Tuesday, June 2, 2009

Sakit Ini Di Mana Penghujungnya?

Jatuh tangga itu sakit. Anda pernah jatuh tangga? Kalau anda tinggal di rumah yang ada tangga kayu yang anak tangganya bulat, anda tentu mengerti betapa sakitnya apabila jatuh tangga. Masa kanak-kanak, aku pernah jatuh tangga kerana aku suka berlari naik ke rumah. Sakitnya. Aku tergelincir dan jatuh terkangkang di atas anak tangga. Nasib baik telur tidak pecah. Menangis tidak berlagu. Namun, dalam tangisan aku mampu tersenyum melihat dua biji telur ayam yang aku kutip dari reban di bawah rumah masih dalam genggaman.

Jatuh tangga sakit, tetapi jatuh cinta lagi sakit. Lazimnya orang yang kecundang dalam percintaan yang sakit. Orang jatuh cinta tidak sakit. Orang jatuh cinta hanya suka berangan-angan. Pagi dan petang pasang angan-angan. Berdiri berangan, duduk pun berangan. Masa tidur usah dicakap lagi. Angan-angannya mengalahkan Mat Jenin. Nasib baik tidur atas rumah. Kalau tidur atas pokok macam orang zaman rimba, jatuh ke tanah jawabnya. Dalam angan-angan ada senyum. Dalam senyum ada sindiran. "Woi, gilakah senyum sorang-sorang!"

Orang lain tidak tahu kerana bukan dia yang jatuh cinta. Mana ada orang jatuh cinta senyum seorang diri. Dia senyum dengan buah hati dia. Oleh sebab buah hati dia itu cuma mata dia sahaja yang nampak, mata orang lain tidak nampak, maka orang akan kata dia gila. Biasalah orang jatuh cinta. Senyum seorang diri pun bahagia.

Tetapi ada sejenis jatuh cinta yang amat sakit. Lebih sakit daripada jatuh tangga. Bukan cinta sejenis. Itu cinta songsang tidak masuk dalam kamus cinta aku. Cinta akan jadi satu kesakitan apabila hati terpaut pada kawan karib sendiri; kawan yang sudi ketawa dan menangis bersama. Kenapa, sakitkah mencintai kawan karib? Sakit sekali apabila kawan karib itu kita tahu hatinya terpaut kepada orang lain. Hati kita tersangkut pada dia, tetapi hati dia tersangkut pada hati orang lain.

Kalau bukan kawan karib tidak jadi hal. Kita boleh angkat kaki dan belah sahaja. Cari haluan lain yang tidak perlu menatap muka dia setiap hari. Tetapi kawan karib sukar untuk kita melarikan diri. Kita sayang kepada dia kerana dia kawan kita. Kawan karib bukan senang dicari. Kawan yang hanya reti menumpang ketawa bukan karib namanya. Kawan karib ialah kawan rapat yang sedia berkongsi suka duka. Bagaimana kita hendak mengelakkan diri?

Meluahkan isi hati bukan sesuatu yang baik kerana kita tahu dia suka orang lain. Memendam rasa kita pula yang sakit. Lazimnya kawan karib sepejabat dengan kita. Hampir setiap hari berjumpa, bersua dan bertegur sapa. Sakit akan datang apabila kita melihat dia berbual telefon lama-lama dengan orang lain. Sakit pasti menjelma apabila dia sering membalas senyum dengan kawan lain di depan kita. Sakit tentu muncul setiap kali ada orang keluar makan dengan dia tanpa mengajak kita. Walaupun kawan karib, kita dengan dia tidak bersama dua puluh empat jam. Masa tidak bersama itulah sakit kita berdenyut-denyut. Sakit yang keterlaluan, resah yang tidak keruan dan bimbang yang tidak menetu adalah tanda cinta kita semakin mendalam. Kita dilanda penyakit cemburu. Kita cemburu pada setiap orang yang menghampiri dia. Kita cemburu walaupun dengan bos di pejabat. Kita resah apabila dia menghilang diri dalam bilik bos terlalu lama.

Dua perkara yang patut kita lakukan, itupun sekiranya berani. Pertama, luahkan isi hati kita dan bersedia menerima kenyataan seandainya terpaksa kehilangan seorang kawan yang baik. Kedua, pendamkan perasaan dan biasakan diri dengan kesakitan-kesakitan yang ada dan yang bakal muncul.

Kalau anda memilih cara pertama, pilih masa dan suasana yang sesuai untuk membuka bicara. Jangan mendesak. Kita kena beringat bahawa dia kawan karib kita bukan kawan biasa. Kita tentu tidak mahu dia membenci kita. Oleh itu, berhati-hati dengan cara pertama kerana akibatnya sama ada CINTA atau MUSUH. Jarang sekali kita dapat kekalkan pertalian persahabatan abadi dengan orang yang menolak cinta kita.

Kalau anda memilih cara kedua, terdapat beberapa perkara harus dipatuhi. Pertama, jangan tunjukkan sebarang reaksi yang kita mencintai dia. Seandainya dia sedar kita mencintai dia dan dia pula tidak mencintai kita, dia akan serba salah dan susah hati. Kita juga akan sakit apabila tahu bahawa dia menyakitkan kita, kawan karibnya.

