Saturday, January 17, 2009

Bolehkah Perempuan Menggoncang Dunia?

Siapa yang mencipta pepatah ini aku tak tahu tetapi aku mendengarnya sejak aku belum mengerti erti cinta. Jauh sekali mengerti erti kehangatan pelukan perempuan sebaya yang bukan muhrim. Perempuan bagi aku sama sahaja iaitu jantina yang mudah menangis tetapi kaya dengan kasih sayang. Keistimewaan perempuan bagi aku bukan pada matanya yang seksi, senyumannya yang menggoda, dadanya yang menarik atau pinggulnya yang menggiurkan, tetapi kerana bijaknya dia sembunyikan kekuatannya di sebalik kelembutannya.

Pepatah yang aku maksudkan ialah: "Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncangkan dunia!"

Aku setuju biarpun tak perlu mengambil masa lama untuk merenung atau kata orang sastera menghening cipta atau kata Sasterawan Negara, Pak Samad Said, "mengunyah" idea. Sekilas pepatah dan petitih menusuk gegendang telinga, sudah tahu erti tersurat dan tersiratnya. Keupayaan tangan perempuan yang lembut dan licin yang menghayun buaian saban hari mampu menggoncangkan dunia sukar dinafikan. Perempuan memang pakar dalam soal menggoncang-goncang.

Banyak benda yang memerlukan goncangan sebelum dapat berfungsi dengan baik. Jam automatik misalnya mesti digoncangkan terlebih dahulu barulah akan hidup dan jarumnya dapat bergerak. Jangka masa gerakan jarumnya bergantung kepada hasil goncangan. Susu bayi juga mesti digoncang dahulu barulah diberikan kepada bayi. Maksud aku susu botol. Susu ibu aku tak berapa pasti sama ada kena goncang juga sebelum disuap ke mulut bayi.

Menggoncang ertinya menggoyang dengan kuat. Bolehkah dunia digoncang-goncang seperti seorang ibu menggoncang botol susu bayinya? Tentulah tidak boleh. Dunia mana boleh digoncang oleh manusia. Jangan kata perempuan, lelaki pun tak mampu menggoncang dunia. Dunia bukan glob yang diletakkan di atas meja cikgu Geografi. Jadi, mengapa ada pepatah tangan yang menghayun buaian mampu menggoncangkan dunia? Kerana gancang di sini bukan bermaksud goyang tetapi bermaksud tidak tenteram. Dunia yang tidak tenteram umpama dunia yang sedang digoncang. Dunia tidak tenteram bukan kerana lelaki bengis semata-mata, bahkan perempuan yang ayu lagi lembut juga berupaya menghuru-harakan dunia.

Bagaimanapun, ketidaktenteraman dunia bermula daripada perempuan. Aku bukan menuduh sembarangan. Perempuan memang berupaya menentukan sama ada dunia ini tenteram atau tidak. Hitler salah seorang pemimpin zalim yang membunuh jutaan keturunan Israel di Eropah. Pol Pot memetik nyawa hampir 2 juta bangsa sendiri kerana perbezaan ideologi. Hitler dan Pol Pot tidak akan menjadi pembunuh kejam seandainya perempuan yang melahir, mengasuh dan mendidik mereka berjaya menjadikan mereka insan beriman. Bukan salah ibu yang mengandung. Bukan silap teknik asuhan dan didikan. Aku setuju kita tak boleh meletakkan beban kejahatan anak ke atas pundak ibunya. Namun, aku yakin bahawa "ibu yang berjaya" adalah ibu yang berjaya mendidik anak-anaknya menjadi orang yang baik. Ibu yang berkerjaya tinggi, atau usahawan ternama tetapi gagal mengasuh dan membentuk anak-anak menjadi insan yang beriman atau berakhlak mulia belum boleh dikatakan ibu yang berjaya.

