodai suami berkata " jika terpaksa memilih suami dan anak maka si ibu berkata dia akan pilih anak"


P/S Lo mo so ni macam detektif conan lah...

lo mo so said...

Terima kaseh kerana sudi menjawab,seakan-akan madah pujangga lak tu...info minda yg menarik.!

...Dah agak dah Puan "SB" kawan kita
ni memang seorang yang pintar...

Prasert Chaipradit said...

Seorang ibu begitu tabah membesarkan anak-anaknya. Seorang anak adakala suka berhelah apabila diminta menjaga ibunya.

Desbil said...

Lo mo so..."SB" tu maksudnya aper?:D

lo mo so said...

Jabatan Polis punya "SPECIAL BRANCH" kot...he..he...heh..

Apa kata Khun Sert,Tuan Blogger?

Desbil said...

Lo Mo So : Desbil tak ada tujuan lain. sekadar seronok nak baca blog dan bagi komen sambil sembang2 tak ada maksud lain. Kalau nak jadi "SB" tak payah lah desbil nak sibukkan diri nak komen2.:( bye..

lo mo so said...

DES...,

Niat baik anda amat dihargai.
Teruskan memberi komen kerana komen dan pendapat anda bijak dan amat membina sekali.(wah..berlagak macam tuan rumah pula aku ni...!)

bETOI TAK KHUN sERT,Diam seribu bahasa aje...?

Prasert Chaipradit said...

Betoi!