Kedua, jangan sesekali menunjukkan sikap cemburu walaupun perasaan itu ada. Sekiranya dia sudah berpunya, dia akan meluat apabila kita cemburu kerana kita bukan orang teristimewa dia. Cemburu ini bukan hanya kepada kekasih. Kepada kawan pun ada perasaan cemburu. Oleh itu, kawal perasaan cemburu.

Ketiga, jangan terlalu dekat dengan dia masa berjalan, berbual, atau makan. Jarak yang terlalu dekat menyebabkan kemungkinan kita dan dia akan bersentuhan. Bersentuhan walaupun secara tidak sengaja akan "menghangatkan" perasaan yang akhirnya kita sendiri menjadi semakin sakit. Dia tidak sakit kerana dia tidak ada perasaan cinta kepada kita.

Walau apapun, keputusannya di tangan anda. Anda boleh memilih cara pertama atau kedua, atau anda ada cara ketiga yang lebih baik!

10 comments:

Desbil said...

'kawan karib' yang tuan blogger maksudkan bukan kawan karib.Seorang kawan karib tak akan melibatkan perasaan cemburu dan cinta dalam persahabatan.Memiliki kawan karib berlainan jantina biasanya akan melibatkan perasaan sayang dan cinta.Sebab itu perempuan dan lelaki tak bolah jadi kawan karib.Namun, kawan karib seiring dengan perasaan cinta itu sering terjadi. Seandainya ini terjadi maka, hargailah cinta seorang kawan karib kerana ramai orang berkata cinta kawan karib akan kekal ke hujung nyawa.

Apa pun jika salah seorang darinya tidak ada perasaan cinta itu, baiklah pendamkan saja. perit sekalipun kenyataan mesti diterima apa lagi jika pihak yang satu lagi memberikan keyakinan bahawa CINTA TAK MUNGKIN BERSATU.

butterfly said...

Kalau cinta dekat seseorang, elok juga cakap terus terang apalagi terhadap kawan karib sendiri. Berani cinta mesti berani cakap. Andai kata cinta tidak terbalas atau tidak mungkin bersatu tidak apa, sekurang-kurangnya kita sudah cuba. Keperitan cinta hasil dari luahan perasaan akan sembuh dengan lebih cepat jika dibandingkan dengan cinta terpendam..tapi terpulang pada diri individu tersebut..

Baimai said...

Betul kata Desbil tu anda memang seorang yang bijak dah lama aku baca komen anda. Aku setuju, Apa pula kata Tuan blogger kita?

Anonymous said...

Nampaknya tuan blogger arif dlm hal2 mcm ni, andai kata tuan blogger berada dalam situasi tersebut, apa pendekatan yang akan tuan blogger ambil?.

Prasert Chaipradit said...

Kalau aku jatuh hati pada seseorang, sama ada kawan karib, kawan tak karib, kawan punya kawan, atau sesiapa saja asalkan perempuan aku akan terus terang. Sekurang-kurangnya aku dapat tidur lena kerana tak pendamkan perasaan. Ha, ha, ha!

lo mo so said...

Baimai pun minat baca komen desbil gak ke.. dia ni memang bijak.Klu dia berblog tentu seronok sekali, boleh "fight" sama khun sert.

Dulu saya ingat dia seorang jejaka..tersilap beruk saya, rupa-rupanya seorang wanita.

Pada pemerhatian saya, desbil ni seorang "rakan" siam yang setia dan sejati.

Alangkah bertuahnya sesiapa yg.memiliki buah hati yang cintanya setia dan sejati yang tidak berbelah bagi.

Desbil said...

Baimai : Terimakasih atas pujian itu,Desbil sekadar memberi komen dan respon dengan apa yang diceritakan dalam entri empunya blog.
-----------------------------------
Lo Mo So : Ish engkau lagi Lo Mo So..sudah2 lah nak promote kat si Desbil ni marah tuan blogger nanti. eh tapi macam mana boleh confident sangat Desbil ni wanita Desbil tak pernah mengaku pun..;D

Apapun khob khun kha lah yer, bagi tau lah blog Lo Mo So boleh juga Desbil komen, sebab desbil ni kaki komen bukan kaki blog mcm tuan blogger kita.

-----------------------------------

Tuan blogger : Maaf yer aku kena jawab juga kat peminat blog tuan ni tak jawab dosa tau he he he...

Prasert Chaipradit said...

Baimai(daun) sama dokmai(bunga) tak dapat dipisahkan, umpama cinta sama cemburu tak mungkin dapat dipisahkan.

Aku setuju dengan lo mo so - bertuah sungguh sesiapa yang dapat buah hati yang cintanya setia dan sejati.

al-lavendari said...

Kata jauhari, api semasa kecil menjadi kawan ... sudah besar menjadi lawan. Jadi elakkan bermain api

Sang Mantan said...

yaa mmg sakit jika jatuh cinta pada sahabat
tetapi bagaimana pula jika sahabat itu memberi kan harapan walaupun dia sudah berpunya?