Manakala manusia yang berhati mulia bisa mengekalkan ketenteraman dunia. Mahatma Gandhi misalnya memilih kaedah "aman" untuk membebaskan negaranya daripada penjajahan British. Ibu kepada Gandhi walaupun miskin dan hidup dalam kepayahan tetapi boleh dikatakan ibu yang berjaya kerana mampu membentuk peribadi anaknya menjadi insan mulia. Tanggungjawab ibu bukan sekadar melahirkan putera atau puteri, tetapi mesti mengasuh mereka menjadi manusia yang baik, integriti dan bertanggungjawab.

Sekarang perempuan bukan menggoncang dunia melalui putera atau puterinya tetapi melalui tangannya sendiri. Ramai perempuan berjaya menjadi pemimpin tersohor dunia. Sejarah pernah mencatatkan kehebatan perempuan. Queen Isabella I (1451-1504) merupakan permaisuri yang membiayai pelayaran Christopher Columbus dan pengaruhnya memberi kesan besar kepada Sepanyol dan Amerika Latin selama beberapa abad. Manakala Joan of Arc (1412-1431) adalah wirawati yang menyelamatkan Perancis dalam Peperangan 100 Tahun antara Inggeris - Perancis. Perempuan memang hebat.

Kehebatan perempuan hari ini kerana keberaniannya. Ramai perempuan berani mengambil risiko dalam perniagaan, menyertai tentera, polis, pengawal keselamatan, pemandu bas, lori, kapal terbang dan sebagainya. Pejuang ideologi komunis juga ada perempuan. Inilah secebis bukti bahawa perempuan ada daya keberanian setaraf lelaki. Malah dalam hal tertentu perempuan lebih berani daripada lelaki.

Dalam usia belum mencapai 15 tahun, perempuan berani mengikut lelaki pergi ke mana-mana sahaja termasuk ke rumah sewa lelaki. Malah ada yang berani ikut lelaki melancong sampai ke luar negara dan akhirnya menjerit-jerit dari bumi orang untuk pulang ke tanah air. hilang dara tak cukup, terpaksa hilang ibu bapa dan saudara mara. Akibat keberanian menyahut cabaran lelaki, ramai gadis muda terjebak ke lembah maksiat. Pesta seks bebas setiap kali datang tahun baru menjadi satu kebiasaan. Selepas pesta seks bebas, diikuti pula pesta buang bayi. Inilah satu-satunya keberanian perempuan, "buang bayi", yang belum mampu ditandingi lelaki.

Buang anak kucing pun tak berani aku, jangan kata buang anak sendiri. Tetapi perempuan berani. Berani buat, berani buang. Bukan dunia yang goncang, tetapi ibu bapa yang tak dapat tidur malam terkenangkan anak gadis yang sedang membesar saban hari. Anak gadis yang sedang membesar segala-galanya ini bakal menggoncangkan jiwa raga ibu bapa. Walaupun didikan agama dan moral diberikan tetapi belum tentu pintu yang satu itu dapat dijaga dan ditutup agar tidak dicerobohi. Menjaga pintu yang satu itu lebih sukar daripada menjaga tujuh pintu istana. Pintu yang aku maksudkan ialah pintu hati. Apabila pintu hati dibuka kepada kemungkaran, maka apa-apa sahaja termasuk perkara di luar jangkaan akan terjadi.

Jadi, sebagai anak perempuan jagalah diri agar tidak dicerobohi kemungkaran. Mempercayai lelaki harus ada batasannya terutama lelaki yang baru dikenali. Perempuan dan lelaki adalah "kawan" dalam beberapa segi dan sekaligus "musuh" dalam segi yang lain. Apabila dewasa dan beranak-pinak, didiklah anak dengan baik kerana ibu adalah guru pertama kepada anak-anak.

Oleh sebab "kehebatan" perempuan inilah maka dikatakan tangan yang menghayun buaian mampu menggoncangkan dunia!

2 comments:

Pok Li said...

Khadijah as wanita yang hebat dan sentiasa dingati oleh seorang lelaki bernama Muhammad, Rasulullah saw.

Prasert Chaipradit said...

Betul tu, Pok Li!