Tuesday, January 27, 2009

Mawar Merah Di Penjuru Meja

Cinta boleh bermula di mana-mana dan dengan apa-apa cara sahaja. Cinta tidak memilih tempat dan waktu untuk menjelma. Ada cinta bermula dengan pandangan pertama. Ada cinta bermula dengan usikan dan siulan. Ada cinta bermula dengan SMS. Ada cinta bermula di dalam internet. Dan ada cinta bermula dengan sekuntum mawar merah. Itulah cinta aku beberapa tahun dahulu - bermula dengan sekuntum mawar merah!

Semalam aku terima sekuntum mawar merah dan sekeping nota: "Selamat Tahun Baru - Kong Hee Fatt Choy!" Aku termenung sejenak. Adakah mawar merah di hujung tangkai dan sekeping nota itu kepunyaanku? Aku memerhatikan catatan pada nota. Nama aku tertulis di situ. Ini hantaran tangan. Hanya sekuntum, bukannya sejambak seperti kelaziman. Mungkin daripada budak-budak nakal anak jiran aku. Tetapi kenapa mesti mawar merah, bukan mawar merah jambu atau mawar putih? Lazimnya limau mandarin menjadi hadiah pengikat silaturahim sempena Tahun Baru Cina. Sebaliknya, aku terima bunga. Dan bunga itu daripada seseorang yang aku tidak tahu siapa!

Aku masukkan mawar di dalam pasu yang aku beli beberapa bulan lalu bersama air dan sedikit gula. Pasu tanah liat buatan China begitu indah dihiasi sekuntum mawar merah yang segar. Aku letakkannya di sudut meja di bilik tidur. Walaupun sekuntum, indah dan serinya terserlah apabila tersentuh pantulan lampu bilik yang lembut.

Deringan telefon berbunyi dua kali. Seseorang menghantar SMS kepada aku. Aku mencapai telefon dan melihat mesej: "Maaf kerana tak dapat hantar bunga dengan tangan sendiri. Aku tahu engkau minat dengan mawar merah. Maaf kerana hanya sekuntum." Siapa? Nombor yang hantar mesej tidak ada dalam diari telefon aku. Bagaimana dia tahu aku berminat dengan mawar merah? Hanya seorang yang tahu dan selalu menghadiahi aku mawar merah. Tetapi tidak mungkin orang yang sama yang menghantar mawar ini kepada aku?

Aku menghubungi nombor yang menghantar mesej kepadaku tadi. Tiada siapa yang menjawab panggilanku. Aku mencuba lagi beberapa kali, tetapi semuanya kecewa. Aku teramat benci kepada orang yang malas menjawab telefon. Kenapa pakai telefon kalau malas nak jawab panggilan? Atau barangkali dia tak jawab kerana dia tidak mahu layan aku? Habis, kenapa dia hantar bunga kepada aku sempena Tahun Baru Cina? Aku suka mawar merah, tetapi ketika ini aku lebih suka limau mandarin kerana itulah tanda "kemuliaan" mengikut kelaziman tradisi masyarakat Cina. Mungkin ada seseorang sengaja mempermainkan aku?

Sewaktu aku hampir lelap, telefon berbunyi lagi. "Hello!"

"Kong Hee Fatt Choy! Maaf kerana mengganggu malam-malam buta!"

Aku terdiam seketika kerana aku dapat mengecam suaranya dengan baik.

"Lama tak jumpa, apa khabar?"

"Kau yang hantarkan bunga?"

"Ya. Bunga kesukaan kau."

"Kenapa?"

"Kenapa? Pelik sangatkah seorang wanita hantar bunga kepada lelaki?"

"Tak pelik, tapi tak perlu. Ini Tahun Baru bukan Valentine!"

"Oh, kau sudah lupa pada janji dahulu?"

"Janji?"

"Tahun Baru hanya sekali dalam setahun, tetapi Valentine di antara kita ada setiap hari. Itu yang kau katakan dulu. Masihkah kau ingat?"

"Hanya ini tujuannya kau telefon aku?"

"Tidak. Aku nak beritahu bahawa selepas Tahun Baru nanti aku akan ke Amerika."

"Selamat jalan!"

"Kau tak nak tanya dengan siapa?"

"Kenapa nak tanya kerana seorang isteri tentu akan pergi dengan suaminya."

"Kami sudah berpisah!"

Aku terdiam dan seketika kedengaran suara tangisan. Aku mengeluh berat, kemudian mendengar luahan hatinya. Dia cerita satu persatu kisah kehidupannya - dari saat perpisahan kami, hari perkahwinannya, alam rumah tangganya selama dua tahun, dan detik-detik hitam sehingga membawa kepada perpisahan.

"Sudikah kau berjumpa aku?"

Aku tidak tahu apa yang terbaik yang harus aku ungkapkan. "Bila?"

"Sekarang!"

"Esok saja, ya. Sekarang sudah lewat malam!"

Tahulah aku kenapa dia menghantarkan aku mawar merah kerana dulu aku sering memberikan dia bunga tersebut. Dia sengaja mengungkitkan kenangan lampau yang kami tinggalkan bersama. Inilah "kelemahan'" sesetengah perempuan. Apabila perkahwinannya buntu, rumah tangga berantakan, dia cenderung kembali kepada kisah silam. Walaupun bakal menyakitkan orang lain, dia tidak kisah. Asalkan kebahagiaan dapat dipenuhi, luka orang lain berdarah kembali tidak diperhitungkan.

Aku merenung bunga mawar merah - sehelai kelopaknya gugur di penjuru meja. Dari ruang jendela yang terbuka, aku melontar pandang ke luar. Kaki bukit kelihatan kelam.
Keesokan hari ketika matahari merah di Timur aku akan memulakan hidup baru - indahnya cinta kepada Pencipta!






3 comments:

Isma Ae Mohamad said...

saya pun pernah

Desbil said...

Orang dah bagi ambil saja lah...:)orang dah sudi terima ajer lah:P...Adakah bunga tersebut telah membuatkan hati mongkut cair atau fikiran berserabut????:D...

Keliru nampak???? :)..

Atiey MN said...

ooo..gtu kisahnya...